Mila Jirin, Juara Akademi Fantasia (AF) Musim Ke-5 semakin tenggelam dek lambakan artis baru di pasaran. Namanya kini kurang didengari samada menerusi corong radio mahupun tv. Namun dalam satu sesi temubual dalam sebuah akhbar harian, Mila menjelaskan beliau masih lagi aktif dalam bidang seni. Namun nasib sedikit tidak menyebelahinya kerana lagunya tidak mendapat tempat di stesen radio.

Yang lepas biarkan ia berlalu, saya mahu pandang ke depan dan memikirkan strategi lain perlu dilakukan” – Kata Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, selain mengakui graf popularitinya makin merudum namun bersyukur masih mendapat permintaan untuk persembahan. Lima tahun bergelar artis, Mila sudah dapat menerima kesan turun, naik dan jatuh bangun anak seni. Kata gadis ini dalam lontaran suara penuh yakin, dia memang sudah bersedia dengan kenyataan ini sejak mula menjadi artis.

Walaupun boleh menerima putaran alam, namun ada sesuatu yang menjentik hati gadis berusia 25 tahun itu. Biarpun kecewa, Mila sebenarnya enggan terlalu memperbesar-besarkan isu dihadapi, sebaliknya nekad mencari jalan penyelesaian selepas bergerak sendiri. Menguatkan lagi semangat penyanyi muda ini apabila memikirkan jika dia terus menyalahkan orang lain, masalah yang dihadapi tidak selesai. Apatah lagi masalah itu dihadapi kebanyakan penyanyi lain apabila lagu mereka tidak mendapat tempat di corong radio.

Mila sedang berusaha memikirkan cara baru untuk jual albumnya memandangkan stesen radio tidak berminat memutarkan lagunya.

“Saya harus memikirkan alternatif untuk mengetengahkan lagu baru berikutan lagu saya tidak mendapat tempat di radio. Cara yang saya nampak ialah dengan membeli iklan di portal terkemuka kerana ramai orang gemar melayari internet. Single terbaru ciptaan saya bersama seorang rakan dijangka menemui peminat selepas Aidilfitri. Kami memilih melodi yang ringkas dan mudah diterima, tiada lagi nada tinggi kerana selera peminat sekarang berbeza.

Dalam enggan terlalu memikirkan masalah itu, terdetik juga di hati Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 ini, apakah piawaian sebenar yang dimahukan stesen radio? Album kedua Mila membabitkan bukan calang-calang komposer. Mereka antara komposer hebat di Malaysia seperti Ajai dan Aidit Alfian, tetapi ternyata itu tidak menjanjikan tiket untuk lagunya diputarkan di radio.

“Kadang kala penyanyi jadi keliru, kami tidak tahu apa sebenarnya yang dimahukan stesen radio. Kami cuba menggunakan khidmat komposer terkenal, tetapi lagu tidak juga diputarkan. Stesen radio sepatutnya menjelaskan dengan lebih terperinci piawaian yang perlu dipatuhi penyanyi,”” katanya yang kini sedang sibuk di lokasi penggambaran filem Kami Histeria terbitan Red Film sepanjang Ramadan.

Penulis: ammboi

Avatar

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.