Seorang murid perempuan Tahun Dua maut selepas lehernya tersangkut pada jeriji tingkap bilik dalam kejadian di Kampung Losong Feri, Kuala Terengganu dalam kejadian yang berlaku semalam.

Ketika kejadian yang disedari 3.30 petang itu mangsa, Nurliana Nabila Mazlan, 8, pelajar Sekolah Kebangsaan Losong dipercayai cuba untuk keluar bilik melalui tingkap berkenaan selepas mendapati pintu bilik terkunci dari luar dan dalam. Bagaimanapun tindakan anak bongsu daripada lima beradik yang keluar menerusi tingkap itu gagal apabila lehernya tersangkut pada besi berkenaan.

Mangsa yang juga anak bongsu daripada lima beradik dikatakan bersendirian dalam bilik berkenaan manakala seorang daripada empat abangnya, Mohd Faiz, 18, tidur dalam bilik berasingan dan ibunya, Rohaizan Zain, 42, tiada di rumah kerana bekerja sebagai tukang sapu di Muzium Negeri, 300 meter dari rumah.

Menurut Mohd Faiz, dia menyedari kejadian itu selepas diberitahu jiran sebelum menendang pintu bilik bagi melihat keadaan yang berlaku. Katanya, selepas memecahkan pintu bilik berkenaan, dia terkejut melihat adiknya dalam keadaan longlai tergantung pada besi tingkap cermin nako yang tersangkut pada lehernya.

“Ketika itu keadaan adik seperti longlai, langsung tidak bermaya dengan leher tersangkut pada besi tingkap manakala badannya tergantung di luar dinding bilik,” katanya.

Katanya, pintu bilik tidur arwah sudah lama rosak dan akan terkunci dengan sendiri apabila ditutup rapat.

“Saya percaya adik masuk serta menutup rapat pintu berkenaan dan ketika mahu keluar dia tidak dapat membuka pintu lalu mengambil jalan mudah dengan keluar menerusi tingkap cermin. Bagaimanapun, sebaik sebahagian badannya sudah berada di luar rumah, arwah dipercayai kepenatan menyebabkan bahagian lehernya tersangkut pada besi tingkap mengakibatkan dia sukar bernafas. Saya bersama jiran mengeluarkan adik dari celah tingkap dan keadaannya ketika itu cukup lemah,” katanya.

maut leher tersangkut jeriji tingkap

Mohd Faiz berkata, dia tidak menyangka adiknya pergi sekelip mata ketika suasana Aidilfitri masih terasa. Katanya, adiknya langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan sangat ceria ketika menyambut Aidilfitri.

“Tak sangka tahun ini Aidilfitri terakhir baginya selepas kehilangan ayah, Mazlan Mamat yang meninggal dunia setahun lalu,” katanya.

Jiran, Sukri Yusof, 40, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas mendengar suara meminta pertolongan dari rumah mangsa dan terkejut apabila melihat Mohd Faiz dan beberapa penduduk sedang memangku arwah yang tergantung di luar dinding bilik berkenaan.

“Leher arwah tersangkut pada besi tingkap cermin dan kami berusaha secara perlahan mengeluarkan kepalanya,” katanya.

Sementara itu Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Badrul Hisham Othman berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada 4.15 petang bergegas ke tempat kejadian bersama sembilan anggota. Namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, pada 5.30 petang Khamis. [Astro Awani dan myMetro]


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.