Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang masuk minggu kedua, dengan pengesahan bahawa penerbangan yang tidak dikenali sebelum ini dikesan radar utama adalah Penerbangan MH370.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu persidangan akhbar di Sepang pada Sabtu bahawa pesawat itu telah melencong dari laluan asalnya menuju Beijing, China, dan terus hilang sejak Sabtu lepas.

MysteryofMH370

Sekalipun laporan media menyatakan pesawat itu telah dirampas, Najib menegaskan bahawa pihak berkuasa masih menyiasat segala kemungkinan tentang apa yang menyebabkan Penerbangan MH370 itu melencong.

Pihak berkuasa dan pasukan penyiasat telah juga mendapat data baru berhubung komunikasi terakhir pesawat itu dengan satelit, dan ini membuka fasa baru operasi mencari, termasuk menamatkan operasi di Laut China Selatan dan mengkaji semula kerahan aset.

Hasil siasatan itu dipersetujui Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), kedua-duanya berpangkalan di AS; Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom; dan pihak berkuasa Malaysia, yang menyiasat berasingan terhadap data yang sama.

Berikutan perkembangan itu, Malaysia dan rakan-rakan antarabangsanya memutuskan bahawa komunikasi terakhir pesawat itu dengan satelit adalah di satu daripada dua koridor yang mungkin – utara atau selatan.

Yang pertama, koridor utara meliputi kawasan kira-kira antara sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga bahagian utara Thailand; atau kedua, koridor selatan meliputi kawasan kira-kira antara Indonesia hingga bahagian selatan Lautan Hindi.

Najib juga mendedahkan menurut data baru, komunikasi terakhir antara pesawat itu dengan satelit ialah pada 8:11 pagi waktu Malaysia 8 Mac, Sabtu.

Berikutan itu juga, pihak berkuasa Malaysia kini memfokus semula siasatan terhadap kru dan penumpang.

Setakat hari ini, 14 negara, 43 kapal dan 58 pesawat terlibat dalam operasi mencari.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menafikan dakwaan media antarabangsa bahawa Malaysia tidak prihatin terhadap keluarga penumpang MH370 dan kerana itu tidak menghantar wakil ke China.

MAS, dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata ia terus komited sepenuhnya memperkongsikan informasi yang sahih dengn anggota keluarga dan orang ramai secara yang cukup terbuka dan telus berhubung kehilangan pesawat berkenaan.

Namun, memandangkan keadaan situasi, MAS berkata pentingnya mengesahkan maklumat baru sebelum disiarkan kepada khalayak ramai amat diutamakan.

Ia berkata prioriti mutlak MAS pada setiap masa ialah membantu pihak berkuasa yang mengetuai operasi pelbagai negara mencari pesawat berkenaan supaya mereka akhirnya dapat memberikan jawapan yang begitu ditunggu-tunggu oleh keluarga berkenaan dan orang ramai.

Andaian Mengenai Sabotaj Dan Rampasan MH370

Pengesahan bahawa seseorang di dalam pesawat MH370 telah sengaja mematikan sistem komunikasi pesawat sebelum ianya berubah arah telah menimbulkan beberapa teori mengenai kemungkinan yang berlaku kepada pesawat.

Laporan berita asing membuat spekulasi mengenai kemungkinan wujudnya beberapa senario termasuk sabotaj dan rampasan dengan sangkaan bahawa pesawat mendarat di beberapa lokasi yang tidak diketahui. Sejak kehilangan pesawat itu, terdapat banyak andaian yang tidak putus-putus daripada pakar penerbangan yang cuba untuk membongkar misterinya.

Andaian awal termasuk peristiwa bencana yang mengejutkan seperti letupan di udara atau kegagalan peralatan besar atau struktur yang menyebabkan pesawat itu terhempas ke laut pada komunikasi terakhirnya.

AFP memetik seorang “pegawai kanan tentera” Malaysia sebagai berkata bahawa MH370 sengaja mengubah arah ke Lautan Hindi oleh seseorang yang mempunyai kepakaran dalam mengendalikan penerbangan dan kedudukan radar.

“Ia perlu memerlukan kecekapan dan kemahiran, dan seorang juruterbang,” kata pegawai itu.

Pegawai itu berkata, hipotesis itu adalah berdasarkan data yang masih tidak didedahkan dari radar tentera yang sentiasa menandakan perjalanan pesawat selepas ia hilang dari skrin kawalan trafik udara.

AP memetik beberapa pakar penerbangan yang menyokong andaian itu bahawa juruterbang atau orang lain yang mempunyai pengalaman dalam penerbangan sengaja menyimpangkan pesawat daripada laluan sebagai satu tindakan sabotaj.

“Mereka mendapati sukar untuk mempercayai bahawa pesawat moden seperti 777 akan mengalami kegagalan elektronik yang mengakibatkan pesawat tidak dapat berkomunikasi, namun terus dapat diterbangkan,” lapornya.

Walaupun tindakan keganasan turut dinamakan sebagai satu lagi kemungkinan, kebanyakan pakar mempersoalkan mengapa mereka yang bertanggungjawab tidak menyasarkan sebuah bandar atau pangkalan tentera.

The New York Times berkata, rampasan merupakan sebab kemungkinan kehilangan pesawat dan memetik seorang pegawai Malaysia lain yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa pesawat itu direkodkan telah terbang sehingga ke 45,000 kaki sejurus sebelum turun ke paras 23,000 kaki.

Reuters pula memetik seorang pegawai AS yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa kemungkinan bahawa pesawat itu sengaja dialihkan dan ia mungkin telah mendarat di satu tempat.

Sumber: Astro Awani dan mStar Online


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.