Negeri Perak yang merupakan negeri kedua terbesar ini bukan sahaja padat dengan tempat makan dan tempat bersiar-siar yang menarik, tetapi juga mempunyai tarikan lain yang membuatkan ramai kaki pancing tak sabar-sabar hendak ke sana.  Bagi kaki pancing, Perak adalah dunia lautan, tasik dan kolam yang mempunyai pelbagai khazanah alam hidupan laut yang membolehkan mereka melibatkan diri dalam aktiviti memancing.

Imej via [Oh Bulan]

Terdapat banyak tempat memancing di Perak untuk kaki pancing seperti anda.  Pastinya ramai individu, pelajar universiti berdekatan, kelab memancing serta anda yang sukakan cabaran memancing di tempat-tempat memancing di Perak yang menarik ini tidak ragu-ragu lagi untuk menghadirkan diri memancing di sini.  Mari kita lihat senarai tempat memancing di Perak untuk kaki pancing yang wajib anda tahu.

 

  1. Perkampungan Nelayan, Lumut

 

Imej via [Karangkraf]

Tempat memancing di Perak untuk kaki pancing yang menarik adalah Perkampungan Nelayan, Kampung Batu 3 yang terletak di Damar Laut, Lumut.  Anda boleh membeli umpan sebelum masuk ke kawasan ini kerana umpan-umpan di sini selalunya tiada dan cepat habis. Umpan seperti udang hidup boleh anda gunakan untuk memancing di sini.  

Perkampungan nelayan terkenal dengan kawasan perairan laut yang membolehkan anda memancing disini seawal 7 pagi sehingga 7 malam sahaja.  Terdapat 2 jeti pendaratan di sini yang boleh anda lihat ikan dibawa naik. Ramai pemancing yang memancing di perkampungan nelayan ini membawa pulang ikan siakap, mereka yang memancing di kawasan jeti akan dapat melihat nelayan atau pemancing membawa ikan naik ke darat pada waktu petang atau seawal pagi.  

Untuk pengetahuan anda, anda boleh mendapatkan chalet yang murah dan pelbagai kemudahan disini malah boleh memancing di jeti yang khas disediakan oleh pemilik chalet untuk anda yang merupakan kaki pancing.

 

  1. Tasik Temenggor, Perak

Imej via [Orang Perak]

Tasik Temenggor Perak adalah salah satu tasik yang popular di negeri Perak serta terkenal sebagai tasik buatan manusia yang terbesar di Perak.  Tasik Temenggor adalah lokasi untuk kaki pancing memancing ikan air tawar seperti ikan kelah, tenggalan dan juga ikan baung. Sepanjang percutian di sini, anda boleh memancing sepuas-puasnya tanpa ada gangguan kerana tempat memancing di Perak ini amat tenang dan indah untuk anda.

Ia meliputi kawasan alam semulajadi yang penuh dengan tumbuh-tumbuhan segar flora serta hidupan laut dan hutan fauna untuk anda yang amat sukakan alam natural.  Selain dari memancing disini, anda dapat lihat sebuah pulau yang terdapat disini iaitu Pulau Cendana. Banyak kisah dan mitos dahulu kala berkenaan dengan pulau ini, namun anda boleh fokus memancing disini dengan tenang.

 

  1. Rumah Rakit, Lumut

Imej via [Variousdaily]Terdapat tempat memancing di Perak yang menarik untuk kaki pancing iaitu Rumah Rakit yang terletak di Lumut, Perak. Rumah rakit ini ala-ala rumah di atas air yang membolehkan anda menikmati kehidupan sebagai seorang pemancing selama 24 jam.  Keseronokan memancing di sini boleh anda rasai bersama keluarga atau kawan-kawan kerana kawasan ini amat selamat untuk membawa anak-anak dan keluarga.

Selain mempunyai kemudahan seperti tandas, bilik tidur dan peralatan memasak, anda bebas menggunakan peralatan memancing seperti joran dan lain-lain lagi.  Tambahan pula, anda boleh memasang jorang panjang dan pendek sepanjang di kawasan rumah rakin ini kerana tidak mengganggu orang lain. Hanya anda dan keluarga yang memancing di ruangan anda. Selesa sangat kan? Anda juga boleh menggunakan pelbagai umpan untuk memancing di sini seperti isi ikan, sotong dan juga udang hidup.

 

  1. Rockbund Fishing Chalet

Imej via [Booking.com]

Chalet Rockbund Fishing adalah tempat memancing di Perak yang ditubuhkan dalam bentuk chalet dimana anda boleh menginap dan memancing di sini.  Chalet Rockbund Fishing ini menghadap lautan luas dan mempunyai susunan bangunan yang teratur bagi memudahkan semua penginap mendapat ruangan tersendiri untuk memancing.  

Untuk pengetahuan anda, terdapat ruang pelantar khas yang boleh anda gunakan untuk memancing bersama keluarga dan rakan-rakan. Banyak hasil tangkapan menarik yang boleh anda dapatkan disini seperti ikan jenahak, senangin, kerapu dan lain-lain lagi.  Rockbund Fishing Chalet ini juga sesuai untuk anda beriadah, bersiar-siar dan menghimpunkan koleksi gambar anda. Anda tidak perlu membuat pembayaran jika ingin masuk ke sini untuk melawat dan bergambar.

 

  1. Kolam Pancing Air Masin, Marina Island, Lumut

Imej via [Hasrul Hassan]

Lumut bukan sahaja terkenal sebagai tempat peranginan yang boleh anda bersiar-siar dan mendapatkan tempat makan yang menarik, tetapi anda boleh mendapatkan tempat memancing yang pastinya menguntungkan semua kaki pancing yang berkunjung ke sini.  Kolam Pancing Air Masin yang terletak di Marina Island ini menjadi pilihan ramai kaki pancing kerana kemudahan serta keseronok mendapat ikan setiap kali anda memancing di sini.

Kolam Pancing Air Masin yang ditubuhkan pada tahun 2016 ini mempunyai kelebihannya yan tersendiri di mana anda mudah mendapat ikan dan boleh mengupah staff disini untuk masa ikan pancingan anda. Anda juga boleh menikmati hidangan makanan yang dijual disini seperti masakan panas, ikan bakar dan lain-lain lagi. Untuk pengetahuan anda, bayaran masuk yang dikenakan adalah bersesuaian dengan keadaan dan aktiviti anda disini iaitu RM100 selama 3 jam (paling minimum).

6.  Segari, Perak

Imej via [Youtube]

Segari, Perak terletak berdekatan dengan Teluk Senangin dan merupakan sebuah pantai yang pernah tergempar dengan kemunculan dugong-dugong suatu masa dahulu.  Tempat beriadah ini sesuai untuk anda yang merupakan kaki pancing malah tempat memancing di Perak ini mempunyai pantai serta tasik yang kedua-duanya boleh digunakan untuk memancing

Anda boleh memancing di pondok terapung sambil menikmati hidangan petang atau makan pagi beramai-ramai. Seandainya anda memilih lautan, anda boleh ke Pantai Pasir Panjang untuk memancing. Sama konsepnya seperti Teluk Senangin, ramai orang Perak dan pelancong tempatan lain yang berkunjung ke sini. Tidak kurang juga pelancong luar.

 

  1.  Teluk Rubiah, Perak

Imej via [Pulau-Pangkor]

Siapa sangka Teluk Rubiah, Perak juga merupakan tempat memancing di Perak untuk kaki pancing? Bagi kaki pancing yang sukakan kesunyian dan keghairahan dalam memancing tanpa ada sebarang gangguan, Teluk Rubiah adalah tempat yang sesuai untuk anda.  Teluk Rubiah tidak bising dan tidak terlalu ramai orang seperti pusat peranginan lain, tetapi ia amat tenang dan membolehkan anda fokus 100% untuk memancing.

Teluk Rubiah yang berdekatan dengan Teluk Batik ini mempunyai kelengkapan dari segi chalet, penginapan, restoran tempat makan, pantai untuk mandi-manda, memancing dan lain-lain lagi aktiviti.  Anda boleh memancing serta menyewa bot dari Teluk Rubiah untuk ke pulau berdekatan sambil memancing di atas bot. Pulau berdekatan yang sesuai untuk anda memancing adalah Pulau Katak.

 

  1.  Kuala Gula, Batu kurau

Imej via [TelukMedan]

Kuala Gula yang merupakan tempat memancing di Perak sesuai untuk kaki pancing ini terletak di Kuala Kurau, Perak.  Sekiranya anda datang dari Lebuhraya Utara selatan, anda boleh exit di Bukit Merah dan ikut ke Kuala Kurau sehingga berjumpa Kuala Gula.  Ia terletak di kawasan pedalaman dan tidak dekat dengan laluan besar bagi anda yang menggunakan jalan besar atau highway.

Untuk pengetahuan anda, Kuala Gula adalah Bird Santuari yang mempunyai pelbagai jenis spesis burung, namun terdapat tempat memancing terbaik bak kata orang, ‘tempat pancing banyak ikan’ disini. Maka tidak hairanlah ramai kaki pancing menjadikan Kuala Gula ini salah satu port memancing pada hari minggu.  Tempat memancing di Perak ini juga sesuai jika anda membawa anak, isteri dan keluarga anda bagi memeriahkan suasana disini kerana terdapat banyak aktiviti yang boleh mereka lakukan selain memancing.

Jika anda datang dari jauh, rugilah sekiranya anda tidak menggunakan kemudahan chalet terapung yang mempunyai ruangan memancing dari chalet.  Anda boleh membawa semua kelengkapan memancing anda termasuklah umpan ke dalam chalet bagi memulakan aktiviti memancing anda sambil beristirehat di chalet.  Hanya berada dalam chalet anda sahaja, anda boleh menyentap pelbagai jenis ikan seperti ikan siakap, ikan gelama, ikan duri dan lain-lain lagi.

 

  1.  Sungai Kinta, Perak

Imej via [thymothytye]

Sungai Kinta, Perak adalah sebuah sungai panjang yang mengalir dari Gunung Kolbu, Ulu Kinta di Tanjung Rambutan. Ia mengalir jauh memasuki kawasan Ipoh, Pasir Putih, Batu Gajah dan lain-lain lagi.  Kawasan Sungai Galah yang menjadi nadi aliran Sungai Kinta ini mempunyai sebuah spot memancing yang boleh dijadikan sebagai tempat memancing di Perak sesuai untuk kaki pancing.

Anda boleh menaiki bot ke sini melalui Sungai Kinta dari Tapah Road, Ladang Rakyat dan juga Chenderong Balai yang mengambil masa selama setengah jam atau 40 minit. Sebenarnya, memang berbaloi anda memancing di kawasan ini kerana anda boleh mendapatkan pelbagai jenis ikan seperti ikan belida, toman, lampan, sebarau, patin, baung, jelawat, tapah dan lain-lain lagi. Anda juga boleh menangkap udang galah disini.

 

  1.  Jambatan Raja Bainun

Imej via [Pancing2u]

Jambatan Raja Bainun yang merupakan tempat memancing di Perak berkonsepkan santai dan riadah ini terletak 5KM dari Lumut, Perak.  Datang sahaja ke sini kerana anda boleh menaiki bot untuk memancing di sekitar Jambatan Raja Bainun terutamanya di tepi-tepi tiang jambatan yang juga sering disebut sebagai rumah ikan.

Pasti anda puas hati memancing di sini kerana ikan-ikan yang memunculkan diri bukan calang-calang ikan. Anda pasti akan dapat menangkap ikan pari, ikan jenahak, talang, ketuka, belukang dan banyak lagi. Sekiranya anda mengambil tempat di tepi-tepi batu tanpa menaiki bot, jangan risau, ikan tetap banyak dan meriah untuk anda walaupun anda  menggunakan jala atau rod pancing.

Imej via [anglersmedia]

Banyak hasil tangkapan ikan yang boleh anda dapatkan sepanjang berada di tempat memancing yang menjadi sebutan ramai kaki pancing ini.  10 tempat memancing di Perak ini sememangnya sesuai untuk kaki pancing melepaskan tekanan mereka serta menghabiskan masa untuk bergembira dengan hasil tangkapan mereka yang menarik dan memuaskan. Jom berkunjung ke tempat memancing di Perak! Anda juga dijemput melihat 10 Tempat Menarik di Tasik Kenyir dan 10 Tempat Menarik di Kajang Yang Ramai Tidak Tahu.

 

Rujukan:

  1. Wikipedia
  2. Sinar Harian
  3. Utusan

 

Penulis: Zushazrina Zulkifli

Merupakan penulis bebas sepenuh masa yang suka berkongsi tips, ilmu dan penulisan di Malaysia.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.