Polis sedang menyiasat kes seorang lelaki memukul wanita menggunakan kasut yang didakwa berlaku di tepi jalan berhampiran pintu masuk Plaza Tol Ayer Hitam, petang semalam yang rakaman videonya tersebar di media sosial.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, lelaki terbabit yang dipercayai suami kepada wanita berkenaan bukan saja bertindak memukul isterinya itu di bahagian badan menggunakan kasut, malah menendang wanita malang itu.

Dalam video berdurasi satu minit itu, lelaki berkenaan turut memukul seorang remaja perempuan yang dipercayai anak pasangan berkenaan sambil wanita itu memeluk erat mangsa bagi melindunginya daripada turut dipukul.

Perbuatan kejam lelaki berkenaan berjaya dirakam pengguna jalan raya dan rakaman berkenaan kini tersebar di media sosial dengan kebanyakan pengguna internet mengecam perbuatan lelaki itu.

Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan tindakannya memukul wanita dan remaja perempuan berkenaan bukan saja tidak berhati perut, malah seolah-olah mahu mengaibkan mangsa kerana dilakukan di khalayak ramai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata pihaknya masih belum menerima laporan daripada mana-mana individu berhubung kes berkenaan dan meminta saksi kejadian tampil membuat laporan.

“Kita meminta orang ramai yang berada di lokasi kejadian dan menyaksikan insiden berkenaan supaya tampil bagi membantu siasatan,” katanya dipetik laporan Berita Harian Online.

Berikut adalah petikan video lelaki pukul isteri di Batu Pahat yang menjadi viral di media sosial:

Video lelaki memukul wanita menggunakan kasut di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Air Hitam di sini, tersebar sejak semalam dan polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tampil supaya lelaki terbabit dapat dikesan dan dikenakan tindakan undang-undang.


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.