Kematangan serta komitmen pemain skuad Harimau Muda benar-benar ditagih pengendalinya, Ong Kim Swee menjelang pertemuan menentang Woodlands Wellington pada aksi Liga Singapura (Liga S) di Stadium Yishun, malam ini. Menurutnya, aksi gugup pemain muda negara ketika menyaksikan rekod tanpa kalah mereka lebur di tangan Home United minggu lepas wajar diatasi segera.

Kim Swee juga percaya kekalahan itu bakal mencabar pemainnya supaya kembali bangkit memburu kemenangan ketika menentang Wellington kelak sekiranya berhasrat menamatkan saingan di tempat kelima Liga S musim ini. Meskipun Wellington sekadar menghuni tangga bawahan liga dengan lapan mata, Kim Swee enggan pemainnya bersikap sambil lewa sehingga keciciran tiga mata berharga.

“Dalam perlawanan menentang Home United tempoh hari, barisan pertahanan skuad saya dilihat mudah hilang konsentrasi setiap kali diasak penyerang lawan. Justeru, saya harap pemain akan bertambah matang ketika berdepan Wellington nanti,” kata Kim Swee.

Harimau Muda yang telah mencatat empat kemenangan dan dua seri sebelum ini kini tergelincir di tangga kelima liga dengan 14 mata, tiga mata di belakang peneraju liga, Brunei DPMM. Selepas aksi menentang Wellington, skuad muda negara bakal berdepan cabaran pasukan di tangga ketiga, Alestier Khalsa minggu depan.

Mengulas lanjut Kim Swee menjelaskan bahawa beliau percaya gandingan benteng pertahanannya yang diterajui Affizie Faizal Mamat, Shahrul Saad, Mohamad Amer Saidin dan Mohd. Fadhli Shas tidak akan mengulangi kesilapan seperti mana ketika menentang Home United sebelum ini. Beliau juga tidak menolak kemungkinan melakukan sedikit rombakan bagi memberi peluang beraksi kepada pemain yang jarang diturunkan sebelum ini.


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.