FAM nafi dakwaan masih berhutang dengan KAFA! Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini ingin menafikan dakwaan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa bahawa Persatuan ini masih berhutang hampir RM2 juta dengan KAFA, seperti yang disiarkan dalam media beberapa hari lalu.

Pertamanya, ingin dijelaskan bahawa Persatuan ini pada 30 Disember 2016 sudah pun mengkreditkan semua hadiah wang kemenangan Liga Super dan Liga Premier untuk musim 2016 kepada pasukan-pasukan yang berkenaan dengan jumlah keseluruhan RM2.025 juta.

Keduanya, istilah geran tahunan kepada setiap pasukan sudah tidak diguna pakai lagi bermula dari musim 2016 apabila Liga Malaysia telah pun diswastakan.

Pasukan-pasukan telah diberi hak sebagai rakan kongsi liga dan mendapat sejumlah peratusan daripada pendapatan hak-hak penyiaran dan komersial iaitu sebanyak 40 peratus yang dinyatakan di sini sebagai agihan hak-hak penyiaran dan komersial di atas penyertaan dalam liga.

Bagi musim 2016, sekitar RM41 juta telah diterima daripada hak-hak siaran serta komersial dan 40 peratus daripadanya perlu diberikan kepada pasukan-pasukan iaitu sekitar RM16.4 juta.

Namun semua pasukan sudah pun diberikan sejumlah RM18 juta iaitu RM1 juta bagi setiap pasukan Liga Super (12 pasukan) dan RM500,000 bagi setiap pasukan Liga Premier (12 pasukan) serta tambahan RM2.025 juta untuk hadiah kemenangan.

Memandangkan jumlah peruntukan agihan hak-hak penyiaran dan komersial untuk pasukan-pasukan hanyalah sebanyak RM16.4 juta sedangkan jumlah sebenar yang telah diberikan kepada mereka adalah sebanyak RM20.025 juta, maka Persatuan ini telah mendahulukan pembayaran sebanyak RM3.625 juta kepada pasukan-pasukan bagi pihak Football Malaysia LLP (FMLLP).

Bagaimanapun pemberian agihan tambahan hak-hak penyiaran dan komersial berdasarkan merit mengikut kedudukan dalam liga seperti diamalkan sebelum ini (sehingga musim 2014) tidak dapat diteruskan memandangkan jumlah perolehan daripada hak-hak siaran serta komersial hanya mencecah RM41 juta, bukannya RM70 juta seperti yang disasarkan.

Pemberian agihan tambahan hak-hak penyiaran dan komersial berdasarkan merit ini boleh dilaksanakan semula pada masa akan datang jika jumlah RM70 juta itu berjaya diperolehi.

Untuk pengetahuan, agihan hak-hak penyiaran dan komersial kepada pasukan-pasukan Liga Super bermula musim 2016 telah meningkat sebanyak 100 peratus berbanding nilai geran tahunan yang diberikan FAM sebelum ini iaitu dari jumlah RM500,000 ke RM1 juta manakala kenaikan kira-kira 67 peratus dari RM300,000 ke RM500,000 bagi pasukan Liga Premier.

Bagi agihan hak-hak penyiaran dan komersial kepada pasukan-pasukan bertanding untuk musim 2017, Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat sebelum ini telah bersetuju supaya 50 peratus pertama (RM500,000 bagi pasukan Liga Super dan RM250,000 bagi pasukan Liga Premier) akan dibayar pada bulan Januari 2017 manakala baki 50 peratus lagi akan diselesaikan ketika saingan liga berlangsung.

Ketiganya, berhubung wang perolehan daripada siaran langsung perlawanan Liga Super dan Liga Premier di televisyen kepada pasukan tuan rumah dan pasukan pelawat, amalan berkenaan sudah pun dihentikan bermula musim 2015 selepas berakhirnya penajaan daripada Astro, seperti yang telah sedia maklum oleh semua pasukan bertanding.

Sehubungan itu, Persatuan telah membuat semakan mengenai perkara ini dan untuk pengetahuan semua, KAFA sebenarnya yang berhutang dengan FAM dan FMLLP iaitu dengan jumlah kira-kira RM430,000.

Jumlah hutang KAFA kepada FAM dan FMLLP itu merangkumi gaji tertunggak pemain import Kelantan yang telah diselesaikan Persatuan ini pada tahun 2016 selepas permohonan dibuat sendiri oleh KAFA untuk meminta bantuan FAM mendahulukan wang berkenaan, denda-denda kes tatatertib serta hutang levi tiket yang masih belum dijelaskan KAFA kepada FMLLP.

Berdasarkan semua penjelasan di atas, KAFA hanya akan mendapat kira-kira RM70,000 daripada RM500,000 bayaran pendahuluan pertama agihan hak-hak penyiaran dan komersial yang sepatutnya diterima setelah ditolak hutang dengan FAM dan FMLLP sebanyak RM430,000.

Justeru Persatuan menganggap dakwaan tanpa asas seumpama ini tidak sepatutnya berlaku.

DATO’ HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN

SETIAUSAHA AGUNG FAM

KHAMIS, 12 JANUARI 2017


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.