Bila sebut London, pasti terbayang Sungai Thames dan London Bridge yang ikonik. Terbayang juga Buckingham Palace yang dikawal oleh pengawal yang berdiri tegak seperti patung. Tak dinafikan, London sememangnya menjadi destinasi percutian idaman ramai rakyat Malaysia. Namun tak ramai yang mampu ke sana memandangkan kadar tukaran wang yang sangat besar. Tapi, apa salahnya bermimpi kan? Mimpi boleh jadi kenyataan. Hari ini kami nak bawa anda jalan-jalan menjelajah tempat menarik di London yang wajib masuk dalam wishlist anda.

tempat menarik di london

Sumber: Lonelyplanet

1. The Big Ben

Big Ben adalah bangunan ikonik di London yang merupakan menara jam terbesar di dunia dengan ukuran jam berdiameter hampir 7.5 meter. Apa yang menarik, jam di Big Ben tidak pernah rosak sepanjang hayatnya dan semasa perang dunia kedua, walau pun bangunan di sekeliling Big Ben rosak akibat dibom, menara jam ini kekal berdiri megah tanpa sebarang kerosakan. Hebat kan? Kalau anda sampai ke London, jangan lupa untuk singgah di sini.

2. Sungai Thames

Tak lengkap percutian anda di London kalau tak bergambar di Sungai Thames. Sungai yang merentasi Kota London ini telah lama mengalir sejak berabad yang lalu dan menjadi saksi perkembangan pesat Kota London dari dulu hingga sekarang. Anda juga boleh menaiki bot untuk menyelusuri Sungai Thames yang terkenal di seluruh dunia ini.

3. London Bridge

London Bridge merupakan satu lagi tempat menarik yang wajib anda kunjungi jika menjejakkan kaki ke bumi London. Menurut sejarah, ada satu kisah menarik di sebalik jambatan yang gah ini. Di sinilah kepala William Wallace, seorang pejuang kemerdekaan London dipacak sebagai amaran supaya jangan menderhaka dengan raja England.

4. Tower of London

Bangunan bersejarah Tower of London memainkan peranan penting dalam lipatan sejarah London di mana ia pernah digunakan sebagai:

  • Tempat simpanan mahkota diraja Crown Jewel of England
  • Kediaman rasmi pegawai kerajaan
  • Pejabat arkib sejarah London
  • Pusat kewangan London
  • Gudang senjata semasa perang dunia kedua
  • Zoo

5. London Eye

Jika anda singgah di Sungai Thames, jangan lupa untuk singgah juga di London Eye iaitu roda gergasi setinggi  135 meter dengan diameter roda sebesar 120 meter yang terletak di tebing Sungai Thames. Kami cadangkan anda naik roda ini pada waktu malam untuk melihat Bandar London yang dihiasi kerlipan lampu yang bergemerlapan.

tempat menarik di london

Sumber: Infomoney

6. Tower Bridge

Tower Bridge merupakan satu lagi jambatan ikonik yang terdapat di Kota London. Ia dinamakan sebagai Tower Bridge kerana kedudukannya yang berdekatan dengan Tower of London. Singgah sebentar untuk bergambar di sini sebagai kenang-kenangan.

7. Buckingham Palace

Tempat menarik di London yang seterusnya ialah Buckingham Palace. Asalnya, istana ini digunakan sebagai kediaman rasmi bagi tetamu kerajaan asing yang datang ke London untuk urusan rasmi. Hari ini istana besar yang mempunyai 775 biji bilik ini beroperasi sebagai ibu pejabat pentadbiran diraja England.

Jika anda datang ke sini, pastikan anda sampai sebelum pukul 11.30 pagi supaya anda tak terlepas daripada menonton upacara rasmi pertukaran waktu bertugas pengawal istana. Upacara pertukaran pengawal istana ini berjalan hampir satu jam. Anda akan dihidangkan dengan upacara berkawad yang formal dan penuh istiadat. Rugi sangat kalau anda terlepas.

8. Westminster Abbey

Westminster Abbey merupakan sebuah gereja yang digunakan untuk majlis ramsi diraja England seperti upacara pertabalan raja dan ratu England, serta perkahwinan diraja. Di sinilah Kate Middleton berkahwin dengan putera rajanya.

9. The Royal Horseguard

Disini The Royal Horseguard, anda boleh melihat askar berkuda dari Skuadron Pengawal Peribadi (Life Guard) yang menjaga Ratu England. Anda berpeluang untuk bergambar dengan pengawal di sini berlatar belakangkan bangunan yang cantik.

10. Trafalgar Square

Tak lengkap percutian anda di London kalau tak singgah di Trafalgar Square iaitu dataran bersejarah terbesar di London. Dataran ini telah wujud sejak zaman pertengahan lagi. Di tengah Trafalgar Square terdapat tugu orang-orang King George IV, James Napier, King Charles I dan Admiral Nelson yang memainkan peranan penting dalam sejarah London. Di sini juga ada banyak pentunjukan seni jalanan yang happening.

tempat menarik di london

Sumber: Wikipedia

11. National Galleries

National Gallery adalah sebuah muzium seni yang telah dibina pada tahun 1824. Lokasinya adalah bersebelahan dengan Trafalgar Square, jadi kalau anda sampai ke dataran tersebut, jangan lupa untuk singgah di sini. Di National Galleries terdapat lebih daripada 2,300 koleksi lukisan yang dikumpul dari abad ke- 13 hingga abad ke -19. Masuk adalah percuma.

12. British Museum

Jika National Galleries mempamerkan lukisan antik dari abad yang dulu, British Museum pula adalah sebuah muzium yang fokus kepada perkembangan sejarah manusia dan budaya. Apa yang menarik, terdapat lebih daripada 8 juta bahan sejarah dipamerkan disini. Masuk juga adalah percuma, jadi jangan lupa untuk singgah di sini.

13. National History Museum

National History  Museum adalah muzim yang paling menarik di London. Kalau anda pernah menonton filem Night at the Museum, susur aturnya lebih kurang sama seperti muzium ini. Sebaik sahaja masuk ke dalam muzium, anda akan disambut oleh rangka dinosor yang bersaiz sebenar. Di muzium ini terdapat 80 juta bahan pameran yang dibahagikan kepada 5 seksyen iaitu:

  • Botani
  • Entomologi
  • Mineralogi
  • Paleontologi
  • Zoologi

Sekali lagi, masuk adalah percuma. Anak-anak anda pasti berseronok di sini.

14. Hyde Park

Hyde Park London merupakan taman diraja England. Menariknya, Hyde Park telah diiktiraf sebagai taman dalam bandar yang terbesar di dunia dengan keluasan 142 hektar yang dipenuhi oleh 4,000 batang pokok, tasik, padang rumput dan taman-taman bunga yang pastinya membuatkan anda terpesona dan tak puas mengambil gambar.

15. Harrods

Siapa yang tak kenal Harrods? Syurga membeli-belah barangan berjenama seperti Prada, Longchamp, Burberry, dan perlbagai jenama mewah yang lain. Kalau anda tak mahu membeli-belah barang mewah, anda boleh masuk ke Harrods Giftshop yang ada menjual barangan berjenama Harrods dengan harga yang berpatutan. Anda bolehlah beli shopping bag, key chain atau pun beg duit yang ada lambang Harrods sebagai kenangan.

16. Primark

Primark iailah pusat membeli-belah yang menjual pakaian dengan harga super duper murah yang menjadi tempat wajib dikunjungi oleh rakyat Malaysia yang pergi ke London. Kalau anda bernasib baik dan datang semasa jualan murah, untung sangat-sangat.

17. St. James Park

St James Park adalah sebuah taman yang terletak di sebelah Buckingham Palace. Selepas melihat upacara rasmi pertukaran pengawal istana Buckingham Palace, bolehlah anda jalan-jalan ambil angin di sini sambil melihat pemandangan yang mengasyikkan.

18. London Designer Outlet

Untuk kaki shopping. anda wajib singgah di sini. Ala-ala JPO, di sini terdapat butik barangan berjenama antarabangsa.

19. Wembley Stadium

Tempat menarik yang setersunya ialah Wembley Stadium yang merupakan stadium bola ikonik di London. Anda boleh masuk ke dalam stadium, duduk di kerusi penonton dan bergambar sepuas-puasnya.

20. Bayswater

Bayswater adalah tempat yang sesuai untuk anda membeli cenderamata buat kenang-kenangan. Terdapat pelbagai barangan cenderamata di sini seperti keychain, bookmark, miniature bas London, miniature Big Ben, shopping bag yang bertulis London, dan sebagainya.

21. No.18 Folgate Street

Rumah bersejarah ini dibina pada tahun 1724 dan pernah dihuni oleh Dennis Severs yang mampu membawa anda kembali ke masa silam. Rumah ini merupakan sebuah “imaginasi sejarah” tentang kehidupan keluarga Huguenot yang bekerja sebagai penenun sutera pada tahun 1725 hingga 1919. Suasana rumah ini akan membawa anda mengembara ke abad ke-18.

tempat menarik di london

Sumber: Pinterest

22. Gua-gua di Chislehurst

Gua-gua di Chislehurst merupakan lombong kapur dan batu permata yang aktif digunakan dari abad ke-13 hingga ke-19. Apa yang menarik, gua-gua ini pernah menjadi lokasi persembahan kumpulan rock terkenal seperti The Rolling Stones dan Led Zeppelin.

23. Camley Street Natural Part

Jika anda sukakan alam semulajadi, anda wajib melawat Camley Street Natural Park iaitu rizab alam semulajadi yang terletak di tengah-tengah Kota London. Taman yang merupakan bekas lokasi simpanan arang batu pada tahun 1984 ini terdiri daripada tanah lembap, hutan dan padang rumput ini dikendalikan oleh London Wildlife Trust. Di sini anda boleh melihat burung, rama-rama, kelawar dan juga flora dan fauna yang lain.

24. The Whitechapel Bell Foundry

Bagi yang sukakan sejarah, anda wajib datang ke The Whitechapel Bell Foundry. Kedai yang terletak di terletak di Aldgate East dan Whitechapel ini  adalah pusat operasi syarikat The Whitechapel Bell Foundry yang bertanggung jawab menghasilkan loceng besar untuk dipasang pada menara jam Big Ben dan juga Liberty Bell di Amerika Syarikat.

Selain itu, syarikat The Whitechapel Bell Foundry juga merupakan syarikat pembuatan tertua di United Kingdom yang telah beroperasi selama hampir 500 tahun. Jika datang ke sini, jangan lupa untuk membeli cenderamata loceng sebagai kenang-kenangan.

25. Pam Air Jon Snow

Pam air yang terletak di Broadwick Street iaitu di belakang Oxford Street ini dinamakn sempena seorang doktor yang berjaya mengesan penularan wabak kolera di London pada tahun 1854 melalui paip ini. Dr Jom Snow adalah antara salah seorang bapa pengasas Epidemiologi yang telah merubah sistem perairan di London secara besar-besaran.

26. The Seven Noses Soho

Jika anda datang ke sini, anda akan melihat 7 batang hidung yeng melekat di dinding. The Seven Noses of Soho adalah hasil kreatif Rick Buckley yang menciptanya pada tahun 1997 sebagai protes tunjuk perasaan terhadap kemunculan Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang banyak dipasang di sekitar Bandar London.Kehadiran kamera litar tertutup di London mencetuskan protes di kalangan penduduk dengan mengecat grafiti pada dinding bangunan.

Namun Rick memilih untuk tidak melukis grafiti, sebaliknya beliau melekatkan 35 hidung di sekitar Soho. Dari 35 batang hidung yang dilekatkan, cuma 7 masih kekal hingga kini. Yang lain sudah dicabut oleh pihak berkuasa.

tempat menarik di london

Sumber: Secretcities

27. The Hidden Ears

Sama seperti The Seven Noses of Soho, telinga melekap di dinding yang boleh dijumpai di Jalan Floral di Covent Garden ini merupakan hasil tangan artis Tim Fishlock sebagai tanda protes ke atas pemasangan litar kamera bertutup di seluruh bandar London. Apa yang menarik, telinga yang melekat di dinding ini dihasilkan dengan menekap bentuk telinganya sendiri.

28. Balai Polis Trafalgar Square

Pondok batu yang terletak di tengah-tengah Trafalgar Square ini merupakan balai polis paling kecil di seluruh United Kingdom. Ianya dibina pada satu masa dahulu untuk mengawal perhimpunan tunjuk perasaan yang berarak menuju je Trafalgar Square. Pada hari ini, balai polis ini tidak digunakan lagi dan menjadi bangunan sejarah yang kekal di tengah Trafalgar Square.

29. Gereja St Dunstant-in-the-east

St Dunstan-in-the-East adalah sebuah gereja yang dibina pada tahun 1100. Ia terletak di Bukit St. Dunstan di antara London Bridge dan Tower of London. Struktur banguan ini masih kukuh namun kini dipenuhi dengan tumbuhan liar yang menjadikannya kelihatan sangat unik. sangat sesuai dijadikan tempat untuk mengambil gambar. Menurut sejarah, sebahagian besar daripada gereja ini musnah ketika perang dunia kedua.

Itulah dia perkongsian kami tentang 29 tempat menarik di London. Semoga boleh menjadi panduan untuk anda melawat ke sana nanti.


Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.