Jarang sekali selebriti mahu mengaku mereka sudah berpunya atau sedang bercinta dengan sesiapa. Katanya mereka lebih senang menyorok kisah berkenaan demi kerjaya dan privasi masing-masing. Namun tidak bagi Nad Zainal dan Azwan Kombos, mereka lebih terbuka dengan mengakui kisah cinta tidak sesekali mahu menjaja kisah itu untuk menaikkan nama dalam persada seni.

Mereka berpendapat senang untuk bercerita tentang cinta tetapi tidak mahu kisah itu terus diuar-uarkan dengan begitu meluas. Cukuplah sekiranya pihak media dan peminat tahu hubungan mereka dan tidak mengorek lebih dalam tentang hubungan mereka.

Fotografi bersama artis untuk raya

Nad mengakui hatinya yang sudah dimiliki tidak menghalang langkahnya untuk meluaskan kerjaya sebagai pelakon. Pemilik nama sebenar Farah Nadia Zainal Abidin yang berusia 23 memberitahu, walaupun dia sering dilihat bersama Azwan, tetapi mereka faham akan kerjaya masing-masing.

“Bukannya hendak berkepit setiap masa, tidaklah saya ingin bersamanya selalu. Dia ada kerja sendiri, saya pun ada hal yang perlu diuruskan. Jadi, sikap memahami memang penting bagi pasangan seperti kami. Satu sahaja, kami tidak akan mendedahkan terlalu banyak tentang cinta kerana sudah bersetuju untuk tidak bercerita tentang hal peribadi,” kata si cantik sambil tersenyum.

Di luar, mereka seperti pasangan berkasih yang lain. Mesra, manja dan saling bergandingan, tetapi Nad mengakui dia agak kekok apabila ‘bertemu’ dengan kekasih hatinya di depan kamera.

“Saya selesa menjadi kekasihnya di dunia realiti. Aura kami sebagai kekasih, kawan dan teman bercakap memang kuat kerana sudah lama mengenali. Tetapi saya juga kena terima hakikat bahawa agak kekok bersama dan tidak ada aura untuk berlakon bersama. Sebetulnya saya rasa kekok dan geli bila bersama dengan dia di depan kamera. Saya rasa sangat dibuat-buat. Sebab, saya ni kalau dekat luar memang tidak reti hendak buat-buat pose ayu. Saya akui memang sukar nak dapat keserasian bila kami berlakon bersama,” katanya berterus terang.

Memang mereka ini dilihat sangat bahagia. Berbanding Azwan pula, walaupun banyak spekulasi bahawa mereka cuba untuk sembunyikan kisah cinta, semua itu sebenarnya tidak benar. Menurut lelaki berusia 28 ini, dia tidak pernah merahsiakan soal cinta di hati. Malah katanya, Nad juga tidak kisah mana-mana pihak yang mengetahui hubungan itu. Mereka berbangga kerana mahu saling bertanggungjawab kepada diri masing-masing, meskipun hanya dalam ikatan sebagai kekasih.

“Sekiranya ditanya, saya menjawab ya, saya kekasihnya. Bagi saya, tidak perlulah merahsiakan apa-apa. Kami juga sudah bercinta lama. Saya sangat mengenali Nad sebab hubungan kami sekarang sudah mencecah dua tahun. Jika sebelum ini banyak gosip yang dilontarkan kepada Nad bahawa sedang bercinta dengan orang lain, saya tidak mudah melatah. Jujurnya, saya memang ada bertanya kepadanya tentang gosip itu juga. Bagaimanapun, Nad membalas dengan mengatakan yang saya lebih mengenali dirinya. Oleh sebab itu, saya tidak percaya kepada gosip tersebut,” kata jejaka kacak dari Sabah ini.

Bagi pelakon baharu yang meningkat naik di persada seni menerusi filem Lu Fikirlah Sendiri dan Belukar ini, dia tidak kisah dan sangat memahami Nad. Dia selalu positif dalam pelbagai aspek kerana mereka berada dalam industri yang sama. Dalam pada itu, pasangan ini juga mempunyai perancangan untuk berkahwin tetapi tidak meletakkan sasaran masa kerana semuanya diserahkan kepada jodoh. Kedua-duanya mengakui pernah berjumpa keluarga masing-masing. Bagaimanapun, buat masa sekarang ini, mereka sedang sibuk dengan karier.

Ketika kekasih hati yang sedang rancak membina nama dalam dunia lakonan, Azwan juga mengakui sedikit sebanyak timbul rasa cemburu dek perkembangan pantas buah hatinya itu dalam industri lakonan. Lantas timbul dakwaan mengatakan Azwan secara tidak langsung menumpang populariti Nad memandangkan wanita itu lebih dikenali ramai. Sementelah berita kisah cinta mereka secara tidak langsung membuatkan nama Azwan turut menjadi bualan ramai.

“Saya akui rasa cemburu itu ada tapi dari segi prestasi dia. Saya pun rasa tercabar dan saya kena berikan yang terbaik dalam setiap lakonan. Saya akui saya masih baru dan banyak lagi yang perlu belajar. Kalau pasangan Nad dalam lakonan tu saya tak rasa cemburu pun, sebab saya sendiri pun pelakon. Jadi saya faham itu adalah kerja. Soal tumpang populariti dia, itu tak benar. Saya nak berdiri atas bakat sendiri. Kalau ada pun yang kata saya tumpang populariti Nad, itu mungkin hanya tempias saja,” katanya. – Utusan Online

Penulis: ammboi

Avatar

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.