MenghintungWaktu Untuk Disatukan – Ammar Alfian dan Puteri Sarah Liyana | Semua orang sudah tahu mengenai kisah percintaan antara Ammar Alfian dan Puteri Sarah Liyana. Pelbagai cerita kontroversi melanda mereka sejak kebelakangan ini.  Lebih panas, selepas beberapa keping gambar mesra Ammar Alfian Aziz dan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin tersebar. Namun keduanya tidak cepat melatah dan bersedia berdepan dengan media dan peminat mengenai kontroversi yang melanda percintaan mereka.

Justeru, selepas empat tahun menjalinkan hubungan cinta, Ammar Alfian dan Puteri Sarah Liyana mengakui sudah sedia untuk menyimpulkan percintaan mereka dengan ikatan yang lebih suci-perkahwinan.

“Sejujurnya, memang kami sudah merancang untuk berkahwin dan kedua-dua belah keluarga juga sudah berjumpa untuk berkenal-kenalan. Malah, Ammar juga pernah berbincang mengenai perkara ini. Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk memperkatakan dengan lebih lanjut mengenai hal ini. Mungkin bila sudah ada ketetapan waktu dan tarikh, barulah kami akan maklumkan kepada semua,” ujar Sarah kepada Zass.

Sependapat dengan Sarah, Ammar berkata, masih terlalu awal untuk memberitahu kepada umum mengenai rencana mereka kerana bimbang ia tidak berjalan seperti yang dirancang.

“Macam tahun lepas, kami pernah merancang untuk bertunang tapi tak jadi kenyataan sebab masing-masing sibuk. Jadi saya bimbang kalau beritahu terlalu awal, ia tidak akan terjadi. Apa pun, kami memang sudah bersedia untuk berkahwin dan keluarga juga galakkan kami berkahwin kerana sudah lama berkawan. Insya-Allah kalau sudah sampai seru, kami akan berkahwin juga,” katanya.

Sarah berkata, mereka akhirnya sepakat untuk mendirikan rumah tangga selepas keduanya mempunyai pendapatan yang stabil.

“Bagi saya sendiri, tidak kisah berkahwin lambat, asalkan kami sudah ada pendapatan yang stabil, ada kereta dan rumah. Daripada kami berkahwin awal, tapi pendapatan tak stabil, duduk rumah sewa. Itu semua mungkin akan menjadi sebahagian punca perbalahan yang akhirnya meranapkan rumah tangga. Jadi bila sudah betul-betul stabil sekarang, barulah kami fikir tentang fasa yang seterusnya,” jelasnya.

Menyentuh tentang usianya yang dua tahun lebih tua daripada Ammar, Sarah berkata, biarpun Ammar lebih muda, namun jejaka berusia 25 tahun itu lebih matang dari usianya. Malah, sikap Ammar yang pandai mengambil hati dan pandai memujuk membuatkan Sarah berasa selesa berada di samping Ammar.

“Walaupun saya anak sulung, saya akui jenis yang cepat merajuk, tapi Ammar sabar dengan kerenah saya dan dia pandai memujuk serta kelakar orangnya,” katanya.

Bagi Ammar pula, sejak dahulu lagi, dia memang sukakan wanita yang lebih berusia dan mengakui berasa bahagia bersama Sarah.

“Walaupun dia lebih tua, tapi Sarah manja orangnya dan memang tak terasalah dia tua. Tapi Sarah taklah terlalu tua kerana kami beza dua tahun saja (ketawa). Apa yang penting kami sekepala dan saya masih tahan dengan perangainya,” ujarnya.

Mengimbau detik perkenalan hubungan mereka, Sarah berkata, dia mengenali Ammar melalui laman sosial Facebook, ketika sedang menuntut di peringkat Diploma.

“Kami sebenarnya pernah bersekolah di sekolah teknik yang sama. Tapi tidak saling mengenali antara satu sama lain. Namun selepas menyertai industri, kami berkenalan melalui Facebook. Bermula sebagai kawan, saya tidak sangka hubungan kami akan menjadi rapat dari hari ke hari sehinggalah ke tahap bercinta,” katanya. (Sumber – Sinar Harian Online)


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.