Saya Bersuara  Kerana Tegakkan Undang-Undang – Zed Zaidi | Persatuan Seniman Malaysia melalui presidennya, Zed Zaidi telah menyelar tindakan stesen televisyen yang menyiarkan program ulang tayang dan juga mengenai isu artis luar yang bekerja di Malaysia. Beliau ternyata kecewa dengan tindakan artis luar berkenaan yang bekerja dan menjalani penggambaran di sini namun tidak mengikuti prosedur yang ditetapkan FINAS.

Ketika dihubungi oleh portal hiburan murai.com.my, Zed Zaidi mempertikaikan bagaimana hal seperti ini boleh berlaku sedangkan sudah jelas ada garis panduan dan perkara yang perlu dipatuhi namun bagaimana hal seperti ini tidak diberi perhatian kerana ia telah melanggar undang-undang.

“Saya sudah menjalankan tugas sebagai presiden di mana saya harus suarakan perkara ini. Saya tidak ada masalah jika ada artis dari luar mahu berlakon atau mencari rezeki di sini tapi mereka haruslah mengikut saluran yang betul. Isu ini bukan isu biasa atau peribadi tetapi garis panduannya telah pun ditetapkan FINAS melalui Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dan saya apa yang saya persoalkan adalah bagaimana perkara yang melibat undang-undang seperti ini boleh terlepas pandang begitu sahaja.

“Surat Sokongan Kemasukan Pekerja Filem Asing (PFA) dan dokumen kelulusan daripada Jabatan Imigresen diperlukan bagi memperakukan perkara ini. Jika benar pihak produksi ada berbuat demikian, sila kemukakan. Sebab saya jelas mengenai prosedur yang telah ditetapkan sebab itu saya hairan mengapa semudah itu artis luar keluar masuk dalam industri kita sampai boleh ada program rayanya sendiri. Itu sahaja, saya harap FINAS dan agensi berkaitan boleh tampil menjawab perkara ini,”jelas Zed yang kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang memandang mudah perkara seperti ini.

Zed juga menjelaskan dia telah bertemu dengan beberapa pihak berkenaan seperti PUSPAL dan Jabatan Imigresen bagi memperbincangkan isu ini. Selepas jelas mengenai hal ini barulah dia tampil bagi memperbetulkan keadaan kerana bagi Zed, hal seperti ini seperti menindas anak seni tempatan.

“Mungkin ramai ingat saya sekadar mahu bersuara, tetapi mereka tidak tahu apa yang saya cakap semua ada asasnya. Ada artis yang menghubungi saya dan berkata mereka setuju dengan apa yang saya katakan. Namun, mereka tidak boleh bersuara kerana bimbang akan dikecam oleh peminat artis-artis luar ini. Saya mahu umum tahu, anak seni tempatan jika mahu ke luar negara kena melalui pelbagai prosedur yang jauh lebih susah. Saya sendiri pernah ditahan di Imigresen di sebuah negara dan meminta saya menunjukkan semua dokumen bagi membolehkan saya memasuki negara itu untuk menjalani penggambaran.

“Tetapi lain pula dengan Malaysia. Jadi selain menjelaskan perkara ini, saya juga berharap pihak berkenaan lebih telus dan meneliti sebarang permohonan untuk mengelakkan perkara seperti ini berlaku lagi,”tambahnya lagi.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia ini mengingatkan pihak produksi supaya menjalani prosedur yang telah ditetapkan atau Seniman dan pihak berkaitan seperti Jabatan Imigresen, PUSPAL dan lain-lain akan mengambil tindakan ke atas mereka.

“Kalau saya dapat maklumat tentang salah laku seperti ini, saya dan pihak berkuasa tidak teragak-agak untuk menyerbu lokasi atau tempat penggambaran. Kerana bagi saya hal ini jika tidak dibendung akan membuatkan pihak produksi sewenang-wenangnya membawa artis luar tetapi kita sendiri bukan kata nak keluar, tempat sendiri pun susah nak cari rezeki.

“Saya tidak mahu minda kita terus dijajah, mengagungkan orang luar kerana mereka sendiri mengagungkan bangsa dan orang mereka sendiri kenapa tidak kita tidak boleh berbuat demikian. Ini semua akan memberi kesan pada jangkamasa yang panjang.

“Kalau tidak dibuat sekarang kita akan kehilangan identiti bangsa kita sendiri, dan perkara itu sudah berlaku pada industri muzik sampai ada yang keliru malah tidak tahu lagu yang mereka dengar itu lagu artis tempatan atau luar. Suara saya ini telah mendapat perhatian pelbagai pihak dan saya mahu umum jelas peranan saya bukan untuk menindas atau menjatuhkan sesiapa tetapi saya bercakap berdasarkan asas dan pandangan daripada umum dan tidak bersifat peribadi, apatah lagi perkara ini melibatkan undang-undang,”jelas Zed panjang lebar.

Itulah sedikit sebanyak petikan luahan dan komen dari Presiden Seniman, Zed Zaidi yang ammboi petik dari portal murai.com.my. Ternyata apa yang beliau katakan ada kebenarannya. Diharap pihak berkenaan dapat menjelaskan keadaan sebenar, kenapa dan mengapa artis ‘luar’ berkenaan boleh berkerja di Malaysia tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan. Andai kata Zed Zaidi tak boleh dipakai, maknanya tiada siapa lagi la yang ‘sanggup’ beri teguran lagi kan?

p/s : tunggu penjelasan KPKK dan Astro berhubung isu rancangan ‘ulang tayang’…


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.