Kontroversi Lagu ‘Bo La Wei’ – Eddie Hamid Dilarang Pulang Ke Kelantan | Baru-baru ini kecoh mengenai lagu nyanyian komposer terkenal, Eddie Hamid, iaitu lagu ‘Bo La Wei’. Tempiasnya ternyata dirasai Eddie Hamid sampai sekarang kerana boleh dikatakan seluruh Kelantan mengecam tindakannya itu. Tambahan pula lagu berkenaan berunsurkan politik dan menyebelahi kepada parti kerajaan.
Memetik laporan MH Online, ekoran kontroversi lagu Eddie Hamid dilarang untuk pulang ke kampung halamannya (Kelantan) buat sementara waktu.
“Pada mulanya saya takut juga. Tetapi saya nak balik juga dan tengok sendiri bagaimana lagu ini mencetus fenomena di Kelantan,” ujar Eddie yang mengakui keluarganya turut merasai tempias kontroversi ini.
Lagu ciptaannya bersama Datuk Supardi yang dimuat naik menerusi YouTube telah mengundang kemarahan ramai dengan pelbagai komen negatif. Malah laman Facebooknya turut dibanjiri komen-komen negatif yang tidak berpuas hati dengan lagu itu. Bagaimanapun Eddie Hamid berkata niatnya hanya untuk menyedarkan anak-anak Kelantan supaya berubah ke arah yang lebih baik.
“Saya terpanggil untuk menghasilkan lagu setelah melihat kemunduran Kelantan sejak dahulu lagi. Lagipun peluang pekerjaan yang terhad menyebabkan anak Kelantan ramai berhijrah ke luar untuk mencari rezeki,” kata Eddie dalam laporan berkenaan.