Alhamdulillah, akhirnya lima lagi mayat remaja dari sejumlah lapan yang hilang di Sungai Muar dekat Buloh Kasap ditemui petang ini.  Semalam, gerakan mencari dan menyelamat berjaya menemui tiga mayat remaja itu – Mohd Hafizul Danial Norhashim, 16; Mohd Zikri Zaidi, 14; dan Nazirul Aminuddin Zamri, 15, di dasar sungai berhampiran satu sama lain.

Memetik sumber berita Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata mayat Mohd Nazree Zainal, 14; ditemui terapung pada pukul 1.40 petang dan mayat Mohd Shafiq Md Sukur, 16; ditemui di dasar sungai pada pukul 2.06 petang. Tiga mayat lagi turut ditemui di dasar sungai itu iaitu Mohd Zaki Zaidi, 16; dan Mohd Izoan Hakimis Amin, 16; yang ditemui pada pukul 2.41 petang manakala mayat terakhir, Mohd Hafizuddin Kamal, 16; ditemui pada pukul 2.46 petang.

Jelasnya lagi, kesemua mayat itu ditemui dalam lingkungan 10 meter dari kawasan kejadian dengan mayat Mohd Shafiq, Mohd Zaki, Mohd Izoan Hakimis dan Mohd Hafizuddin tersangkut pada kayu-kayu di dasar sungai. Beliau berkata kesemua mayat kemudian dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Johor Datuk Ab Ghani Daud berkata operasi mencari dan menyelamat terbabit menggunakan teknik kocakan bot pada tengah hari ini yang membolehkan pergerakan pada kesemua mangsa yang tersangkut. Beliau berkata tempat kesemua mayat remaja itu ditemui turut merupakan tempat yang dihidu anjing pengesan ketika gerakan mencari dan menyelamat. Katanya lagi, bomba yang melakukan operasi dan menyelamat dalam tempoh 30 jam sejak semalam tidak mempunyai halangan yang begitu sukar kecuali bentuk muka bumi dasar sungai yang tidak rata.

Sehubungan penemuan kesemua mayat, operasi mencari dan menyelamat yang disertai 133 anggota merangkumi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam dan Pejabat Daerah ditamatkan pada pukul 3 petang tadi. Katanya, setakat ini pihaknya percaya kejadian tersebut disebabkan pasir jerlus di kawasan terbabit.

lapan remaja lemas sungai muar

Terdahulu, kesemua keluarga mangsa dilihat melakukan solat fardu Zohor dan solat hajat di kawasan kejadian sebelum suasana kemudian bertambah pilu apabila satu persatu mayat remaja itu ditemui.

p/s: Syukur, dengan izin-Nya, usaha mencari mangsa lemas dipermudahkan…


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.