Kebiasaannya orang sering kaitkan percutian bulan madu di Bali. Namun, tidak keterlaluan untuk kami katakana, bahawa Bali bukan sahaja sesuai untuk pasangan yang inginkan percutian yang romantik, tetapi juga ia sesuai untuk mereka yang cintakan keindahan alam semula jadi dan sukakan cabaran serta aktiviti lasak. Ini kerana banyak kawasan di sekitar Bali yang masih segar dan tidak terusik oleh pembangunan dan kemodenan. Jom kita lihat 18 tempat menarik yang anda boleh lawati di sekitar Bali untuk percutian anda di sana nanti.

 

1) Pantai Kuta

Pantai Kuta

Imej via holiday-land

Pada asalnya, Pantai Kuta merupakan perkampungan nelayan yang aman dengan suasana kampung dan jauh dari pembangunan serta kemodenan. Namun kini, ia telah menjadi kawasan tarikan pelancong, terutama pada bulan Julai hingga Ogos dan musim cuti Krismas dan Tahun Baru.

Kawasan sekitar Pantai Kuta kini dibangunkan dan dipenuhi dengan kedai-kedai makan dan tempat-tempat penginapan termasuklah tempat hiburan. Hal ini menyebabkan pantai ini menjadi sangat meriah. Jika anda sukakan kawasan yang meriah, anda bolehlah pertimbangkan untuk menginap di Pantai Kuta.

 

Lokasi: Kuta Beach, Kuta, Badung Regency, Bali

 

2) Seminyak

Seminyak

Imej via trendsplustravel

Seminyak adalah tumpuan para pelancong yang inginkan percutian yang mewah tetapi meriah. Di sinilah terkumpulnya tempat membeli-belah, restoren serta tempat penginapan yang mewah-mewah. Resort serta hotel di sini kebanyakannya bertaraf antarabangsa dan lengkap dengan spa. Jika anda berhajat untuk hadiahkan keluarga anda sebuah percutian yang bertaraf 5 bintang di Bali, Seminyaklah destinasi yang ideal buat anda sekeluarga. Di Seminyak juga terdapat banyak kawasan pantai yang indah untuk anda bersantai bersama keluarga.

 

Lokasi: Seminyak, Kuta, Badung Regency, Bali

 

 

3) Air Terjun Tukad Cepung

Air Terjun Tukad Cepung

Imej via dolandolen

Selain daripada Pantai Saluban yang anda perlu menaiki tangga yang curam untuk sampai, ini lagi satu tempat yang anda perluakn kegigihan untuk anda sampai ke tempatnya. Air Terjun Tukad Cepung yang berketinggian 15 meter ini dikelilingi oleh tebing batu. Anda perlu menyelinap di sebalik tebing-tebing yang berupa seperti gua untuk sampai ke sini. Fuh! Memang mencabar.

Tetapi kesukaran akan terbayar dengan keindahan alam semula jadi di Air Terjun Tukad Cepung. Sekali pandang, air terjun ini seperti jatuh dari langit kerana silauan cahaya matahari yang memancar di tengah-tengah tebing. Itulah sebabnya ar terjun ini dipanggil sebagai air terjun dari langit.

 

Lokasi: Tukad Cepung Waterfall, Jl. Tembuku, Dusun Penida Kelod, Tembuku, Bangli, Tembuku, Kabupaten Bangli, Bali 80671

 

4) Kampung Penglipuran

Kampung Penglipuran

Imej via sportourism

Kampung Penglipuran merupakan sebuah kawasan kampung tradisional yang terletak di kawasan tanah tinggi 700 meter dari aras laut. Oleh kerana ia terletak di kawasan pergunungan, maka cuaca yang sejuk ini membuatkan penduduk setempat menjalankan aktiviti pertanian di sini. Ladang pertanian dan hutan pokok buluh yang agak luas dan terpelihara dengan baik mencantikkan lagi pemandangan Kampung Penglipuran.  Bersiar-siar di kawasan kampung ini memberikan anda suatu ketenangan dan tak mustahil untuk anda berangan seolah-olah anda kini berada pada zaman lampau yang mana kehidupannya tidak disentuh oleh pembangunan. Yang mana, ia adalah suatu suasana yang aman mendamaikan.

 

Lokasi: Jl. Penglipuran, Kubu, Kec. Bangli, Kabupaten Bangli, Bali

Harga Tiket: Dewasa Rp30.000 | Kanak-kanak Rp25.000

 

5) Pantai Suluban

Pantai Suluban

Imej via superadventure

Pantai Suluban tidak semeriah pantai-pantai yang lain. Jika anda mencari pantai yang sangat tenang, Pantai Suluban adalah pilihan yang baik. Namun, untuk sampai ke pantai ini, ia memerlukan sebuah kegigihan anda perlu menaiki tangga batu yang agak curam untuk ke sini. Jika anda membawa anak-anak kecil, pastikan keselamatan mereka ketika menaiki atau menuruni tangga ini.

Sewaktu tengah hari, air laut agak surut, jadi sangat sesuai untuk anda bermandi-manda di sini. Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah meluncur ombak kerana ombak di sini kuat dan tidak mudah pecah. Selain itu, anda juga boleh berenang di dalam kolam kecil yang ada di sekitar air laut.

 

Lokasi: Jalan Pantai Suluban, Pecatu

 

6) Pantai Sanur

Pantai Sanur

Imej via angkutkoper

Pantai Sanur juga antara kawasan pelancongan yang sesuai untuk anda menginap. Penginapan di sini boleh dikategorikan eksklusif tetapi tidaklah semahal penginaan di Seminyak. Apa yang menarik di sini adalah pantainya yang menjadi tarikan peminat aktiviti-aktiviti air. Walaupun begitu, ia tidaklah sesibuk kawasan pantai yang lain dan cukup bersih. Di pantai ini juga terdapat kedai-kedai untuk kemudahan anda.

 

Lokasi: Sanur, Bali

 

7) Tasik Beratan

Bedugul Bali

Imej via catperku

Tasik Beratan dikatakan salah satu daripada 20 tasik terindah di dunia ini. Ia terletak pada ketinggian 1,240 meter dari aras laut. Maka tidak hairanlah kawasan ini mencecah 18 darjah celsius pada waktu malam manakala pada sebelah siang pula sekitar 24 darjah Celsius.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini seperti ski air, berkayak dan parasailing. Jika anda ke sini, pastikan pakaian anda sesuai untuk aktiviti yang ingin dijalankan dan juga cuaca sejuk di sini.

Antara yang menarik di Tasik Beratan ini adalah Pura Ulun Danu Bratan iaitu sebuah kuil ikonik di Bali dan banyak lagi tarikan semulajadi yang lain.

 

Lokasi: Jl. Bedugul, Candi Kuning, Tabanan 80345

 

8) Kebun Raya Bali

Kebun Raya Bali

Imej via kintamani

Kebun Raya Bali ataupun The Bali Botanic Garden ini merupakan sebuah taman botani yang terbesar di Indonesia. Ia terletak di kawasan pergunungan Bedugul. Taman ini terletak di kawasan berketinggian 1,300 meter dari aras laut. Dengan ketinggian ini, suhunya yang dingin membolehkan tumbuhan sesuai ditanam di sini. Antara tanaman yang ada seperti pelbagai jenis orkid, bunga-bungaan seperti ros dan macam-macam lagi. Selain itu, anda sekeluarga juga dapat menyaksikan pelbagai jenis burung berterbangan di udara. Dikatakan terdapat sekitar 79 jenis burung di sini. Dari ketinggian ini, anda bukan sahaja dapat melihat pelbagai jenis tanaman yang cantic dan burung-burung berterbangan, tetapi juga dapat melihat Kuil Ulun Danu dan Tasik Beratan yang sangat indah.

 

Lokasi: Jl. Kebun Raya Eka Karya | Candikuning, Tabanan 82191

 

10) Ujung Water Palace

Ujung Water Palace

Imej via balijungletrekking

Ujung Water Palace merupakan istana yang telah dibina oleh Raja dari Karangasem. Ia mula dibina pada tahun 1901. Namun kini, ia turut dikenali sebagai Taman Ujung atau Taman Sukasada. Istana ini dahulunya pernah mengalami kerosakan yang dahsyat akibat limpahan gunung berapi Gunung Agung pada tahun 1963 dan gempa bumi pada tahun 1975. Namun, proses pemulihan telah banyak dijalankan sejak dari itu untuk memberi peluang kepada generasi muda melihat kemegahan istana purbakala ini.

 

Lokasi: Tumbu Village of Karangasem, Bali

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00pagi – 6.00petang)

Harga Tiket: Rp10.000

 

11) Tirta Gangga

Tirta Gangga

Imej via travelonline

Tirta Gangga sebuah taman air peninggalan kerajaan Bali. Ia dibina sebagai tanda penghormatan bagi masyarakat Hindu di Bali. Tirta Gangga bermaksud air yang mengalir dari Sungai Gangga. Bagi masyarakat Hindu di India, Air Sungai Gangga dianggap suci, begitu jugalah dengan air di Tirta Gangga ini dan mereka turut melakukan upacara adat di sini.

Di sinilah terletaknya Istana Air Tirta Gangga, sangat indah pemandangan yang ditawarkan di sini.  Dikelilingi oleh kolam-kolam, pancuran air, taman yang indah dan ukiran-ukiran batu.  Cukup menarik dan unik untuk dijadikan lokasi bergambar. Kalau anda teringin berendam badan di dalam kolam-kolam yang terdapat di sini, anda perlu membayar caj tambahan sebanyak Rp10.000.

 

Lokasi: Ababi, Abang, Kabupaten Karangasem, Bali 80852

Waktu Operasi: Pejabat Jualan Tiket (7.00pagi – 6.00petang)

Harga Tiket: Dewasa Rp20.000 | Kanak-kanak Rp10.000

 

12) Kintamani

Kintamani

Imej via panduanwisata

Kintamani merupakan kawasan perkampungan yang terletak di sebelah barat Gunung Batur. Untuk pengetahuan anda, di sinilah terletaknya Pura Tuluk Biyu yang merupakan tablet batu yag berusia lebih daripada 1,000 tahun.

Memandangkan lokasinya terletak di kawasan tanah tinggi, maka pastikan pakaian anda bersesuaian dengan cuaca sejuk di sini. Kawasan tanah di Kintamani juga disuburkan dengan beberapa tanaman seperti pokok-pokok lemon, koko dan kopi.

Pemandangan di sini sangat cantik dan mendamaikan. Datanglah ke sini untuk menikmati panorama indah dan menghirup udara segar yang nyaman.

 

Lokasi: Kintamani, Bali 80652

 

13) Gunung Batur

Gunung Batur

Imej via trover

Gunung Batur bukan sebarang gunung. Tetapi ia adalah sebuah gunung berapi yang masih aktif. kali terakhir gunung ini melepaskan lavanya adalah pada tahun 2000. Bagi anda yang sukakan cabaran, bolehlah pecahkan rekod anda sendiri dengan mendaki Gunung Batur. Selalunya daki bukit dan gunung yang bukan berapi, tapi pendakian anda di Gunung Batur akan berikan anda satu pengalaman yang luar biasa.

Panorama yang disajikan dari puncak gunung yang berketinggian 1,717  meter dari aras laut ini memang cantik, terutama sekali pemandangan ketika matahari terbit. Di atas puncak gunung, terdapat kawasan kem yang lengkap dengan kerusi dan meja. Jadi bolehlah anda berehat sebentar di sini sambil menikmati pemandangan yang indah di sini.

 

Lokasi: Mt Batur, South Batur, Kintamani, Bangli Regency, Bali

Harga Tiket: Rp10.000

 

14) Hot Spring Volcano

baligardenbeachresort

Imej via baligardenbeachresort

Setelah gigih mendaki Gunung Batur, anda boleh merehatkan otot-otot yang penat dengan berendam di dalam kolam air panas di Hot Spring Volcano. Berendam dalam air panas bersuhu 38 ke 39 darjah celsius ini memang memuaskan lebih-lebih lagi dengan kawasan persekitaran gunung yang sangat sejuk. Pengalaman yang sangat rare dan susah nak dapat di tempat lain. Kepenatan mendaki gunung seolah hilang dengan adanya kolam air panas ini di atas pergunungan Batur.

 

Lokasi: Desa Pekraman Batur, Toya Bungkah, Kintamani, Bangli, Bali

Harga Tiket: Rp30.000

 

15) Istana Puri Saren Ubud

Istana Puri Saren Ubud

Imej via jejakpiknik

Istana dibina oleh Tjokorda Ida Putu Kandel pada abad ke-19. Sebaik anda sampai ke istana ini, anda dapat melihat betapa megahnya bangunan ini daripada tembok merahnya yang berdiri teguh. Anda juga akan dapat melihat ukiran-ukiran motif di dinding istana ini. Manakala, di kiri dan kanan pintu masuk istana ini diapit oleh patung yang kelihatan tegas menjaga  istana.

Istana Puri Saren Ubud bukan sahaja tempat untuk anda melihat kemegahan seni bina tradisional Bali, tetapi anda juga berpeluang untuk melihat pementasan tarian tradisional Bali yang berbeza setiap hari, Tarian Legong dipersembahkan pada setiap hari Isnin, Rabu, Khamis, Sabtu dan Ahad. Tarian Ramayana Ballet pada hari Selasa. Tarian Barong pada hari Rabu dan Jumaat. Manakala, Tarian Keris pada setiap hari Jumaat.

 

Lokasi: Jl. Raya Ubud, Puri Saren Palace, Ubud 08671

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00pagi – 7.00malam)

 

16) Bali Safari & Marine Park Gianyar

Bali Safari & Marine Park Gianyar

Imej via oddviser

Di Bali Safari & Marine Park Gianyar, anda bakal menyaksikan sekitar 80 spesies dan 400 spesimen haiwan yang didatangkan dari negara Afrika, India dan Indonesia sendiri. Antara daya tarikan di sini adalah harimau putih yang didatangkan dari India, dan kawasan perkampungan gajah.

Penat nak berjalan kaki untuk teroka seluruh taman safari ini? Jangan risau kerana perkhidmatan trem turut tersedia untuk kemudahan para pengunjung. Terdapat banyak persembahan dari haiwan-haiwan yang dijalankan di sini. Pastikan anda cakna dengan jadual persembahan ini agar anda tidak terlepas melihat aksi hebat haiwan-haiwan ini.

 

Lokasi: Jl. Bypass Prof. Dr. Ida Bagus Mantra Km. 19,8, Serongga, Kec. Gianyar, Kabupaten Gianyar, Bali 80551

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00pagi – 5.00petang)

Harga Tiket: (Online): Breakfast with Lion including Elephant Back Safari Rp1.500.000| Jungle Hopper Rp720.000| Dragon Rp990.000| Adventure Rp570.000| Elephant Back Safari Rp1.125.000| Leopard Rp1.440.000| Rhino Rp1.890.000| Night Safari Rp990.000

 

17) Tegallalang Rice Terraces

Tegallalang Rice Terraces

Imej via absolutescubabali

Tegallalang adalah sebuah kawasan sawah padi yang sangat cantik persis sebuah lukisan yang indah. Ia sering menjadi lokasi pilihan ramai pelukis pemandangan. Di kawasan sekitar juga terdapat banyak gerai-gerai makan untuk anda sekeluarga mengisi perut yang kosong sambil menikmati pemandangan penuh kehijauan yang terbentang luas di depan mata. Sekalipun anda bukan seorang pelukis, anda abadikan pemandangan indah ini di sekeping foto juga sudah sangat beruntung untuk kenang-kenangan anda.

 

Lokasi: Jalan Tegallalang, Tegallalang, Kabupaten Gianyar, Bali 80561

Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00pagi – 6.00petang)

Harga Tiket: Rp10.000

 

18) Bali Bird Park

Bali Bird Park

Imej via kupubarongubud

Bali Bird Park menempatkan hampir 1000 burung eksotik yang bukan sahaja dari Indonesia, malahan dari seluruh dunia. Antara spesies burung yang terdapat di sini termasuklah burung merak dan burung kakak tua. Anda juga dapat melihat pertunjukan Flight Bird Show yang mana burung pemangsa akan terbang untuk mencapai makanan yang dipegang oleh penjaga burung.

Dengan keluasan taman sebesar 2 hektar ini, bukan burung sahaja yang ada di sini, malah terdapat juga Taman Reptilia yang menempatkan haiwan-haiwan seperti buaya, penyu, kura-kura dan banyak lagi.

 

Lokasi: Jl. Serma Cok Ngurah Gambir, Singapadu, Batubulan, Sukawati, Kabupaten Gianyar, Bali 80582

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00pagi – 5.30petang)

Harga Tiket: Rp385.000

 

19) Waterbom Bali

Waterbom Bali

Imej via waterbom

Waterboom Bali merupakan sebuah taman tema air. Dah puas menerokai alam semula jadi yang terdapat di sekitar bali, apa kata anda luangkan masa di taman tema ini pula untuk berhibur. Antara tarikan utama di sini adalah gelongsor Climax yang merupakan gelongsor air tercuram di Asia. Bukan itu sahaja, malah ada banyak lagi aktiviti yang mencabar terdapat di sini.

Tetapi tidaklah semuanya mencabar. Sekiranya anda inginkan aktiviti air yang lebih relaks, anda boleh mencuba aktiviti Lazy River. Seperti mana namanya, anda boleh bermalas-malas di atas pelampung, hanya duduk diam dan biarkan air ini bergerak membawa anda sekeluarga menyelusuri air sambil menikmati panorama indah flora di kiri dan kanan.

 

Lokasi: Jl. Kartika Plaza Tuban, Kuta – Bali 80361

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00pagi – 6.00petang)

Harga Tiket: (Single Day Pass): Dewasa Rp442.000 | Kanak-kanak Rp315.000

 

Itulah dia 18 tempat menarik di Bali, Indonesia yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Bali, Indonesia. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Bandung dan Tempat Menarik Di Pontianak.


Penulis: Anisah Husna Ismail

Anisah Husna Ismail

Nama saya Anisah Husna.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.