Tidak dinafikan Ahmad Nabil Ahmad, 31, merupakan salah seorang pelawak yang popular di Malaysia. Kehebatan beliau yang lebih mesra disapa Nabil paling terserlah sewaktu menyertai pertandingan Raja Lawak musim kedua enam tahun lalu begitu mendapat perhatian ramai. Saban minggu, lawak yang dipersembahkan oleh anak kelahiran Negeri Sembilan ini tidak pernah gagal menggeletek hati peminat yang menonton.

Selepas berjaya merangkul gelaran juara melalui rancangan tersebut, Nabil kemudiannya muncul menerusi dua lagi pertandingan berbentuk serupa iaitu Maharaja Lawak Mega musim kedua pada tahun 2012 dan ketiga (2013). Malangnya, kualiti persembahan yang diketengahkan oleh Nabil dikatakan semakin menurun dan peminat sudah mulai bosan dengan lawak yang cuba disampaikannya.

nabil ahmad

Kecewa dengan cemuhan dan kritikan yang diterima, ayah kepada Naira Mikayla itu memutuskan untuk tidak menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) jika rancangan tersebut diperbaharui untuk musim baharu kelak.

Menerusi laporan Kosmo! Nabil menjelaskan punca kenapa dia membuat keputusan berkenaan. Nabil juga menjelaskan mengenai rungutan peminat terhadap mutu lawaknya yang semakin menurun. Nabil juga meluahkan kekecewaannya apabila sering dibandingkan dengan peserta lain yang bertanding dalam MLM 2013.

“Saya berasa sedikit terkilan apabila sering mendapat kritikan dan cemuhan daripada penonton. Lebih-lebih lagi kritikan itu datangnya daripada peminat-peminat peserta MLM lain yang tidak putus-putus mengeluarkan kata-kata negatif. Paling teruk apabila saya di‘boo’ ketika mengadakan persembahan pada minggu ke-10 di Johor tempoh hari. Nampak sangat kehadiran saya tidak disenangi oleh peminat di sana.”

“Jika lawak yang saya tampilkan tidak berkualiti, mengapa saya layak sehingga ke minggu final? Saya penat apabila kerap kali dibandingkan dengan peserta lain. Mana tidaknya, mereka bertanding sebagai peserta berkumpulan, sedangkan saya hanyalah peserta solo. Jika khalayak perlu faham idea seorang berbanding tiga atau dua orang peserta, gaya penyampaian tentunya berbeza.”

“Sejujurnya saya sangat sayangkan dunia lawak kerana saya lahir daripada pertandingan Raja Lawak. Jika pihak Astro mengadakan pertandingan yang disertai oleh pelawak solo sahaja, mungkin saya akan pertimbangkan untuk turut bertanding.”

Selain itu, Nabil juga mengulas mengenai isu dia tidak sensitif kerana menjadikan juri MLM 2013 iaitu Luna Maya sebagai subjek lawak anda minggu lalu. Bagaimanapun kata Nabil, dia enggan mengambil tahu kritikan berkenaan dan mahu fokus kepada persembahan akhir MLM 2013.

“Saya sangat kecewa apabila komen-komen negatif itu datangnya daripada rakyat Malaysia sendiri. Saya tidak mengaibkan sesiapa dan apa yang disampaikan itu merupakan perkara yang benar. Saya faham mengenai isu sensitif yang cuba disampaikan oleh peminat kerana saya pernah dikecam akibat melakukan perkara yang hampir sama dahulu. Saya enggan mengambil tahu tentang kritikan yang ditujukan kepada saya. Biarlah apa orang mahu kata. Apa yang penting adalah persembahan yang bakal saya berikan pada persembahan akhir MLM 2013 pada Jumaat ini.”

Jika bersara dari dunia lawak, Nabil memberitahu dia mahu menumpukan perhatian pada bidang pengacaraan. Jelasnya, bidang pengacaraan juga merupakan salah satu daripada cabang seni yang dia minati dan Nabil gembira apabila diberi peluang bergandingan bersama Datuk Aznil Nawawi bagi mengendalikan Anugerah Industri Muzik ke-20 beberapa bulan lalu.

“Bagi saya, tidak salah untuk menumpukan perhatian pada bidang pengacaraan kerana ia merupakan salah satu daripada cabang seni yang saya minati. Sewaktu diberi peluang untuk berkongsi pentas bersama Datuk Aznil Nawawi bagi mengendalikan Anugerah Industri Muzik ke-20 beberapa bulan lalu, saya berasa sungguh gembira. Ia merupakan suatu pencapaian terbaik bagi saya. Untuk beralih arah sepenuhnya, mungkin tidak. Sebab itu saya masih menerima tawaran menyertai rancangan Lawak Ke Derr dan Super Spontan. Sabtu ini saya akan bergandingan bersama Datuk AC Mizal dan Neelofa untuk mengacarakan Anugerah Meletop Era.”


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.