Hiking merupakan aktiviti hujung minggu yang semakin mendapat hati di kalangan rakyat Malaysia terutamanya bagi golongan muda. Kalau lihat di media sosial, semakin ramai yang berkongsi gambar semasa melakukan aktiviti hiking bersama kawan-kawan. Malah support group untuk aktiviti hiking juga semakin banyak seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Bukan sahaja aktiviti untuk dilakukan bersama kawan-kawan, malah hiking juga merupakan aktiviti yang boleh anda lakukan seisi keluarga. Nak-nak lagi bagi bukit yang mudah didaki seperti Bukit Broga. Setiap pagi sabtu dan ahad, ramai yang datang sekeluarga ke sana untuk hiking bersama-sama.

Kalau anda kaki hiking, pasti anda tertanya ada tak tempat hiking di Selangor yang best selain Bukit Broga? Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan tempat hiking di Selangor yang wajib anda cuba sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

tempat hiking di selangor

Sumber: Bookmundi

1. Bukit Broga, Semenyih

Siapa yang tak kenal Bukit Broga? Bukit Broga merupakan tempat hiking yang paling popular di Malaysia. Senang cerita, anda tak boleh mengaku hiker kental kalau belum pernah sampai ke Puncak Broga. Bukit Broga menjadi lokasi hiking feveret di Malaysia kerana tahap kesukarannya yang sederhana. Masuk ke Bukit Broga adalah percuma namun anda perlu bayar RM2 untuk parking kereta.

Kalau anda belum pernah lakukan aktiviti hiking, dan ini kali pertama anda memanjat bukit. takde masalah. Pasti anda boleh sampai ke puncak Bukit Broga. Kami jamin. Tahap kesukaran Bukit Broga yang sederhana menjadikan ianya lokasi berhiking bersama keluarga. Ramai yang naik ke puncak Bukit Broga sambil membawa anak kecil. Malah ada yang naik Bukit Broga sambil menggendong anak dalam baby carrier.

Bukit Broga juga tak begitu tinggi. Tempoh perjalanan dari bawah ke puncak mengambil masa lebih kurang 40 minit sahaja. Kami cadangkan anda mulakan perjalanan seawal pukul 5 pagi supaya anda sempat sampai ke puncak Bukit Broga sebelum matahari terbit. Pemandangan matahari terbit dari puncak Bukit Broga memang superb. Tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Anda kena pergi sendiri untuk mengalaminya.

Namun, memandangkan Bukit Broga sangat terkenal, dan ramai hiker dari seluruh Malaysia datang ke sini, lokasi hiking ini sedikit sesak terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.

2. Canopy Walk Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong

Canopy Walk yang terletak di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia ( FRIM) Kepong merupakan tempat hiking yang popular di Selangor selain terkenal sebagai kawasan perkelahan dan air terjun di tengah bandar. Namun, anda perlu membuat bayaran untuk hiking di sini. Ada beberapa laluan untuk anda pilih dan harga tiket adalah berbeza untuk setiap laluan. Oleh itu, anda boleh memeriksa kadar bayaran di website FRIM Kepong.

Tahap kesukaran canopy walk adalah mudah. Jadi, sesuai untuk beginner. Namun, kami tak galakkan anda membawa kanak-kanak untuk hiking di sini kerana tak semua laluan hiking di sini sesuai untuk kanak-kanak. Tempoh perjalanan untuk sampai ke puncak mengamil masa selama 30 minit sehingga 1 jam, bergantung kepada laluan yang anda pilih dan keadaan cuaca. Kalau cuaca cantik, lagi cepat anda sampai ke puncak.

Waktu operasi canopy walk ialah pada hari Selasa hingga Khamis dan Sabtu Ahad dari pukul 9.30 pagi hingga 2.30 petang sahaja. Mengikut pengalaman kami, untuk memudahkan perjalanan aktiviti anda, lebih baik anda beli tiket dengan lebih awal sebelum datang ke sini.

3. Bukit Kiara Park, Taman Tun Dr Ismail (TTDI )

Mungkin anda tak tahu, di celah-celah kawasan perumahan elit di Taman Tun Dr Ismail terdapat sebuah taman yang bernama Bukit Kiara Park. Kebiasaannya, taman ini menjadi tumpuan warga kota untuk melarikan diri dari hutan batu-batu dan masuk ke hutan pokok yang hijau dan segar.

Ibu-ibu pasti tahu bahawa Bukit Kiara Park mempunyai sebatang sungai kecil yang biasa dijadikan sebagai lokasi menangkap ikan dengan jaring untuk anak-anak kecil. Walau pun dah tak banyak ikan kecil di sini, apa yang paling penting ialah anak ana berseronok dapat main air sambil cuba menangkap ikan. Di sini juga terdapat laluan pejalan kaki untuk anda berjoging, berbasikal, menunggang motosikal gunung dan menunggang kuda.

Selain aktiviti keluarga, yang sebenarnya Bukit Kiara Park juga semakin terkenal di kalangan kaki hiking di Malaysia. Ia menjadi pilihan ramai kerana tahap kesukarannya yang mudah. Sangan sesuai untuk beginner yang baru nak berjinak-jinak dalam sukan ekstrem ini. Apa yang paling penting, masuk adalah percuma. Anda tak perlu bayar apa-apa.

Perjalanan ke puncak juga tak begitu jauh. Biasanya, tempoh perjalanan dari bawah ke puncak mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah melalui laluan yang disediakan. Setelah berada di puncak, anda pasti terpegun dengan pemandangan bandaraya Kuala Lumpur dari puncak yang lain dari yang lain.

Mungkin anda terfikir, waktu malam pasti pemandangannya lagi cantik, dapat melihat bandaraya Kuala Lumpur bermandikan cahaya malam. Malangnya, anda tak dibenarkan untuk bermalam di sini. Maksudnya, anda kena turun sebelum hari menjadi gelap.

tempat hiking di selangor

Sumber: Poskod

4. KL Forest Eco Park, Bukit Nanas Kuala Lumpur

Bila sebut Bukit Nanas Kuala Lumpur, pastinya anda terbayangkan Menara Kuala Lumpur yang gah berdiri menghiasi bangunan mencakar langit di Bandaraya Kuala Lumpur. Tapi tahukah anda, anda juga boleh hiking di sini. KL Forest Eco Park menawarkan pengalaman hiking di tengah Bandaraya yang pastinya lain dari yang lain.

Anda boleh masuk dengan percuma tanpa sebarang bayaran. Ia dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi sehingga 7 petang bergantung kepada keadaan cuaca. Kalau hari hujan, taman eco ini akan ditutup sebagai langkah keselamatan. Tahap kesukaran hiking di sini adalah mudah dan sesuai untuk anda seisi keluarga. Tempoh perjalanan untuk ke puncak ialah lebih kurang 30 minit.

5. Air Terjun Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu

Air Terjun Sungai Chiling terkenal sebagai pusat perlindungan ikan kelah. Di sini, anda boleh berenang bersama ikan kelah yang bebas berenang di sepanjang sungai. Dengan bayaran masuk RM1 seorang, Air Terjun Sungai Chiling dibuka pada hari Jumaat, Sabtu, dan Ahad sahaja dari pukul 8.00 pagi sehingga 6 petang. Ia ditutup pada hari lain. Dan anda tidak dibenarkan bermalam di sini.

Tahap kesukaran tempat hiking ini adalah sederhana dengan tiga peringkat air terjun untuk anda daki. Perjalanan untuk sampai ke puncak mengambil masa lebih kurang satu jam, bergantung kepada kelajuan anda.

6. Gunung Nuang, Hulu Langat

Selain Bukit Broga, terdapat satu lagi tempat hiking yang popular di Hulu Langat iaitu Gunung Nuang. Namun ia tidak sepopular Bukit Broga kerana tahap kesukaran mendaki di Gunung Nuang adalah mencabar. Ia tidak berapa sesuai untuk beginner atau mereka yang langsung tiada pengelaman mendaki gunung.

Kebiasaannya, Gunung Nuang menjadi destinasi pilihan hikers otai di Malaysia. Walau bagaimana pun, walau pun anda masih berada pada tahap beginner, apa salahnya anda mencuba hiking di sini dengan syarat dalam kumpulan anda ada hiker berpengalaman yang boleh memandu anda semasa hiking di sini.

Gunung Nuang dibuka setiap hari dan anda boleh bermalam di sini. Untuk hikers yang suka berkhemah, pastinya teruja untuk melakukan trip Gunung Nuang. Perjalanan mendaki Gunung Nuang untuk sampai ke puncak mengambil masa selama 4 hingga 5 jam, bergantung kepada kelajuan kumpulan anda.

Jika mahu bermalam di Gunung Nuang, anda boleh pilih sama ada mahu berkhemah di tapak perkhemahan Kem Lolo atau Kem Pacat. Bayaran masuk ke Gunung Nuang ialah RM1 untuk sekepala.

tempat hiking di selangor

Sumber: Khairimuhamad

7. Bukit Tabur, Taman Melawati

Bukit Tabur merupakan satu lagi tempat hiking di Selangor yang ingin kami cadangkan kepada anda. Bukit Tabur terletak di Taman Melawati. Untuk mendaki Bukit Tabur, anda perlu mendapatkan permit dari Jabatan Perhutanan dengan bayaran sebanyak RM5 seorang.

Bukit Tabur juga dikenali sebagai The Dragon’s Backbone. Ia adalah quartz ridge terpanjang di dunia. Waktu operasi Bukit Tabur ialah pada hari Khamis, Sabtu, Ahad, dan cuti umum sahaja dari pukul 8.30 pagi sehingga 5 petang sahaja. Anda tidak dibenarkan untuk bermalam di sini.

Tahap kesukaran mendaki Bukit Tabur ialah mencabar. Jarak perjalanan untuk sampai ke puncak ialah 3 hingga 4 jam, bergantung kepada kelajuan kumpulan anda bergerak. Terdapat 2 laluan yang boleh anda pilih untuk mendaki Bukit Tabur iaitu Tabur West dan Tabur East. Untuk yang baru menceburkan diri dalam dunia hiking, kami cadangkan anda pilih Tabur West kerana laluannya lebih mudah berbanding Tabur East.

Setibanya di puncak Bukit Tabur, anda akan dihidangkan dengan pemandangan menarik Klang Gates Dam, Bukit Melawati, dan seluruh Bandaraya Kuala Lumpur.

8. Air Terjun Sungai Pisang, Gombak

Air terjun Sungai Pisang terletak di Gombak. Kalau nak senang, tempat hiking ini terletak di belakang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau UIA. Ia terletak di tepi Lebuhraya Karak sebenarnya, namun untuk sampai ke sini anda perlu melalui Jalan Gombak Lama.

Tahap kesukaran hiking di sini ialah mudah. Sesuai untuk sesiapa sahaja termasuk yang belum pernah ada pengalaman berhiking. Trek di sini sangat mudah, jelas kelihatan di atas tanah dan tidak sukar untuk dilalui. Perjalanan untuk mendaki ke atas ialah lebih kurang 30 hingga 40 minit, bergantung kepada kelajuan kumpulan anda bergerak.

Setibanya di puncak, anda pasti terpesona dengan air terjun dan sungai jernih yang amat menyegarkan. Selain hiking, Air Terjun Sungai Pisang juga terkenal dengan aktiviti waterfall abseiling dan zipline. Kalau anda jenis sukakan aktiviti lasak, bolehlah cuba. Selain itu, anda juga boleh mandi-manda sambil berkelah dan berbabeku di sini.

9. Lata Medang, Kuala Kubu Bharu

Kalau anda sukakan air terjun, Lata Medang merupakan tempat hiking di Selangor yang sesuai untuk anda. Dengan tahap kesukaran yang mudah, ia sesuai untuk sesiapa sahaja termasuk beginner. Namun kami nasihatkan anda memakai kasut yang sesuai kerana trek Lata Medang agak licin dan perlu meredah sungai.

Tempoh perjalanan untuk sampai ke air terjun ialah lebih kurang 2 hingga 3 jam, bergantung kepada kelajuan kumpulan anda bergerak. Nasihat kami, pastikan salah seorang daripada ahli kumpulan anda pernah sampai ke Lata Medang kerana tiada papan tanda sepanjang perjalanan dan terdapat banyak simpang-simpang yang menyesatkan.Sampai sahaja di air terjun, segala kepenatan anda akan hilang apabila melihat air terjun yang jernih dan sejuk.

10. Bukit Gasing, Petaling Jaya

Kalau anda baru nak menjinakkan diri dalam dunia hiking, Bukit Gasing sangat sesuai untuk anda. Ia merupakan tempat hiking di Selangor yang popular untuk aktiviti hiking santai di hujung minggu.

Tahap kesukaran mendaki di sini adalah mudah. Selepas mendaki lebih kurang 2 jam, anda akan disajikan dengan pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur. Jangan lupa untuk singgah di watch tower dan jambatan gantung merentasi sungai yang ada di sini.

Itulah dia 10 tempat hiking di Selangor yang ingin kami kongsikan kepada anda. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.