Kecoh semalam dengan insiden pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yat. Banyak versi dan spekulasi yang disebarkan mengenai kejadian berkenaan.

Respon KPDNKK dan PDRM isu gaduh di Plaza Low Yat – Memetik sumber berita Astro Awani, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur akan memulakan siasatan berhubung dakwaan kononnya insiden pergaduhan itu berpunca akibat penipuan oleh peniaga.

Bagaimanapun, Pengarah KPDNKK, Muez Abdul Aziz berkata pihaknya masih menunggu laporan rasmi daripada suspek yang kini ditahan polis ekoran kejadian tersebut.

RESPON KPDNKK DAN PDRM ISU GADUH DI PLAZA LOW YAT

“Kami akan berkerjasama dengan polis di mana siasatan akan dimulakan sejurus laporan rasmi dibuat pengguna tersebut. KPDNKK juga akan bekerjasama dengan pemilik hak cipta yang juga pengeluar telefon bimbit berkenaan untuk mengenalpasti sama ada telefon bimbit itu asli atau tiruan,” ujar Muez.

Muez turut mengakui ada menerima laporan berkenaan dakwaan penipuan jual beli telefon bimbit serta gajet di Plaza Low Yat. Selain itu, Muez turut menasihati pengguna supaya tidak bertindak mengikut emosi sekiranya mensyaki wujud unsur penipuan oleh peniaga.

“Pihak saya ada terima laporan berkenaan penipuan jual beli. Pihak kami telah memulakan risikan dan pemantauan di sana (Plaza Low Yat). Kita ada peruntukan undang-undang… lapor terus kepada KPDNKK dan kami akan mulakan siasatan berdasarkan laporan yang diterima. Jangan bertindak ikut emosi,” kata Muez yang turut mengesahkan kes tersebut akan disiasat di bawah peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011.

Dalam kejadian itu, sekumpulan tujuh lelaki dikatakan mengamuk di Plaza Low Yat selepas seorang rakan mereka dituduh mencuri sebuah telefon bimbit. Beberapa pekerja kedai telefon di plaza berkenaan dibelasah oleh kumpulan tersebut. Mereka turut merosakkan peralatan dan barangan di dalam kedai.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad memberitahu pihak polis telah menahan salah seorang daripada tujuh lelaki terbabit yang mendakwa kononnya ditipu peniaga.

Beliau berkata dalam kejadian itu, kumpulan berkenaan dikatakan memukul pekerja kedai telefon bimbit itu, selain memecahkan peralatan di dalamnya menyebabkan kerugian RM70,000.

RESPON KPDNKK DAN PDRM ISU GADUH DI PLAZA LOW YAT 2

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada seorang lelaki yang didakwa mencuri telefon bimbit di kedai berkenaan dan ditahan pengawal keselamatan yang kemudian diserah kepada polis. Seorang rakan lelaki itu yang tidak berpuas hati kemudian membawa rakan-rakannya yang lain lalu mengamuk di kedai telefon itu dan memecahkan barang-barang di dalamnya,” katanya.

Zainuddin berkata, dalam kejadian itu seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan untuk siasatan dan polis kini sedang menjejaki suspek lain yang terbabit dalam kejadian itu bagi membantu siasatan. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan khianat.

“Siasatan juga akan dilihat dari segi produk dan proses jual beli kerana mereka (yang mengamuk) mendakwa ditipu oleh peniaga. Jadi bila menyebabkan penipuan kepada pengguna ini, kita minta KPDNKK untuk bersama menyiasat perkara ini,” katanya


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.