Negeri Johor terletak di selatan Semenanjung Malaysia. Ia terdiri daripada 10 daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Muar, Batu Pahat, Mersing dan Tangkak. Banyak tempat menarik di Johor boleh dilawati sebenarnya.

Ibu negeri Johor adalah Johor Bahru, dan sudah tentu banyak tempat-tempat menarik yang terdapat di sana. Tambahan pula kedudukannya yang hampir dengan Singapura, maka Johor Bahru memang menjadi tumpuan para pelancong.

Namun begitu, daerah-daerah lain di Johor juga mempunyai banyak tempat yang best untuk anda sekeluarga bercuti. JMalah, jika anda ingin bercuti di kawasan pulau yang cantik seperti pulau-pulau di luar negara juga ada di negeri Johor. Ok, jom kita lihat 17 senarai tempat di Johor yang sesuai untuk menjadi destinasi kunjungan anda sekeluarga.

 

1) Puteri Harbour, Johor Bahru

puteri

Imej via lipstiq

Tanjung Puteri atau Puteri Harbour adalah salah satu tarikan di Johor yang boleh anda lawati bersama seisi keluarga. Terdapat bermacam-macam rekaan arca yang diperbuat daripada buluh di sini. Bagi anda yang suka merakam foto kenang-kenang, bolehlah luangkan masa untuk bergambar sepuas hati di sini. Malah, pemandangan semasa matahari terbenam di sini juga sangat cantik.

Bila anda sudah puas berjalan dan mengambil gambar, bolehlah anda isi perut pula dengan makanan yang sedap lagi lazat di sini. Terdapat banyak pilihan restoran dan tempat makan yang best.

hello kitty

Imej via ppunlimited

Yang paling menarik di Puteri Harbour ini adalah Sanrio Hello Kitty Town dan Thomas Town. Penggemar Hello Kitty pasti teruja dengan rumah lengkap berkonsepkan Hello Kitty dengan bilik tidur, dapur dan ruang tamu di Hello Kitty Town. Bagi peminat kereta api Thomas, Thomas Town menanti anda dengan replika kereta api serta Windmill Ride, Colin Crane Drop Ride, Harold Helicopter ride. Sebelum ini, anak anda hanya melihat Thomas di kaca televisyen, namun di sini, mereka pasti teruja kerana boleh menaiki kereta api Thomas. Terdapat juga karakter kartun popular yang lain di sini seperti Angry Bird, Barney, Bob The Builder, dan Pingu.

Di sini juga terdapat pusat membeli-belah, restoren dan kafe serta penginapan hotel sekiranya anda ingin bermalam di sini.

Untuk maklumat lanjut tentang tempat-tempat menarik yang terdapat di Puteri Harbour, anda boleh lihat laman web http://www.puteriharbour.com/

 

2) Danga Bay, Johor Bahru

Danga Bay

Imej via countrygardendangabay

Danga Bay adalah kawasan perairan yang sangat giat membangun dan menyediakan pelbagai tarikan seperti tempat rekreasi, aktiviti kebudayaan, dan taman permainan untuk kanak-kanak. Antara tarikan utama di Danga ialah pusat membeli belah Danga City Mall, Danga World Mini Theme Park yang menempatkan permainan karnival sesuai untuk seisi keluarga seperti Ferris Wheel, Merry-Go-Round dan Pirate Ship Ride. Anda sekeluarga juga boleh menaiki tram atau basikal untuk mengelilingi sekitar Danga Bay. Selain itu, tak sahlah kalau tak makan-makan di restoran serta kafe istimewa yang terdapat di sekitarnya.

 

Lokasi: Danga Bay, 80200 Johor Bahru

 

3) Taman Awam Hutan Bandar, Johor Bahru

Lihat sahaja pada namanya, kita sudah boleh teka teka apakah kawasan Hutan Bandar ini. Ia adalah sebuah kawasan hijau yang terletak di tengah bandaraya Johor Bahru. Ia juga merupakan pusat rekreasi yang mengekalkan fauna dengan modifikasi minimum bagi tujuan pembangunan kawasan ini.

Hutan Bandar

Imej via orangjohor

Terdapatnya taman permainan ‘Children Adventurous Park’ dan kolam mandi khusus untuk kanak-kanak. Kolam mandi awam ini dibuka untuk kanak-kanak pada hujung minggu dan cuti umum. Anda juga boleh berjogging di sini meliliingi sekitar taman dan 7 buah tasik yang berada di seluruh taman ini.

Selain itu aktiviti lain juga disediakan seperti jungle trekking dan kawasan beriadah yang terbuka untuk seisi keluarga. Di lokasi ini juga disediakan untuk aktiviti perkhemahan dan BBQ. Dan kepada yang ingin berkhemah di sini, kadar bayaran yang dikenakan amat berpatutan dan meliputi kemudahan awam yang lain seperti surau, bilik air, dan lain-lain.

 

Lokasi: Jalan Tasek Utara, Kolam Ayer, 80100 Johor Bahru

 

4) Legoland, Johor Bahru

Legoland, Johor Bahru

Imej via jomjalan

Jika sebut Legoland, pasti ramai yang tahu tentang kewujudannya. Malah rasa seperti tidak lengkap percutian seisi keluarga ke Johor Bahru, tanpa berkunjung ke taman tema ikonik Legoland. Anda pasti terpesona dengan binaan replika mercu tanda kebanggan Malaysia seperti Menara Kembar KLCC, Masjid Putrajaya serta mercu tanda Negara lain seperti Angkor Wat dan Taj Mahal yang dibina sepenuhnya daripada blok Lego di Miniland.

Di bahagian Imagination, anda boleh melihat Legoland secara menyeluruh dari Observation Tower. Anak-anak boleh membina Lego sendiri, menaiki pelbagai ride yang tersedia dan menonton wayang 4D.

Taman temanya terbahagi kepada beberapa bahagian untuk pengunjung terokai iaitu Lego Technic, Lego Kingdoms, The Land of Adventure, Lego City dan Taman Tema Air. Selain bersuka-ria, para pengunjung boleh membeli belah dan menjamu selera di Mall Of Medini serta menginap di Hotel Legoland yang berkonsepkan Pirate, Adventure, Kingdom atau Ninjago.

 

Lokasi:  7, Jalan Legoland, Medini, 79250 Nusajaya, Johor Bahru

Waktu Operasi: 9.00pagi -7.00petang

Harga Tiket: Bergantung kepada pakej

 

5) Austin Heights Adventure Park, Johor Bahru

Austin Heights Adventure Park

Imej via funtime

Tahukah anda, Johor Bahru juga ada taman tema airnya sendiri. Austin Heights Adventure Park mampu memberikan anda pengalaman mencabar dengan gelongsor tiub serta gelongsor air yang popular di sini. Cabaran lain seperti Yellow Wall, Supersurf dan Rainbow Hood pasti menghiburkan anda seisi keluarga.

Selain taman tema air, kawasan ini juga menawarkan aktiviti menarik lain kepada pengunjung seperti Adventure Park yang tidak kurang hebatnya, ski, go kart drift, dan Jump Street trampoline park.

 

Lokasi: 71, Jalan Austin Heights 8/1, Taman Mount Austin, 81100 Johor Bahru

Waktu Operasi: 10pagi – 7.00malam

Harga Tiket: Bergantung kepada pakej

 

6) Pantai Desaru, Kota Tinggi

Pantai Desaru

Imej via ceritahuda

Pantai Desaru adalah tempat peranginan di Johor yang popular di kalangan warga JB dan juga Singapura. Anda akan nikmati pepasir pantainya yang putih serta pemandangan Laut China Selatan di sini. Terdapat beberapa hotel dan resort yang sesuai untuk percutian bersama keluarga. Pelbagai aktiviti menarik yang anda boleh lakukan di sini seperti snorkelingjet ski, dan parasailing dan naik kereta kuda.

Bagi peminat aktivtiti surfing, anda boleh berkunjung ke sini pada Disember hingga Februari di mana pada waktu itu ombak agak kuat dan sesuai untuk aktiviti peluncuran. Selain itu, anda boleh melihat kunang-kunang di Sungan Lebam pada waktu malam untuk melengkapkan percutian anda di sini.

 

Lokasi: Desaru, Bandar Penawar, Kota Tinggi

 

7) UK Agro Resort/ Farm, Kluang

UK Agro Resort

Imej via lailathesupermario

UK Agro Farm adalah sebuah ladang biri-biri dan kambing terbesar di Malaysia yang menjadi tarikan agro pelancong dan sesuai untuk dikunjungi ketika lawatan sekolah. Tempat ini juga sesuai bagi pelancong yang ingin mengenali budaya penternakan di Malaysia. Antara aktiviti yang boleh di lakukan selain tengok kambing/biri-biri ialah memanah, menunggang kuda dan melawat ladang cendawan.

Dan yang lebih menarik, lading ini juga mempunyai resort sekiranya pelancong ingin bermalam di sini. Resort ini telah menjalinkan kerjasama dengan penduduk sekitar untuk menjalankan Projek Felda Ayer Hitam Homestay di mana lebih 120 rumah penduduk tempatan dijadikan sebagai rumah tumpangan untuk pengunjung resort ini yang inginkan suasana kampung.

 

Lokasi: Plot 8, Project Pertanian Moden Kluang, Jalan Batu Pahat, Kluang

Waktu Operasi: Setiap hari (9.00pagi – 5.00petang)

Harga Tiket: Bergantung kepada pakej

 

8) Komtar JBCC Shopping Complex, Johor Bahru

 Komtar JBCC Shopping Complex

Imej via wikipedia

Ia adalah sebuah pusat membeli-belah yang besar dan menempatkan banyak lot kedai dan tempat makan yang best. Pelbagai jenis produk dijual di sini, daripada yang berjenama sehinggalah yang tiada jenama. Selain itu, pilihan restoran juga banyak di sini. Malah, yang lebih menarik di sini adalah Angry Bird Indoor Theme Park.

angry bird

Imej via mmlittlee

Ia merupakan sebuah taman permainan kanak-kanak indoor dan terletak di aras 3 Komtar JBCC. Taman hiburan ini mengandungi lebih sedozen permainan untuk kanak-kanak. Antaranya ialah Red’s Jungle Run, permainan ini dibina seperti permainan animasi Angry Bird sendiri. Tidak cukup dengan itu, di kawasan South Beach, anda boleh bermain permainan Angry Bird ini di skrin besar sambil menonton filem Angry Bird secara percuma. Terdapat juga restoran dan kedai cenderamata disediakan di sini.

 

Lokasi: Komtar JBCC, Johor Bahru City Centre, Johor Bahru

Waktu Operasi: Setiap hari (10.00pagi – 10.00malam)

Harga Tiket Angry Bird Indoor Theme Park: Warganegara (RM60) | Warga Asing (RM75)

 

9) Ladang Burung Unta, Kota Tinggi

Ladang Burung Unta, Kota Tinggi

Imej via sukeklik

Ladang burung unta ini menempatkan lebih 100 ekor burung unta. Uniknya, penjaga burung unta di sini akan menjadi pemandu pelancong peribadi untuk setiap pengunjung yang datang sini. Pengunjung akan dapat menikmati layanan istimewa sepanjang lawatan di seluruh ladang ini. Sudah pastinya, pengalaman menunggang burung unta menjadi aktivit wajib bila bertandang ke sini.

Pengunjung dapat menunggang burung unta dengan membuat bayaran tambahan. Anda tidak perlu risau kerana penjaga burung unta akan sentiasa berada di sisi anda untuk memastikan keselamatan anda terjaga. Selain itu, terdapat kedai cenderamata di ladang ini untuk anda buat sebagai kenangan.

 

Lokasi: EMR 15 Teluk Ramunia, Kota Tinggi

Waktu Operasi: 10.00pagi – 6.00petang

Harga Tiket: Dewasa RM12 | Kanak-kanak RM8

 

10) Taman Buaya Teluk Sengat, Kota Tinggi

Taman Buaya Teluk Sengat, Kota Tinggi

Imej via zaleesalbum

Taman buaya ini menempatkan lebih 1000 ekor buaya. Anda berpeluang untuk melihat pelbagai jenis buaya di sini malahan dikatakan terdapat buaya yang sudah berusia lebih 100 tahun. Di samping itu, anda juga bakal menyaksikan penjaga buaya memberi makanan kepada buaya-buaya di dalam sangkar dengan jarak yang dekat.

Untuk pengalaman yang lebih mengujakan, anda boleh memegang sendiri anak buaya yang tidak berbahaya. Anda boleh membelai mereka dan menangkap gambar bersama mereka. Dan untuk melengkapkan perjalanan anda di sini, anda boleh berkunjung ke gerai cenderahati di sini.

 

Lokasi: Lot 1289 & 1290, Jalan Sembilan, Kampung Belading, Teluk Sengat, Kota Tinggi

Waktu Operasi: 9.00pagi – 6.00petang

Harga Tiket: Dewasa RM8 | Kanak-kanak RM4

 

11) Desaru Fruit Farm, Kota Tinggi

Desaru Fruit Farm, Kota Tinggi

Imej via travelbuddee

Ia adalah sebuah ladang buah-buahan tropika yang berkeluasan lebih 100 ekar. Anda boleh mengenali dengan lebih dekat akan kekayaan buah-buahan tempatan. Di lading ini terdapat lebih 100 jenis buah-buahan yang segar. Pengunjung berpeluang untuk memilih buah pilihan sendiri sambil dibantu oleh staf ladang. Antara buah-buahan berkualiti tinggi yang terdapat di sini ialah durian, durian belanda, jambu madu, jambu batu, limau madu dan berbagai-bagai lagi. Malah, ladang ini juga menyediakan zoo mini, kolam ikan koi, dan lain-lain tarikan.

Terdapat pelbagai pakej lawatan disediakan di sini, anda boleh memilih untuk menyertai lawatan separuh hari atau bermalam di sekitar chalet yang disediakan.

 

Lokasi: No. 92, 82200 Kota Tinggi, Johor

Waktu Operasi: 9.00pagi – 6.30petang

Harga Tiket: RM10

 

12) Kuso Trick Art Gallery, Johor Bahru

Kuso Trick Art Gallery, Johor Bahru

Imej via visitjohor

Mana-mana percutian dan lawatan bersama keluarga akan lebih terasa indahnya jika banyak foto-foto yang cantic yang boleh dirakam. Lawatan anda di Johor Bahru kurang sempurna jika tidak ke Kuso Trick Art Gallery. Galeri ini menawarkan pelbagai lukisan seni yang seakan-akan benar.

Anda boleh bergambar dalam pelbagai gaya di samping menggunakan prop yang tersedia untuk mendapatkan gambar yang bermutu dan nampak real. Terdapat pelbagai tema lukisan di sini antaranya ialah komedi, seram, dan romantik. Para pengunjung akan diberikan taklimat ringkas oleh kakitangan galeri ini sebelum memulakan jelajah mereka. Koleksi gambar yang cantik ini nanti bolehlah anda muat naik di laman sosial anda.

 

Lokasi: No 83-85, Jln Mutiara Emas 10/2, Taman Mount Austin, Johor Bahru

Waktu Operasi: 11.00pagi – 9.00petang

Harga Tiket: Dewasa RM20 | Warga Emas RM15

 

13) Dinosaur Alive Water Theme Park, Johor Bahru

Dinosaur Alive Water Theme Park, Johor Bahru

Imej via submerryn

Taman tema ini dikendalikan oleh KSL Hotel & Resort. Taman tema yang mula beroperasi pada 2013 ini bertemakan dinosaur. Para pengunjung akan disambut dengan ngauman Tyrannosaurus Rex. Terdapat beberapa gelongsor air yang agak kecil dan bersesuian untuk kanak-kanak.

Di samping itu, terdapat juga replika dinosaur yang mencapai ketinggian 85 kaki. Antara tarikan lain di sini ialah terdapat dinosaur animasi yang akan bergerak secara tiba-tiba apabila ada pengunjung yang datang berdekatan. Buat pengunjung yang datang membawa keluarga ke sini, jika anak anda tidak berhati-hati, anak anda mungkin terkejut dan akan menangis.

 

Lokasi: Tingkat 7, KSL Hotel & Resort, Jalan Seladang, Taman Abad, 80250 Johor Bahru

Waktu Operasi: Setiap hari

Harga Tiket: Tetamu hotel: Percuma | Tetamu luar: RM50

 

14) Air Terjun Kota Tinggi, Kota Tinggi

Air Terjun Kota Tinggi, Kota Tinggi

Imej via orangjohor

Air terjun ini terletak 15km dari pekan Kota Tinggi. Terdapat gelongsor air dan air terjun pelbagai tingkat dari cetek hingga dalam di sini. Kawasan air terjun ini sentiasa dikunjungi ramai orang terutama pada hujung minggu atau cuti sekolah. Kemeriahan kawasan ini akan menambahkan lagi keseronokan anda sekeluarga untuk bermandi-manda.

Untuk bermain gelongsor air, anda boleh menyewa pelampung di sini pada kadar harga yang berpatutan. Air terjun utama terletak selepas kedai sewa pelampung. Di sini, pengunjung gemar bertenggek di bawah air terjunnya yang deras mengalir. Selain itu, anda boleh menginap di Resort Air Terjun Kota Tinggi yang terleetak berdekatan dengan air terjun ini.

 

Lokasi: Air Terjun Kota Tinggi, 81900 Kota Tinggi

Waktu Operasi: Setiap hari

Harga Tiket: Harga berbeza mengikut warganegara dan peringkat umur

 

15) Zenxin Organic Park, Kluang

Zenxin Organic Park, Kluang

Imej via zenxin

Anda boleh datang ke sini jika anda ingin merasa buah-buahan segar yang boleh dipetik sendiri dari pokoknya. Zenxin Organic Park ini pada mulanya adalah sebuah kilang yang menghasilkan baja. Kemudian ia bertukar menjadi tempat menjual hasil pertanian organic. Mereka akan menyambut tetamunya dengan teh buah mulberi yang dibancuh segar.

Ladang ini menyediakan pelbagai aktiviti untuk pengunjung yang datang ke sini. Anda boleh melawat kebun buah naga, kebun buah mulberi, kebun timun, di samping melawat ladang ternakan arnab dan itik. Anda juga boleh memilih untuk berjalan atau menyewa basikal untuk melawat ladang yang sangat besar ini.

Terdapat juga aktiviti seni yang sangat unik di mana anda perlu mengetuk bunga di atas kertas sehingga ia meninggalkan kesan dan warna mengikut bunga tersebut. Malah, anda juga berpeluang untuk menikmati kesegaran jus buah mulberi dan jus buah naga yang enak di sini.

 

Lokasi: No.8, Jalan Teknologi 1, Kawasan Perindustrian Mengkibol, Kluang

Waktu Operasi: Setiap hari (8.30pagi – 6.30petang)

Harga Tiket: Dewasa RM15 | Kanak-kanak RM12

 

16) Pantai Stulang Laut, Johor Bahru

Pantai Stulang Laut, Johor Bahru

Imej via johorkaki

Pantai ini sering menjadi tumpuan kerana lokasinya berdekatan dengan Zon Bebas Cukai. Ini memudahkan pengunjung bersiar-siar setelah selesai membeli-belah. Selain itu, terdapat Medan Selera Stulang yang menyediakan makanan laut yang sedap dan lazat. Para pengunjung biasanya datang ke pantai ini pada waktu malam untuk menjamah hidangan seafood sambil melihat cahaya lampu yang datang dari Singapura sambil dibelai bayu laut.

Pakej yang sangat lengkap. Makanan laut yang sedap, pemandangan cahaya lampu dari negara jiran yang indah, angin laut yang dingin sambil ditemani deruan ombak, Pantai Stuang Laut pasti menjanjikan pengalaman yang tidak mudah untuk anda lupakan sekiranya anda datang ke sini.

 

Lokasi:  Jalan Padang Satu, Stulang Bahru, 81100 Johor Bahru

 

17) Pulau Sibu, Mersing

Pulau Sibu, Mersing

Imej via ticket2u

Pulau Sibu adalah sebuah pulau yang cantic dan mempunyai terumbu karang serta hidupan laut yang menarik. Ia telah diwartakan sebagai sebuah pulau di Taman Laut Mersing pada tahun 1993. Pulau Sibu yang juga terdiri daripada Pulau Sibu Besar, Pulau Sibu Tengah, Pulau Sibu Kukus, dan Pulau Sibu Hujung.

Disebabkan kawasan ini memiliki terumbu karang yang cantik, maka aktiviti snorkeling menjadi aktiviti wajib untuk dilakukan dis ini. Selain itu, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti sukan air selain bersiar-siar di tepi pantai yang bersih dan indah. Anda boleh menuju ke bahagian selatan pulau ini untuk menziarahi sebuah kampung nelayan iaitu Kampung Duku.

Terdapat pelbagai resort untuk anda pilih di Pulau Sibu terutamanya di bahagian barat pulau ini (resort pada bahagian ini tutup pada musim monsun timur laut). Untuk ke Pulau Sibu, anda boleh menaiki feri dari Tanjung Leman, Mersing.

 

Lokasi: Pulau Sibu, Mersing

 

Itulah dia 17 tempat menarik di Johor  yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Johor. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Desaru dan Tempat Menarik Di Seberang Perai.

 

Rujukan:

  1. Wikipedia
  2. Maisinggah
  3. Siraplimau

Penulis: Husna Ismail

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.