Gunung Kinabalu telah menjadi igauan ramai pendaki untuk sampai ke puncak. Walau bagaimanapun, segala persediaan perlu dilakukan dengan rapi. Tuan Zaky Mat Ali telah sudi berkongsi pengalaman serta diari beliau ketika mendaki Gunung Kinabalu.

1. Gunung Kinabalu terletak di daerah Ranau, Sabah. Merupakan puncak tertinggi di Malaysia; 4,095 meter dari aras laut. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kinabalu Park mengambil masa lebih kurang dua jam dengan menaiki kereta.

2. Perkataan “Kinabalu” asalnya merupakan perkataan kaum Kadazandusun yang dicampurkan antara perkataan Aki Nabalu, aki membawa maksud nenek moyang, manakala nabalu bererti gunung atau secara tepat lagi, gunung yang menjadi tempat persemadian roh-roh nenek moyang mengikut kepercayaan kaum Kadazandusun.

3. Untuk pakej mendaki Gunung Kinabalu boleh berhubung dengan En. Zul; 019-984 4486. Untuk sewa kereta boleh berhubung Setia Enterprise; 010- 584 4006 dari Kota Kinabalu. Servis keduanya terbaik dengan harga yang berpatutan.

4. Gunung Kinabalu telah direkodkan mempunyai tujuh puncak. Puncak tertinggi adalah Low’s Peak; 4095.2 m. Puncak lain adalah St. John’s Peak; 4090.7 m, Oyayubi Iwu Peak; 3975.8 m, Ugly Sister Peak, King Edward Peak, Donkey Ears Peak dan Tunku Abdul Rahman Peak.

5. Slot untuk mendaki adalah terhad, biasanya tempahan dibuat seawal 10 bulan sebelum pendakian. Persediaan stamina sangat penting. Berlari, mendaki, latihan naik turun tangga harus dilakukan secara berkala sekurangnya tiga bulan sebelum mendaki.

6. Pakai kasut yang sesuai, bawa ‘windbreaker’, ‘poncho’ dan yang paling penting adalah tongkat dan ‘headlamp’. Tongkat boleh disewa dengan harga RM10 di Kinabalu Park.

7. Biasanya pendakian gunung yang perlu bermalam kita akan galas beg besar, bawa ‘sleeping bag’, ‘carrymat’, ‘ration’ dan makanan. Mendaki Gunung Kinabalu hanya perlu bawa sepersalinan pakaian dan barang- barang lain yang perlu sahaja. Kalau rasa nak naik berlenggang boleh upah ‘porter’ bawa barang dengan kadar bayaran RM13 perkilo untuk naik dan turun.

8. Sepanjang trek sehingga ke puncak ada liputan internet dan telefon.

9. Tidak semua akan berjaya ke puncak atas faktor stamina, kesihatan, kecederaan dan cuaca. Jika hujan di Laban Rata sehingga 3.30 pagi, semua tidak dibenarkan untuk meneruskan pendakian ke puncak atas sebab keselamatan.

10. Hari pertama, pukul 8.00 am, berkumpul di Kinabalu Park untuk pendaftaran, taklimat dan dibekalkan’ lunch pack’. Dari Kinabalu Park dengan menaiki van ke starting point di Timpohan Gate.

11. Pendakian bermula jam 10am. dari Timpohan Gate menuju Laban Rata sejauh 6 km. Banyak pondok tempat berehat disediakan yang dilengkapi dengan kemudahan tandas sepanjang trail. Kebanyakkan laluan adalah bertangga. Pendakian memakan masa selama 4-7 jam bergantung pada stamina.

12. Ketika naik akan berselisih dengan pendaki lain yang dalam perjalanan turun. Pada masa ini mereka akan beri kata – kata semangat walaupon dari pelbagai negara yang berbeza. Kebanyakan mereka dari Eropah, Jepun dan Korea.

13. Trek Gunung Kinabalu kebanyakkan bertangga. Semakin lama tenaga semakin berkurangan, nak melangkah satu anak tangga pun kaki mula terasa berat. Mental dan fizikal perlu kuat, mula rasa nak muntah bila tengok tangga yang tiada berpenghujung.

14. 12.30 pm. Tiba di Layang- Layang Hut, biasa ramai yang berhenti rehat dan makan tengahari dekat sini. Pendakian kami diteruskan. Masa ini hujan mulai turun. Kagum dan rasa bersemangat bila tengok porter mendaki sambil pikul tong gas, batu bata, bahan binaan dan macam- macam lagi barang berat.

15. Tiba di Laban Rata pukul 3.00pm dalam keadaan hujan renyai- renyai. Dah rasa satu kejayaan bila tiba di Laban Rata. Buat pendaftaran untuk masuk bilik. Lemang Hut satu dorm 14 orang. Solat, mandi dan rehat. 5.00pm turun Café untuk makan. Penginapan dan makan sepanjang pendakian sudah termasuk dengan pakej yang dibayar.

16. Balik bilik rehat dan solat. Sempat juga masak air untuk refill balik air dalam botol. Buat persiapan pakaian yang nak dipakai, perlu check ‘headlamp’ agar berfungsi dengan baik untuk esok hari. Masa ini hanya berharap cuaca baik dan tidak hujan pada esok hari agar dibenarkan meneruskan ke puncak. Pukul 9.00 semua dah tidur kerana kepenatan.

17. Bangun pukul 2.00 am. Alhamdulillah, tidak hujan. Basuh muka, gosok gigi dan ambil wuduk siap-siap. Jaga wuduk agar tak terbatal , waktu subuh sekitar jam 5. Kalau tak kena ambil wuduk di Sayat- Sayat, tapi kena tahan dengan kesejukan yang amat.

18. Ke café untuk makan buat alas perut. Taklimat ringkas diberikan oleh guide sebelum teruskan pendakian. Pendakian masih diteruskan dengan melangkah tangga demi tangga. Perlu lebih berhati- hati dalam keadaan yang gelap dan dengan trek yang licin. Semakin tinggi ,persekitaran semakin sejuk dan udara semakin menipis. Ada yang akan mengalami Simptom Accute Mountain Sickness (AMS) iaitu sukar bernafas dan sakit kepala.

19. Dari Laban Rata ke puncak 3km. Lapor diri di pondok Sayat-Sayat sebelum 5.00 am. Tiba selepas 5.00 am tidak dibenarkan terus pendakian. Rehat sekejap minum air di Sayat- sayat, air yang refill tadi rasa karat, tak boleh nak minum. Nasib baik di Sayat- Sayat ada punca air.

20. Masa ini gerak sekali 3 orang. Boleh pula member yang dua lagi ini langsung tak bawa air. Perjalanan 6 jam naik dan turun berbekalkan 500ml air dan perlu berkongsi tiga. Betul – betul melenggang mereka ini. Nasib baik persekitaran sejuk tak rasa dahaga sangat.

21. Trek selepas itu berbatu, ada kawasan curam dan licin yang perlu perlu berpegang pada tali. Dalam kegelapan kaki mengatur langkah mengikut tali agar tidak tersasar dari laluan ke puncak. Masa ini dah boleh cari tempat yang sesuai untuk solat Subuh. Seusai salam, persekitaran semakin cerah, mata dihadiahkan dengan permandangan indah yang menakjubkan.

22. Pendakian diteruskan. Makin lama hayunan kaki makin perlahan. Ada yang mula merangkak untuk sampai ke puncak. Pukul 6.00 am sampai ke puncak tertinggi Gunung Kinabalu; Low’s Peak. Ambil gambar dan terus turun. Elakkan ambil masa terlalu lama kat puncak, kawasan sempit dan curam, bagi peluang kepada pendaki lain untuk bergambar dan jejakkan kaki di puncak. Pukul 7 pagi mesti sampai ke puncak, kalau tak kena patah balik.

23. Masa naik ke puncak persekitaran gelap, bila turun baru dapat lihat keindahan landskap dan permandangan di Gunung Kinabalu. Masa ini boleh ambil peluang untuk ambil gambar, elakkan ambil masa terlalu lama. Perlu sampai ke Laban Rata balik sebelum pukul 10 am. Kalau lewat dikenakan denda RM100 untuk setiap jam.

24. Sarapan di Laban Rata, kemudian kemas barang dan bersedia untuk turun lagi 6 kilometer ke Timpohan Gate. Jumlah perjalanan pada hari kedua 3 km naik dan 9 km turun. Alhamdulillah, sampai di bawah pada pukul 3.00 pm. Mesti sampai Timpohan Gate sebelum pukul 4.00 petang. Kalau tak, perlu bayar denda RM15 sejam bagi setiap guide.

25. Semoga perkongsian saya ini dapat memberi gambaran dan persediaan kepada rakan-rakan yang belum kesini yang bercadang untuk untuk menakluk puncak Gunung Kinabalu. Boleh tambah tips dan kongsi pengalaman bagi mereka yang pernah mendaki Gunung Kinabalu.

26. Kadang- kadang, perlu lakukan aktiviti luar dari rutin harian kita. Keluar bermesra dengan alam, nikmati kehijauan hutan, langit yang membiru, hirup udara hutan dan gunung yang nyaman dan mampu hilangkan tekanan. Aktiviti yang mengeluarkan keringat memberi kesan refleks kepada tubuh menjadikan diri menjadi sihat aktif dan bertenaga. membuatkan kita lebih menghargai kehidupan dan rasa lebih bahagia.

27. Mendaki bukan soal untuk menakluki sebuah gunung, namun ianya tentang menakluki ego, kemampuan dan melawan emosi dalam diri sendiri. Ketika berada diluar zon selesa, kita akan lebih mensyukuri mengenai kehidupan dan lebih menghargai orang disekeliling kita.

28. Aktiviti sebegini bukan untuk bersuka-ria semata. Juga mengambil manfaat dari perjalanan dengan menyaksikan tanda kebesaran Sang Pencipta.

29. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.
Surat Al-Baqarah [2:164]

30. Pendaki yang berjaya menawan puncak gunung Kinabalu akan diberi sijil yang bewarna. Manakala pendaki yang belum berjaya akan diberi sijil hitam putih. Boleh cuba lagi dilain masa. Tak kan lari gunung dikejar.

*Dengan coretan penuh terperinci ini, anda boleh merujuk terus dari artikel ini dan hubungi orang yang disebut di atas bagi memudahkan urusan pendakian. Semoga trip mendaki anda selamat pergi dan pulang.

Penulis: Siti Khadijah

Merupakan pelajar dan kini menetap di Kuantan.Merupakan penulis separuh masa di Ammboi.com

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.