Medan adalah ‘pintu masuk’ bagi Sumatera Utara. Sesiapa yang ingin ke Sumatera Utara, pasti akan melalui Medan terlebih dahulu. Walaupun Medan tidak sepopular bandar-bandar besar lain di Indonesia dalam sektor pelancongan di peringkat antarabangsa, namun lokasi ini menyimpan pelbagai khazanah semulajadi yang cantik untuk para pelancong terokai. 

Jom kita lihat 20 tempat menarik di Medan.

 

1) Masjid Raya Al-Mashun

Masjid Raya Al-Mashun

Imej via ksmtour

Masjid Raya adalah salah satu ikon di Kota Medan. Masjid Raya Medan ini berlokasi di Jl Sisingamanganraja dan merupakan salah satu bangunan bersejarah yang ada di Kota Medan. Masjid ini merupakan masjid peninggalan kesultanan Deli yang dibangun pada masa pemerintahan Sultan Ma’mun Alrasyid Perkasa Alam. Masjid ini dibangun pada tahun 1906 dan baru digunakan sekitar 1909.

Masjid ini sangat luas dilengkapi dengan ciri-ciri seni bina yang cantik. Masjid ini direka oleh arkitek dari Belanda. Ia bernuansakan ciri-ciri seni bina dari Turki, Andalusia dan kerajaan Arab, membuatkan ia sebuah masjid yang indah di tengah-tengah kota Medan.

Lokasi: Jl. Sisingamangaraja No.61, Mesjid, Kec. Medan Kota, Kota Medan, Sumatera Utara 20156, Indonesia

 

2) Istana Maimun

Istana Maimun

Imej via wisataseekers

Istana lama zaman Kesultanan Deli ini dibina pada zaman Sultan Deli Makmun Al-Rashid Perkasa Alam Syah pada tahun 1888. Ia merupakan salah satu tempat tumpuan pelancong kerana seni binanya sangat cantik dan unik.

Di sini juga terdapat banyak gerai cenderamata yang menjual pelbagai jenis cenderamata seperti keychain, t-shirt, dompet, ukiran kayu,  fridge magnet, songket, songkok, kain batik/pelikat, rehal, ayat-ayat Al-Quran dan sebagainya.

Lokasi: Jalan Sultan Ma’moen Al Rasyid No.66, A U R, Kec. Medan Maimun, Kota Medan, Sumatera Utara 20151, Indonesia

Harga Tiket:  Rp5000

 

3) Taman Ulos

Taman Ulos

Imej via skyscrapercity

Sesampainya anda di Lapangan Terbang Kualanamu, anda akan dapat melihat sebuah taman yang indah iaitu Taman Ulos. Taman ini dibuat mengikut corak batik kain tradisional Kaum Batak di Medan iaitu Kain Ulos. Taman bunga ini disusun mengikut warna Kain Ulos tersebut. 

Lokasi: Bandar Udara Internasional Kualanamu, Beringin, Kec. Beringin, Kabupaten Deli Serdang, Sumatera Utara 20553, Indonesia

 

4) Rahmat International Wildlife Museum & Gallery

Rahmat International Wildlife Museum & Gallery

Imej via sumutpos

Rahmat International Wildlife Museum & Gallery merupakan sebuah tempat pelancongan yang sangat menarik dan unik di Kota Medan. Muzium dan galeri ini menyimpan pelbagai koleksi mengagumkan yang terdiri daripada berbagai binatang liar diawetkan yang berasal dari tempat berburu di berbagai tempat di seluruh pelusuk dunia. Sekitar 2000 lebih binatang, besar dan kecil, dipamerkan sesuai dengan habitat mereka di dalam ruangan-ruangan muzium dan galeri ini.

Kenapa dinamakan muzium dan galeri ini dengan nama Rahmat? Ini kerana ia milik Rahmat Shah, seorang pengusaha dan pemburu profesional. Rahmat adalah orang Indonesia pertama yang menerima penghargaan dan pengakuan antarabangsa seperti The Big Five Grand Slam Awards dan World Hunting Awards.

Lokasi: Jl. S. Parman No.309, Petisah Hulu, Kec. Medan Baru, Kota Medan, Sumatera Utara 20152, Indonesia

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

 

5) Merdeka Walk 

Merdeka Walk 

Imej via eksisnews

Bila travel ke tempat orang, bukan sahaja ingin lihat kecantikan panorama serta keunikan budaya penduduk tempatan, tetapi juga harus mencuba makanan-makanan tempatan yang berbeza dengan makanan harian kita.

Bagi food hunter, anda jangan lepaskan peluang untuk singgah ke Merdeka Walk kerana di sini terdapat deretan kedai makanan yang menghidangkan pelbagai menu daripada selera tempatan hinggalah makanan Barat. Ia mula dibuka pada jam 6 petang hingga tengah malam. Jika anda inginkan lebih kemeriahan, anda boleh datang ke sini pada malam minggu kerana anda bakal disajikan dengan persembahan live band.

Walaupun harga makanan di sini sedikit mahal berbanding tempat lain, tetapi suasana  di sini mampu memberi kepuasan kepada anda selaku pelancong di Medan, Indonesia.

Lokasi: Jl. Balai Kota, Kesawan, Kec. Medan Bar., Kota Medan, Sumatera Utara 20231, Indonesia

 

6) Fashion Outlet

Fashion Outlet

Imej via becklee

Tak sah rasanya sekiranya bercuti ke tempat orang, tetapi tidak singgah ke tempat yang sesuai untuk shopping. Ok! Di Medan, antara toko yang boleh anda singgah untuk membeli-belah adalah Fashion Outlet yang terletak di Jalan Candi Mendut. Untuk makluman anda, Fashion Outlet ini menjual pakaian yang telah di’reject’ oleh kilang kerana beberapa perkara yang tidak menepati piawaian, namun keadaan produk masih baik. Pakaian-pakaian ini dijual dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran walaupun dari jenama yang sama. Walaupun mungkin terdapat kecacatan kecil pada pakaian itu, tapi selagi boleh dipakai, apa salahnya untuk anda beli dengan harga yang lebih murah. Yang paling penting adalah kualiti pakaian tersebut bagus. 

Di sebelah kedai Fashion Outlet terdapat butik Adidas, Polo dan Nike. Kalau tidak mahu membelipun, tidak salah sekiranya anda ingin window shopping di kedai-kedai ini. 

Lokasi: Jl. Kejaksaan No.17, Petisah Tengah, Kec. Medan Kota, Kota Medan, Sumatera Utara 20112, Indonesia

 

7) Kedai Kain & Telekung Wajir

Kedai Kain & Telekung Wajir

imej via gadisbougainvillea

Indonesia dengan fabrik memang tidak dapat dipisahkan. Ramai orang Malaysia yang pergi ke Indonesia, tidak kiralah di Bandung, Jakarta, Medan atau bandar-bandar besar yang lain, pasti akan membeli kain ataupun telekung di sini untuk dibawa balik ke Malaysia. 

Antara kedai kain dan telekung yang anda boleh singgah di Medan adalah di Jalan Wajir. 

Kedai di Jalan Wajir ini terletak di dalam bangunan yang tertutup. Jadi anda dapat shopping serta cuci mata dengan selesa di sini. Tambahan pula, bangunan tertutup ini menyebabkan para oeminta sedekah dan penjual cenderamata tiada dapat masuk ke premis ini dan mengerumuni anda. 

Lokasi: Jl. Kol. Sugiono, A U R, Kec. Medan Maimun, Kota Medan, Sumatera Utara 20212, Indonesia

 

8) Kedai Kuih Bika & Kek Lapis Legit

Kedai Kuih Bika Ambon Zulaikha

Imej via azaleania

Selain kain ela dan telekung, ole-ole yang sering pengunjung bawa balik dari Medan adalah kuih tradisional Kuih Bika Ambon dan Kek Lapis Legit. Antara kedai popular yang menjual kuih tradisional ini adalah Kedai Kuih Bika Ambon Zulaikha & Kek Amanda. 

Kilang dan Kedai Zulaikha yang terkenal berada di Jalan Mojopahit. Kuih bika dan kuih lapis saiz besar (8×8″) berharga antara 80–85k Rupiah, manakala saiz kecil pula berharga 40–45k Rupiah. Harga kuih-kuih ini bergantung kepada saiz dan perisa. 

Lokasi: Jl. Mojopahit No.70 A, Petisah Tengah, Kec. Medan Petisah, Kota Medan, Sumatera Utara 20112, Indonesia

 

9) Danau Toba 

Danau Toba 

Imej via steemit

Danau Toba semestinya lokasi wajib untuk dilawati sekiranya anda ke Medan kerana ia menjadi ikon utama Medan. Danau Toba adalah tasik terbesar di Indonesia dan merupakan sebuah kawah gunung berapi. Kedalaman tasik ini adalah 1600 meter. 

Kebiruan serta kejernihan air tasik ini sememangnya memukau setiap mata yang melihatnya. Selain itu, terdapat sebuah pulau di tengah danau ini yang menambahkan lagi keunikannya. Pulau tersebut adalah Pulau Samosir, iaitu sebuah yang didiami oleh suku kaum Batak. 

Antara aktiviti yang anda boleh lakukan di Danau Toba selain daripada bergambar sepuas-puasnya, anda juga boleh menyewa bot untuk mengelilingi danau ini.

Di sekitar Danau Toba juga sebenarnya banyak sangat tempat menarik untuk yang boleh anda lawati. Namun sekiranya trip anda ke Medan singkat dan anda berhajat untuk meneroka sekeliling Medan, anda singgah ke Tasik Danau Toba sahaja sudah cukup mencukupi untuk melengkapkan percutian anda di Medan. 

 

10) Kampung Tomok

Kampung Tomok

Imej via bestari206yati

Tomok bukan sebarang Tomok, ini bukan nama penyanyi kumpulan New Boyz ya. Tetapi Tomok ini adalah nama bagi sebuah kampung kecil di Pulau Samosir, Danau Toba. Terdapat beberapa rumah tradisional Batak yang boleh ditemui di Tomok. 

Selain daripada melihat budaya dan penempatan kaum Batak di sini, anda juga boleh menziarah makam Raja Sidabutar yang terdapat di perkampungan ini. Di sini juga terdapat kiosk yang menjual cenderamata untuk para pengunjung membeli ole-ole.  

Terdapat juga beberapa persembahan muzik di kampung tradisional (Huta). Anda juga berpeluang melihat pemandangan indah Danau Toba dan Tuk-tuk dari sini. Jangan lupa membawa kamera anda untuk merakam pengalaman serta pemandangan indah di sekitar Kampung Tomok ini. 

Lokasi: Kampung Tomok, Pulau Samosir, Danau Toba

 

11) Aek Natonang

Aek Natonang

Imej via simadanews

Pulau Samosir bukan sahaja menjadi penempatan suku kaum Batak, tetapi di sana juga terdapat tempat menarik yang anda boleh lawati. Pulau Samosir menempatkan tasik di bahagian atas tasik atau nama lainnya Aek Natonang. Tasik ini merupakan kawasan yang terletak di Danau Toba.

Ia adalah tasik di bahagian atas tasik. Pernahkah anda mendengar tentangnya? Sekiranya jawapannya tidak, maka anda mesti datang ke Aek Natonang untuk melihat sendiri kejadian alam ini dan membuktikan ketepatan maklumat ini.

Lokasi: Aek Natonang Tanjungan Samosir, Tanjungan, Simanindo, Kabupaten Samosir, Sumatera Utara 22395, Indonesia

 

12) Danau Linting

Danau Linting

Imej via deliserdangmall

Selain Danau Toba, terdapat juga tasik hijau semulajadi yang cantik dan menarik untuk dilawati di Medan, iaitu Danau Linting. Tasik untuk sangat sesuai dilawati di waktu petang sekadar untuk bersantai-santai dan beristirehat. Di tepian tasik pula disediakan buaian untuk anda berbuai menghirup udara segar di sini. Sememangnya ia suatu pengalaman yang mengasyikkan. 

Lokasi: Danau Linting, Sumatera Utara, Indonesia

 

13) Air Terjun Sipiso-piso

Air Terjun Sipiso-piso

Imej via wartawisata

Air Terjun Sipiso-piso adalah air terjun yang tertinggi di Indonesia. Kedudukannya berhampiran Desa Tongging dan berada di perbukitan dengan ketinggian 120m.

Untuk sampai ke destinasi ini, anda perlu menaiki tangga yang disediakan. Perjalanan ke dasar air terjun ini memakan masa lebih kurang 1jam. 

Walaupun terpaksa bersusah-susah sedikit untuk sampai ke air terjun ini, tetapi pastinya perjalanan anda ke sini suatu yang berbaloi. Ini kerana keindahan serta kesegaran air terjun ini sememangnya tiada tandingan. 

Lokasi: Tongging, Merek, Karo Regency, North Sumatra 22173, Indonesia

 

14) Tanah Tinggi Berastagi

Tanah Tinggi Berastagi

Imej via deliserdangmall

Sama seperti kebanyakan lokasi tanah tinggi, Berastagi juga merupakan lokasi percutian hujung minggu kegemaran masyarakat Medan. Di Berastagi terdapat banyak bekalan buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar.

Tetapi, istimewanya di Berastagi ini kerana terdapat dua gunung berkembar yang terkenal iaitu Gunung Sibayak dan Gunung Sinabung. Selain itu, di sini juga terdapat Air Terjun Sibolangit yang juga dikenali sebagai air terjun dua warna. 

 

15) Air Terjun Sibolangit

Air Terjun Sibolangit

Imej via teknologigwe

Air Terjun Sibolangit mempunyai keunikan yang tersendiri dimana ia mempunyai dua warna yang cukup cantik dan menarik seperti kolam kristal sejuk yang berwarna biru. Dari Kota Medan, ia memakan masa kira-kira 1 jam setengah untuk sampai ke destinasi yang indah ini. 

Air terjun ini memukau sesiapa saja yang melihat. Airnya yang berwarna kebiruan dan putih terjadi kerana mengandungi fosforus dan belerang sehingga menyebabkan air terjun ini menjadi dua warna biru dan putih.

Namun begitu, ada peristiwa yang terjadi di sini pada bulan Mei 2016 iaitu kepala air telah meragut 22 nyawa pada waktu itu. Oleh itu, sekiranya anda berhajat untuk ke sini, perlu sentiasa beringat dan berhati-hati. 

Atau mungkin lebih baik jika anda bertanya penduduk tempatan atau pemandu pelancong anda dahulu untuk minta pendapat mereka tentang keadaan di Air Terjun Sibolangit ini. Sekiranya cuaca dan keadaan mengizinkan, haruslah anda manfaatkan peluang yang ada ini untuk melihat sendiri kecantikan alam semulajadi ini. 

Lokasi: Bandar Baru, Sibolangit, Deli Serdang Regency, North Sumatra 20354, Indonesia

 

16) Gunung Sibayak

Gunung Sibayak

Imej via traveloka

Bagi anda yang kaki hiking, pasti tidak akan lepaskan peluang untuk mendaki Gunung Sibayak di Medan. Pendakian gunung ini mengambil masa 1jam sahaja dan treknya tidaklah susah, sekadar untuk mendaki sambil bersantai-santai sahaja. 

Jika anda ingin melihat keindahan panorama matahari terbit, anda bolehlah mulakan pendakian sekitar jam 4pagi. Selain pemandangan matahari terbit, anda juga berpeluang untuk melihat letusan debu dari Gunung Sinabung dan juga lahar dari Gunung Sibayak. Tetapi, letusan ini bukan setiap saat berlaku. Namun, jika anda bernasib baik, anda boleh melihatnya dari puncak Gunung Sibayak ini. 

 

17) Air Terjun Teroh-Teroh

Air Terjun Teroh-Teroh

Imej via indoflashlight

Bagi anda yang sukakan aktiviti lasak di air, anda tidak boleh lepaskan peluang untuk ke Air Terjun Teroh-Teroh. Ini kerana lokasi ini sinonim dengan aktiviti body rafting. Sewaktu aktiviti ini, anda akan melalui beberapa jeram yang deras dan dalam. Jadi diingatkan agar anda tidak membawa alatan elektronik seperti kamera atau telefon pintar sekiranya anda tiada beg kalis air. 

 

18) Bukit Indah Simarjarunjung

Bukit Indah Simarjarunjung

Imej via dakatour

Bukit Indah Simarjarunjung antara spot Instagammable. Kalau dah jadi tempat wajib bergambar dan berswafoto, mestilah panorama di sini sangat cantik dan indah.

Selain suasana alam sekitarnya yang masih kehijauan, udara di sini juga sangat sejuk. Malah, dari ketinggian Bukit Indah ini, anda boleh menikmati panorama Danau Toba yang luas terbentang. Ia sangat menakjubkan.

Hampir sama dengan spot-spot bergambar di The Lodge Maribaya, Bandung, tetapi di sini pemandangan berlatar belakangkan Danau Toba membuatkan tempat ini unik berbanding tempat lain.  

Lokasi: Jl. Simarjarunjung, Butu Bayu Pane Raja, Dolok Pardamean, Kabupaten Simalungun, Sumatera Utara 21163, Indonesia

 

19) Tinggi Raja

Tinggi Raja

Imej via ksmtour

Tempat unik yang sangat wajar untuk anda lawati adalah di Tinggi Raja. Ini kerana lokasi ini menempatkan sebuah mata air panas semulajadi yang telah mengeras membentuk salji suam yang terbentuk daripada kalsium karbonat. Tempat ini seperti tasik yang ditengah-tengahnya terdapat air panas berwarna biru kehijauan yang mengeluarkan asap dari dalamnya. 

 

20) Mikie Funland

Mikie Funland

Imej via macamtiket

Bagi anda yang bercuti bersama keluarga dan anak-anak kecil, pasti mereka gembira jika itinerari trip anda terselit tempat-tempat hiburan keluarga yang pastinya menerujakan anak-anak kecil.

Mikie Funland merupakan sebuah taman hiburan seisi keluarga yang sangat terkenal di Medan. Walaupun jaraknya agak jauh juga dari Kota Medan, mengambil masa kira-kira 2-3jam perjalanan, tetapi tempat ini sering menjadi pilihan keluarga-keluarga yang ada anak kecil untuk mereka luangkan masa bersama melakukan aktiviti di sini. 

Lokasi: Jl. Jamin Ginting, Sempajaya, Kec. Berastagi, Kabupaten Karo, Sumatera Utara 22152, Indonesia

 

Itulah dia 20 tempat menarik di Medan, Indonesia yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Medan. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Jogjakarta dan Tempat Menarik Di Bandung.


Penulis: Husna Ismail

Husna Ismail

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.