Apa yang perlu dilakukan untuk isteri lebih sayang pada suami? Menempuhi alam kehidupan rumah tangga tidak semudah yang disangka. Apatah lagi kita bakal melayarinya dengan orang yang asing yang hadir dalam hidup kita.

Bayangkan lelaki atau wanita yang bergelar suami atau isteri kita yang selama ini mungkin hanya kita nampak luaran sahaja tetapi setelah apabila sah ikatan, barulah tahu ‘perangai’ sebenarnya.

NAMPAK REMEH NAMUN 10 SEBAB INI AKAN BUAT ISTERI LEBIH SAYANG PADA SUAMI

Apa pun perahu tidak boleh diundur kembali. Jodoh yang telah ditetapkan Allah SWT itu adalah yang terbaik untuk kita. Sentiasalah berusaha agar jodoh tersebut bahagia hingga ke syurga.

Bagi yang bergelar suami, selaku ketua keluarga perlulah berusaha membimbing isteri menjadi isteri yang solehah agar dapat mendidik anak-anak dengan baik selain menguruskan rumah tangga terus kekal harmoni.

Tak sukar sebenarnya hendak menambat hati isteri kerana biasanya wanita suka dirinya dimanja, dipujuk, dipuji dan dihargai oleh orang yang tersayang.

Oleh itu, menerusi sumber Majalah Online Pa&Ma, ammboi terjumpa satu artikel mengenai cara suami untuk menambat hati isteri dan seterusnya menambahkan rasa sayangnya pada si suami.

Pada ammboi, mungkin perkongsian ini boleh dipraktiskan dalam rumah tangga masing-masing agar terus kekal bahagia selamanya. Anda boleh baca 10 sebab berikut:

1. Suami yang prihatin

Isteri biasanya sangat gembira bila mendengar suami tanya “Penat ke yang? Kalau penat rehatlah dulu. Biar abang yang basuh pinggan mangkuk tu.” Sesekali suami kenalah prihatin dengan isteri. Sebenarnya isteri bukanlah nak suruh sangat suami buat kerja rumah tetapi bila dia menegur dan sedar isteri yang kepenatan sudah tentu isteri rasa sangat disayangi.

2. Suami yang ringan tulang

Kalau tak tahu buat kerja rumah tak ada masalah untuk menjadi suami yang ringan tulang. Apa kata sambil duduk lepak depan TV, rajinkanlah diri anda untuk tolong melipat pakaian yang sebakul itu. Kalau isteri tengok hilang rasa geram yang menebal dalam diri sebab tak cukup tangan uruskan rumah tangga.

3. Suami yang sentiasa mengingatkan isteri

Selaku pemimpin keluarga sudah tentu suami bertanggungjawab memimpin keluarga menuju jalan yang diredai Allah SWT. Isteri sangat suka kalau suami boleh bangun awal pagi mengejutkan dia solat tahajud berjemaah. Isteri rasa bahagia kalau suami selalu mengajaknya solat berjemaah dan sentiasa berkongsi kisah-kisah melakukan kebaikan yang dapat membawa ke syurga Allah.

Bukankah isteri itu dijadikan daripada tulang rusuk suami maka kalau nak isteri yang solehah maka suami perlulah menjadi orang yang soleh terlebih dahulu.

4. Suami yang rajin berusaha

Isteri tak kisah kalau suami tidak mampu membelikan beg tangan berjenama atau emas permata kerana kurang berkemampuan di hari ulang tahun perkahwinan tetapi isteri lebih rasa bangga sekiranya suami rajin berusaha untuk memperbaiki ekonomi keluarga tanpa rasa jemu.

5. Suami seorang pendengar

Isteri memang insan yang suka membebel atau bercerita tentang apa sahaja yang dilalui dalam kehidupan sehariannya. Sebagai suami sediakan telinga dan perhatian anda untuk mendengar cerita daripada isteri.

Sesekali bagilah respon pada ceritanya. Isteri pasti seronok dan gembira apabila suami memberi perhatian kepada ceritanya. Itu sudah cukup membuatkan dia rasa dihargai. Mudah kan!

6. Suami penyayang

Siapa yang suka kena marah? Tak ada siapa pun suka dirinya dimarahi apatah lagi oleh orang yang paling disayangi. Walaupun isteri membuat kesilapan, cubalah tegur dengan cara berhemah dan penuh kasih sayang. Insha Allah isteri tidak akan mengulang lagi kesalahan tersebut.

Janganlah menengking atau menegur kesalahannya di khalayak ramai. Jagalah maruah dan aib isteri anda sepertimana isteri menjaga maruah dan aib anda sebagai suami.

7. Suami yang romantik

Malu hendak romantik atau tak biasa hendak romantik dengan isteri? Bukan kena romantik depan orang ramai pun. Isteri tak harap pun suami buat begitu tetapi cukup dengan selalu membelai, memicit dan memeluk isteri sambil mengucapkan “I love you sayang” sebelum tidur atau pergi kerja. Ia sudah cukup membuatkan hati isteri jadi cair dan hilang segala rasa negatif yang pernah ada dalam hati.

8. Suami yang rajin jaga anak

Sesekali berikan tawaran untuk isteri berehat sehari daripada menguruskan keperluan anak-anak. Apa kata anda pula yang mengambil alih tugas menguruskan anak termasuk menidurkannya. Biarkan isteri berehat atau membuat sesuatu perkara yang digemari tanpa gangguan daripada anak-anak.

9. Suami yang menghormati orang tua

Sebagaimana isteri disuruh menjaga dan menghormati ibu bapa mertua seperti ibu bapa sendiri maka isteri juga mengharapkan suami dapat menerima dan menghormati ibu bapanya sepertimana ibu bapa sendiri.

10. Suami yang menjaga waktu solatnya

Alangkah bahagianya rasa diri seorang isteri apabila dikurniakan suami yang sangat menjaga waktu solatnya apatah lagi mampu bangun solat subuh berjemaah di masjid secara konsisten.

Ini antara ciri paling ‘mahal’ yang patut ada dalam diri setiap lelaki untuk bergelar suami yang hebat. Ia adalah faktor kejayaan seorang lelaki boleh memimpin sebuah keluarga bahagia yang diredai Allah SWT.


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.