Pulau Pangkor merupakan salah satu pulau yang menjadi tempat pelancongan terkenal di Malaysia. Ia terletak di Negeri Perak. Pulau Pangkor memang sesuai dijadikan destinasi percutian anda sekeluarga. Ini kerana banyak aktiviti yang best boleh dilakukan di sini. Selain daripada aktiviti air seperti snorkeling, bermandi-manda, berkayak, naik bot dan menjala ikan, anda sekeluarga juga boleh melakukan aktiviti outdoor yang lebih mencabar seperti jungle trekking dan daki bukit. Malah, di Pulau Pangkor juga terdapat tempat bersejarah iaitu di Kota Belanda.

Kawasan pulau ini tidaklah sebesar Pulau Langkawi dan juga Pulau Pinang. Anda boleh bersiar-siar sekeliling pulau hanya dengan menunggang motor. Ada chalet serta resort di sini yang menyediakan perkhidmatan sewa motor. Ataupun, anda boleh menaiki van pink comel yang menjadi salah satu keunikan di pulau ini. Van comel ini ibarat teksi untuk bawa kita ke mana sahaja yang kita inginkan di sekitar Pulau Pangkor. Jom kita lihat 16 tempat menarik di Pulau Pangkor yang boleh anda lawati.

 

1) Lumut Waterfront

Lumut Waterfront

Imej via lumuda

Lumut Waterfront adalah destinasi pertama yang anda akan temui sekiranya anda ingin ke Pulau Pangkor. Ini kerana, anda akan menaiki feri di jeti ini untuk sampai ke Pulau Pangkor. Oleh kerana tempat ini boleh dikatakan jadi tempat menunggu untuk penumpang yang akan menaiki feri, maka kawasan ini dinaik taraf oleh majlis perbandaran untuk keselesaan orang awam. Banyak kemudahan yang terdapat di sini. Malah, lanskap di Lumut Waterfront ini juga cantik. Sambil tunggu masa untuk naik feri, bolehlah anda bergambar kenang-kenangan di sekitar jeti ini. Kalau anda datang awal pagi ke sini, dapatlah anda sekeluarga menikmati pemandangan matahari naik yang sangat indah.

Kedai makan di sini pun banyak. Anda tak perlu risau kalau perut anda lapar. KFC pun ada di sini tau. Bila perut pun dah kenyang, mata pun telah disajikan dengan pemandangan yang indah-indah di sekitar waterfront ini, maka bolehlah anda menaiki feri untuk ke Pulau Pangkor. Perjalanan ke Pulau Pangkor mengambil masa kira-kira 20 minit.

 

Lokasi: Lumut Waterfront, 32200 Lumut, Perak

Waktu Operasi: Setiap Hari (6.30am – 8.30pm)

Harga Tambang Feri: Dewasa RM10 | Kanak-kanak RM5

 

2) Pekan Pangkor

Pekan Pangkor

Imej via sgarul

Setiap tempat akan ada pekannya sebagai pusat tumpuan serta kemudahan bagi penduduk sekitar. Begitu juga dengan Pulau Pangkor. Pekan Pangkor tidaklah besar sangat. Anda boleh ke sini menaiki van pink comel yang menjadi salah satu benda unik di Pulau Pangkor. Di sini terdapat kemudahan ATM sekiranya anda ingin mengeluarkan duit daripada akaun bank. Anda juga boleh membeli-belah ole-ole dari Pulau Pangkor di sini.

 

Lokasi: Pekan Pangkor, Pulau Pangkor

 

3) Masjid Al-Badr 1000 Selawat

Masjid Al-Badr 1000 Selawat

Imej via yayasanrestu

Masjid Al-Badr 1000 Selawat ini juga dikenali sebagai masjid terapung Pulau Pangkor. Ia mula dibina pada tahun 2014 dan dikatakan masjid ini adalah hasil inspirasi oleh Menteri Besar Perak pada ketika itu.

Dari jauh lagi sudah nampak keindahan masjid ini. Mana tidaknya, anda perlu melalui jambatan yang dihiasi dengan pintu gerbang untuk sampai ke masjid ini. Dalaman masjid ini pula sangat indah dengan pelbagai dekorasi unik dan menarik seperti ukiran bunga perak yang menjadi ikon dari negeri ini.

Masjid ini diberi nama 1000 selawat kerana terdapat kaligrafi 1000 selawat di dinding masjid. Kos pembinaan masjid ini adalah RM11.6 juta dan siap pada tahun 2016. Datanglah ke sini untuk menghayati hasil seni islamik yang masih segar lagi di masjid ini.

 

Lokasi: Masjid Al-Badr 1000 Selawat, Pulau Pangkor, Perak

 

4) Jambatan Gantung

Jambatan Gantung

Imej via alexanderwathern

Salah satu aktiviti menarik yang boleh anda lakukan di Pulau Pangkor adalah meniti di Jambatan Gantung. Jambatan ini terletak beberapa ratus meter di dalam hutan Pasir Bogak. Tidak ada laluan kenderaan untuk masuk ke dalam. Oleh itu, anda perlu parkir kenderaan anda di tepi jalan kemudian berjalan kaki masuk ke hutan, baru anda akan menemui jambatan gantung ini.

Sebagai langkah keselamatan, anda tidak boleh berlari atau melompat-lompat di semasa meniti di jambatan ini. Dan perlu dihadkan sekitar 2-3 orang yang meniti jambatan ini dalam satu-satu masa.

 

Lokasi: Jambatan Gantung, Pulau Pangkor

 

5) Pantai Teluk Nipah

Pantai Teluk Nipah

Imej via tourismmanjung

Pantai ini terletak kira-kira 5km dari Jeti Pulau Pangkor. Oleh itu, kawasan ini sangat sesuai dijadikan tempat percutian menarik di Pulau Pangkor kerana pantai ini sangat meriah. Banyak aktiviti air yang disediakan di pantai ini seperti snorkeling, banana boat, jet ski, fishing trip, berenang dan lain-lain lagi. Mesti seronok anak-anak bila boleh bermandi-manda serta lakukan aktiviti air yang ditawarkan di sini. Anda bolehlah survey pakej aktiviti air apa yang anda dan keluarga inginkan sesuai dengan bajet anda.

Dah penat main air, mesti perut pun berasa lapar. Jangan risau. sekitar pantai ini agak meriah juga dengan gerai-gerai untuk anda membeli kudapan dan makan sambil menikmati pemandangan.

Walaupun Pantai Teluk Nipah ini agak padat apatah lagi semasa musim cuti sekolah, tetapi kemeriahan di pantai ini pasti membuatkan anda sekeluarga rasa seronok.

 

Lokasi: Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor, Perak

 

6) Pulau Mentagor

Pulau Mentagor

Imej via keluarga17

Anda boleh menaiki bot dari Teluk Nipah untuk ke Pulau Mentagor. Tidak banyak aktiviti yang anda boleh lakukan di sini. Tetapi, dah alang-alang sampai ke Pulau Pangkor, apa salahnya jika anda luangkan masa untuk meneroka tempat-tempat yang cantik di sekitar Pulau Pangkor ini. Anda akan menikmati pemandangan terumbu karang yang cantik di kawasan perairan Pulau Mentagor. Jangan lupa bawa bekalan roti untuk memberi ikan makan sambal aktiviti snorkeling nanti.

 

Lokasi: Pulau Mentagor, Perak

 

7) Pulau Giam

Pulau Giam

Imej via athirahassin

Pulau Giam terletak kira-kira 5km dari Pekan Pangkor, bersebelahan dengan Pulau Mentagor dan berhadapan dengan Teluk Nipah. Untuk ke sini, anda boleh menaiki bot dari Pulau Nipah ataupun anda boleh berkayak sendiri ke sana. Sekali-sekala nak cabar diri dan stamina, apa salahnya kalau anda berkayak untuk ke Pulau Giam ini. Pasti menyeronokkan.

Pulau Giam ini terkenal air lautnya yang jernih. Oleh sebab itu, ia sangat sesuai untuk aktiviti snorkeling. Keunikan pulau ini terserlah pada awal Februari iaitu pada minggu Tahun Baru Cina. Ini kerana pada tempoh itu berlaku fenomena air laut surut. Jadi anda boleh berjalan kaki sahaja untuk ke pulau ini. Tidak perlu naik bot ataupun berkayak.

 

Lokasi: Pulau Giam, Perak

 

8) Pantai Puteri Dewi

Pantai Puteri Dewi

Imej via mapcarta

Pantai Puteri Dewi terletak 2km dari Jeti Teluk Dalam. Ia juga dikenali sebagai Pantai Emas kerana keunikan pasir pantai yang kelihatan keemasan apabila matahari terbenam. Pangkor Island Beach Resort yang menguruskan kawasan pantai ini telah membina tempat-tempat penginapan di sepanjang pantai. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan di sini seperti snorkeling, scuba diving, memancing, berkelah, mandi-manda dan aktiviti sukan air.

 

Lokasi: Pantai Puteri Dewi, Pulau Pangkor

 

9) Pantai Pasir Bogak

Pantai Pasir Bogak

Imej via pulaupangkor

Pantai Pasir Bogak terletak kira-kira 5 km dari Pekan Pangkor. Apa yang menariknya tentang Pantai Pasir Bogak ini disepanjang garisan pantai terdapat bentukkan batu yang unik menjadikan pantai ini berbeza daripada pantai-pantai lain di Pulau Pangkor. Perjalanan ke pantai ini memakan masa lebih kurang 15 minit dari Jeti Pulau Pangkor.

Selain berpeluang melihat keindahan alam yang memukau diwaktu senja, anda juga boleh melihat aktiviti nelayan yang sibuk menjaring ikan-ikan di laut. Malah, anda juga boleh menjaring sendiri ikan-ikan di laut bersama para nelayan itu. Suatu pengalaman yang sangat rare.

Selain menjala ikan, pelbagai aktiviti lain yang boleh anda lakukan seperti berkelah, berkhemah, berbasikal, mandi-manda dan sebagainya. Namun, jika anda mandi di sini, hati-hati ya kerana dasarnya agak berbatu.

 

Lokasi: Pasir Bogak, Pulau Pangkor, Perak

 

10) Pantai Pangkor Laut

Pantai Pangkor Laut

Imej via lactobacillust

Ia salah satu pantai yang terdapat di Pulau Pangkor. Pantai ini kecil sahaja. Oleh sebab itu, kawasan ini dibangunkan dengan resort mewah yang menjadi pilihan para pengunjung yang berkemampuan.

Antara aktiviti yang pengunjung boleh lakukan di sini seperti berenang, snorkling, memancing dan lain-lain. Air laut di pantai ini juga jernih. Malah pantai ini juga cantik terjaga memandangkan ia sebuah pantai yang agak privasi. Untuk sampai ke pantai ini, anda perlu menaiki feri dari Pelabuhan Marina. Sampai di pantai ini, anda pasti teruja melihat keindahan panorama di sini serta udaranya yang segar.

 

Lokasi: Pantai Pangkor Laut, Pulau Pangkor

 

11) Teluk Segadas

Imej via drakedosh

Teluk Segadas adalah tempat menarik di Pulau Pangkor yang patut dilawati oleh para pencinta alam semulajadi. Untuk sampai di teluk ini, anda harus melakukan jungle trekking selama 15-20 minit. Jangan risau, laluannya tidaklah mencabar mana. Kanak-kanak sekolah juga boleh berjungle trekking untuk sampai ke Teluk Segadas.

Teluk Segadas ini merupakan pantai kecil yang masih terjaga persekitarannya. Ia terletak di selatan Pulau Pangkor. Kawasan ini kurang dilawati pelancong sebab kawasannya agak tersorok. Kalau anda sukakan privasi, Teluk Segadas memang ideal buat anda. Kawasan ini juga terkenal sebagai tempat perkemahan (adventure camp). Ramai pengunjung yang mendirikan khemah di tempat ini hanya untuk menikmati keindahan alam semulajadi di Teluk Segadas.

 

Lokasi: Pantai Teluk Segadas, 32300, Perak

 

12) Kota Belanda

Kota Belanda

Imej via alieavea

Mengikut Sejarah, Tanah Melayu pernah dijajah oleh Belanda sebelum kedatangan British. Kota Belanda di Pulau Pangkor ini adalah salah satu tinggalan sejarah pihak Belanda yang masih wujud di tanah air kita. Pentingnya tinggalan sejarah sebegini bukan sahaja untuk menjadi tempat tumpuan pelancong. Tetapi yang lebih penting adalah pengajaran serta iktibar yang kita boleh ambil daripada peristiwa yang berlaku.

Pihak Belanda yang datang ke sini telah membina gedung atau kubu yang bertujuan untuk menyimpan bijih timah pada tahun 1670. Orang Belanda pada masa itu menamakan kubu ini sebagai Kubu Dinding (Dingdingh) sempena nama Sungai Dinding yang terletak di hadapan Pulau Pangkor.

Tujuan lain pembinaan kubu ini adalah untuk menghalang pihak Inggeris daripada merampas pulau ini. Selain itu, pihak Belanda juga sedang berperang dengan Acheh pada masa tersebut, yang juga menjadikan Pulau Pangkor sebagai negeri di bawah naungan mereka. Begitulah antara kisah tentang Kota Belanda ini.

 

Lokasi: Kota Belanda, Pulau Pangkor, Perak

 

13) Batu Bersurat

Batu Bersurat

Imej via alyanaserizawa

Zaman dahulu-kala, banyak catatan penting yang dicatat pada batu. Melalui batu-batu bersurat inilah ahli sejarah menganalisis peritiwa penting yang berlaku disebalik catatan pada batu bersurat. Batu ini dikatakan ada kaitan dengan sejarah penjajahan Belanda. Itulah sebabnya ia terletak tidak jauh dari Kota Belanda.

Batu bersurat ini juga digelar Tiger Rock kerana terpahat pada tersebut lukisan seorang kanak-kanak dibaham oleh seekor harimau. Agak menyeramkan juga satu lukisan sebegini diabadikan pada sekeping batu kan? Mengikut kepercayaan orang ramai, batu ini digunakan untuk mengingati peristiwa di mana seorang kanak-kanak telah dimakan seekor binatang buas. Sebenarnya banyak versi lain lagi tentang kisah di sebalik gambar ini.

Lagi satu yang pelik pasal batu ini adalah penduduk tempatan mengatakan yang batu ini pada asalnya memiliki saiz yang kecil tapi semakin lama ia kelihatan seperti semakin besar, seolah-olah hidup. Selain itu huruf singkat seperti IK, R.O, V.O.C yang terdapat di batu itu pula dikatakan nama pemahatnya iaitu orang Belanda. Sejauh mana kebenaran kisah-kisah berkenaan batu bersurat ini masih menjadi misteri sehingga kini.

 

Lokasi: Batu Bersurat, Kampung Teluk Gadong, Pulau Pangkor, Perak

 

14) Tortoise Hill

Tortoise Hill

Imej via cushtravel

Tortoise Hill merupakan bukit tertinggi di Pulau Pangkor. Untuk anda yang sukakan sedikit cabaran, apa kata kalau berjungle trekking di bukit ini? Sepanjang perjalanan jungle trekking, anda akan ditemani dengan keindahan flora dan fauna seperti kera, bunga orkid, burung enggang dan lain-lain lagi.

Di puncak bukit ini, anda boleh melihat keindahan panorama di sekeliling Pulau Pangkor yang dikelilingi pepohonan yang serba hijau. Anda juga boleh melihat Selat Malaka dari kejahuan.

 

Lokasi: Tortoise Hill, 32300 Pulau Pangkor, Perak

 

15) Kilang Hasil Laut Pak Su

Kilang Pak Su

Imej via airahsyahirah

Bila bercuti di kawasan pulau ini, mestilah hasil laut akan menjadi salah satu tarikan di kawasan ini. Bagi pengunjung Muslim, Kilang Hasil Laut Pak Su pasti menjadi pilihan untuk memborong produk makanan hasil laut. Menariknya Kilang Hasil Laut Pak Su, mereka tidak mengeringkan hasil laut dengan menjemurnya di tengah terik matahari. Tetapi, mereka mengeringkan hasil laut di dalam bilik yang khas. Produk-produk hasil laut Kilang Pak Su terjamin kebersihannya. Selain itu, cara pembungkusan produk Pak Su juga amat bersih. Tidak hairanlah pada setiap bungkusan produk tertera Halalan Toyyiba. Dengan adanya produk hasil laut Pak Su ini, orang Islam tidak lagi ragu-ragu untuk makan makanan-makanan kering hasil laut di Pulau Pangkor.

 

Lokasi: Straits of, 32300 Melaka, Pulau Pangkor

 

16) Tokong Fu Lin Kong

Tokong Fu Lin Kong

Imej via pulaupangkor

Tokong Fu Lin Kong sangat kaya dengan kesenian arcanya. Ia juga ibarat Tembok Besar China versi mini. Saat masuk sahaja, anda pasti terpukau dengan pintu gerbang yang gagah berdiri. Di sekitar kawasan bawahnya terdapat beberapa kedai makanan dan cenderamata.

Di dalam kawasan tokong pula ada taman kecil yang lengkap dengan kolam-kolam. Taman permainan untuk kanak-kanak juga turut disediakan di sini. Berdekatan dengan tokong utama, ada satu laluan yang cukup indah. Hal ini menjadikan lokasi ini unik daripada kebiasaan. Di sinilah terletaknya Tembok Besar China Mini. Selain itu, anda juga akan dapat melihat kesenian arca patung dan senibina tokong orang Cina di sekitar kawasan Tokong Fu Lin Kong.

 

Lokasi: Fu Lin Kong Temple, 32300 Pulau Pangkor

 

Itulah dia 16 tempat menarik di Pulau Pangkor yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Pulau Pangkor. Jemput juga baca artikel

 

Penulis: Husna Ismail

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.