Negeri Kelantan yang juga digelar sebagai Serambi Mekah adalah sebuah negeri yang terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia. Negeri ini sangat sinonim dengan aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh penduduknya. Manakan tidak, bukan sahaja rakyat Kelantan rajin berniaga, malah mereka juga pandai memanfaatkan kemudahan untuk mendapatkan produk-produk dari Thailand memandang kedudukan negeri itu yang bersempadan dengan Negara Thailand.

Selain daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan di sini, Negeri Kelantan juga mempunyai banyak pantai yang cantik-cantik untuk dilawati kerana ia terletak di perairan Laut China Selatan. Musim cuti sekolah sememangnya musim yang sangat sesak bagi negeri Kelantan. Ini kerana, musim cuti sekolah adalah musim diadakan kenduri perkahwinan, musim di mana anak perantau Kelantan akan berduyun-duyun pulang ke kampung halaman masing-masing. Oleh itu, jika anda merancang untuk bercuti di Kelantan pada musim cuti sekolah, pastikan percutian anda dirancang sebaiknya untuk mengelakkan masa anda banyak terbuang di dalam kereta di atas jalan raya sahaja.

Amaran bagi anda yang ingin bercuti di Kelantan, anda hanya perlu menyediakan wang saku secukupnya. Kerana, anda akan rambang mata untuk beli bermacam-macam jenis barang. Tambahan pula, harga barangan di sini agak murah berbanding negeri lain. Kalau anda pandai tawar-menawar, pasti akan dapat harga yang lebih rendah. Satu bonus, jika anda mahir berkomunikasi dalam dialek Kelantan.

 

Antara tempat menarik yang anda boleh lawati di Kelantan adalah:

 

1) Pasar Siti Khadijah

Pasar Siti Khadijah

Imej via trover

Pasar Siti Khadijah adalah ikon utama bagi aktiviti perniagaan yang dilakukan oleh rakyat Kelantan. Keunikan Pasar Siti Khadijah adalah penjual-penjual di sini sebahagian besar terdiri daripada golongan wanita. Nama asal Pasar Besar Siti Khadijah ialah Pasar Besar Buluh Kubu. Walau bagaimanapun iainya telah ditukar namanya kepada nama ini oleh Menteri Besar Kelantan iaitu Y.A.B Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa, memandangkan majoriti peniaganya terdiri daripada golongan wanita.

Pasar ini mempunyai empat tingkat dan berbentuk segi lapan. Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya. Kuih tradisional Kelantan seperti tahi itik, akok, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita dan pelbagai lagi kuih lain yang juga dijual di sini.

Tingkat satu pula diperuntukan kepada makanan kering seperti serunding, iaitu sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal. Juga terdapat ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlaut, nasi dagang, laksam dan somtam merupakan antara makanan yang paling tersohor bagi rakyat negeri Kelantan. Manakala tingkat 2 dan 3, untuk barangan bukan makanan seperti pakaian, permainan, kraftangan dan macam-macam produk lagi.

 

Lokasi: Jalan Buluh Kubu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari (7.00am – 6.00pm)

 

2) Pantai Cahaya Bulan

Pantai Cahaya Bulan

Imej via tempatmenarik

Pantai Cahaya Bulan merupakan salah satu pantai yang terdapat di Kota Bharu. Luangkan masa pada waktu petang untuk bersiar-siar di pantai ini bersama keluarga adalah suatu yang mendamaikan. Anda boleh bermain laying-layang dan juga menikmati jagung rebus yang banyak dijual sepanjang perjalanan dari Kota Bharu ke pantai ini. Dah puas makan jagung, boleh rasa ‘colek’ atau air kelapa yang dijual di tepi pantai pula, baru terasa nikmat bersantai di tepi pantai yang indah ni.

Terdapat deretan kedai makan di sini. Malah kemudahan seperti surau dan tandas juga turut disediakan. Namun, Pantai Cahaya Bulan bukanlah seperti pantai-pantai lain yang mana pasir pantainya landai dan luas untuk berpiknik. Ini kerana, kawasan ini telah dibenteng dengan batu-batu besar untuk mengelakkan kejadian banjir.

 

Lokasi: Banggol, 15350 Kota Bharu, Kelantan

 

3) Wakaf Che Yeh

Wakaf Che Yeh

Imej via pantaipcbhomestay

Wakaf Che Yeh adalah tempat untuk anda membeli-belah. Terdapat dua konsep perniagaan di Wakaf Che Yah ni, pada waktu siang Wakaf Che Yah adalah pasar borong yang menawarkan pelbagai barangan asas dan basah, bila menjelang malam pula, ia menjadi pasar malam yang penuh dengan pelbagai jenis barangan terutama sekali pakaian seperti kain pasang dan tudung. Antara barangan lain yang dijual di sini adalah seperti jersi bola sepak, jam tangan replika, tuala, kasut bundle, toto dan banyak lagi.

 

Lokasi: Wakaf Che Yeh, 15150 Kota Bharu, Kelantan

 

4) Masjid Muhammadi

Masjid Muhammadi

Imej via orangkelantan

Masjid Muhammadi adalah masjid negeri Kelantan. Masjid ini telah dibina pada tahun 1867 dengan hanya menggunakan kayu-kayu yang terbaik namun diubah kepada konkrit pada tahun 1922. Masjid Muhammadi ini dapat menampung 2400 orang jemaah pada satu-satu masa. Dianggap sebagai masjid yang memainkan peranan yang sangat penting kerana di sinilah tempat di mana ramai ulama-ulama besar Kelantan pernah mengajar seperti Haji Wan Ali Kutan, Tuan Taba dan Tok Kenali.

Kerana kemahsyuran masjid ini sebagai tempat penyebaran ilmu agama di Nusantara, Kelantan mula terkenal sebagai Serambi Mekah.

 

Lokasi: Jalan Sultanah Zainab, 15000, Kota Bharu, Kelantan

 

5) Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra

Imej via tebilan

Setelah ke Masjid Muhammadi, anda bolehlah berjalan kaki untuk ke Kota Sultan Ismail Petra. Kota ini adalah tempat tarikan pelancongan yang terkenal di negeri Kelantan. Kalau tak ke sini, tak lengkaplah perjalanan anda di Kelantan. Sebaik anda masuk ke Kota Sultan Ismail Petra, anda akan disambut oleh Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra atau Menara Rehal yang menjadi lambang kemegahan ibu negeri Kelantan, Kota Bharu. Jangan lupa bergambar kenangan di pintung gerbang dan Menara Rehal ini nanti.

Di sinilah terletaknya banyak monumen-monumen yang bersejarah seperti Istana Jahar, Bank Kerapu, Bank Pitis dan Istana Balai Besar. Anda boleh berjalan kaki di sekitar kota ini untuk melawat kesemua lokasi-lokasi bersejarah di sini seperti Muzium DiRaja dan Kampung Kraftangan.

 

Lokasi: D1, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

 

6) Muzium Diraja Istana Batu

Muzium Diraja Istana Batu

Imej via penselpatahtunteja

Dibina pada tahun 1939 oleh Sultan Ismail I untuk dihadiahkan kepada anak saudaranya Yahya Petra sempena perkahwinannya dengan Raja Perempuan Zainab II. Digunakan sebagai tempat bersemayan Sultan Yahya Petra sehingga tahun 1960. Muzium Diraja Istana Batu ini merupakan destinasi yang perlu dilawati untuk mempelajari lebih banyak lagi tentang keluarga DiRaja negeri Kelantan dan bagaimana suasana di dalam istana yang pernah menjadi tempat kediaman kerabat DiRaja pada zaman dahulu.

Untuk ke muzium ini, anda perlu berjalan kaki sahaja dari Masjid Muhammadi. Malah di sekitar muzium ini juga terdapat banyak tempat-tempat menarik dan bersejarah untuk anda lawati dengan jarak berjalan kaki.

 

Lokasi: Jalan Tengku Puteri, 15300, Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat 8.30am – 4.45pm

Harga Tiket: Kanak-kanak RM0.50 | Dewasa RM1.00 | Pelancong Asing RM2.00

 

7) Muzium Islam

Muzium Islam

Imej via flickr

Jika dilihat dari luar, Muzium Islam ini berbentuk seperti sebuah masjid. Muzium ini juga berdekatan dengan lokasi bersejarah iaitu Bank Kerapu. Anda boleh membawa anak-anak ke sini untuk mempelajari lebih banyak lagi tentang asal-usul agama Islam di tanah Kelantan. Terdapat banyak dokumen-dokumen dan artifak-artifak yang bersejarah yang menjadi bukti pengaruh agama Islam sehinggakan Kelantan mendapat gelaran sebagai Serambi Mekah. Di muzium ini anda dapat melihat pameran tentang tokoh-tokoh agama Islam, mufti-mufti negeri ini, seni-seni Islam dan lain-lain lagi.

 

Lokasi: Jalan Masjid, Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (8.30am – 4.45pm)

 

8) Muzium Adat Istiadat

Muzium Adat Istiadat

Imej via fuziahmahadi

Muzium Adat Istiadat ini terletak di Istana Jahar yang siap dibina pada tahun 1887, ia juga merupakan tempat bersemayamnya Al-Marhum Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad ke IV (1920 – 1944). Di sini anda dapat melihat pameran adat DiRaja seperti adat pijak tanah, pertunangan, perkahwinan dan lain-lain. Kalau anda berjalan sehingga ke bahagian belakang istana pula terdapat Balai Senjata yang mana anda dapat melihat senjata-senjata lama yang digunakan di Negeri Kelantan macam kelewang, badik, keris dan lembing.

 

Lokasi: Jalan Sultan, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Sabtu – Rabu (9.00pagi – 4.30petang) | Khamis (9.00pagi – 3.30petang)

Harga Tiket: RM2.00

 

9) Muzium Negeri Kelantan

Muzium Negeri Kelantan

Imej via pondokrahmat

Bangunan muzium ini pada asalnya adalah pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu. Pada 6 Ogos 1990, bangunan ini telah dirasmikan sebagai Muzium Negeri Kelantan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan. Bahagian dalam muzium ini telah disusun atur yang mana bahagian pertama menunjukkan sejarah negeri Kelantan dari zaman dahulu sehingga ke zaman moden. Di bahagian yang seterusnya pula yang terletak di tingkat atas terdapat pameran seni budaya Kelantan seperti makyong, wayang kulit, rebana ubi dan lain-lain.

 

Lokasi: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Jalan Hospital, 15000, Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Sabtu – Rabu (8.30pagi – 5.00petang) | Khamis (8.30pagi – 3.30petang)

Harga Tiket: Dewasa RM5.00 | Kanak-kanak RM3.00

 

10) Zon Bebas Cukai Rantau Panjang

Zon Bebas Cukai Rantau Panjang

Imej via kakinakl

Rantau Panjang memang suatu tempat yang tidak asing lagi memandangkan ia adalah tempat membeli belah yang tersohor di Kelantan. Pada waktu cuti sekolah, pekan Rantau Panjang adalah antara yang paling sibuk dan paling sesak di Kelantan. Waktu puncak adalah antara jam 11 tengahari hingga 4 petang. Pasar inilah yang paling popular dan paling sesuai jika anda ingin membeli barangan yang murah dari negara jiran, Thailand.

Di sini, anda boleh mendapat barangan negara jiran seperti toto, jersi bola, seluar jeans levis, kasut, beg tangan, periuk belanga, tikar, tudung bawal, pinggan mangkuk, kuali dan pelbagai lagi. Pendek kata “macam-macam ada” di sini. Anda hanya perlu sediakan duit secukupnya sahaja untuk membeli-belah di sini.

 

Lokasi: Jalan Hilir Pasar, Kampung Rantau Panjang, 17200, Rantau Panjang,

Waktu Operasi: Setiap hari (800.pagi – 6.00petang)

 

11) Masjid Beijing

Masjid Beijing

Imej via muhammadismailibrahim

Nama sebenar masjid ini adalah Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra. Namun, ia sering digelar Masjid Beijing kerana keunikan senibinanya yang menyerupai masjid bersejarah, Masjid Niujie yang terletak di Beijing, China yang berusia lebih daripada 1000 tahun. Bumbung masjid ini berbentuk melengkung dan menaranya pula seperti memiliki serban yang dililit dengan unik.

Dibina pada tahun 2005 dan dirasmikan pada tahun 2009. Mempunyai dua tingkat dengan tingkat yang pertama untuk kegunaan awam seperti dewan makan, klinik, dewan serbaguna dan perpustakaan masjid. Tingkat yang kedua pula adalah ruangan sembahyang.

Jika anda ingin ke Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, anda juga bolehlah singgah di Masjid ini untuk solat. Dah selesai tunaikan kewajipan kepada yang Maha Esa, anda bolehlah bergambar di perkarangan masjid ini, berlatar belakangkan senibina masjid yang cantik dan unik ini.

 

Lokasi: Jalan Kampung Rantau Panjang, 17200 Rantau Panjang, Kelantan

 

12) Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubur

Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubur

Imej via rabiatulubaidiahroslan96

Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor di Tumpat Kelantan merupakan tempat membeli-belah yang mendapat sambutan di kalangan penduduk tempatan dan juga pelancong luar. Barangan yang jual di sini juga sama seperti di Rantau Panjang, iaitu barangan tempatan dan juga buatan Thailand.

Pengunjung dinasihati agar datang pada sebelah pagi untuk memberi lebih masa kepada anda untuk membeli-belah. Selain itu, parking di sini juga agak terhad. Perlu diingat, pengunjung mesti melalui pemeriksaan kastam sebelum keluar. Pemeriksaan kastam di sini agak ketat jika anda membuat pembelian yang banyak.

Pelbagai barangan dijual di sini seperti jersi bola, pakaian celoreng, toto, pinggan mangkuk, periuk belanga, barangan dapur dan sebagainya. Di sini juga anda boleh mendapat periuk dan kuali berjenama seperti Tefal, Corelle, Corningware dan sebagainya. Harga yang ditawarkan lebih kurang sama dengan harga di Rantau Panjang. Pastikan anda berkunjung ke kedai yang authorized menjual barangan ini untuk mengelak daripada terbeli barang tiruan.

 

Lokasi: 16080, Tumpat

Waktu Operasi: 9.00pagi – 5.30petang

 

13) Pantai Sri Tujuh

Pantai Sri Tujuh

Imej via nadzirahata

Dinamakan Sri Tujuh kerana pantai ini memiliki 7 buah teluk. Terletak berdekatan dengan Stesen Keretapi Tumpat. Maka, jika anda sudah puas membeli-belah di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubur, anda bolehlah bersiar-siar dan berkelah di Pantai Sri Tujuh pula di sebelah petang. Ini kerana, jarak antara kedua tempat ini hanya sekitar 5km sahaja.

Antara aktiviti lain yang anda boleh lakukan sewaktu di pantai ini adalah seperti memancing ikan dan berkhemah. Kalau anda nak bersantai di gerai-gerai makanan di tepi pantai ini pun seronok juga sambil bertemankan bayu laut dan pemandangan indah.

 

Lokasi: Pantai Sri Tujuh, Tumpat, Kelantan

 

14) Pantai Bisikan Bayu

Pantai Bisikan Bayu

Imej via flickr

Nama lain bagi pantai ini ialah Pantai Dalam Rhu. Di sepanjang pantai ini terdapat pohon cemara yang mencantikkan pemandangan. Keadaan yang redup, ditambah pula hembusan bayu laut yang sepoi-sepoi bahasa, membuatkan anda sekeluarga seronok berkelah di sini.

Untuk beraktiviti pula, kalau anda sukakan aktiviti ekstrem, pada musim-musim tertentu seperti musim Monsun Utara-Timur pada bulan November-April, anda boleh mengambil bahagian dalam aktiviti meluncur angin.

 

Lokasi: Pasir Putih, Kelantan, 16800, Pasir Puteh, Kelantan

 

15) Pantai Irama

Pantai Irama

Imej via kelantan.attractionsinmalaysia

Pantai Irama dikatakan pantai yang tercantik di Kelantan kerana keindahan air lautnya yang jernih kebiruan. Diberikan nama Pantai Irama kerana bunyi tiupan angin yang menenangkan jiwa yang dihasilkan pantai ini. Untuk pengetahuan anda, pantai ini selalu dijadikan tempat keramaian untuk penduduk tempatan. Anda boleh bermain sukan air atau mengajak keluarga anda beramai-ramai untuk membuat bbq di sini.

Setiap malam Jumaat pula terdapat pasar malam yang terletak di depan masjid berdekatan pantai untuk membeli makanan masyarakat tempatan ataupun kudapan untuk dimakan sambil menikmati pemandangan pantai.

 

Lokasi: Bachok, 16300, Kelantan

 

16) Pantai Senok

Pantai Senok

Imej via adibfoto

Berbeza dengan pantai-pantai yang lain, Pantai Senak mempunyai tarikannya yang tersendiri. Hal ini terbukti dengan kehadirin pengunjung di setiap pelusuk negeri tidak mengira masa dengan tujuan yang berbeza. Keindahan pokok Rhu yang tersusun tumbuh di persisiran pantai membuatkan ramai yang menjadikan pantai ini sebagai tempat terbaik untuk sesi fotografi.

Pantai Senok yang terletak di Tawang, Bachok Kelantan tiba-tiba menjadi begitu popular setelah ia viral di media sosial. Malah, pantai ini turut digelar sebagai Pulau Nami Malaysia. Pemandangan di Pantai Senok dikatakan seolah-olah sama seperti Pulau Nami yang terletak di Korea Selatan. Selain deretan pokok ru di sepanjang pantai, pengunjung juga dapat menikmati keindahan laut yang membiru.

 

17) Taman Negara Kuala Koh

Taman Negara Kuala Koh

Imej via holidaysinmalaysia

Setelah puas membeli-belah dan melawat pantai-pantai yang cantik di negeri Kelantan, anda juga boleh luangkan masa bersama keluarga untuk melawat Taman Negara Kuala Koh untuk menikmati kehijauan alam semulajadi yang kaya dengan flora dan fauna. Taman negara ini adalah yang terbesar di Malaysia dan meliputi 3 negeri, Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan keluasan sebanyak 4343 kaki persegi. Hutan hujan tropika yang berusia lebih kurang 130 juta tahun ini dapat memberikan pengalaman penerokaan yang sebenar. Di sini anda mungkin dapat menemui haiwan-haiwan liar dan sekiranya anda bernasib baik, mungkin anda dapat melihat gajah yang berada di dalam hutan ini.

Antara aktiviti lain selain jungle trekking, sesi mengambil gambar, memerhati burung, dan anda boleh berakit ataupun memancing ikan di sungai yang tenang di hutan ini. Waktu yang terbaik untuk melawat Taman Negara ini adalah pada bulan April sehingga Oktober. Malah di sini juga terdapat kemudahan chalet untuk anda bermalam di sini.

 

Lokasi: Taman Negara Kelantan, Kuala Koh, 18300 Gua Musang

Harga Tiket: Permit Masuk RM1.00 | Permit Kamera RM5.00 | Permit Memancing RM10.00

 

18) Lata Beringin

Lata Beringin

Imej via weelingraphy

Lata Beringin adalah sebuah air terjun yang sangat indah di Kelantan dengan ketinggian sebanyak 120 meter, ia merupakan salah satu daripada air terjun yang tertinggi di Kelantan.

Antara aktiviti yang boleh anda sekeluarga lakukan sekiranya datang ke sini adalah seperti jungle trekking, berkhemah, memancing dan berkelah. Kalau anda yang sukakan fotografi juga, disyorkan untuk anda melawat air terjun ini kerana pemandangannya yang sangat menyejukkan mata.

 

Lokasi: Sungai Pas, Kuala Krai

 

Itulah dia 18 tempat menarik di Kelantan yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Kelantan. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Negeri Sembilan dan  Tempat Menarik Di Raub, Pahang.

 


Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.