Bukan senang nak senang. Bukan semua orang boleh jadi senang. Kalau tanpa usaha dan dengan izin Nya, memang tak akan senang sampai bila-bila. Begitu juga dengan Jep Sepahtu. Ramai yang anggap Jep sudah lupa diri, mula hidung tinggi dan sebagainya. Namun kata Jep dalam satu kenyataan, dia masih seperti dulu.

Menerusi sumber internet, ammboi terjumpa kisah mengenai Jep yang pernah disiarkan dalam akhbar Kosmo!. Sebenarnya banyak blog dan media sosial yang sudah menyiarkan kisah Jep ini namun ammboi rasa  berminat untuk menyiarkannya juga sebagai perkongsian bersama.

kisah benar jep sepahtu

Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin menceritakan keperitan hidupnya sebelum begelar pelawak satu ketika dahulu. Menurut Jep, dia dan dua teman serumahnya yang juga merangkap anggota bersekutu kumpulan Sepah terpaksa mengikat perut demi menyara kehidupan pada awal waktu menjadi artis. Segenggam duit syiling pernah menjadi bantuan saat akhir Jep ketika kelaparan sewaktu mula-mula melangkah masuk ke dalam arena seni lima tahun lalu. Lawak hambar bersama dua anggota kumpulan Sepah ketika itu iaitu Shuib dan Mamat pula penawar paling mujarab mengubat rasa putus asa bergelar penghibur.

“Saya pernah hampir berputus asa, hati ini mahu saja pulang semula ke kampung di Kulai, Johor. Bagaimanapun, saya bangkit dan membulatkan tekad serta yakin bahawa Allah sentiasa ada bersama dan tiada perkara yang mustahil dilakukan dalam hidup.”

“Ketika mula-mula bergelar artis kami tiada mentor untuk membuat rujukan atau meminta pertolongan. Sejujurnya kami terumbang-ambing dan pernah suatu ketika kami bertiga mengumpulkan saki-baki duit syiling yang ada untuk membeli nasi selepas seharian berlapar. Alhamdulillah, proses itu perlahan-lahan mendidik saya dan saya selesa dengan kedudukan sekarang. Saya tidak perlu terbang terlalu tinggi kerana takut terlupa cara mahu turun.”

Tambah Jep lagi, realitinya, permulaan Jep sebagai pelawak bertitik-tolak daripada rasa tercabar dengan teman-teman sekerja ketika bertugas sebagai krew di bahagian bagasi penerbangan tambang murah ketika awal usia 25 tahun.

“Takdir mungkin mengubah angin hidup saya. Saya tidak pernah terfikir atau memilih kerjaya sebagai pelawak, tapi jalan hidup saya berlaku secara kebetulan. Saya mahu jadi pemain bola sepak sebenarnya selepas tamat sekolah, tapi apabila gagal menyarung jersi pemain kebangsaan dan sasaran saya tidak tercapai, saya kecewa!,” ceritanya.

Dia kemudian memulakan sebuah kehidupan di Kuala Lumpur dengan bekerja sebagai pencuci mesin.

“Kerjaya saya di Kuala Lumpur bermula sebagai pencuci mesin selama tiga tahun sejak berumur 18 tahun di NSTP (The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad). Kemudian saya berpindah ke syarikat penerbangan tambang murah selama tiga tahun sehingga saya dicabar oleh rakan-rakan untuk mencuba nasib dalam uji bakat Raja Lawak musim ketiga. Apabila ditawarkan menyertai Raja Lawak, saya dalam dilema sebenarnya. Keluarga tidak menentang, tapi ayah saya tidak menyokong,” ujar Jep menyusur kembali zon masa silamnya beberapa tahun ke belakang.

Berbicara mengenai keperitan sebagai pelawak kata juara Maharaja Lawak 2011 itu, dia berterima kasih kepada Astro Warna yang telah membekalkan platform khusus kepada pelawak yang sebelum ini hampir dipandang sepi. Malah kata Jep, untuk berjaya dalam dunia pelawak, resipinya terletak intipati lawak setiap kali membuat persembahan.

“Pelawak boleh kekal lama asalkan lawak yang dibuat bukan pada fizikal semata-mata tapi juga dengan perkataan yang mengandungi unsur-unsur nasihat.  Pengetahuan mengikut peredaran zaman adalah perlu dan kepelbagaian harus ada untuk melawak,” kongsi Jep.

p/s: Tahniah Jep. Semoga anda dan Sepahtu berjaya di malam final Maharaja Lawak Mega 2013 pada 7 Februari 2014 ini…

Penulis: ammboi

Avatar

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.