Kepulangan Datuk Lee Chong Wei Disambut Sebagai Wira | Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, yang meraih pingat perak pada Sukan Olimpik London 2012, diberi sambutan wira oleh lebih 1,000 peminat yang mengibarkan bendera dan melaungkan kata-kata sokongan setibanya di tanah air, hari ini.

Ruang balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipenuhi peminat dan penyokong yang tiba seawal jam 6 pagi dengan membawa sepanduk dan poster antaranya tertera ‘LCW – National Hero’ dan ‘We Love You LCW’. Semasa menantikan ketibaan Chong Wei, mereka turut menyanyikan beberapa lagu patriotik seperti ‘Negaraku’ dan ‘Barisan Kita’ secara beramai-ramai.

Suasana di balai ketibaan itu riuh apabila berita pesawat Malaysia Airlines MH02 yang membawa Chong Wei dari London dilapor mendarat pada kira-kira jam 7.30 pagi, dengan peminat mula melaungkan nama beliau berulang kali. Sebaik saja Chong Wei melangkah ke balai ketibaan sejam kemudian, peminat dan penyokong melaungkan slogan ‘Malaysia Boleh’ dan menyanyikan lagu ‘Negaraku’ dan ‘Barisan Kita’ serta melaungkan nama pemain badminton negara itu. Chong Wei turut bertemu dengan kumpulan media di balai ketibaan sambil mengalungkan pingat perak Olimpik yang dimenanginya untuk sesi bergambar media disambut sorakan gembira peminat.

Pada perlawanan akhir perseorangan lelaki Sukan Olimpik 2012, Chong Wei kecundang 21-15, 10-21, 19-21 kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China. Meskipun gagal dalam misi membawa pulang emas pertama negara di temasya Olimpik London namun rakyat Malaysia rata-ratanya tidak menyalahkan atlit itu atas kekalahannya sebaliknya menganggap beliau sudah melakukan yang terbaik.

“Saya ucap terima kasih kepada penyokong yang ada di sini hari ini. Saya memang terkejut dan tidak sangka ada penyokong yang tunggu di sini (KLIA). Mungkin lebih ramai pada 2008 (Sukan Olimpik Beijing), memang kecewa sebab sedikit lagi untuk dapat pingat emas. Apapun saya sudah buat yang terbaik dengan dua minggu saja persediaan untuk ke Olimpik kali ini,” kata Chong Wei. (Sumber)

Penulis: ammboi

Avatar

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.