Fuh, nampaknya pelakon, pelawak, pengacara dan penyampai radio Johan Raja Lawak atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Lim Mohamad Aziz berjaya memenangi saman RM1 juta ke atas Juara Film Production Sdn. Bhd. dan pengarah, Mohd. Javed Mohd. Nizar.

Memetik sumber berita, keputusan itu telah diumumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Su Geok Yiam dan Johan memenangi saman tersebut atas dakwaan mencederakan aktor tersebut di kepala.

johan raja lawak menang saman rm1 juta

Hakim bagaimanapun menetapkan 23 Januari depan bagi menentukan jumlah ganti rugi yang harus dibayar oleh pihak defendan selepas plaintif menuntut RM1 juta dalam saman berkenaan sebelum ini. Dalam pada itu mahkamah turut mengarahkan defendan untuk mengeluarkan kenyataan maaf terhadap plaintif secara terbuka menerusi media cetak dan elektronik. Bagaimanapun permohonan defendan membuat tuntutan balas terhadap Johan dengan menuntut wang RM2 juta dibatalkan.

johan cedera dibaling gelas kaca

Pada perbicaraan kes tersebut berlangsung, Johan hanya diwakili peguam Zahrin Ishak dan pembantu peguam berkenaan, Suhaimi Saad. Manakala pihak defendan pula diwakili peguam Baljit Singh.

Pada Jun 2010, Johan membuat tuntutan saman terhadap pengarah Mohd Javed menerusi syarikat produksi Juara Filem Productions Sdn Bhd agar membayar RM1 juta sebagai ganti rugi berikutan kes dibaling gelas sehingga menyebabkan kecederaan di dahi pada Mei 2010. Dia menerima lima jahitan akibat luka pada dahinya itu. Selain menuntut ganti rugi RM1 juta, Mohd Javed dalam tuntutan berkenaan turut dituntut agar meminta maaf secara terbuka dan menarik balik surat dan e-mel yang diedarkan kepada persatuan-persatuan seni dan media bagi menjelaskan keadaan tersebut. Johan turut menuntut ganti rugi khusus sampingan dan bertambah iaitu jika dia membuat pembedahan plastik. Johan bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah berkenaan.

Untuk info lanjut mengenai kes yang berlaku antara Johan dan pengarah Mohd Javed anda boleh baca laporan penuh Berita Harian (20/06/2010) dibawah:

Akhirnya insiden ‘gelas terbang’ Johan Raja Lawak atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Lim Mohamad Aziz, 26, bakal berlanjutan di mahkamah apabila dia mengambil tindakan membuat tuntutan ganti rugi RM1 juta ke atas pengarah drama, Mohd Javed Nizar dan syarikat produksi, Juara Filem Production Sdn Bhd. Kejadian berdarah itu berlaku di sebuah restoran di Taman Sri Pulai 2, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan pada 11 Mei lalu, kira-kira jam 6 petang.

Johan yang diwakili peguamnya, Zahrin Ishak dari Zahrin Emrad & Sujaihah membuat tuntutan berupa ganti rugi am, ganti rugi khas untuk perbelanjaan perubatan dan segala perbelanjaan sampingan, ganti rugi bertambah, pengeluaran suatu kenyataan maaf menerusi akhbar dan TV, penarikan balik semua surat dan e-mel fitnah kepada semua persatuan industri yang terbabit dan mana-mana pegawai bahagian berkuasa dan sejumlah RM200 untuk kos pengeluaran notis peguam. Surat tuntutan dihantar kepada Javed dan Juara Filem Production pada 10 Jun lalu.

Mereka diberi tempoh tujuh hari untuk menjawab tuntutan berkenaan dan jika gagal berbuat demikian, surat saman akan dikeluarkan.

Terdahulu, Johan mendakwa dia difahamkan tujuan pertemuan di restoran berkenaan adalah untuk perbincangan soal skrip drama, Bisikan Arwah yang sedang dalam penggambaran, namun bertukar kepada perbalahan sehingga mendatangkan kecederaan kepada Johan, manakala isterinya, Ozlynn Wati Ismail atau Ozlynn yang mempertahankan suaminya daripada terus menjadi mangsa pukul, turut ditendang di beberapa bahagian badan!

Penggambaran Bisikan Arwah dijadualkan bermula 7 Mei hingga 31 Mei lalu untuk siaran Astro Prima.

Akibat balingan gelas yang tepat mengenai dahi Johan, mukanya berlumuran darah dan dia membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2 kira-kira jam 7.58 malam pada hari kejadian. Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. Johan seterusnya menerima rawatan dan beberapa jahitan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Selepas sebulan kejadian berkenaan, Johan yang selama ini keberatan berterus terang dengan rakan wartawan, akhirnya bersedia menceritakan apa saja ingin diketahui pihak media massa menerusi sidang akhbar yang diatur Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) pada 11 Jun lalu di Taman Melawati, Selangor.

Ketika ditemui Johan yang ditemani Ozlynn, dia bertekad tidak akan menarik semula keputusan membawa kes berkenaan ke mahkamah sekiranya segala tuntutannya gagal dipenuhi.

“Orang ramai pasti tertanya-tanya, mengapa saya berdiam diri selama sebulan. Namun, dalam tempoh berkenaan, saya menunggu kesan luka di dahi saya pulih sepenuhnya. Hari ini saya bersemangat bertemu pihak wartawan bersama bukti bergambar kecederaan tempoh hari atas nasihat SENIMAN dan peguam saya. Saya sedia menceritakan apa yang wartawan ingin tahu seperti dijanjikan sebelum ini,” kata Johan.

Sehari sebelum kejadian 11 Mei, ibu Johan, Salwa Mat Dani, 55, meninggal dunia di Ampang, Selangor akibat ketumbuhan dalam kepala. Justeru, apa rentetan yang berlaku sebelum kejadian ‘gelas terbang’ berkenaan?

Ziarah jenazah ibu

“Pada 10 Mei lalu kira-kira jam 7.30 malam, saya dapat panggilan telefon memaklumkan ibu saya sudah meninggal dunia. Saya minta habiskan dulu babak pada malam itu sebelum saya pulang ke Kuala Lumpur. Namun, Javed buat keputusan menamatkan penggambaran pada malam itu dan sambung semula keesokan hari.

“Alhamdulillah, saya sempat menyempurnakan jenazah arwah ibu dan semalaman saya tidak berpeluang melelapkan mata. Javed memaklumkan kepada saya, apabila saya dalam perjalanan ke Seremban keesokan hari, telefon dia, namun panggilan yang dibuat tiada jawapan. Saya dan Ozlynn dah sampai ke lokasi, babak malam yang dibuat di sebuah rumah. Tapi, tak ada siapa pun di situ.

“Sementara menunggu kru lain yang masih on-call, saya dan isteri tidur dulu dalam kereta, maklum sajalah kepenatan, semalaman tak tidur. Namun, anak pemilik rumah berkenaan, ketuk cermin kereta dan meminta kami supaya tidur saja dalam rumah mereka. Akhirnya seorang kru mengejutkan kami, memaklumkan pengarah nak jumpa bincang pasal skrip.

“Namun, saya dan Ozlynn tertidur semula dan sekali lagi kru berkenaan mengejutkan kami 30 minit kemudian, memaklumkan pengarah dah tunggu lama. Saya yang dalam keadaan ‘mamai’ terus ke restoran yang terletak tidak jauh dari rumah berkenaan. Saya terus duduk depan Javed. Namun, saya diarahkan bertukar tempat secara kasar.

‘Dua tumbukan ke muka saya’

“Seorang kru yang mendakwa dirinya Pengurus Produksi mengetuk tangan saya, dia terus tanya ‘kau nak lama ke sekejap dalam industri ni?’ Tak ada langsung bincang pasal skrip. Jawapan saya, ‘apa hal ni?’ Dia tanya lagi, ‘aku tanya, jawablah…’ saya pun balas ‘apa pasal?’ Ketika itulah Javed memaki hamun saya, dia ambil gelas dah terus baling ke muka saya!

Namun, menerusi laporan Harian Metro terbitan 26 Mei lalu, Javed mendakwa kecederaan di muka Johan bukan disebabkan terkena balingan gelas sebaliknya serpihan kaca yang terpelanting akibat dihempas pengarah berkenaan yang berang dengan sikap pelawak dan pengacara itu.

“Kalau sekadar terkena serpihan kaca yang terpelanting, takkan dalam lukanya… Saya bertemu wartawan hari ini lengkap bersama bukti bergambar. Luka ini bukan disebabkan serpihan kaca. Javed membaling gelas tepat mengenai muka saya. Ketika itu darah dah memancut keluar. Dalam masa sama, Ozlynn menekup luka di dahi saya. Javed pula dah baling meja, manakala Ozlynn cuba menghalang diri saya daripada terus dikasari.

“Ketika itulah isteri saya ditendang! Saya cuba mempertahankannya, manakala dua tumbukan pula singgah di muka saya. Kami akhirnya sempat menyelamatkan diri dengan bantuan orang ramai,” kata Johan menceritakan kedudukan perkara sebenar.

Nafi cium isteri di set

Berdasarkan e-mel yang dikirim Javed kepada wakil SENIMAN, selain mendakwa Johan tidak berdisiplin gara-gara kelewatan yang melampau sehingga mengganggu penggambaran, dia juga menyelar sikap pelawak berkenaan kerana tidak ada kesedaran sivik apabila tidak menghormati persekitaran lokasi dengan aksi berpelukan dan bercium dengan isterinya di set penggambaran iaitu di rumah orang Islam!

“Memang isteri memeluk saya apabila saya menerima perkhabaran ibu sudah meninggal dunia. Tapi, saya tak nafikan, saya sering memeluk dan mencium isteri saya, namun bukannya di set penggambaran.

“Apa yang didakwanya tidak pernah berlaku di lokasi! Mengenai dakwaan saya lewat melampau, ingin saya jelaskan, saya baru saja memulakan penggambaran bersama produksi berkenaan selama dua hari.

Hari pertama, babak malam, saya sampai 7.30 malam, hari belum gelap. Hari kedua, saya tiba pagi, set tak siap lagi. Saya pula bukan untuk babak pertama, dia perlu buat penggambaran babak orang lain dulu. Justeru, bagaimana pula Javed mendakwa saya lewat?,” soal Johan kembali.

Pada masa sama, Johan turut menafikan segala isi kandungan e-mel dikirim Javed kepada wakil SENIMAN yang mendakwanya dengan pelbagai tuduhan.

p/s: Banyak tu kalau dapat RM1 juta…


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.