Chennai dianggap sebagai ‘gigacity’ adalah sebuah bandar yang terletak di pantai utara negeri Tamil Nadu. Tamil Nadu dalam erti harfiahnya bermaksud Tanah Tamil adalah negeri ketiga belas dalam siri pengembaraan saya di India. Ia adalah sebuah negeri di selatan India yang terkenal dengan kuil-kuil dan seni binanya, makanan, filem, tarian India klasik dan juga muzik karnatik.

Bahasa utama di negeri ini adalah bahasa Tamil (juga ditulis sebagai Thamizh) dan Bahasa Inggeris terutamanya di bandar-bandar besar termasuk ibu kotanya, Chennai. Tamil Nadu adalah lokasi sejarah kerajaan Chera, Chola, Pandya dan Pallava yang terkenal ketika zaman India purba dan zaman pertengahan.

Saya selamat tiba di Chennai selepas menempuh perjalanan panjang tiga belas jam dari Visakhapatnam. Bandar ini merupakan bandar keenam terbesar dan metropolitan keempat terbesar di India. Ia adalah hub kepada industri automobil, elektrik dan lain-lain kejuruteraan, di mana banyak syarikat antarabangsa membuat pelaburan di sini.

Chennai juga merupakan lokasi yang baik untuk memulakan perjalanan darat menyusuri persisir Coromandel Coast menuju ke destinasi-destinasi lain di bahagian timur India selatan dengan melalui ECR (East Coast Road) yang menjanjikan panorama indah sepanjang perjalanan.

Chennai diperintah oleh Portugis pada abad ke-16 sebelum Inggeris mengambil alih dari abad ke-18 hingga ke-20. Kota ini masih mengekalkan beberapa bangunan yang telah dibina sejak abad ke-17. Ia beriklim tropika yang sama seperti Malaysia dan di sinilah terletaknya Marina Beach, pantai urban yang kedua terpanjang di dunia sepanjang 13km.

Madras High Court


Marina Beach Chennai

Kota yang berusia empat abad ini dahulunya dikenali sebagai Madras dan berpopulasi lebih daripada sepuluh juta orang. Ia berfungsi sebagai salah satu pintu masuk utama ke selatan India serta mempunyai budaya dan adegan seni tempatan yang berkembang maju.

Ia merupakan salah satu destinasi utama untuk pelancongan dan perubatan. Juga dianggap sebagai salah satu bandar paling pesat berkembang di dunia walaupun berada di ranking yang tidak memuaskan dari segi kebersihan.

Budaya

Budaya di kota metropolitan ini adalah berbeza daripada bandar-bandar lain di India. Tradisi dan budaya Tamil adalah sangat asli di sini dan boleh dilihat melalui tarian, pakaian, dan patung. Chennai adalah pertembungan antara ortodoks dan bandar kosmopolitan moden.

Budayanya mencerminkan penduduknya yang pelbagai. Kesenian tradisional, muzik, tarian dan semua bentuk seni Tamil Nadu tumbuh membiak dan berkembang di sini sejak dari dulu. Pakaian umum penduduk setempat adalah konservatif tetapi golongan muda berpakaian lebih kontemporari. Senibinanya pula berkisar daripada kuil-kuil purba yang menjulang tinggi.

Pulicat Lake


Royapuram Fishing Harbour

Makanan

Bahan yang berasaskan beras adalah makanan ruji di Chennai. Dosa, Idli dan Uttapam popular di sini. Negeri Tamil Nadu mempunyai banyak tempat yang menarik di dalam peta kuliner negara. Chennai menawarkan pelbagai hidangan vegetarian dan bukan vegetarian. Makanan di sini mendapat rasa yang istimewa daripada pelbagai rempah dan perencah yang digunakan di dalam setiap masakan. Kelapa dan asam jawa dan adalah satu kemestian untuk hampir kesemua resipi vegetarian. Bagaimanapun garam masala jarang diguna dalam masakan kaum Tamil.

Meneroka Kota Chennai

Fort St George adalah tempat terbaik untuk memulakan perjalanan menghala ke George Town, daerah komersial lama yang terletak di pusat bandar. Anda juga boleh menaiki auto-rickshaw atau bas awam jika tidak mahu berjalan kaki. Terdapat banyak kawasan membeli belah moden yang boleh disinggahi di sepanjang jalan utamanya, Anna Salai. (Rujuk peta)

Chennai Map


Government Museum Chennai

Tempat-tempat menarik di Chennai

Marina Beach

Marina Beach adalah pantai sepanjang 13 km dan amat sesuai untuk pengunjung berjalan-jalan di sepanjang persisirannya. Di sepanjang pantai, terdapat banyak bangunan yang dibina semasa zaman pemerintahan British. Ia adalah tempat beriadah yang paling popular bagi penduduk tempatan, terutamanya pada waktu malam dan hujung minggu. Ia juga boleh menjadi sangat sesak pada cuti umum dan agak lengang pada awal pagi di mana anda boleh menikmati permulaan hari dan melihat matahari terbit di pantai ini. Walaubagaimanapun mandi dan berenang di pantai ini adalah dilarang sama sekali.

Fort St George dan sekitarnya.

Ia adalah kubu pertahanan Inggeris pertama di india yang dibina pada 1644 dan kini digunakan oleh kerajaan negeri. Berhampiran kubu ini terdapat sebuah plak peringatan di Gereja St. Mary (1680) kepada gabenor Inggeris Bengal, Robert Clive.

Madras High Court (1892) yang juga terletak berdekatan adalah bangunan tipikal zaman kolonial dengan kubah, tingkap yang melengkung, berwarna merah dan putih. Manakala Fort Museum pula adalah tempat pameran pelbagai barang berharga yang berkaitan dengan sejarah India.

Chennai Government Museum

Rangka sempurna seekor gajah, pameran botani, seni kontemporari – terdapat banyak lagi yang boleh dilihat di sini. Muzium arkeologi ini juga mempunyai salah satu koleksi terbaik arca gangsa pada zaman India kuno.

Film City Chennai

Pengunjung dibenarkan untuk bersiar-siar di sekitar prop di dalam studio AVM dan menonton filem yang sedang di dalam pembikinan. Periksa dahulu waktu operasinya di internet sebelum membuat kunjungan untuk memastikan sama ada studio dibuka.
Cara untuk ke sini adalah dengan menaiki bas bernombor 17M dari Anna Salai atau 17E dari Egmore Station.

Guindy National Park

Dengan keluasan yang hanya 3 km, taman negara ini dianggap sangat kecil. Tetapi ia merupakan satu-satunya taman negara di india yang amat dekat dengan kota metropolis utama. Ia adalah habitat kepada lebih daripada 2000 ekor rusa dan pelbagai haiwan lain. Tarikan sebenar di sini adalah pokok-pokoknya. Dengan penukaran status daripada kawasan memburu kepada taman negara pada tahun 1978, kehijauan hutan di sini mula terpelihara untuk flora dan fauna.

Pulicat Lake

Terletak 50km dari Kota Chennai, Pulicat Lake adalah kawasan tadahan air tawar kedua terbesar di India selepas Chilika Lake dan berukuran 759km persegi. Tasik ini adalah salah satu daripada tiga kawasan tadahan air terpenting untuk menarik awan hujan monsun timur laut pada bulan Oktober hingga Disember bagi Tamil Nadu.

Kanchipuram

70km dari Chennai, Kanchipuram juga disebut Kanchi adalah bekas ibu kota kerajaan Pallava. Kota kecil yang berpopulasi cuma 200 ribu orang ini adalah salah satu daripada tujuh kota suci di india. Selain itu, tenunan sutera yang dianggap terbaik di India dilakukan di sini – dan pertama kali ditenun untuk raja-raja Pallava pada abad ke 6 hingga ke 9. Harga sutera di sini juga sangat murah daripada tempat-tempat lain di serata negara.

P.S. Air Asia dan Malaysia Airlines melakukan penerbangan setiap hari dari Kuala Lumpur ke Chennai.

Chennai Central


Fort St. George

Penulis: Siti Khadijah

Merupakan pelajar dan kini menetap di Kuantan.Merupakan penulis separuh masa di Ammboi.com

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.