Debaran Leuniey Dan Apek – Tidak Kisah Kahwin Muda | Apek atau nama sebenarnya Khairul Fahmi Che Mat dan Leuniey atau Nur Eilunie Natasha Nazri bakal bernikah tidak lama lagi. Biarpun mereka pernah menafikan ada menjalinkan sebarang hubungan cinta sebelum ini, akhirnya takdir menentukan yang mereka akan menjadi pasangan suami isteri.

Menerusi satu laporan Kosmo Online, Leuniey akui berasa agak berdebar menjelang detik hari bahagianya itu bersama Apek.

“Setakat ini segala persiapan perkahwinan berjalan dengan lancar. Berkenaan dengan tema pula, kami tidak menetapkan sebarang tema tertentu kerana mahukan satu majlis yang ringkas dan menarik. Mengenai tarikh sebenar kami diijabkabulkan pula, saya tidak boleh menjelaskannya dan boleh bertanya sendiri kepada Apek. Lagipun sebelum ini Apek sudah memberitahu akan membuat satu sidang akhbar untuk mengumumkannya,” ujarnya sopan.

Ditanya sama ada dia tidak kisah membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dalam usia yang cukup muda, Leuniey menyatakan semua yang berlaku itu merupakan ketentuan Allah.

“Kalau jodoh saya sudah sampai, sudah tentu saya perlu menerimanya dengan hati terbuka. Saya tidak kisah bertemu jodoh dan berkahwin pada usia muda kerana saya sendiri memang sudah bersedia bergelar isteri,” jelasnya.

Bercerita mengenai hubungan yang terjalin antara mereka berdua dengan lebih lanjut, Leuniey secara jujurnya menyatakan dia tidak ingat bila Apek melamarnya sebagai kekasih. Bagaimanapun, hubungan kedua-duanya mula menjadi rapat apabila sama-sama terbabit dengan iklan komersial minyak wangi SimplySiti pada bulan Mac lalu.

“Selepas terbabit dengan iklan tersebut, hubungan kami menjadi rapat dan akhirnya kami bercinta. Saya memilihnya sebagai kekasih kerana melihat dia sebagai seorang lelaki yang matang dan menghormati keluarga. Selain itu dia juga seorang yang bertanggungjawab dan sering mengambil berat terhadap diri saya. Berdasarkan kepada kriteria-kriteria itu akhirnya saya bersetuju mendirikan rumah tangga dengannya,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Leuniey juga menyatakan dia tidak kisah menjadi isteri kepada seorang jejaka yang cukup terkenal serta sudah bersedia berhadapan dengan segala kemungkinan terutamanya cerita kurang enak mengenai diri Apek.

“Saya akui terdapat beberapa gosip yang pernah melanda diri Apek, termasuk kisah hubungannya dengan seorang aktres sebelum ini. Namun begitu, saya tidak mahu terlalu ambil serius sangat mengenainya.  Apa yang lebih penting saya tidak akan terlalu terburu-buru mempercayai sekiranya ada gosip yang melanda jika melibatkan diri Apek. Saya berharap tidak ada lagi sebarang cerita kurang enak apabila kami sudah berumah tangga nanti,” ujarnya.

Penulis: ammboi

Avatar

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.