Batu Pahat adalah salah satu daerah yang terdapat di Johor. Pada tahun 2012, Batu Pahat menjadi bandar ke-16 di seluruh Malaysia yang pesat membangun, akibat limpahan perkembangan perindustrian dan juga bidang pendidikan. Selain itu, Batu Pahat juga terkenal dalam kalangan warga Singapura dan mereka menggelarnya sebagai ‘Syurga Membeli-Belah di Johor’. Di Batu Pahat juga, bukan setakat ada tempat-tempat menarik untuk dilawati, malah banyak juga kedai makan yang popular di sini. Nak tahu apa yang best di Batu Pahat, Johor? Jom kita lihat 19 tempat menarik yang anda boleh lawati di sini.

 

1) Dataran Penggaram

Dataran Penggaram

Imej via wikipedia

Hampir setiap bandar mempunyai datarannya yang tersendiri sebagai salah satu tarikan yang terdapat di bandar tersebut. Begitulah juga Batu Pahat yang mempunyai Dataran Penggaram ataupun Dataran Batu Pahat yang agak meriah terutamanya pada musim cuti sekolah dan setiap hujung minggu. Kemeriahan di sini ditambahkan lagi dengan pelbagai penganjuran acara seperti pameran, ceramah, persembahan kebudayaan dan banyak lagi.

Pemandangan di dataran ini memang cukup meriah terutamanya pada waktu malam. Ini kerana cahaya lampu neon daripada pokok-pokok menceriakan suasana persis di I-City Shah Alam.

 

Lokasi: Jalan Rahmat, Kampung Bahagia, 83000 Batu Pahat

 

2) Tugu Batu Pahat

Tugu Batu Pahat

Imej via kotastar

Di Dataran Penggaram juga terdapat Tugu Batu Pahat yang menjadi mercu tanda bagi Batu Pahat ini terletak di Dataran Penggaram. Tugu Batu Pahat ini memiliki rekaan yang cukup unik menggambarkan nama ‘Batu Pahat’ itu sendiri dengan tangan yang tergantung dan memegang pahat.

Nama Batu Pahat ada lagendanya yang tersendiri. Batu Pahat dipilih sebagai nama daerah ini kerana peristiwa bersejarah yang dikatakan berlaku pada sekitar tahun 1456. Pada waktu itu, tentera Siam telah datang menyerang kampung Minyak Beku dan telah memahat batu-batuan untuk mendapatkan bekalan air bersih. Malah ada juga yang menyatakan terdapat peristiwa lain yang menyebabkan dapatnya nama Batu Pahat ini. Iaitu peristiwa di mana Kota Afamosa di Melaka di bina daripada batu-batu granit yang terdapat di muara Sungai Batu Pahat. Maka, Bandar Batu Pahat mendapat namanya sempena batu yang dipahat di muara sungai itu.

 

Lokasi: Jalan Rahmat, Kampung Bahagia, 83000 Batu Pahat

 

3) Batu Pahat Walk

Batu Pahat Walk

Imej via wikipedia

Batu Pahat Walk adalah kawasan yang terletak di sepanjang Jalan Rahmat. Jika anda seorang yang food hunter dan mencari kawasan yang meriah terutama pada waktu malam, Batu Pahat Walk adalah destinasi yang sesuai untuk anda terjah.

Terdapat banyak gerai makan yang terdapat di sepanjang jalan ini. Antara menu yang boleh ditemui di sini adalah sup yang beraneka rasa, mee bandung, sate, mee rebus dan banyak lagi masakan goreng lain menggoda tekak dan perut anda.

 

Lokasi: Jalan Rahmat, 83000 Batu Pahat

 

4) Wet World Batu Pahat

Wet World Batu Pahat

Imej via zouldahanblog

Aktiviti mandi-manda sememangnya jadi keseronokan dan aktiviti bonding time yang best dalam keluarga apatah lagi buat anak-anak kecil. Jika anda tercari-cari taman tema air untuk anda sekeluarga bermandi-manda, Wet World Batu Pahat adalah tempatnya.

Walaupun taman tema air ini tidaklah besar seperti Legoland, tetapi ia lengkap dengan bermacam jenis tarikan untuk kepuasan para pengunjung. Ada gelongsor air yang panjang, kolam renang berombak, Kiddy Pool dan banyak lagi.

 

Lokasi:  Lot 138, Jalan Bukit Pasir, Tasik Bukit Pasir, Batu 1/2, Johor, Kampung Batu Pasir, 83000 Batu Pahat

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 6.00pm) | Rabu Tutup (Kecuali Pada Musim Cuti)

Bayaran: Dewasa RM20 | Kanak-kanak RM17

 

5) Glow Park

Glow Park

Imej via srohana

Jika pada sebelah siang dah dah puas bermandi-manda di Wet World Batu Pahat, anda bolehlah melihat keindahan Glow Park pada waktu malam pula.  Glow Park ini terletak di Wet World Batu Pahat. Glow Park ini ibarat taman i-City di Shah Alam. Taman ini dihiasi dengan limpahan lampu yang berwarna-warni. Berbacam-macam bentuk hiasan lampu direka dengan sangat kreatif di sini. Ada bentuk penguin, kuda, zirafah dan banyak lagi. Malah ada juga kipas berlampu yang berpusing bila ditiup angin.

Di sini juga terdapat kedai-kedai makan di tepi tasik. Dah puas cuci mata melihat kecantikan lampu dan bergambar kenangan di sini, bolehlah isi perut di kedai makan pula.

 

Lokasi: Batu Pahat, 83000 Batu Pahat, Johor

 

6) Bulatan Simpang Rantai

Bulatan Simpang Rantai

Imej via travelmalaysia

Selain dataran dan sebuah tugu, satu lagi lokasi yang menjadi mercu tanda Batu Pahat adalah Bulatan Simpang Rantai. Bulatan ini menghubungkan Jalan Kluang, Jalan Tanjung Laboh dan Jalan Rahmat. Bulatan ini sebenarnya memiliki kisah misterinya sendiri.

Dikatakan tidak lama dahulu, Majlis Perbandaran Batu Pahat berniat untuk menaik tarafkan lanskap bulatan ini dengan menebang sebatang pokok ara yang berdiri di sini, namun ketika kerja pengorekan tanah dilakukan, sebuah keranda dengan jasad berkapan ditemui di sini. Oleh kerana itu, Majlis Perbandaran membatalkan rancangan tersebut. Betul atau tidak, tiada kepastiannya.

Namun itulah kisah yang digembar-gemburkan. Kini, pokok ini telah diwartakan sebagai pokok warisan yang tidak boleh ditebang melainkan mendapat keizinan daripada Jabatan Warisan.

 

Lokasi: Bulatan Simpang Rantai, 83000 Batu Pahat

 

7) Old Street Batu Pahat

Old Street Batu Pahat

Imej via skyscrapercity

Old Street Batu Pahat adalah sebuah bangunan putih yang tersergam indah yang terletak di Jalan Parit Besar, Batu Pahat. Dari jauh, bangunan ini seperti lot kedai sahaja. Tetapi, keistimewaannya adalah terletak di atas bumbung bangunan ini. Ini kerana terdapat sebuah taman yang dihias cantik yang diberi nama Sky Garden Old Street. Selain taman yang indah, di bahagian atas bumbung ini juga terdapat banyak restoran yang dihias dengan penuh kreatif. Jika anda ke sini, pastikan anda bawa kamera ok. Kerana Old Street Batu Pahat salah satu Instagrammable spot yang anda boleh bergambar sepuas hati.

 

Lokasi: Jalan Parit Besar, 83000 Batu Pahat

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu & Ahad (10.00pagi – 7.00malam) | Rabu & Ahad Tutup

 

8) Pasar Karat Batu Pahat

Pasar Karat Batu Pahat

Imej via srohana

Bagi anda yang sukakan barangan antik, Pasar Karat Batu Pahat adalah sebuah pasar barangan antik yang memang best untuk anda singgah.  Pelbagai barangan lama yang anda dapat lihat di sini seperti pakaian, cenderamata, elektronik, duit syiling dan banyak lagi. Sesetengah barangan yang diniaga di sini didatangkan dari Singapura.

 

Lokasi: Jalan Pasar, Batu Pahat

Waktu Operasi: Jumaat – Ahad (7.00am 1.00pm)

 

9) Perigi Batu Pahat

Perigi Batu Pahat

Imej via mysosioculture

Perigi Batu Pahat antara tempat bersejarah di Batu Pahat yang boleh anda lawati. Jika melihat di Tugu Batu Pahat, anda telah tahu bagaimana kawasan ini mendapat namanya. Hasil daripada aktiviti memahat batu akhirnya air mengalir sehingga menjadi sebuah perigi. Perigi ini merupakan satu-satunya peninggalan sejarah yang masih wujud walaupun sudah berusia lebih lima abad lamanya.  Ia terletak di Kuala Sungai Batu Pahat, iaitu Kampung Minyak Beku dan bersebelahan dengan Pondok Polis di persisiran Pantai Minyak Beku.

 

Lokasi: Jalan Minyak Beku, Kampung Minyak Beku, 83200 Senggarang, Johor

 

10) Pantai Minyak Beku

Pantai Minyak Beku

Imej via menara-kehidupan

Pantai Minyak Beku bukanlah kawasan pantai yang sesuai untuk anda bermandi-manda. Tetapi tarikan utama yang menyebabkan pantai ini sering dikunjungi orang adalah kerana terdapatnya Perigi Batu Pahat di sini. Selain Perigi Batu Pahat, ramai juga pengunjung yang datang ke sini untuk memancing.  Ini kerana, kawasan pantai ini yang turut kaya dengan pelbagai jenis ikan yang termasuklah ikan sembilang, kurau dan tuka.

Sambil-sambil memancing, bolehlah anda bersantai sekeluarga di pantai ini menikmati panorama indah terutama pada waktu matahari terbit atau terbenam.

 

Lokasi: Jalan Minyak Beku, 83000 Batu Pahat

 

11) Pantai Punggur

Pantai Punggur

Imej via wanitaberkakilangi

Pantai Punggur juga salah satu lokasi di Batu Pahat yang pernah merakam sejarah besarnya yang tersendiri. Mungkin ramai yang datang ke sini bertujuan untuk mendapatkan ikan segar dari nelayan Punggur dan juga untuk menikmati panorama indah di Pantai Rekreasi Punggur. Tetapi hakikatnya pantai ini telah merakam peristiwa penting semasa Perang Dunia Kedua pada 6 Februari 1942 yang dikenali sebagai ‘Malayan Dunkirk’. Dalam peristiwa ini, seramai 2000 orang askar British telah berjaya diselamatkan di Punggur oleh Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD). RAMD telah memainkan peranan penting membantu tentera British daripada serangan tentera Jepun dalam permulaan Perang Dunia Kedua sewaktu peristiwa ‘The Battle of Senggarang’.

Sambil anda bersantai dengan keluarga di pantai ini, sekurang-kurangnya dapat juga anda ceritakan kisah sejarah pantai ini pada anak-anak anda agar kita dapat mengambil iktibar daripada peristiwa sejarah.

 

Lokasi: Jalan Kampung Punggur Laut Timur, 83100 Senggarang

 

12) Galeri Dato’ Onn

Galeri Dato’ Onn

Imej via google

Bangunan Galeri Dato’ Onn Batu Pahat pada asalnya merupakan rumah kerajaan yang didiami oleh Dato’ Onn dari tahun 1945 hingga 1947 sewaktu beliau mememang jawatan sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat. Ia telah dibina pada tahun 1938 dan terletak di dalam sebuah kawasan padang golf.

Pemimpin yang berjiwa rakyat ini pernah memegang banyak lagi jawatan lain di dalam kerajaan yang termasuklah Menteri Besar Johor yang ke-7.  Di galeri ini, anda akan melihat sejarah serta kisah hidup tokoh yang bernama Dato’ Onn.

Terdapat banyak foto berkaitan Almarhum yang menceritakan peristiwa-peristiwa penting yang pernah berlaku di dalam hidupnya. Di samping itu, galeri ini turut mempamerkan banyak barangan lain yang wujud pada zaman Dato’ Onn seperti basikal tua, senjata, tembikar, barangan perhiasan dan lain-lain lagi.

 

Lokasi: JKR 525, Jalan Dato Mohd Shah, Gunong Soga, 83000 Batu Pahat

Waktu Operasi: 9.00am – 4.30pm

 

13) Taman Rekreasi Tasik Y

Taman Rekreasi Tasik Y

Imej via dinohauz

Kenapa abjad ‘Y’ dipilih sebagai nama taman rekreasi ini? Jawapannya kerana taman ini berbentuk Y jika dilihat dari atas. Dahulunya taman rekreasi ini merupakan tapak perlombongan, namun kini ia menjadi sebuah taman rekreasi yang dilawati ramai orang untuk beriadah. Taman rekreasi ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti laluan refleksologi, taman permainan, peralatan senaman dan pondok rehat.

Di sini juga terdapat pelbagai makanan menarik yang dijual di gerai-gerai yang dibuka di sini seperti Ais Kacang dan Rojak. Bolehlah isi perut dan basahkan tekak setelah anda selesai beriadah di sini nanti.

 

Lokasi: Jalan Sejati, Kampung Bahagia, 83000 Batu Pahat

 

14) Hutan Lipur Soga Perdana

Hutan Lipur Soga Perdana

Imej via madsha89

Hutan Lipur Bukit Soga Perdana adalah hutan simpan yang memiliki taman rekreasi yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti trek jogging, tandas dan pondok rehat. Kebiasaannya anda perlu mendaki bukit untuk melihat panorama indah dari atas, tetapi di Hutan Lipur Soga Perdana ini, anda hanya perlu memanjat tangga untuk naik ke menara pemerhati yang terletak sekitar 785 meter dari titik awal perjalanan. Pemandangan dari menara ini sungguh indah, dapat dilihat di sini adalah keindahan flora menghijau dari hutan dan juga bandar Baru Pahat.

 

Lokasi: Jalan Perdana 17, Taman Bukit Perdana, 83000 Batu Pahat

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 6.00pm)

Bayaran: Percuma

 

15) Ladang Nanas (Kg. Parit Tengah)

Ladang Nanas

Imej via abgjemkittyfanatics

Ladang nanas yang terletak di Kampung Parit Tengah ini merupakan ladang yang terbesar di Asia Tenggara dan juga yang ketujuh terbesar di dunia. Bukan calang-calang ladang nanas yang anda lawati ini ya.

Antara jenis nanas yang diusahakan di sini adalah daripada jenis Josaphine dan juga Morris. Nanas jenis ini buahnya besar dan isinya juga sangat manis. Puas hati kalau boleh borong nanas untuk dibawa pulang ke rumah.

 

Lokasi: Ladang Nanas, Kampung Parit Tengah, Batu Pahat

 

16) Taman Botani

Taman Botani

Imej via erithunlimited

Anda pernah menonton filem Puteri Gunung Ledang lakonan M Nasir dan Tiara Jacquelina? Tahukah anda, antara lokasi rakaman filem lagenda ini adalah di Taman Botani yang terletak di Sri Medan, Batu Pahat. Tidak hairanlah Taman Botani ini dipilih sebagai lokasi penggambaran memandangkan panorama di sini sangat cantik.

Di sebalik keindahan lanskap taman botani ini, ada sejarah yang terukir disebaliknya. Ia adalah tasik buatan yang terbentuk daripada aktiviti perlombongan bijih besi lebih 100 tahun yang lalu. Selain tasik, peninggalan jeti tempat kapal tongkang berhenti mengambil bijih besi juga masih boleh dilihat di sini. Rangka binaannya kelihatan masih kukuh walaupun terbiar lama.

Sekiranya anda tercari-cari kawasan untuk anda sekeluarga beriadah, anda bolehlah datang ke sini untuk bersiar-siar sekeliling taman. Anda juga harus menikmati keindahan taman ini dengan mata sendiri.

 

Lokasi: Seri Medan, 83000 Batu Pahat

 

17) DIY Playground

DIY Playground

Imej via polomap

Tahukah anda? DIY Playground adalah sebuah taman permainan yang secara keseluruhannya dihasilkan daripada barangan kitar semula. Sangat unikkan? Kerana keunikannya ini juga, DIY Playground turut dilawati oleh ramai pelancong dari luar negara.

Sambil anak-anak bergembira bermain di taman permainan ini, anda juga boleh menerapkan kesedaran kepada anak-anak tentang kepentingan kitar semula.

 

Lokasi: Jalan Syed Abdullah, Kampung Pegawai, 83000 Batu Pahat

Waktu Operasi: Ditutup Selepas Pukul 11.45pm Atas Faktor Keselamatan

Bayaran: Percuma

 

18) Tropical Village Ayer Hitam

Tropical Village Ayer Hitam

Imej via wikipedia

Tropical Village Ayer Hitam adalah sebuah taman tema berkeluasan 32 ekar yang sangat best untuk anda sekeluarga terokai. Taman tema ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu bahagian mercu tanda, sudut santai, taman permainan dan pertanian.

Di bahagian mercu tanda terdapat replika-replika Mini Malaysia seperti KLCC dan A Famosa. Di ruangan Mini World pula terdapat replika Eiffel Tower, Statue of Liberty dan lain-lain lagi. Di sudut santai taman tema ini terdapat House of Mirrors, Dinosaur Train dan Haunted House, manakala pada bahagian taman permainan pula terdapat Pet Corner, Oriental Island dan Garden of the Shy Monkey.

Sangat menarikkan? Jika tak cukup sehari untuk melihat kesemuanya, anda boleh bermalam di bilik dorm yang disedikan pihak Tropical Village Ayer Hitam.

 

Lokasi:  Jalan Johor, 86200 Ayer Hitam

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (10.00pagi – 8.00malam) | Jumaat – Ahad (10.00pagi – 10.00malam)

 

19) Ayer Hitam

Ayer Hitam

Imej via malaysiajao

Di Ayer Hitam terdapat sebuah syurga beli-belah yang wajib anda kunjung. Sepanjang jalan, ia dipenuhi dengan deretan kedai menjual pelbagai jenis makanan tradisional Johor, hasil-hasil kampung, perkakasan rumah, bunga tiruan serta aksesori hiasan daripada seramik.

Jika ada yang berkenan di hati, bolehlah anda tawar-menawar dengan pengusaha kedai lebih-lebih lagi jika membeli dalam kuantiti yang banyak.

 

Lokasi: Ayer Hitam, Batu Pahat

 

Itulah dia 19 tempat menarik di Batu Pahat, Johor yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Batu Pahat. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Mersing dan Tempat Menarik Di Pontian.

Penulis: Husna Ismail

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.