Selepas tujuh hari bertarung nyawa, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan yang parah selepas kepalanya dipercayai terhantuk pada sebuah meja, akhirnya meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini.

Mangsa, Muhammad Khalish Hadif Kamarul Zaman Shah yang dimasukkan ke hospital tersebut sejak 1 Julai lalu disahkan meninggal dunia pada pukul 11.15 pagi ini. Difahamkan, pemeriksaan doktor mendapati kanak-kanak malang itu dipercayai mati kerana pendarahan di bahagian otak akibat kejadian tersebut ketika dijaga oleh pengasuhnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, mangsa yang merupakan anak tunggal itu dihantar pengasuhnya ke sebuah klinik selepas dilihat tidak sihat dan sukar bernafas. Katanya, mangsa kemudian dikejarkan ke HRPB dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) hospital tersebut. Beliau juga berkata, polis telah merekod keterangan ibu bapa kanak-kanak itu bagi membantu siasatan manakala pengasuhnya pula akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Siasatan awal mendapati, kanak-kanak yang dijaga pengasuh berhampiran kediamannya di Taman Lapangan Melodi itu mengalami lebam di bahagian kepala selepas terkena meja semasa bermain. Kita akan menyiasat perkara ini daripada semua aspek dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dipetik laporan Utusan Online.

Sementara itu, nenek mangsa yang ingin dikenali sebagai Napisah, 70, berkata, dia kesal apabila pengasuh yang baru sebulan menjaga cucunya tersebut langsung tidak pernah datang melawat untuk bertanyakan perkembangan kesihatan kanak-kanak berkenaan.

bayi maut rumah pengasuh

Katanya, mangsa yang sudah pandai berjalan selain baru belajar menyebut mama dan papa kali terakhir ditemui ketika mereka sekeluarga pulang ke kampung di Bachok, Kelantan, beberapa bulan lalu. Katanya ketika ditemui di Unit Forensik HRPB, dia hiba melihatkan keadaan Khalish yang terbaring di wad. Bagaimanapun, lebih memilukan lagi apabila tiub bantuan pernafasan dibuka selepas doktor memberitahu cucunya itu tiada harapan lagi.


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.