Kieran Hot FM Nafi Bercerai | Penyampai radio Hot FM, Kieran, atau nama sebenar Maskiran Jakiran, 34, menafikan sudah menceraikan isterinya, Yang Azliyang Mohd Yunus, 31, sebaliknya mengakui hanya tidak tinggal sebumbung sejak tiga bulan lalu bagi mencari penyelesaian. Katanya, gosip perceraian seperti dilaporkan beberapa media sememangnya tidak pernah berlaku membuatkan sedikit sebanyak kisah yang digembar-gemburkan itu mengganggu emosi mereka.

“Hingga saat ini kami masih suami-isteri kerana saya belum melafazkan apa-apa. Mungkin orang salah sangka dengan kunjungan kami ke Mahkamah Syariah Shah Alam pada 31 Julai lalu. Jujur saya akui, dalam keadaan fikiran kusut kami mahu memfailkan permohonan, tetapi di atas nasihat Hakim yang meminta kami bertenang dulu, hasrat itu dibatalkan apatah lagi ketika itu hanya beberapa hari saja kita akan menyambut Syawal.

“Mujur isteri memahami yang berita perceraian ini sekadar tanggapan sesetengah pihak dan kami sebenarnya sedang dalam proses mencari jalan penyelesaian, malah saya sendiri seboleh-bolehnya tidak mahu perkara ini (cerai) berlaku,” kata bapa kepada Muhammad Adam, 3, dan Muhammad Iman, 2.

Tiada dendam

Dedah pengacara Kaki Bola itu, majikan sendiri tidak mengetahui masalah rumah tangganya hingga dia meminta cuti dua hari untuk ke mahkamah yang kebetulan serentak dengan majlis buka puasa Hot FM. Walau kesal dengan kisah tidak benar yang dihebahkan, Kieran tidak berdendam, sebaliknya berharap orang ramai mendoakan perkahwinannya dengan Yang Azliyang yang sudah memasuki tahun keempat terus utuh.

Tambahnya lagi, sudah pasti kasih sayang terhadap isteri masih membara, membuatkannya berusaha memperbaiki keadaan. Namun andai ditakdirkan jodoh mereka tidak panjang, dia reda dengan ketentuan Tuhan. Cuma paling penting kini ialah kebajikan buah cinta mereka, apatah lagi sebagai insan yang pernah melalui kehidupan dibesarkan ibu tunggal, dia enggan mereka juga berdepan situasi sama.

Tak elok dedah punca

“Ibu bapa saya berpisah ketika saya masih kecil. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu anak kami pula melalui pengalaman sama. Siapa pun dalam dunia ini tidak inginkan perpisahan dan mengimpikan kebahagiaan berkeluarga, tidak terkecuali saya.

“Apa pun syukur walau tidak sebumbung, kami masih kerap berjumpa dan makan bersama. Malah baru minggu lalu, saya,isteri dan anak-anak keluar ke restoran kegemaran kami membincangkan sambutan ulang tahun kedua anak bongsu kami pada 18 September ini. Namun jika ditanya punca permasalahan yang melanda rumah tangga kami,biarlah ia hanya antara saya dan isteri kerana kurang manis untuk didedahkan kepada umum,” katanya.

Penulis: ammboi

Avatar

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.