Piya harap timbang warna jersi tapi Dr Vida tetap dengan pendirian? Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi berharap pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman menimbang semula cadangan menggunakan warna merah jambu pada jersi rasmi skuad sepanjang Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Bagi Badhri, dia mengakui merah merupakan warna tradisi skuad tersebut dan ia cukup sinonim dengan penampilan skuad pantai timur itu sejak berpuluh tahun lalu.

Bukan itu sahaja, pemain dikenali dengan panggilan Piya itu memberitahu, warna merah melambangkan semangat kental Kelantan selain menghadirkan rasa gerun kepada pasukan lawan.

PIYA HARAP TIMBANG WARNA JERSI TAPI DR VIDA TETAP DENGAN PENDIRIAN

“Sejujurnya, kami tidak kisah pun kalau penaja mahu meneruskan hasrat menggunakan jersi berwarna merah jambu. Tetapi kalau bolehlah warna merah kena ada juga pada jersi utama itu nanti.

“Kalau kita gabungkan warna merah dengan merah jambu pun rasanya okay juga. Secara peribadi, saya rasa mungkin ini idea yang baik, namun sebagai pemain kami akan tetap mengikut arahan pihak pengurusan,” katanya.

Menurut sumber berita sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dipetik menerusi entri laman sosialnya menjelaskan, pasukan itu akan kekal menggunakan jersi rasmi berwarna merah ketika beraksi di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Dr Vida dilaporkan media tempatan, menegaskan mahu memastikan warna merah jambu dan putih menjadi warna utama jersi skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

Datuk Seri Hasmiza Othman atau Dr Vida menganggap jati diri pemain Kelantan tidak berubah meskipun pasukan itu bakal tampil dengan kelainan, apabila menggunakan jersi baharu berwarna merah jambu pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu, turut mempertahankan tindakannya menukar warna tradisi bukanlah bertujuan untuk merosakkan identiti pasukan yang sinonim dengan gelaran Pahlawan Merah itu.

“Warna hanya terletak pada jersi sahaja dan percayalah, jati diri pasukan Kelantan tidak akan berubah. Yang berubah adalah warnanya, yang (perkara) lain kekal seperti sedia kala.

“Pemain yang berada di padang tetap akan berjuang atas nama Kelantan dan semua orang tahu pemain sentiasa bermain kerana semangat dan maruah negeri ini,” katanya.

Pengasas Vida Beauty itu memberitahu, tidak ada salahnya pasukan Kelantan memakai jersi berwarna merah jambu kerana kelab terbaik dunia seperti Real Madrid juga menggunakan warna yang sama.

Menurutnya, beliau percaya skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors akan tampil menjadi pasukan yang disegani untuk mencabar kejuaraan pada musim memandangkan warna merah jambu memiliki aura tersendiri.

“Orang mungkin cakap warna merah jambu ini lembut, tetapi kita kena ingat dalam lembut itu ada kekuatan tersembunyi. Itu yang saya cuba transformasikan untuk pasukan Kelantan pada musim ini,” katanya. [Sinar Harian]


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.