Syukur, alhamdulillah! Ini kata-kata yang diluahkan oleh Hanita Mohd Tahir, ibu kepada Nur Suhaila Tukijan, yang selamat menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sharjah, Dubai, hari ini. Menurut Hanita, pembedahan bagi merawat anaknya yang menghidap ‘Congenital Disorder’, yang memakan hampir dua jam, berjaya disempurnakan oleh tiga pakar perubatan.

Nur Suhaila dibawa masuk ke dewan pembedahan sekitar jam 9.30 pagi waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia). Hanita memaklumkan keadaan Suhaila kini stabil dan telah dipindahkan ke wad kira-kira 30 minit selepas selesai pembedahan. Beliau juga menyatakan ia adalah berkat iringan doa rakyat Malaysia, Nur Suhaila berjaya dibedah dan segalanya berjalan lancar.

Menurut Hanita, doktor mengesahkan keadaan anaknya akan pulih dalam sedikit masa lagi, namun memerlukan dua rawatan susulan iaitu pada 26 Mac dan 3 April ini. Sehubungan itu, beliau dan anaknya akan terus berada di Dubai, dan dijadualkan pulang ke tanah air pada 5 April ini. Katanya, doktor memaklumkan bahawa pembedahan awal menyelamatkan Nur Suhaila daripada risiko jangkitan kuman kerana besar kemungkinan kedua-dua rahimnya akan dibuang sekiranya lambat dibedah.

Kisah Nur Suhaila, dilaporkan Sinar Harian 22 Februari lalu, memerlukan RM60,000 bagi kos pembedahan. Nur Suhaila mempunyai dua rahim dan salah satunya tidak berfungsi, dan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam itu hanya mempunyai satu buah pinggang. Selepas liputan tersebut, Tabung Nur Suhaila mendapat perhatian rakyat Malaysia yang sememangnya tersentuh hati dan prihatin akan nasibnya.

Hasil sumbangan orang ramai, pembedahan Nur Suhaila berjaya dilaksanakan. Antara pihak yang menyumbang ialah Lembaga Zakat Selangor, Persatuan Bekas Tentera Malaysia; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam, Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor (Kasih), Kerajaan Negeri Selangor serta rakyat Malaysia di Dubai. – SH

 


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.