Sabah Sah Milik Malaysia Mengikut Undang-Undang Antarabangsa | Peperangan yang melanda Lahad Datu, Sabah kembali membuka cerita lama mengenai pembentukan Malaysia dan juga penyertaan Sabah dalam Malaysia. Ini kerana ada yang masih keliru dengan status Sabah yang beranggapan Malaysia merampas Sabah dari Kesultanan Sulu.

Berikut adalah penjelasan dari Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkenaan ‘Sabah Adalah Sah Milik Malaysia‘.

sabah

SABAH SAH MILIK MALAYSIA MENGIKUT UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA

Sabah adalah milik Malaysia yang sah mengikut undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dituntut pihak lain termasuk kumpulan pengganas yang mendakwa tentera Sultan Sulu. Hak Malaysia ke atas Sabah yang dulu dikenali Borneo Utara, diperoleh Syarikat Overback pada 1880-an daripada Kesultanan Sulu.

“Apabila Overback serahkan hak milik itu kepada Britain dan seterusnya diserahkan kepada Malaysia, maka segala hak mereka lupus mengikut undang-undang antarabangsa. Apa yang dibayar kepada kerabat Sultan Sulu, iaitu kira-kira RM5,000 setahun hanya wang ehsan atau sagu hati. Ia dibayar kepada kerabat yang didaftarkan sebagai pewaris Sultan Sulu yang disahkan Sultan Brunei dulu, bukan pihak yang menceroboh Sabah ketika ini,” katanya dalam laporan BH Online.

Sambil meminta Wisma Putra membuat penjelasan mengenai perkara itu secara mendalam, beliau juga menjelaskan, Sabah menyertai Malaysia secara sah berdasarkan keputusan Suruhanjaya Cobbold pada 1963 yang mendapati semua pihak di negeri itu bersetuju. Keputusan suruhanjaya itu menunjukkan rakyat Sabah mahu menyertai Malaysia. Jadi jelas, Sabah sah hak Malaysia dan tidak boleh dituntut mana-mana pihak atau negara lain.

Mengikut laman web Arkib Negara, pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya itu dibentuk hasil rundingan di antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan Britain pada November 1961. Tujuan penubuhan suruhanjaya itu untuk meninjau pandangan penduduk di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak mengenai gagasan Malaysia. Hasil laporan suruhanjaya yang disahkan perwakilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan 80 peratus penduduk Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia yang kemudian diisytiharkan pada 16 September 1963.

Jadi, dah memang sah. Kenapa mereka yang mengaku dari Kesultanan Sulu masih berdegil dan mahu merampas Sabah sedangkan orang Sabah sendiri sudah tidak mahukan mereka? Semoga krisis ini dapat diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah berlaku.

Penulis: ammboi

Avatar

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.