Keputusan Penuh Malaysia vs Arsenal 24 Julai 2012 | Perlawanan persahabatan antarabangsa, Malaysia lawan Arsenal sememangnya cukup menghiburkan. Apatah lagi Malaysia hampir-hampir mencipta kejutan untuk mengalahkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu namun ianya tidak kesampaian. Gol minit-minit akhir perlawanan menyaksikan kebangkitan Arsenal daripada ketinggalan untuk menumpaskan Malaysia 2-1 pada perlawanan persahabatan sengit di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan itu adalah yang kedua bagi kelab berkenaan yang juga dikenali sebagai ‘The Gunners’ selepas mengalahkan skuad kebangsaan 4-0 di venue yang sama semasa Jelajah Asia pasukan itu tahun lepas. Pasukan negara yang diberi jolokan ‘Harimau Malaya’ terlebih dahulu mencemaskan The Gunners menerusi tendangan voli Mohd Safee Sali seawal minit kelima namun percubaannya berjaya ditangkap kemas penjaga gol Arsenal, Vitor Mannone.

Marouane Chamakh pula hampir membuka jaringan buat kelab Inggeris itu pada minit kelapan tetapi percubaannya berjaya ditolak keluar penjaga gol negara, Mohd Farizal Marlias. Anak buah Datuk K. Rajagobal berjaya memecah kebuntuan pada masa kecederaan di separuh masa pertama apabila pemain pertahanan Mohd Azmi Muslim merembat kencang dari jarak 25 meter untuk menewaskan Mannone.

Buntu untuk mencari gol penyamaan, jurulatih Arsenal, Arsene Wenger membuat rombakan kepada pasukannya pada separuh masa kedua namun benteng pertahanan negara yang diketuai Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak dan S. Subramaniam berjaya mengekang asakan pasukan lawan.

Pemain yang baharu menandatangani kontrak dengan The Gunners dari Jerman, Thomas Eisfeld berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-87 akibat kelalaian benteng pertahanan negara. Pemain muda, Chuks Aneke muncul wira dengan gol kemenangan Arsenal selepas rembatannya terkena pemain pertahanan Malaysia untuk Farizal tewas buat kali kedua pada minit-minit terakhir permainan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah menyampaikan piala dan pingat kepada kedua-dua pasukan berkenaan. Arsenal akan mengakhiri Jelajah Asia mereka menentang pasukan Kitchee FC dari Hong Kong di Stadium Hong Kong pada Ahad ini.


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.