Kuala Lipis merupakan sebuah tempat yang bermukim di sebuah bandar di Pahang iaitu Bandar Lipis, Pahang.  Populasi penduduk di sini adalah seramai 20,000 orang. Ada juga yang menyatakan populasinya adalah seramai 60,000 orang. Pada tahun 1898, Kuala Lipis ini pernah menjadi ibu negeri Pahang sehinggalah pada tahun 1955. Kini, ibu negeri Pahang ialah Kuantan.

tempat menarik di kuala lipis

Imej via [naturetravelling]

Sebelum era pemerintahan British di Tanah Melayu pada tahun 1887, Kuala Lipis pernah menjadi pusat perlombongan emas pada ketika itu. Semasa era pemerintahan British pula, terdapat beberapa bangunan telah dibina antaranya SMK Clifford, Pahang Club, Rumah Residen British (kini telah menjadi hotel dan muzium) dan sebagainya.

Pada 1924, British telah membina landasan kereta api membuatkan bandar ini semakin maju dan membesar. Namun pada 1955, selepas pemindahan ibu negeri Pahang ke Kuantan, pembangunan Kuala Lipis telah terhenti pembangunannya pada masa itu. Sekarang Kuala Lipis merupakan peringatan peninggalan zaman pemerintahan British.

Tahukah anda, Nama “Lipis” adalah dipercayai diambil daripada sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai Serau Lipis. Disebabkan lokasi bandar ini yang terletak di kuala Sungai Lipis, maka ia dinamakan sebagai Kuala Lipis. Jom lihat 10 tempat menarik di Kuala Lipis yang buat anda rileks dan tenang!

 

  1. Hutan Simpan Bukit Taching

tempat menarik di kuala lipis

Imej via [kgbudu]

Hutan Simpan Bukit Taching ini mengambil masa kira-kira 30 minit dari Kuala Lipis dan terletak di Kampung Kemahang, Benta, Pahang. Hutan Simpan Bukit Taching ini telah dibangunkan seawal tahun 1990. Jika anda sukakan aktiviti yang menarik berlatarkan suasana flora dan fauna, anda harus datang ke sini. Antara aktiviti yang sering dilakukan adalah beriadah, jungle tracking, mandi manda di sungai yang jernih dan banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Di sini terdapat pelbagai spesies flora dan fauna yang berevolusi sejak jutaan tahun dahulu. Hutan Simpan Bukit Taching ini semakin popular apabila turut ditemui pokok Rafflesia yang banyak hidup di kawasan hutan ini.

 

2.  Taman Tasik Burung Mandi

tempat menarik di kuala lipis

Imej via [webstagram]

Bagi anda yang meminati acara sukan motorcross, anda bolehlah datang ke sini. Taman Tasik Burung Mandi ini merupakan kawasan yang sering menjadi tumpuan bagi penggemar aktiviti motorcross.  Ia melibatkan peserta dari dalam dan luar negara. Jaraknya dari Bandar Lipis adalah lebih kurang 45 kilometer dan berkeluasan 200 ekar. Dahulunya tasik ini adalah tempat perlombongan bijih timah dan mempunyai 4 tasik buatan manusia.

Asal nama Tasik Burung Mandi ini adalah sempena daripada jutaan burung yang sering berhijrah setiap tahun ke tasik ini untuk berlindung daripada perubahan cuaca. Untuk pengetahuan anda, orang dulu-dulu beranggapan bahawa burung ini sedang mandi, sebab itulah nama tasik ini Tasik Burung Mandi.  Selain aktiviti motorcross, Taman Tasik Burung Mandi turut menjadi tumpuan bagi pencinta alam. Di sini juga terdapat beberapa buah bukit yang mempunyai kepelbagaian khazanah semulajadi hutan hujan tropika di tempat.

 

3.  Gua Bama

tempat menarik di kuala lipis

Imej via [akuanakpahang]

Jika anda dari Gua Musang, Kelantan dan ingin pergi Ke Benta, Pahang, anda akan melalui sebuah jalan utama yang terdapat Gua Bama pada pertengahan jalannya. Gua Bama sering menjadi tumpuan bagi mereka yang meminati aktiviti lasak dan pencinta alam. Antara aktiviti yang menarik yang boleh dilakukan di sini adalah hiking (mendaki ke puncak Gua Bama dan memanjat batu tongkol), menjelajah di dalam gua, menikmati permandangan dari puncak gua, fotografi alam sekitar, abseiling dan rapelling, kem perkhemahan ungun api serta kem musim panas. Para pengkaji burung juga turut sering ke sini untuk mengkaji burung yang terdapat di sini.

Terdapat pelbagai kisah lagenda mengenai Gua Bama ini. Pernah dikatakan oleh masyarakat setempat bahawa asal nama Gua Bama ini adalah daripada seekor harimau yang menjadi penjaga kawasan Relong dan sekitar kawasan ini iaitu Bujang Bama. Ada juga yang mengatakan bahawa asalnya Gua Bama ini merupakan daripada dua buah rumah pengantin yang ditegur oleh Sang Kelembai sehingga bertukar menjadi Gua Jantan yang kecil dan Gua Betina yang lebih besar.

 

4.  Homestay Kuala Medang

tempat menarik di kuala lipis

Imej via [kualamedangofficial]

Homestay Kuala Medang ini terletak di dalam Mukim Hulu Jelai.  Jarak homestay ini dari bandar Kuala Lipis adalah kira-kira 49 Kilometer.  Ia menawarkan pakej penginapan yang unik untuk pelancong yang menginginkan suasana keindahan alam semulajadi. Penginapan yang disediakan sangat selesa, tidak mahal dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Antara kemudahan yang disediakan ialah Cabinstay, Rumahstay dan homestay.

Cabinstay ialah dimana para penyewa boleh merasai susana tinggal didalam cabin. Harganya RM80 untuk satu malam. Rumahstay merupakan suatu konsep dimana sebuah rumah untuk disewa yang berharga RM250 untuk satu rumah dan tanpa pakej makan dan minum. Manakala homestay pula adalah dimana anda boleh merasai suasana tinggal bersama pemilik rumah ini dan terdapat pelbagai aktiviti yang dapat dilakukan bersama. Untuk pakej 3 hari 2 malam ini, anda hanya perlu membayar RM280.  Ia ala-ala seperti anda berada di Melbourne!

5.  Zoo Lipis

tempat menarik di kuala lipis

Imej via [Zoo Lipis]

Zoo Lipis ataupun lebih dikenali dengan Mini Zoo Lipis atau Taman Haiwan Lipis ini amat terkenal dengan adanya Beruang Matahari (Sun Bear), Burung Enggang, Burung Merak, Burung Hantu, Baning (sejenis spesies kura-kura yang hidup di darat) dan banyak lagi haiwan yang jarang dijumpai di zoo-zoo yang lain. Zoo Lipis ini terletak di Bukit Bius, Kuala Lipis dan dibuka pada hari Isnin hingga Khamis pada pukul 10 pagi sehingga pukul 7 petang.

Pada hari Jumaat pula dibuka pada pukul 10 pagi sehingga pukul 1 tengah hari manakala disambung pula pada pukul 3 petang sehingga pukul 7 malam. Manakala pada hari Sabtu dan Ahad pula dibuka pada pukul 9 pagi sehingga pukul 7 petang. Bayaran yang dikenakan untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun adalah RM1 dan RM2 untuk golongan dewasa. Untuk pengetahuan anda, terdapat 42 spesies haiwan yang terdapat di zoo ini. Bagi anda yang mempunyai anak kecil, pasti sangat menarik jika dapat berkunjung di sini dengan mereka kan?

6.  Taman Negara Sungai Relau, Merapoh

tempat menarik di kuala lipis

Imej via [tripadvisor]

Lawatan ke Kuala Lipis tidak lengkap tanpa trekking di salah satu kawasan hutan hujan terbaik di Asia ini. Anda boleh meneroka permandangan Taman Negara Sungai Relau yang indah, mendengar bunyi-bunyian kicauan burung, menikmati udara yang segar dan melihat pelbagai jenis flora dan fauna yang unik di sini. Trekking di Taman Negara Sungai Relau sebenarnya merupakan pengalaman yang bermanfaat jika anda adalah seorang pengembara yang santai.

Bagi mereka yang cukup berani untuk naik dan turun gunung, menyeberang sungai serta berkhemah di dalam hutan Gunung Tahan, ia adalah pilihan terbaik untuk anda. Seperti namanya, Gunung Tahan (Tahan bermaksud berdaya tahan dalam Bahasa Melayu) amat sesuai untuk pengembara yang berpengalaman. Ia mengambil masa empat hari untuk mencapai puncak dan kembali turun ke bawah serta anda juga perlu melalui tiga trek yang pasti amat mencabar.

Selain itu terdapat aktiviti lain yang anda boleh lakukan di sini iaitu aktiviti Santuari Ikan Kelah dimana anda boleh melihat ikan ini secara dekat, melihat hidupan liar di waktu malam menggunakan lampu suluh dan banyak lagi. Terdapat lebih 300 spesies burung yang dikenal pasti tinggal di kawasan ini. Terdapat juga kemudahan yang disediakan di sini seperti Chalet, tempat mandi manda dan sebagainya.

 

7.  Tasik Empang Jaleh

tempat menarik di kuala lipis

Imej via [kgtelemin]

Di Kuala Lipis, terdapat sebuah tasik rekreasi yang dipanggil Empang Jaleh di mana para pengunjung boleh berehat dan juga boleh mengembara di sepanjang jejak hutan yang menawan ke Gunung Tahan. Pelbagai kemudahan yang tersedia di Tasik Empang Jaleh seperti laluan berjalan kaki, berkayak dan padang golf. Antara aktiviti yang disediakan adalah kayak, golf, laluan berjalan kaki, perkhemahan, kawasan memancing dan juga kemudahan bersukan seperti joging. Selain itu perkhidmatan seperti ‘buggy’ dan ‘turfmate’ juga turut disediakan untuk para pengunjung dengan kadar yang berpatutan. Keluasan tasik ini adalah 184.35 ekar dan terletak kira-kira 14 kilometer dari Bandar Kuala Lipis. Bagi anda yang ingin bersantai di Kuala Lipis bersama keluarga, inilah tempat  menarik di Kuala Lipis yang paling sesuai.

 

8.  Masjid Lama 1888

tempat menarik di kuala lipis

Imej via [Tripadvisor]

Jika anda pergi ke Sungai Jelai, anda akan terlihat masjid ini di tepi sungai tersebut. Sekiranya anda dari bandar baru Lipis hendak menuju ke bandar lama Lipis, anda akan melalui kawasan masjid ini. Masjid ini pernah dijadikan masjid negeri ketika Kuala Lipis masih menjadi ibu negeri Pahang. Kini, masjid ini masih digunakan serta menjadi salah satu peninggalan sejarah di negara kita.

9.  Rumah Rehat (Bekas Rumah Residen Inggeris)

Imej via [tripadvisor]

Tahukah anda, rumah rehat kediaman bekas Residen Inggeris, Sir Hugh Clifford di Pahang antara peninggalan sejarah pemerintahan British di Malaysia. Kini, tempat ini merupakan rumah rehat kerajaan serta mempunyai sudut muzium bagi mempamerkan bahan-bahan sejarah dan sebagainya. Bangunan ini telah dibina pada tahun 1922 dan dijadikan kediaman bagi residen inggeris pada ketika itu. Struktur binaanya masih kekal sehingga kini dan proses membaik pulih rumah rehat ini giat dijalankan oleh pihak kerajaan dalam usaha memelihara peninggalan sejarah ini.

 

10.  Pejabat Daerah Kuala Lipis

Imej via [tripadvisor]

Bangunan ini siap dibina pada tahun 1919 dan merupakan pusat pentadbiran utama semasa era pemerintahan British di Pahang. Tempat menarik di Kuala Lipis ini menempatkan Pejabat Residen British dan Pegawai-pegawai Pentadbiran bagi negeri Pahang di tingkat atas dan di bahagian tingkat bawah pula merupakan Pejabat Kutipan Hasil dan Perbendaharaan Kerajaan British.

Dengan wujudnya jawatan Menteri Besar pada tahun 1952, Pejabat Menteri Besar negeri Pahang dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang ditempatkan dibangunan ini dan dalam tahun 1952 apabila ibu negeri Pahang dipindahkan ke Kuantan pada 27 Ogos 1955, bekas pusat pentadbiran ini dijadikan Pejabat Daerah Lipis sehinggalah ke hari ini. Sedarkah anda tempat menarik di Kuala Lipis ini sebenarnya membuatkan anda tenang dan rileks?

Imej via [lelong]

Kesimpulannya, banyak lagi tempat menarik di Kuala Lipis yang buat anda tenang dan rileks dan perlu anda lawati. Yang pasti, ia akan membuatkan anda mempelajari tentang pelbagai perkara di sana selain anda dapat menikmati pemandangan yang indah. Jemput baca tempat menarik di  Subang dan tempat menarik di Kuala Pilah pula.

 

Rujukan

  1. Wikipedia
  2. Tripadvisor
  3. kualamedangofficial

Penulis: Zushazrina Zulkifli

Merupakan penulis sepenuh masa yang aktif berkongsi tips, ilmu dan penulisan di Malaysia

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.