Apa yang anda tahu tentang Keningau, Sabah? Semestinya anda terbayangkan Banjaran Crocker yang gah berdiri di Kepulauan Borneo tersebut. Tahukah anda, yang sebenarnya selain Banjaran Crocker yang terkenal, Keningau yang juga dikenali sebagai “Permata di Pedalaman Borneo Sabah” kaya dengan pelbagai kawasan tarikan perlancongan dan etnik serta budaya yang lain dari yang lain. Jom kami kongsikan tempat menarik di Keningau yang ramai orang tak tahu.

tempat menarik di keningau

Sumber: Sini

1. Taman Banjaran Crocker

Taman Banjaran Crocker merupakan banjaran gunung tertinggi di Sabah dengan ketinggian 1,800 meter dari aras laut. Taman  ini kaya dengan flora dan fauna yang dijaga rapi memandangkan Taman Banjaran Crocker merupakan hutan yang telah diwartakan sebagai hutan yang dilindungi. Bagi pencinta alam sekitar, anda pasti terpukau dengan kekayaan biodiversiti dan ekologinya yang mengagumkan. Menurut rekod, dianggarkan terdapat lebih kurang 500 spesis tumbuh-tumbuhan, 107 mamalia, 67 amfibia, 52 reptilia dan 26 spesis hidupan ikan yang boleh dijumpai di sini.

Dari sini, anda dapat melihat pemandangan Gunung Kinabalu yang menakjubkan. Di antara tarikan perlancongan yang ada di Taman Banjaran Crocker ialah:

  • Insektarium (Taman Serangga)
  • Pusat Pemulihan Paku Pakis Liar
  • Menara Pemerhatian
  • Kawasan Rafflesia

Kalau anda belum pernah melihat bunga raflesia, anda berpeluang untuk melihat bunga tersebut secara dekat di sini. Malah anda boleh menyentuhnya. Jangan lupa untuk berselfie sebagai kenangan, kerana tak ramai yang berpeluang untuk berjumpa dengan bunga yang eksotik ini.

Di antara aktiviti yang boleh anda lakukan di sini selain melawat kawasan tarikan perlancongan yang kami nyatakan di atas ialah:

  • Jungle trekking
  • Mendaki gunung
  • Berkhemah
  • Berjoging di sepanjang denai yang disediakan

2. Mee Woo Resort

Mee Woo Resort merupakan tempat menarik di Keningau yang menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong yang bercuti di Keningau. Resort ini terkenal kerana kolam renang dan spa yang terdapat di sini selain restorannya yang menyajikan makanan yang lazat. Terdapat juga hotel untuk menginap jika anda tak puas bermain air di siang harinya. Di antara tarikan yang ada di Mee Woo Resort ialah:

  • Kolam renang kanak-kanak dengan gelongsor air yang selamat untuk kanak-kanak. Kolamnya juga cetek, cuma separas lutut orang dewasa. Anda tak perlu risaukan keselamatan anak-anak semasa bermain air di sini.
  • Kolam renang dewasa yang juga dilengkapi dengan gelongsor air yang besar.
  • Spa dengan pakej urutan badan, refleksologi, dan rawatan muka.

Selain tarikan yang kami senaraikan di atas, resort ini juga terkenal dengan pemandangan gunung-ganangnya yang cantik. Oleh kerana kedudukannya yang tinggi, pada siang hari anda akan dihidangkan dengan pemandangan gunung-ganang seluas mata memandang manakala di malam hari, anda akan terpukau dengan keindahan Bandar Keningau yang bermandikan cahaya lampu. Malah perkarangan resort juga sangat cantik dengan lampu hiasan pada waktu malam.

3. Air Terjun Tinaaman

Air Terjun Tinaaman atau juga dikenali sebagai Air Terjun Berkembar Keningau merupakan tempat menarik di Keningau yang wajib anda kunjungi semasa bercuti di sana. Seperti nama timangannya, air terjun ini merupakan sebuah air terjun berkembar di mana terdapat 2 buah air terjun yang duduk sebelah-menyebelah. Air Terjun Tinaaman menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong untuk bermandi-manda, berkelah, berbabeku, dan berkhemah.

Air Terjun Tinaaman merupakan sebuah air terjun yang masih terjaga dan tiada sebarang pencemaran, Airnya sangat bersih, jernih, sejuk, dan segar. Hutan hijau di sekelilingnya juga pasti menenangkan fikiran anda. Jika anda jenis yang sukakan aktiviti lasak seperti jungle trekking, ini adalah destinasi perlancongan yang sangat sesuai untuk anda. Anda pasti berseronok meredah hutan di laluan trekking yang disediakan di sini.

tempat menarik di keningau

Sumber: Malaysiaaktif

4. Ansip Ferry Memorial Park

Ansip ferry Memorial Park merupakan taman peringat bagi mengingati para jurutera dari Royal Australian Engineer yang membantu dalam proses pembiaan jalan di antara  Keningau and Sepulot yang sepanjang 123.2 kilometer di antara tahun 1964 hingga 1966. Menurut sejarah, pembinaan jalan ini dijalankan semasa berlakunya konfrontasi Indonesia. Kalau anda bercuti di Keningau, jangan lepaskan peluang untuk singgah di memorial park ini.

5. The Oath Stone Keningau atau Batu Sumpah Keningau

The Oath Stone Keningau atau juga dikenali sebagai Batu Sumpah Keningau merupakan sebuah monumen penting yang didirikan sempena mengingati peristiwa Sabah & Sawarak bergabung dengan semenanjung tanah melayu untuk membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Ianya berlaku semasa penjajahan British.

Menurut catatan sejarah, cadangan  pembentukan Persekutuan Malaysia  meliputi tanah melayu, Brunei, Sabah ( Borneo Utara ), Sarawak, dan Singapura. Namun cadangan tersebut telah mengalami beberapa siri bantahan daripada ketua-ketua komuniti dalam wilayah-wilayah terbabit.

Majlis Perundangan Borneo Utara ( Sabah ) akhirnya telah bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Malaysia pada 12 September 1962 walau pun ketua-ketua adat di Sabah yang dikenali sebagai Orang Kaya-Kaya risau tentang hak mereka setelah menyertai Persekutuan Tanah Melayu. Peristiwa bersejarah tersebut berlaku setelah Majlis Perundangan Borneo Utara ( Sabah ) mempersembahkan Perjanjian 20 Perkara Sabah yang ditulis oleh Tun Fuad Stephens.

Apa yang menarik, perasmian Batu Sumpah Keningau dilakukan bersama Ritual Maningolig disusuli dengan korban haiwan oleh babalian iaitu pawang atau pendeta tradisional yang dibuat mengikut adat kepercayaan Orang Murut bagi mengikat janji. Menarik kan? Kalau anda melawat ke Keningau, jangan lupa untuk singgah di sini.

6. Tugu Peringatan Perang Keningau

Tugu Peringatan Perang Keningau atau juga dikenali sebagai Tugu Peringatan Choo Huan Lai merupakan sebuah turu peringatan yang dibina bagi memperingati seorang Konsulat General China yang bernama Choo Hua Lai dan rakan setugas yang dihukum bunuh oleh tentera Jepun pada  6 Julai 1945.  Siapakah Choo Hua Lai? Kenapa sebuah tugu peringatan dibina atas namanya?

Menurut sejarah, semasa Jepun sampai ke Keningau pada 19 Januari 1942, konsulat China di sini menjadi salah satu target utama mereka. Pada masa itu,  Cho Huan Lai adalah General Konsulat China yang mewakili Republik China di Borneo Utara sejak tahun 1940 telah ditawan oleh Jepun. Beliau ditangkap, dipenjarakan, dan akhirnya menerima hukuman mati dari tentera Jepun. Tugu peringatan ini dibina sempena mengingati usahanya dalam memusnahkan dokumen-dokumen penting yang diburu oleh tentera Jepun pada masa tersebut.

tempat menarik di keningau

Sumber: Wikipedia

7. Muzium Warisan Keningau

Tempat menarik di Keningau yang seterusnya ialah Muzium Warisan Keningau. Tak lengkap percutian anda kalau tak melawat muzium yang menyimpan 1001 sejarah tentang tempat yang anda kunjungi, ye tak? Di Muzium Warisan Keningau, anda berpeluang untuk menyelami adat, budaya, dan warisan penduduk di sini.

Di antara artifak yang dipamerkan di sini ialah berkaitan dengan warisan:

  • Budaya masyarakat di Keningau
  • Sejarah kedatangan Islam di Keningau
  • Kemajuan & pembangunan di Keningau
  • Sejarah awal Keningau
  • Zoologi di Keningau
  • Etno-botani

Masuk adalah percuma, oleh itu jangan lupa untuk singgah ke muzium ini yang dibuka dari pukul 9 pagi sehingga 5 petang setiap hari.

8. Rumah Besar OKK Sedomon

Rumah Besar OKK Sedomon adalah tempat menarik di Keningau yang seterusnya. Apakah Rumah BEsar OKK Sedomon? Ia merupakan kediakan seorang pemimpin pribumi terkenal di kawasan pedalaman Keningau. Rumah tersebut terletak di Pekan Bingkor, Keningau. Rumah ini merupakan sebuah rumah yang sangat bersejarah.

Menurut catatan sejarah kemerdekaan Malaysia, pada tahun 1963 Rumah Besar OKK Sedomon pernah menjadi tempat penginapan Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu ketika beliau berkunjung ke Keningau untuk memberi penjelasan tentang cadangan penubuhan Malaysia kepada ketua kaum pribumi di kawasan Keningau, Tambunan, Pensiangan, Nabawan, Sook, Ranau dan Tenom.

Pada hari ini, di Rumah Besar OKK Sedomon terdapat galeri pameran keluarga di sekitar kediaman dua tingkat itu termasuk di ruang legar beranda di bahagian atas yang pernah menjadi tempat Tun Razak mengadakan perbincangan bersama Sedomon. Menarik kan?

9. Japan Surrender Point

Di sini adalah kawasan di mana tentera Jepun menyerah kalah sebelum mengundurkan diri dari Borneo Utara atau Sabah. Kalau anda sampai ke Keningau, jangan lupas untuk singgah ke lokasi yang bersejarah ini.

tempat menarik di keningau

Sumber: Mekonie

10. Gua Laing

Bagi pencinta alam sekitar, tempat menarik di Keningau yang ini pastinya sangat sesuai untuk anda. Gua Laing bukan sahaja kaya dengan keindahan alam semulajadi malah sejarahnya juga sangat menarik.  Menurut lagenda yang diceritakan penduduk setempat, gua berkenaan telah lama wujud dan didiami oleh seorang dewi kayangan. Pada satu hari, dewi kayangan tersebut bertemu dengan seorang penduduk tempatan iaitu lelaki dusun yang bernama laing.

Dewi tersebut menganugerahkan Laing kecantikan dengan syarat Laing perlu kembali ke gua tersebut pada setiap hari ahad. Malangnya, Laing dikatakan tidak sabar dan datang sehari lebih awal daripada yang dijanjikan lalu menyebabkan dewi berkenaan marah dan meruntuhkan sebahagian daripada gua itu. Dari kisah inilah Gua Laing mendapat nama.

Gua Laing sangat sesuai untuk pencinta aktiviti lasak jungle trekking dan mendaki bukit. Sampai sahaja ke gua ini, anda boleh menerokainya dengan masuk sehingga ke dalam dan melihat keindahannya yang unik.

11. Gua Batu Salag

Selain daripada Gua Laing, terdapat satu lagi gua terkenal di Keningau iaitu Gua Batu Salag. Gua ini terletak di Kg. Lipasu Ulu, Keningau. Perjalanan untuk ke Gua Batu Salag hanya mengambil masa 45 Minit dari Pusat Bandar Keningau dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan hanya mengambil masa selama 5 minit berjalan kaki daripada laluan utama untuk sampai ke pintu utama Gua Batu Salag.

Gua ini menjadi tumpuan kerana ianya lebih mudah untuk sampai berbanding Gua Laing. Kawasan Gua Batu Salag masih terpelihara dengan alam semula jadi tanpa sebarang pencemaran. Anda pasti tak puas bergambar di sini.

12. Batu Minitinduk

Batu Minitinduk terletak tidak jauh dari Gua Laing. Tarikan utama di sini ialah bunga raflesia. Di mana lagi anda berpeluang untuk melihat bunga raflesia yang berkembang secara dekat? Keadaan hutan yang berbatu di Batu Minitinduk menjadikannya kawasan yang sesuai untuk Rafflesia daripada spesies Keithi untuk tumbuh.

Raflesia spesis Keithi dikatakan mempunyai ukuran garis pusat kira-kira satu meter. Besar kan? Oleh itu, kalau anda dah sampai ke Keningau, jangan lupas untuk masukkan Batu Minitinduk ke dalam itinerari perjalanan anda.

tempat menarik di keningau

Sumber: Borneobulletin

Selain 12 tempat menarik yang kami senaraikan di atas, berikut adalah tempat-tempat menarik lain yang boleh anda kunjungi semasa berada di Keningau:

  • Air Terjun Mandanan
  • Tindian White Water Rafting
  • Lubuk Pinamansok
  • Pasar Tamu Keningau
  • Pasar Tamu Apin-Apin
  • Pasar Malam Keningau
  • Tamu Kraf Taman Bandukan
  • Pusat Rekreasi Taman Bandukan
  • Kapayan Recreation Resources
  • Sungai Tagal Kgampung Senagang
  • Sungai Tagal Kampung Nuntunan
  • Sungai Tagal Taman Bandukan
  • Evegreen Live Stock Farm
  • Pusat Penternakan Sebrang
  • Pusat Pelancongan Bukit Kayu Manis
  • Guang Ji Temple
  • Pusat Ziarah Keluarga Kudus Keuskupan Keningau
  • Masjid Al-Taqwa
  • Pusat Kraftangan Sabah
  • Kampung Kraf Kg.Batu Lunguyan
  • Kampung Kraf Kg.Ulu Senagang
  • Kampung Kraf Kg.Kuala Kahaba

Itulah dia beberapa tempat menarik di Keningau yang ingin kami kongsikan kepada anda. Semoga bermanfaat buat anda. Jemput juga baca artikel tulisan kami seperti tempat menarik di  Negeri Sembilan, tempat menarik di Johor  dan  tempat menarik di  Perak. Manalah tahu anda bercadang ke sana.


Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.