Nak bercuti ke luar negara tetapi dalam bajet yang rendah? Krabi adalah tempat yang ideal buat anda. Anda boleh ke sana menggunakan jalan darat, tak perlu susah-susah untuk tempat tiket kapal terbang. Krabi terkenal dengan makanan yang lazat dan pulau yang cantik. Pasti pengalaman percutian anda di sini menjadi begitu indah, seindah panorama alam semulajadi bakal anda nikmati di Krabi nanti.

 

1) Pekan Krabi

Pekan Krabi

Imej via keywordsuggest

Pergi ke mana-mana tempat orang, pasti tidak lengkap jika tidak singgah ke pekan atau bandar tempat tersebut. Ini kerana pekan atau bandar ibarat nadi bagi sesebuah tempat. Jika anda ke Krabi, haruslah anda singgah ke Pekan Krabi.

Terdapat banyak kemudahan yang terdapat di sini. Malah ada juga tempat menarik untuk anda lawat di sekitara Pekan Krabi. Makanan? Sudah tentu mudah dapatkan pilihan makanan di sini. Apa-apapun, pastikan dulu makanan tersebut halal atau tidak.

 

Lokasi: Krabi Town, Thailand

 

2) Pantai Railay

Pantai Railay

Imej via ruangsore

Kejernihan air laut yang kebiru-biruan, pesisir pantai yang putih, dikelilingi pula dengan bukit-bukit batu kapur. Wah! Pasti anda boleh bayangkan betapa indahnya Pantai Railay ini. Untuk menuju ke pantai indah ini anda perlu menaiki bot kerana pantai ini dipisahkan dari kawasan lain dengan bukit batu kapur.

Di samping memiliki pemandangan yang memukau untuk anda sekeluarga bersantai menenangkan fikiran, Railey Beach turut terkenal dalam kalangan wall climber kerana tebing-tebing bukit yang terdapat di sekitarnya.

 

Lokasi: 194/5 Moo 5 | Tambol Saithai, Railay Beach, Krabi Town 81000

 

3) Nosey Parker’s Elephant Camp

Nosey Parker’s Elephant Camp

Imej via thai2siam

Nosey Parker’s Elephant Camp adalah salah satu daripada kem trek gajah yang terkenal di Thailand. Gajah adalah haiwan tunggangan kerabat diraja Siam pada zaman dahulu. Oleh sebab itu, ia agak sinonim dengan budaya masyarakat Thailand.  Namun begitu, ada pihak yang berkempen agar tidak menaiki gajah kerana haiwan ini tidak sesuai untuk ditunggangi, malah ada juga yang mendakwa bahawa proses untuk menjinakkan gajah-gajah ini adalah melalui proses dera. Jika anda ke sini, selagi boleh elakkan diri dari menaiki gajah, itu adalah lebih baik.

 

Lokasi: 19 Krabi Road, Krabi Town 81000

Harga Tiket: Dewasa 800 Baht | Kanak-kanak 400 Baht

 

4) Koh Panyi (Kampung Terapung Muslim)

Koh Panyi

Imej via wikimedia

Koh Panyi merupakan perkampungan nelayan yang majoriti penduduknya beragama Islam. Di sini anda dapat melihat banyak kedai-kedai yang menjual cenderamata dan juga yang paling penting sekali kedai makan. Memandangkan penduduk di sini adalah Muslim, anda tidak perlulah risau tentang status halal makanan yang dijual di sini.

Antara tarikan yang terdapat di Koh Panyi ini adalah kawasan bermain bola sepaknya yang juga terapung di atas air. Sangat rare!

 

Lokasi: Ko Panyi Subdistrict, Krabi Town, Thailand

 

5) Pasar Malam Krabi

Pasar Malam Krabi

Imej via ithaka

Krabi Night Market ataupun Krabi Town Walking Street merupakan pasar malam yang menjual pelbagai barangan seperti cenderahati dan makanan. Boleh rambang mata dibuatnya. Beg kulit, barangan mutiara, lukisan pop-art dan macam-macam lagi ada di sini.

Sambil berjalan-jalan di sini juga anda akan disajikan dengan persembahan muzik tradisional yang dimainkan oleh kanak-kanak. Di samping itu, anda dapat melihat demonstrasi pembuatan pelbagai barangan kraftangan Thailand yang cukup unik.

 

Lokasi: Soi 10, Maharat Road | Berhadapan City Hotel, Krabi Town

Waktu Operasi: Jumaat – Ahad (5.00petang – 10.00malam)

 

6) Khao Ngon Nak

Khao Ngon Nak

Imej via gotothailand

Bukit Khao Ngon Nak agak popular kerana kecantikan panorama yang akan dapat anda saksikan apabila sudah sampai dipuncak nanti. Perjalanan untuk menuju ke puncak bukit yang berketinggian 565 meter dari aras laut ini mengambil masa sekitar 2 jam.

Sekiranya anda merancang untuk mendaki bukit ini, pastikan anda datang di awal pagi untuk mengelakkan pancaran matahari dan sebolehnya juga jangan mula mendaki selepas pukul 2 petang, bimbang nanti susah pula untuk turun kerana hari sudah gelap.

Panorama indah yang disajikan boleh mengujakan mata anda. Mana tidaknya, anda dikelilingi oleh pulau-pulau yang sangat cantik dan indah. Seperti biasalah, sambil mendaki tu, jangan lupa bawa kamera ya. Pemandangan indah sebegini memang sayang kalau tidak diabadikan dalam sekeping foto untuk kenang-kenangan.

 

Lokasi: Nong Thale, Krabi Town

 

7) Koh Lanta

Koh Lanta

Imej via lilianpang

Koh Lanta terdiri daripada beberapa buah pulau namun yang paling terkenal adalah Koh Lanta Yai yang memiliki air laut yang tenang dan pemandangan yang begitu mengasyikkan. Di sini anda boleh melakukan aktiviti snorkeling untuk melihat panorama dalam air yang agak jelas. Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah berkayak di kawasan paya bakau yang terdapat berdekatan pulau.

 

Lokasi: Ko Lanta District, Krabi, Thailand

 

8) Wat Tham Sua

Wat Tham Sua

Imej via makemytrip

Untuk menuju ke tokong Wat Tham Sua, anda perlu menaiki 157 anak tangga. Dah macam tangga Batu Caves dah. Tapi, jika tak larat anda boleh sahaja menggunakan kereta kabel yang disediakan dengan Harga Tiket 20 Baht seorang.

Sampai sahaja di Wat Tham Sua, anda akan disajikan dengan pemandangan indah kawasan sekitar yang dikelilingi oleh sawah padi dan berhadapan dengan empangan Mae Klong. Rekabentuk bangunan-bangunan di kawasan tokong ini juga penuh dengan warna-warni. Cantik mata memandang.

 

Lokasi: Tha Muang 71110

 

9) Thung Teao Forest Natural Park

Thung Teao Forest Natural Park

Imej via smartholidayshop

Seperti mana namanya, anda pasti akan teruja melihat keindahan sebuah hutan dara yang tidak pernah dikacau oleh tangan manusia untuk sebarang bentuk pembangunan, pembalakan dan lain-lain.   Apa yang menarik di hutan ini adalah kekayaan flora dan faunanya yang unik. Untuk meneroka kawasan rimba ini anda perlu menggunakan laluan semulajadi yang berkepanjangan sekitar 2.7 km. Di dalam hutan itu pula anda akan berjumpa dengan sebuah kolam yang sangat cantik iaitu Emerald Pool (Sa Marakot).

 

Lokasi: Thung Teao Forest Natural Park, Khao Pra-Bang Khram | Berdekatan Bang Teao Village

Harga Tiket: Dewasa 200 Baht | Kanak-kanak 100 Baht

 

10) Emerald Pool (Sa Morakot)

Emerald Pool

Imej via ppkktoursservice

Kolam Emerald adalah sebuah kolam semulajadi yang berwarna hijau dan sangat jernih airnya. Ia terletak di dalam Thung Teao Forest Natural Park. Perjalanan anda dari Pekan Krabi ke sini mengambil masa kira-kira 30 minit dengan menaiki kereta.

Sumber air kolam ini dari bukit yang berdekatan. Kejernihan air kolam ini memang tidak dapat disangkal kerana anda boleh nampak dasar kolam ini dari atas. Emerald Pool antara tempat menarik yang unik di Krabi. Dah alang-alang anda bercuti ke Krabi, rugi rasanya jika tidak tidak singgah di sini, kerana bukan senang nak jumpa kolam seunik ini di tempat lain.

 

Lokasi: Thung Teao Forest Natural Park, Khao Pra-Bang

 

11) Phi Phi Islands

Phi Phi Islands

Imej via exoticvoyage

Phi Phi merupakan nama yang diberikan bagi 6 buah pulau indah yang terletak 45 minit menaiki bot dari Krabi ini. Fakta menarik tentang pulau ini adalah berkaitan namanya, Phi Phi yang dikatakan berasal daripada perkataan bahasa melayu yang bermaksud api-api. Pulau ini dinamakan demikian kerana pokok api-api yang terdapat banyak di sekitar pulau.

Daripada 6 buah Phi Phi Islands, yang paling terkenal sekali adalah Phi Phi Leh dan Phi Phi Don. Pulau Phi Phi Don lebih sibuk berbandang dengan pulau yang lain. Kalau anda ingin menikmati pemandangan kawasan pantai indah dengan penuh privasi, bolehlah ke pantai Phi Phi Leh.

 

Lokasi: Phi Phi Islands, Krabi

 

12) Ton Pariwat Wildlife Sanctuary

Ton Pariwat Wildlife Sanctuary

Imej via t-globe

Ton Pariwat Wildlife Sanctuary merupakan sebuah kawasan rimba yang berkeluasan 100,000 hektar. Hutan simpan ini menyediakan laluan berjalan kaki berkepanjangan 2 km. Bagi pencinta alam semulajadi, pasti lawatan anda ke sini membuatkan anda berasa teruja untuk meneroka khazanah alam yang tersimpan di sini.

Sepanjang perjalanan anda di sini, anda akan dapat menyaksikan dengan lebih dekat bunga Rafflesia. Namun, bunga ini kebiasaannya berkembang pada akhir musim hujan dalam bulan Oktober. Jika anda datang ke sini pada musim ia berkembang, pasti puas hati lihat bunga eksotik yang terbesar di dunia.

Di samping bunga ini, sepanjang perjalanan ini juga anda akan dapat melihat kawasan-kawasan memerhati burung, jadi jangan lupa untuk membawa teropong jika ke sini.

 

Lokasi: Song Phraek, Muang Phangnga, Phang Nga 82000

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00pagi – 5.00petang)

 

13) Phra Nang Beach

Phra Nang Beach

Imej via krabi

Phra Nang Beach sebuah pantai yang berkepanjangan 450 meter. Kehalusan serta kelembutan pesisir pantainya membuatkan kaki anda seperti dibelai manja. Air lautnya juga cukup tenang untuk anda sekeluarga bermandi-mand. Di samping itu, di sini juga anda boleh bersnorkeling untuk melihat batu-batu karang indah yang terdapat di dalam air.

 

Lokasi: Phra Nang Beach, Krabi

 

14) Khao Khanab Nam

Khao Khanab Nam

Imej via nashaplaneta

Apa yang menariknya di Khao Khanab Nam ni? Khao Khanab Nam adalah bukit yang memiliki gua-gua yang mengujakan dengan batuan stalakmit dan stalaktit terbentuk di dalamnya. Untuk menuju ke kawasan bukit ini anda perlu menaiki bot yang disediakan di Chao Fa Pier di Krabi, dan masa diambil untuk sampai ke sini adalah dalam sekitar 15 minit. Setelah sampai ke kawasan bukit anda boleh menaiki tangga untuk menuju ke gua-gua yang ada di sini.

Setelah puas menikmati keindahan bukit ini, jangan lepaskan peluang untuk menerokai keindahan kawasan paya bakau di Krabi dengan menaiki bot sebelum pulang. Dari kawasan paya ini anda dapat melihat kekayaan faunanya seperti monyet, ikan dan burung-burung yang berterbangan.

 

Lokasi: Khlong Prasong, Mueang Krabi District, Krabi 81000

 

15) Klong Thom Hot Springs

Klong Thom Hot Springs

Imej via tui

Klong Thom Hot Springs bukan sekadar kolam air panas biasa, tetapi juga menyajikan panorama yang indah buat mata anda. Air kolam ini memiliki banyak ruang-ruang kolam lain yang terhasil secara semulajadi, kalau anda datang ke sini, pilihlah kolam yang mana yang menarik hati anda. Namun begitu, kawasan kolam ini agak meriah dikunjungi, oleh itu, anda disarankan untuk datang ke sini sekitar pukul 7.00am ke 8.00am dan 4.00pm ke 5.00pm untuk menikmati mandian dengan lebih tenang.

 

Lokasi: Ban Bang Khram, Khlong Thom

Harga Tiket: Dewasa 160 Baht | Kanak-kanak (4-12 Tahun) 100 Baht

 

16) Wareerak Hot Spring Spa

Wareerak Hot Spring Spa

Imej via thai2siam

Thailand memang terkenal dengan seni urutannya. Apa kata anda manjakanlah badan anda dengan rawatan spa yang ditawarkan di Wareerak Hot Spring Spa. Terletak di dalam ketenangan alam rimba dan jauh dari gangguan kota, rawatan spa di sini bukan sahaja dapat melegakan badan, malahan juga fikiran. Sekiranya anda mendapatkan rawatan spa penuh yang ditawarkan Wareerak, anda akan menerima urutan Thai satu badan yang cukup memuaskan.

Di samping itu, anda akan disajikan dengan makanan tengahari yang organik dan menyelerakan. Termasuk di dalam pakej ini juga adalah mandian di dalam kolam-kolam dengan suhu air yang berbeza, yoga Thai, sesi membuat kraftangan Thai dan waktu untuk bersantai di kawasan sekitar yang mendamaikan jiwa. Memang pengalaman mahal yang sukar dapat di tempat lain.

 

Lokasi: 18 Moo 7 | Khlong Tom Nua Subdistrict, Khlong Thom 81120

Harga Tiket: Dari 2800 Baht

 

17) Susan Hoi

Susan Hoi

Imej via thaiairways

Susan Hoi merupakan tapak fosil atau dikenali sebagai perkuburan cengkerang yang sudah berusia 40 ke 25juta tahun. Fosil-fosil ini terhasil apabila batu kapur yang datang daripada air pantai menyelaputi kerang, siput dan banyak lagi haiwan marin lain sehinggalah terbentuknya tapak fosil ini.

Untuk pengetahuan anda, hanya 3 sahaja lokasi sebegini di peta dunia, iaitu di Jepun, Amerika Syarikat dan di Thailand iaitu Susan Hoi ini. Dah alang-alang sampai ke Krabi, jangan lepaskan peluang anda untuk melihat fosil purbakala ini dengan mata sendiri.

 

Lokasi:  Susan Hoi, Ban Laem Pho, Krabi

 

18) Paya Bakau Ao Luk

Paya Bakau Ao Luk

Imej via whereintheworldisnin

Ao Luk merupakan kawasan yang terkenal dengan gua-gua lautnya yang indah. Ia terletak berdekatan dengan Than Bok Khorani National Park. Untuk ke sini, anda perlu menaiki bot yang akan membawa anda melalui kawasan paya bakau dan beberapa buah gua seperti gua Tham Lod dan gua Tham Pee Hua To.

Apabila bot melalui kawasan gua Tham Lod, suasana sekeliling agak gelap dan anda dapat melihat silingnya dipenuhi dengan pembentukan stalaktik. Manakala, untuk ke Gua Tham Pee Hua To, anda perlu naik ke kawasan guanya sendiri untuk melihat lukisan-lukisan pada dinding yang dihasilkan pada zaman purba. Sangat menarik! Selamat meneroka gua-gua air lain di Ao Luk.

 

Lokasi: Ao Luk District, Krabi

 

19) Ao Thalane

Ao Thalane

Imej via krabiview

Ao Thalane adalah sebuah lagi teluk yang dikatakan terindah di Thailand. Ia dikelilingi oleh bukit batu kapur yang menjadi lokasi idaman pencinta aktiviti kayak. Sekiranya anda menginginkan suasana percutian yang tenang di Thailand, inilah salah satu destinasi yang pasti memberikan kepuasan kepada anda sekeluarga.

Dikelilingi alam semulajadi yang cukup terjaga, sangat menenangkan jiwa. Bab makanan pula, disebabkan ia adalah kawasan perkampungan nelayan, maka makanan laut sedia dihidang di sini. Yang penting anda hanya perlu sediakan duit sahaja.

 

Lokasi: Khao Thong subdistrict, Krabi Town

 

20) Lawatan ke Pulau-Pulau

Koh Ngai

Imej via travelandinspiration

Sekiranya anda suka bersnorkeling, apa kata kalau anda mengikuti lawatan snorkeling yang ditawarkan banyak agensi-agensi pelancongan di Krabi ini. Yang menariknya, pakej-pakej yang ditawarkan membawa anda ke bukan satu namun banyak pulau berdekatan seperti Koh Ngai, Koh Kradan, Koh Chueak, Koh Waen dan Koh Mook dalam masa sehari. Bagi anda yang ingin meneroka Thailand sepuas hati, inilah caranya.

 

Lokasi: 437/1 Moo 1, Saladan Village, Koh Lanta, Krabi, Thailand 81150

 

Itulah dia 20 tempat menarik di Krabi yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Krabi. Jemput juga baca artikel Tempat Menrik Di Hanoi dan Tempat Menarik Di Seam Reap.

Penulis: Husna Ismail

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.