Setiap hari ada sahaja laporan berita mengenai kemalangan jalan raya. Tidak mengejutkan sekiranya Malaysia adalah antara negara yang mencatatkan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya tertinggi di dunia pada tahun 2015.

Sudah tentu apa yang berlaku amat membimbangkan. Apatah lagi kebanyakkan kemalangan jalan raya di negara kita ini melibatkan golongan muda. Kajian oleh Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan 60 peratus kes kematian yang dicatatkan setiap tahun adalah melibatkan golongan muda.

Menurut ‘Laporan Statistik Kemalangan Jalan Raya 2015’ (sumber) yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pula, sebanyak 489,696 kemalangan jalan raya telah dilaporkan. Sebanyak 6,706 kematian telah dicatatkan dengan purata 18 orang maut dalam sehari. Ia melibatkan kecederaan dan kematian yang disebabkan faktor kecuaian manusia. Individu yang berumur di antara 16 hingga 20 tahun mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 934 kes, diikuti dengan umur antara 21 hingga 25 tahun (828 kes), 26 hingga 30 tahun (641), 31 hingga 35 tahun (579) dan selebihnya berusia 36 tahun ke atas.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa bagi menurunkan statistik kemalangan jalan raya. Namun begitu masih ramai yang tidak mengambil berat peraturan dan undang-undang ketika memandu. Pemanduan secara melulu, sikap yang tidak elok ketika menggunakan jalan raya juga antara punca yang menyebabkan kemalangan. Gejala ‘mat rempit’ juga menjadi punca meningkatnya kadar kemalangan jalan raya. Mereka mengabaikan keselamatan diri dan orang lain demi keseronokan sementara yang mereka inginkan. Jika nyawa tidak melayang, saman dan tahanan lokap seolah-olah sudah lali kepada golongan ini.

Disebabkan itu, liberalisasi insurans/takaful motor telah diperkenalkan untuk menggalakkan tabiat pemanduan yang selamat dan memberi keadilan kepada pemandu yang mempunyai rekod yang baik.

Menerusi liberalisasi insurans/takaful, jika anda seorang pengguna jalan raya yang baik, tidak pernah kemalangan, tidak membahayakan pengguna lain, maka adalah satu kerugian sekiranya anda membayar premium yang sama dengan pengguna yang berisiko tinggi menggunakan kadar tarif iaitu kadar lama yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Pemandu yang mempunyai rekod yang baik serta risiko kemalangan yang rendah berpeluang menikmati premium insurans/takaful yang lebih rendah.

Namun begitu, sebagai pengguna yang bijak kita tidak boleh hanya memilih berdasarkan harga semata. Kita perlu membuat perbandingan dan memilih perlindungan insurans/takaful yang dapat memenuhi keperluan pada harga yang tepat.

Semoga dengan pelaksanaan kaedah baru ini ia dapat melahirkan pemandu lebih berhemah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Seterusnya statistik kemalangan jalan raya dan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya juga dapat dikurangkan!

Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.