KEDAH VS KELANTAN 20 JANUARI 2012 | PELUANG KELANTAN RAMPAS PENDAHULU LIGA | Kelantan berpeluang menduduki tangga teratas Liga Super apabila berkunjung ke Stadium Darul Aman untuk bertemu pasukan tercorot ketika ini, Kedah pada malam ini. Kelantan ketika ini mempunyai tujuh mata daripada tiga perlawanan sama dengan pendahulu liga, Terengganu T-Team, tetapi dibezakan dengan jaringan gol.

Skuad The Red Warriors berpeluang untuk memintas T-Team seandainya berjaya mengutip tiga mata penuh di Alor Star, memandangkan T-Team akan hanya beraksi pada Sabtu menentang pasukan abang mereka, Terengganu. Selepas tiga perlawanan, Kelantan masih belum tewas dan perlawanan dengan Kedah adalah peluang baik untuk jurulatih The Red Warriors, Peter Butler memantapkan pasukannya.

Juara Liga Super 2011 itu masih pincang di bahagian pertahanan dengan sudah dibolosi tiga kali, sesuatu yang amat meresahkan Butler ketika dia cuba mencari gandingan mantap. Dalam dua daripada tiga perlawanan pertama The Red Warriors, iaitu menentang Singapura dan Johor FC Selasa lalu menyaksikan Kelantan ketinggalan sebelum bangkit merakamkan kemenangan.

Tatkala barisan pertahanan Kelantan agak rapuh, ia diimbangi dengan jentera serangan yang masih berbisa diketuai penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha yang sudah meledakkan dua gol setakat ini. Sementara itu, Kedah yang kehilangan barisan kejurulatihannya termasuk Wan Jamak Wan Hassan yang menjalani penggantungan, kelihatan hilang arah pada permulaan musim ini.

Daripada tiga perlawanan, pasukan Hijau Kuning sekadar meraih tiga mata dan kekalahan kepada T-Team pada Selasa menyaksikan Kedah menduduki tangga ke-13 liga. Jangan lupa menyaksikan perlawanan yang disiarkan secara langsung antara Kedah menentang Kelantan menerusi Astro Arena, saluran 801 pada malam ini, bermula dengan pra-rancangan jam 8 malam.


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.