Kuala Kangsar merupakan Bandar Diraja bagi Negeri Perak. Anda boleh melihat banyak bangunan-bangunan gah yang merupakan Istana Diraja juga bangunan tradisional lain yang masing-masing mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri. Bukan setakat bangunan-bangunan bersejarah, Kuala Kangsar juga mempunyai banyak tempat-tempat menarik yang kaya dengan keindahan alam semula jadi seperti di Tasik Raban dan Sungai Perak. Jom kita lihat 20 tempat menarik yang anda boleh lawat di Kuala Kangsar, Perak.

 

1) Masjid Ubudiah

Masjid Ubudiah

Imej via blogger2u

Bila ke Kuala Kangsar, Masjid Ubudiah sememangnya masjid perlu dilawati terutama bagi yang Muslim. Ia merupakan salah satu bangunan keagamaan yang menjadi mercu tanda di negeri Perak. Nasjid yang dikenali sebagai Masjid Diraja Ubudiah ini mula dibina pada tahun 1913 dan siap sekitar pada tahun 1917. Masjid ini telah dirasmikan oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah. Reka bentuk masjid ini bercirikan seni bina Islam dan terdapat empat buah menara dengan ketinggian 126 kaki. Lantai masjid diraja ini menggunakan marmar merah yang ditempah khas dari Itali dan London. Bersesuaian dengan Kuala Kangsar sebagai Bandar DiRaja, seni bina masjid ini nampak mewah dan cantik.

 

Lokasi: Jalan Istana, 33000 Kuala Kangsar, Negeri Perak

 

2) Masjid Ihsaniah Iskandariah

Masjid Ihsaniah Iskandariah

Imej via kkangsarheritage

Selain Masjid Ubudiah, anda juga pasti terpukau dengan keunikan binaan Masjid Uhsanian Iskandariah. Dinding masjid ini berasaskan anyaman buluh minyak tidak menggunakan sebarang paku besi semasa pembinaannya.

Masjid ini mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri. Menurut sejarah, Masjid Ihsaniah Iskandariah telah dibina setelah Sultan Iskandar Shah yang merupakan Sultan Perak yang ke-30 (1918-1938). Baginda bernazar untuk membina sebuah masjid jika anakanda baginda sembuh daripada sakit.

Kampung Kuala Dal telah dipilih selepas baginda Sultan Iskandar Shah terlihat penduduk kampung tersebut bersolat di sebuah madrasah yang usang ketika dalam perjalanan pulang dari berkelah di Lata Bubu. Maka, Sultan Iskandar Shah telah membayar nazar dengan memberi sumbangan sebanyak 8,000 pound sterling dan masjid itu dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh seorang bangsawan bernama Jeragan Abdul Shukur Mohammmad Ali.

Begitulah sejarah yang dikisahkan di sebalik pembinaan Masjid Ihsaniah Iskandariah.

 

Lokasi: Kampung Kuala Dal, 33700 Padang Rengas, Perak

 

3) Istana Kenangan

Istana Kenangan

Imej via twitter

Istana Kenangan juga merupakan salah satu bangunan tradisional Melayu Perak yang terdapat di Kuala Kangsar. Istana ini juga dikenali sebagai Istana Lembah atau kadangkala disebut juga Istana Tepas.

Istana yang berdinding kelarai dan berbumbung perabung pisang sesikat ini telah dirancangkan pembinaannya selepas berlaku banjir besar yang melanda Negeri Perak pada tahun 1926. Konsep binaan Istana ini adalah berdasarkan pada bentuk sebilah pedang. Ragam hias dan seni pertukangannya memperlihatkan keindahan seni pertukangan Melayu Perak.

Istana ini menjadi tempat bersemayam sementara bagi Almarhum Sultan Iskandar Shah, Sulatn Perak yang ke-30 (1918-1938). Setelah Sultan Iskandar Shah berpindah semula ke Istana Iskandariah, Istana Lembah ini telah diduduki oleh keluarga diRaja Perak.

Nama Istana Kenangan ini hanya diberikan pada tahun 1960an setelah ianya diperbaiki semula dengan daya usaha Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang petama. Kini, Istana Kenangan dijadikan sebagai Muzium Diraja Kuala Kangsar. Istana ini telah dijadikan sebagai Tapak Warisan Sejarah.

 

Lokasi:  Taman Lerista, 33000 Kuala Kangsar

 

4) Istana Iskandariah

Istana Iskandariah

Imej via dramafmr

Istana Iskandariah terletak tidak jauh dari Istana Kayangan. Istana Iskandariah merupakan tempat bersemayam Sultan Perak yang rasmi. Nama Istana Iskandariah ini adalah mengambil sempena nama Sultan Iskandar Shah (1918-1938) yang bertanggungjawab terhadap pembinaannya.

Istana ini mempunyai corak seni bina yang istimewa kerana mempunyai adunan daripada Islam-India ‘Saracenic’ dan Asia Barat khususnya ‘Pointed arch’ dan hiasan minaret dan kubah yang berbentuk bawang (onion shaped domes). Selain itu, istana ini dibina menghadap arah matahari menaik dan pemandangannya menjangkaui Sungai Perak yang jernih.

Reka bentuk istana ini sangat gah dan cantik. Seharusnya anda luangkan sedikit masa untuk melihat sendiri kemegahan Istana Iskandariah ini sekiranya anda bercuti ke Kuala Kangsar, Bandar DiRaja Perak.

 

Lokasi: Taman Lerista, 33000 Kuala Kangsar

 

5) Galeri Sultan Azlan Shah

Galeri Sultan Azlan Shah

Imej via wikipedia

Seperti mana Namanya, galeri ini diwujudkan bertujuan untuk merakam tentang sejarah hidup Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah daripada awal usia sehingga zaman pentadbiran baginda. Galeri ini telah dibangunkan semula daripada istana lama iaitu Istana Ulu atau dikenali juga dengan nama Istana Kota.

Di sini juga menempatkan informasi berkenaan sejarah negeri Perak dan keluarga Diraja Perak. Selain daripada pengunjung dapat mengetahui sejarah, susur galur dan kehidupan sultan, anda juga dapat melihat kehalusan seni ukiran kayu dan kerawang besi bermotifkan bunga kemboja yang menghiasi bangunan ini. Keindahan seni ukir ini juga merupakan salah satu warisan negeri Perak yang generasi kini ketahui agar kita lebih menghargai seni warisan budaya kita sendiri.

 

Lokasi: 33000 Kuala Kangsar, Perak

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (10.00am – 5.00pm) | Jumaat: 10.00 pagi – 12.15 tengah hari (Dibuka semula:  2.45 petang – 5.00 petang)

 

6) Pekan Kuala Kangsar

Pekan Kuala Kangsar

Imej via fkphotography-kk

Bagi anda yang suka melihat kehidupan dan tempat orang serta belajar sesuatu yang baru, anda bolehlah luangkan masa anda untuk singgah ke Pekan Kuala Kangsar.Di sini anda boleh beramah mesra dengan orang tempatan.

Pekan Kuala Kangsar mempunyai pelbagai jenis barangan hasil tangan orang-orang kampung seperti labu sayong, tilam, songkok, barangan tembaga. Selain daripada itu, anda juga boleh membeli cenderamata dari pekan ini untuk disimpan sebagai kenangan atau untuk kawan-kawan anda.

 

7) Pavilion Tower Kuala Kangsar

Pavilion Tower Kuala Kangsar

Imej via amazingholidaytour

 

Pavilion Tower Kuala Kangsar juga salah satu mercu tanda juga monumen sejarah yang terdapat di Kuala Kangsar. Bangunan tiga tingkat ini dibina pada tahun 1920 sebelum siapnya pembinaan Istana Iskandariah Dikatakan bahawa menara Pavilion ini digunakan sebagai pusat rekreasi untuk isteri para pegawai istana dan orang penting lain untuk sebarang upacara dan perayaan istimewa. Bangunan ini digunakan sebagai tempat istirehat oleh Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak ke 30) selepas bermain polo. Sekarang, ia tidak lagi digunakan oleh mana-mana kerabat dan ia dijaga dengan rapi oleh majlis daerah agar monumen ini dapat dilihat oleh generasi akan datang yang datang ke Kuala Kangsar.

 

Lokasi: Jalan Tun Razak, Taman Mawar, 33000 Kuala Kangsar, Negeri Perak

 

8) Kolej Melayu Kuala Kangsar

Kolej Melayu Kuala Kangsar

Imej via ibdpmckk

Berhadapan dengan Pavilion Tower Kuala Kangsar, anda boleh melihat sebuah institusi pendidikan yang hebat dan menyimpan banyak sejarah berharga negara kita, iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar. Ia juga dikenali sebagai Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Sekolah ini telah melahirkan ramai alumni mempunyai status elit seperti Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Dato’ Onn Jaafar, Tun Abdul Razak Dato’ Hussein dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sekolah ini merupakan Sekolah Berasrama Penuh lelaki khas buat pelajar lelaki Melayu yang mempunyai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan di peringkat sekolah rendah dan juga menengah rendah. Bukan setakat cemerlang akademik, tetepi sekolah ini juga mempunyai prestasi yang tinggi dalam bidang sukan, terutamanya ragbi dan bola keranjang.

Sekolah ini telah ditubuhkan pada 1905 oleh pihak British atas cadangan daripada R.J. Wilkinson, pegawai pendidikan jajahan pada masa itu. Cadangan itu disokong sepenuhnya oleh Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I (1886—1916).

Pada awalnya, penubuhan sekolah ini ialah untuk mendidik dan melatih golongan elit Melayu, yang terdiri daripada kerabat diRaja. Anak lelaki kelahiran rakyat marhaen sukar untuk mendapat tempat di sekolah ini. Namun, selepas kebangkitan nasionalisme orang Melayu pada sekitar tahun 1947, syarat kemasukan ke sekolah ini dilonggarkan dan semakin ramai anak-anak orang kebanyakan dapat peluang untuk menuntut ilmu di sini. Kini anak Melayu terpilih berpeluang mengikuti pembelajaran peringkat menengah di sekolah ini.

 

Lokasi: Jalan Tun Razak, 33000 Kuala Kangsar

 

9) Sungai Perak

Sungai Perak

Imej via twitter

Sungai Perak yang sepanjang 400km mengalir dari Hulu Perak berpunca dari banjaran Titiwangsa hingga ke Beting Beras Basah, lokasi di mana jalan Sultan Perak Pertama datang di Bagan Datoh ke Selat Melaka. Sungai Perak merupakan sungai yang kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia selepas sungai Pahang. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sungai ini ialah memancing, menyelam dan berenang di Sungai Perak. Terdapat pelbagai jenis ikan yang terdapat dalam sungai seperti lampam, sebarau, tilan, tongsan dan lain-lain.

Selain itu, terdapat perkhidmatan bot menyusuri Sungai Perak untuk melihat pemandangan indah yang terdapat di sekeliling sungai ini seperti kampung-kampung kecil dan pulau. Untuk mendapatkan perkhidmatan bot ini anda boleh ke Jeti Dataran, Sungai Perak Indah, Kuala Kangsar.

 

10) Tasik Raban

Tasik Raban

Imej via xirk

Selain Sungai Perak, anda juga boleh ke Tasik Raban yang terletak di Lenggong untuk menikmati keindahan alam semulajadi di Kuala Kangsar. Tasik Raban mempunyai resort persendirian untuk anda bermalam di sini. Pemandangan indah yang terdapat di sini sememangnya memukau mata yang memandang. Jika anda ingin mencari tempat bercuti yang mempunyai pemandangan cantik dan suasana yang nyaman, anda bolehlah pertimbangkan resort ini sebagai tempat percutian anda.

 

Lokasi: Lenggong, Kuala Kangsar

 

11) Kolam Air Panas Ara Panjang

Kolam Air Panas Ara Panjang

Imej via plainjaneview93

Walaupun Kolam Air Panas Ara Panjang ini tidaklah sepopular Kolam Air Panas yang terdapat di Sungkai, tetapi kawasan ini juga mempunyai potensi untuk menjadi tempat pelancongan yang menarik sekiranya ia diselenggara dengan baik.  Kolam air panas ada banyak manfaat seperti dapat memulihkan penyakit kulit gatal ataupun merebus telur dengan cepat. Sekiranya anda sekadar hanya ingin menangkap gambar, lokasi ini agak sesuai kerana pemandangan kolam air panas ini unik. Tetapi sekiranya anda berhajat untuk bermandi-manda mungkin kurang sesuai kerana persekitarannya tidak begitu terjaga. Mungkin satu hari nanti, apabila kawasan ini dinaik taraf dan dijaga rapi, pasti ia akan menjadi sebuah tarikan pelancong yang popular.

 

Lokasi: Kolam air Panas Ara Panjang, Lempor, Manong, 33800 Kuala Kangsar

 

12) Air Terjun Hutan Lipur Ulu Kenas

Air Terjun Hutan Lipur Ulu Kenas

Imej via kakikuala

Selain menikmati keindahan alam di Sungai Perak, Tasik Raban dan Kolam Air Panas Ara Panjang, anda juga boleh merehatkan tubuh dan minda di Hutan Lipur Ulu Kenas, iaitu sebuah hutan simpan yang menyimpan khazanah air terjun di dalamnya.

Lokasinya kira-kira 15km dari pusat bandar. Di air terjun ini, anda boleh bermandi-manda dan menikmati kedinginan hutan yang menyegarkan.

 

Lokasi: Taman Rekreasi Ulu Kenas, Kampung Ulu Kenas

 

13) Gunung Bubu

Gunung Bubu

Imej via sobriyaacob

Bagi anda yang sukakan aktiviti mendaki gunung, jangan lepaskan peluang anda untuk meneroka Gunung Bubu yang terletak di Hutan Lipur Ulu Kenas. Trek pendakian anda akan melalui Taman Rekreasi Ulu Kenas menuju ke Kem Sg Gading dan anda akan bermalam di situ. Ini kerana, perjalanan untuk sampai ke kem ini mengambil masa yang agak lama iaitu sekitar 6 jam. Kemudian, keesokan harinya anda akan meneruskan pendakian anda sekitar 5 jam untuk sampai ke puncak gunung. Jika anda samapai awal pagi di puncak, dapatlah anda menikmati pemandangan indah matahari terbit di sini.

 

Lokasi: Gunung Bubu, Hutan Lipur Ulu Kenas

 

14) Empang Pecah

Empang Pecah

Imej via percutianbajet

Jika anda mencari tempat mandi air terjun yang lebih cantik dan menyeronokkan, anda bolehlah ke Empang Pecah yang juga terletak di Hutan Lipur Ulu Kenas. Empang Pecah ini terletak lebih atas daripada Air Terjun Ulu Kenas.

Anda perlu berjalan kaki dan mendaki menyusuri denai bersebelahan Kem Bina Negara Ulu Kenas untuk sampai ke sini. Nampak macam mencabar trek untuk ke Empang Pecah ini kan? Tidak mengapa, kepayahan nda untuk sampai ke sini terbayar dan sangat berbaloi dengan keindahan air terjun ini. Malah kolam mandi yang luas terbentang setia menanti kehadiran anda di sini. Anda boleh bermandi-manda sepuas hati anda dengan kesegaran air terjun yang dingin ini.

 

Lokasi: Empang Pecah, Hutan Lipur Ulu Kenas

 

15) Galeri Arkeologi Lembah Lenggong

Galeri Arkeologi Lembah Lenggong

Imej via sobriyaacob

Selain daripada tempat bersejarah dan alam semulajadi, terdapat galeri arkeologi yang terletak di Lenggong. Galeri arkeologi ini ditubuhkan pada 1999 dan memaparkan pelbagai artifak yang dijumpai di sekitar Lembah Lenggong. Pembukaan galeri ini bertujuan sebagai medium informatif untuk orang awam tahu seni arkeologi dan penemuan sejarah yang terdapat di sekitar Lenggong contohnya alat-alat batu, rangka ‘Perak Man’ dan lukisan yang dilihat di dalam gua. Anda boleh membawa anak-anak anda untuk mempelajari dan memahami dengan lebuuh mendalam tentang sejarah zaman Paleolitik dan lain-lain.

 

Lokasi: Galeri Arkeologi Lenggong, Jabatan Warisan Negara, 33400 Lenggong

 

16) Pusat Kraftangan Labu Sayong

Pusat Kraftangan Labu Sayong

Imej via dkosonglapan

Labu sayong merupakan salah satu identiti bagi Kuala Kangsar. Ia adalah bekas isi air yang dibuat daripada tanah liat. Dikatakan air di dalam labu sayong lebih sejuk berbanding air biasa yang di letak pada suhu bilik. Produk tradisional ini banyak dihasilkan oleh penduduk kampung di sekitar Mukim Sayong. Bersempana nama mukim inilah, labu sayong mendapat namanya.

Tidak lengkap sekiranya anda ke Kuala Kangsar, tetapi tidak mendapatkan ole-ole labu sayong di sini. Terdapat pelbagai bentuk dan saiz labu sayong yang dijual di sini. Bukan setakat tempat isi air sahaja, malah ada juga labu sayong yang bersaiz mini dan dicorakkan dengan cantik sekali sebagai cenderahati atau perhiasan rumah.  Malah, anda juga berpeluang untuk melihat proses pembuatan labu sayong ini live depan mata anda. Pasti ia satu pengalaman yang baru untuk kenang-kenangan anda sepanjang anda di Kuala Kangsar, Perak.

 

Lokasi: Pusat Kraftangan Labu Sayong, Mukim Sayong

 

17) Pusat Kraftangan Mariwasa

Pusat Kraftangan Mariwasa

Imej via tempatmenarik

Diasaskan pada tahun 1975, pusat kraftangan ini bukan semata-mata mengeluar dan pamerkan produk, anda juga dapat melihat proses pembuatan barangan tersebut. Barangan yang terdapat di pusat ini ialah barangan hiasan rumah, barangan perak dan pingat yang berkualiti tinggi. Anda juga boleh menyaksikan pembuatan pingat secara terperinci. Selain itu, anda boleh melihat mesin-mesin yang digunakan untuk megnhasilkan medalion dan silver. Sambil menjenguk, anda boleh menambahkan ilmu pengetahuan anda tentang seluruh proses membuat medalion hingga ke proses terakhir iaitu pembungkusan.

 

Lokasi: Lot 522, Kawasan Perusahaan, 33000 Kuala Kangsar, Perak

 

18) Pusat Pembangunan Kraftangan Perak

Pusat Pembangunan Kraftangan Perak

Imej via mamable

Selain Pusat Kraftangan Labu Sayong, anda juga boleh mengunjungi Pusat Pembangunan Kraftangan Perak yang terletak di tebing Sungai Kuala Kangsar. Pusat kraftangan ini mempunyai banyak barangan terutamanya labu sayong, barangan yang terkenal di Kuala Kangsar. Selain daripada labu sayong, anda juga boleh membeli cenderehati dan kraftangan lain yang dibuat daripada mengkuang, rotan, seramik dan lain-lain.

 

Lokasi: Km 40, Jalan Ipoh, 33600 Enggor

 

19) Kilang Kicap Tamin

Kilang Kicap Tamin

Imej via orangperak

Kilang Kicap Tamin ini diasaskan oleh seorang penduduk dengan bermodalkan RM10 sahaja. Semangatnya untuk meneruskan perniagaannya sehingga berjaya amat menakjubkan. Sekarang, ramai orang mengenali jenama Tamin ini. Oleh itu, duit hasilnya digunakan untuk mendirikan sebuah kilang untuk menjana lebih banyak botol kicap kerana mendapatkan sambutan hangat daripada orang tempatan.

Jika anda melawat kilang ini, anda akan mempelajari bagaimana proses penghasilan kicap dijalankan seperti pemerapan kacang soya yang merupakan cara yang paling tradisional sekali. Di situ juga terdapat bilik pameran yang mempamerkan produk-produk lain yang dihasilkan selain dari kicap iaitu sirap, sos dan lain-lain.

 

Lokasi: No.3955, Jalan Ipoh Batu 25, 33600, Enggor, Perak, 1, Kampung Setia, 31100 Enggor, Perak

 

20)  Jambatan Victoria

Jambatan Victoria

Imej via orangperak

Jambatan kereta api Victoria telah dirasmikan oleh Sultan Idris Murshidul Azam Shah pada tahun 1900. Jambatan ini menghubungkan laluan kereta api Kuala Kangsar dan Enggor dengan merentasi Sungai Perak.

Pembinaan jambatan ini menjadi salah satu sejarah bagi Tanah Melayu kerana ia Berjaya menghubungkan kereta api dari Perai ke Johor Bahru.

Jika anda ke sini, jangan lupa abadikan jambatan bersejarah ini dalam kepingan-kepingan gambar untuk kenang-kenangan anda. Malah, anda juga pasti teruja melihat binaan jambatan sehebat ini yang mula dibina pada tahun 1897.

 

Lokasi: Seberang Karai, Kuala Kangsar

 

Itulah dia 20 tempat menarik di Kuala Kangsar, Perak yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Kuala Kangsar. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Taiping dan Tempat Menarik Di Ipoh. 

 


Penulis: Husna Ismail

Husna Ismail

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.