Tan Sri Abdul Ghani Minhat – Lagenda Bola Sepak Negara Meninggal Dunia | Lagenda bola sepak Malaysia, Tan Sri Abdul Ghani Minhat meninggal dunia pada 10.35 pagi, Jumaat. Allahyarham berusia 76 tahun, merupakan salah seorang pemain bola sepak terkenal di Malaysia.

Allahyarham dilaporkan baru sahaja menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara beberapa hari lalu. Tan Sri Abdul Ghani adalah seorang penyerang hebat yang mewakili negara 1956-1963. Beliau mewakili Selangor pada 1955-1968.

– Al-fatihah –

Profile dan Biodata Tan Sri Abdul Ghani Minhat

Tan Sri Abdul Ghani Minhat (Jawi: اﺑدﻭل ﻏﺍﻧﻲ ﻣﻳﻧﻫﺍت lahir pada 23 Disember 1935) merupakan bekas pemain bola sepak Malaysia yang pernah mewakili pasukan Piala Malaysia Selangor pada tahun 1950-an sehinggalah penghujung 1960-an. Beliau beraksi sebagai penyerang dan sayap ketika mewakili Selangor dan Malaysia. Beliau pernah dihantar FAM untuk menjalani sesi latihan di Eintracht Frankfurt, Jerman. Beliau digelar sebagai Raja Bola di atas kehebatannya di padang dan merupakan salah seorang lagenda bola sepak Malaysia.

Kerjaya Datuk Ghani Minhat bermula pada tahun 1945 di sekolah Princess Road (kini Sekolah Kebangsaan Raja Muda) ketika berusia 10 tahun. Ketika mewakili sekolah Princess Road, dia beraksi dengan berkaki ayam. Dua tahun selepas itu, Ghani mewakili Sekolah St John Kuala Lumpur. Pada tahun 1951, bakat beliau dilihat oleh beberapa orang pegawai polis yang kemudiannay menghadiahkan but pertama beliau.

Ketika berusia 17 tahun, beliau terpilih untuk beraksi bersama pasukan Depot Polis yang beraksi dalam Liga Selangor. Beliau beraksi di posisi sayap kiri walaupun berkaki kanan. Peluang ini digunakan beliau untuk menggilap kemahiran menyepak menggunakan kedua-dua belah kaki. Pada tahun 1955, Ghani Minhat terpilih untuk bersama skuad Selangor dan membantu Selangor memenangi Piala Malaysia pada tahun berikutnya buat kali pertama selepas 6 tahun setelah menewaskan Singapura 2-1.

Pada tahun 1956, Ghani beraksi buat kali pertama bersama Malaysia. Penampilan pertamanya bersama Malaysia sangat menakjubkan apabila menjaringkan tujuh gol ketika membantu Malaysia menewaskan Kemboja 9-2. Tahun berikutnya, beliau menjaringkan gol pertama skuad negara dalam kejohanan sulung Pestabola Merdeka hasil sepakan dari 40 meter menentang Vietnam dalam perlawanan yang berlangsung di Padang TPCA, Princess Road. Namun skuad negara pulang hampa apabila gagal membawa pulang piala Pestabola Merdeka. Kehampaan itu berjaya ditebus pada tahun 1958 apabila membantu skuad negara menjuarai Pestabola Merdeka menewaskan Hong Kong 2-1 dalam perlawanan akhir.

Ghani kemudian membantu skuad negara mengekalkan kejuaraan Pestabola Merdeka pada 1959. Beliau kemudian mendapat gelaran Raja Bola dari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), gelaran yang kemudiannya digunakan oleh sesiapa sahaja merujuk kepada beliau. Beliau melengkapkan hatrik kejuaraan Pestabola Merdeka skuad negara setelah berkongsi kejuaraan bersama Korea Selatan pada 1960. Pada tahun ini juga, Ghani mencipta rekod jaringan yang kekal sehingga ke hari ini apabila menjaringkan 9 gol menentang Negeri Sembilan menjadikan jumlah jaringan beliau 34 gol dalam 9 perlawanan. Setahun selepas itu, Ghani bersama skuad negara meraih pingat emas Sukan SEAP di Rangoon, Burma (kini Myanmar). Dia juga membantu skuad negara memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1962.

Pada tahun 1963, Ghani bersama skuad lagenda Merah Kuning (Selangor) menjaringkan 106 gol dalam hanya 15 perlawanan termasuk rekod jaringan bola sepak Malaysia yang kekal ke hari ini iaitu menang 18-0 menewaskan Terengganu (Rekod sebelumnya dipegang Kelantan yang menewaskan Pahang 16-1 pada 1962 hasil 8 jaringan Mohamad Che Su). Dia kemudiannya menjaringkan 4 gol dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menewaskan pulau pinang dengan jaringan 6-2.

Pada tahun 1967, Ghani membantu Selangor layak beraksi di perlawanan akhir Kejuaraan Kelab Asia tetapi tewas kepada kelab Israel Hapoel Tel Aviv dengan jaringan 2-1. Beliau Bersara dari bola sepak pada tahun 1968 setelah membantu Selangor buat kali kelapan dalam kariernya menjuarai Piala Malaysia. Tambah menarik Selangor berjaya membenam Pulau Pinang 8-1 dalam perlawanan akhir. Beliau menamatkan karier sebagai pemain dengan nota cemerlang apabila berjaya menjaringkan lebih 100 gol dalam peringkat kebangsaan dan negara.

Beliau kemudian dihantar ke Jepun oleh Persatuan Bolasepak Malaysia untuk menghadiri kursus kejurulatihan. Selepas itu, dia dilantik untuk menjadi jurulatih sementara skuad kebangsaan dalam satu kejohanan di Tokyo. Ghani menamatkan zaman bujangnya dengan Tengku Aishah Tengku Ibrahim dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Nik Abdul Halim, Nik Salwani, Nik Sarina dan Nik Mohd Hanif. Beliau kemudian menjadi jurulatih pasukan kesayangannya Selangor pada tahun 1970 dan pada 1971 beliau menjadi orang pertama yang menjuarai Piala Malaysia dalam dua gelanggang berbeza iaitu sebagai pemain dan jurulatih. Beliau sekali lagi membawa Selangor menjuarai Piala Malaysia menewaskan Perak 3-1 pada 1972. Beliau kemudian meletak jawatan sebagai jurulatih kerana ingin menumpukan perhatian dalam bidang perniagaan.

10 tahun kemudian, Ghani kembali menjadi jurulatih Selangor menggantikan Chow Kwai Lam namun hanya bertahan selama tiga musim selepas gagal membantu pasukan menjuarai Piala Malaysia pada musim 1985 meskipun berjaya membawa Selangor menjuarai Piala Malaysia menewaskan Pahang 3-1 pada musim 1984 dan kembali ke bidang perniagaan. Pada tahun 2004, beliau kembali menabur bakti kepada Selangor. Kali ini sebagai Penasihat Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Beliau kemudian mengundurkan diri dari bola sepak Selangor dan beralih ke negeri kelahirannya sebagai Penasihat Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan.

Kejayaan :

  • Juara Pesta Bola Merdeka 1958, 1959, 1960
  • Pingat Emas Sukan SEAP 1961
  • Pingat Gangsa Sukan Asia 1962
  • Tempat ke-2 Kejohanan Kelab Asia 1967

(Sumber)


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.