Singapura adalah sebuah negara pulau yang hanya memiliki luas wilayah 697 km². Nampak macam kecil sahaja luasnya nak dibandingkan dengan negara kita, tetapi kecil, bukan sebarang kecil. Bak kata pepatah, kecil-kecil cili padi. Banyak tempat pelancongan yang terdapat di Singapura bertaraf antarabangsa. Ok! Jom kita lihat 18 tempat menarik yang anda boleh lawati di Singapura.

 

1) Merlion Park

Merlion Park

Imej via singaporeguidebook

Kalau buat carian berkenaan Singapura di Internet, pastinya gambar sebuah patung singa yang akan muncul. Ya, itulah ikon utama di Singapura, iaitu sebuah patung/tugu singa yang mengeluarkan air dari mulutnya. Ingat Singapura, ingatlah tugu Merlion ni. Sekiranya anda sekeluarga ke Singapura, memang tak lengkap rasanya jika tidak bergambar dengan tugu lambang kebanggaan negara ini.

Tugu yang terletak di Merlion Park ini memiliki reka bentuk yang memang unik. Ia bukan seperti singa biasa. Merlion ini berbentuk seperti badan ikan, manakala kepalanya pula berbentuk kepala singa. Inilah simbol Singapura, iaitu sebuah negara maju yang pada mulanya hanyalah sebuah perkampungan nelayan yang digelar Temasek.

Lokasi: 1 Fullerton Road One Fullerton | Merlion Park, Singapore 049213

 

2) Sentosa Merlion Tower

Sentosa Merlion Tower

Imej via wikipedia

Sentosa Merlion Tower adalah salah satu Menara Merlion terbesar di Singapura. Sentosa Merlion Tower memiliki tinggi sekitar 37 meter dengan 12 tingkat. Memandangkan Merlion adlaah ikon bagi Singapura, tidak hairanlah anda boleh lihat patung ini di mana-mana dalam negara ini.

Menurut legenda, Merlion dipercaya sebagai simbol penjaga kemakmuran di Singapura. Kepala singa yang menggambarkan cerita rakyat Pangeran ‘Sang Nila Utama’ yang menemukan Singa dan sebuah kota (Pura), sedangkan ekor ikan melambangkan desa nelayan ‘Temasek’ atau disebut juga ‘Kota-Laut’.

Dari Menara Merlion ini, anda berpeluang melihat pemandangan 360° keindahan kota ini. Lebih menarik lagi, anda dapat melihat panorama indah tersebut dari mulut singa ini. Anda boleh naik ke bahagian ini menggunakan lif yang disediakan.

Dah puas bergambar di sini jangan lupa masukkan tiket masuk anda ke dalam salah satu patung emas Merlion yang terdapat di menara ini untuk mendapatkan ‘prosperity coin’ yang dihasilkan secara yang eksklusif!.

Lokasi: 30 Imbiah Rd, Singapore 099705

 

3) National Museum of Singapore

National Museum of Singapore

Imej via nationalmuseum

National Museum of Singapore dibuka sejak tahun 1849 lagi. Ia merupakan muzium yang tertua di negara ini. Senibina bangunan ini terdiri daripada gabungan Renaissance dan Neo-Palladian. Memang jelas tergambar, bangunan ini mempunyai ciri-ciri klasik, sesuai dengan usianya.

Walaupun ianya sebuah muzium yang lama, tapi pameran di dalam muzium ini agak meyeronokkan. Terdapat ruangan untuk anda merasakan pengalaman segar di Singapura. Anda akan berada dalam satu bilik yang gelap dan dikelilingi dengan video yang menunjukkan kehidupan seharian di Singapura dengan muzik latar belakang yang membuatkan pengalaman anda terasa lebih mengujakan. Amacam bestkan? Nak alami sendiri lebih banyak keseronokan di muzium, datanglah ke National Museum of Singapore.

Lokasi: 93 Stamford Road

 

4) National Gallery Singapore

National Gallery Singapore

Imej via hippopass

Bagi seorang peminat karya seni, anda tidak wajar melepaskan peluang untuk berkunjung ke National Gallery Singapore yang menempatkan pelbagai karya seni yang dikumpulkan dari Asia Tenggara dan Singapura sendiri. Karya-karya yang terdapat di sini dihasilkan dari abad ke-19 hinggalah ke zaman moden.

Terdapat lebih daripada 8000 karya seni yang dipamerkan di sini. Hal ini membuatkan galeri ini tersenarai sebagai salah satu daripada galeri pengumpulan karya yang terbesar di dunia.

Di bahagian atas bumbung bangunan ini pula terdapat restoran bagi pengunjung yang yang ingin mengisi perut.

Lokasi: 1St Andrew’s Road, Singapore 178957

Waktu Operasi: Ahad – Khamis & Cuti Umum (10.00am – 7.00pm) | Jumaat, Sabtu, Sehari Sebelum Cuti Umum (10.00am – 10.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa S$20 Kanak-kanak 7-12 Tahun, Warga Emas, Pelajar S$15

 

5) Asian Civilisations Museum

Asian Civilisations Museum

Imej via straitstimes

Di National Gallery Singapore anda dah puas menatap hasil karya seni yang bermacam-macam rupa, di Asian Civilisations Museum pula anda berpeluang melihat pameran budaya Asia yang terdiri daripada budaya masyarakat Melayu, Cina, India, Dunia Islam dan Asia Tenggara.

Seperti kebanyakan muzium yang terdapat di Singapura, semua pameran dilengkapi dengan teknologi moden untuk menjadikan galeri lebih interaktif bagi para pelawat.

Lokasi: 1 Empress Place, Singapore 179555

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (10.00am – 7.00pm) | Jumaat (10.00am – 9.00pm)

Bayaran Masuk: S$8 | Jumaat 7.00pm – 9.00pm S$4 | 5 Orang Ahli Keluarga S$24 |Pelajar & Warga Emas S$4) | Pelajar & Warga Emas Jumaat 7.00pm – 9.00pm S$2

 

6) Singapore Science Centre

Singapore Science Centre

Imej via 3dprint

Singapore Science Centre bukan pusat sains biasa-biasa, tetapi ia sebuah pusat sains yang hebat dan luar biasa. Di sini terdapat 14 jenis pameran yang interaktif dan menyeronokkan untuk anda lihat bersama keluarga.

Antara pameran yang terdapat di sini adalah Climate Change, Genome, Living With Viruses, Magic Swing, Uniquely You, Oyr Solar System, Sound Exhibition dan banyak lagi. Singapore Science Centre ini memiliki IMAX teater 5 tingkat yang membolehkan anda merasakan pengalaman seperti berada di dalam video yang dipaparkan.

Setelah puas melihat-lihat semua pameran yang terdapat di sini, jangan lupa untuk berseronok bersama keluarga bermain salji di Snow City. Tak perlu ke negara 4 musim untuk bermain salji, di sini pun anda dapat merasainya. Memang syok habis Sibgapore Science Centre ini. Macam-macam ada.

Lokasi: 15 Science Centre Road, Singapore 609081

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa S$12 | Kanak-kanak S$8 Warga Emas S$ 12

 

7) Chinatown Singapore

Chinatown Singapore

Imej via wanderersandwarriors

Memandangkan kebanyakan negara di seluruh dunia mempunyai Chinatown tersendiri, maka di Singapura juga haruslah ada juga Chinatown memandangkan penduduk Singapura sebahagiannya terdiri daripada bangsa Cina. Chinatown Singapore bukanlah sebuah bandar yang kecil dan menjadi tempat berjual-beli semata, mata, tetapi ia terbahagi kepada 5 bahagian.

Yang pertama adalah Teluk Ayer yang menempatkan tokong ibadah yang direka dengan indah, Tanjung Pagar pula merupakan kawasan komersial, manakala, Bukit Pasoh adalah sebuah kawasan bersejarah.

Seterusnya, Krea Ayer adalah tempat penjualan barangan tradisional Singapura dan akhir sekali adalah Ann Siang Hill yang agak moden dan meriah dengan bermacam jenis perniagaan yang dijalankan oleh anak-anak muda Singapura. Dari kawasan yang tradisional hinggalah yang moden, inilah Chinatown di Singapura.

Lokasi:  151 New Bridge Road 91 Upper Cross Street Singapore 059443/058362

 

8) Little India

Little India

Imej via bobscruises

Jika tadi anda sudah melihat bandar China, kini anda berpeluang melihat pula bandar India di Singapura iaitu di Little India. Pada sekitar tahun 1840-an kawasan Little India ini merupakan tempat aktiviti lumba kuda bagi orang-orang Eropah yang datang ke Singapura. Namun kini Little India telah berubah rupa sebagai sebuah kawasan yang cukup meriah. Tempat ini hidup 24 jam setiap hari dengan kewujudan pusat-pusat membeli-belah Mustafa Centre dan Tekka Centre.

Bermacam barangan boleh anda jumpa di Little India ini dari barangan kemas hinggalah ke barangan elektronik, semuanya ada di sini. Nak makan tandoori? Minum teh tarik yang kaw-kaw punya? Di sinilah tempatnya.

Lokasi: 60 Bukit Timah Road

 

9) Bugis Street

Bugis Street

Imej via pergidulu

Menariknya di Singapura ini, bukan setakat Chinatown dan Little India sahaja yang ada, tetapi juga Bugis Street. Tapi bukanlah peniaga-peniaga di sini terdiri daripada orang Bugis, hanya namanya sahaja Bugis keranaperistiwa yang berlaku di sini pada masa dahulu.

Bukan setakat tempat untuk shopping, tetapi banyak lagi aktiviti lain yang anda boleh lakukan di Bugis Street ini.

Di sini anda boleh temui bermacam-macam barang dari pakaian, cenderamata, kosmetik hinggalah ke gajet. Macam-macam ada. Malah, harganya juga berpatutan, serta anda boleh tawar-menawar di sini. Ada lebih daripada 800 gerai di sini, memang tak habis teroka semua gerai dalam masa yang singkat. Sudah puas cuci mata dan shopping di sini, anda juga boleh singgah ke Haji Lane untuk bergambar, Malay Heritage Centre iaitu muzium yang mempamerkan budaya komuniti Melayu di Singapura dan juga Masjid Hajjah Fatimah. Untuk datang ke Bugis Street ini senang sahaja, ini kerana lokasinya terletak hanya beberapa tapak sahaja dari stesen MRT Bugis.

Lokasi: 4 Bugis Street, Singapore

 

10) Gardens By The Bay

Gardens By The Bay

Imej via goibibo

Gardens by the Bay ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Bay Central Garden, Bay East Garden dan Bay South Garden. Taman yang seluas 101 hektar ini merupakan salah satu tarikan alam flora yang terdapat di Singapura.

Di sinilah juga terletaknya air terjun indoor yang tertinggi di dunia. Keindahan taman ini memang tidak tergambar dengan kata-kata. Apatah lagi jika anda datang ke sini waktu malam sekitar 7.00pm – 9.00pm. Ini kerana pada waktu ini, cahaya lampu neon akan dibuka dan mencahayai pokok-pokok yang terdapat di taman ini. Pemandangannya memang sangat cantik. Nak tahu setakat mana kecantikannya itu, anda kenalah datang sendiri ke sini.

Lokasi: 18 Marina Gardens Drive, Singapore 018953

Waktu Operasi: Outdoor Gardens (Setiap Hari 5.00am – 2.00am) | Tarikan Lain (Berbeza-beza Mengikut Jenis Tarikan)

Bayaran Masuk: Percuma – S$ 15 (Berbeza-beza Mengikut Jenis Tarikan)

 

11) Henderson Wave Bridge

Henderson Wave Bridge

Imej via arounddeglobe

Handerson Wave Bridge adalah sebuah jambatan yang sentiasa menarik perhatian orang yang memandangnya. Ini kerana rekaan struktur jambatan ini sangat unik. Ia mendapat namanya dari bentuk jambatannya yang seperti ombak.

Untuk makluman anda, jambatan ini juga merupakan jambatan pejalan kaki yang tertinggi di Singapura dengan ketinggian 36 meter dari darat.

Dengan menaiki jambatan yang berkepanjangan 274 meter ini, anda bukan sahaja dapat melihat pemandangan indah di sekelilingnya, malah anda juga berpeluang melawat 3 buah taman yang indah yang terdapat di Singapura iaitu Bukit Teluk Blangah, Kent Ridge Park dan Mount Faber.

Lebih menarik jika anda ke sini pada waktu malam. Ini kerana, lampu LED yang dipasang di jambatan ini memberikan suatu panorama yang sangat mempesonakan.

Lokasi: Henderson Road, Southern Ridges, Bukit Merah, Singapore 159557

 

12) Resort World Sentosa

Resort World Sentosa

Imej via rwsentosa

Resort World Sentosa inilah destinasi yang menjadi tumpuan pengunjung kerana inilah lokasi yang menempatkan bermacam tarikan berkelas dunia termasuklah tempat penginapan, restoran, spa dan tempat-tempat hiburan yang menyeronokkan.

Tarikan terkenal yang terdapat di sini adalah seperti Universal Studios Singapore, The Adventure Cove Waterpark, Maritime Experiential Museum, dan S.E.A. Aquarium yang juga merupakan oceanarium yang terbesar di dunia.

Jadi, jika anda ke Singapura, memang wajib lokasi ini menjadi tempat untuk anda lawati. Jika tidak, percutian anda ke Singapura seolah-olah tidak sempurna.

Lokasi: 8 Sentosa Gateway, Sentosa Island, Singapore 098269

 

13) Universal Studios Singapore

Universal Studios Singapore

Imej via tommyooi

Antara tempat yang sangat popular di Singapura adalah Universal Studio Singapore. Rata-rata pelancong dari seluruh pelosok dunia mesti akan ke sini apatah lagi bagi mereka yang merupakan peminat filem Hollywood.

Antara aktiviti best yang terdapat di sini adalah roller coaster Revenge of the Mummy, Sesame Street Spaghetti Space Chase, Transformer the Ride 3D, roller coaster mini Enchanted Airways, Madagascar: A Crate Adventure, Jurassic Park Rapids Adventure dan banyak lagi.

Untuk maklumat anda juga, roller coaster Battle Star Galactica yang terdapat di Universal Studios Singapore ini merupakan roller coaster yang tertinggi di dunia. Roller coaster? Paling tinggi? Boleh bayang tak macam mana rupanya? Ok. Kalau nak rasai sendiri pengalaman nak roller coaster paling tinggi ini, pastikan anda ke Universal Studio Singapore ya!

Lokasi: 8 Sentosa Gateway, Singapore 098269

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa 13 – 59 Tahun S$76 (Anggaran RM236.35)| Kanak-kanak 4 – 12 Tahun S$56 | Warga Emas 60 Tahun & Ke Atas S$38

 

14) Sentosa 4D Adventureland

Sentosa 4D Adventureland

Imej via hippopass

Melihat pada namanya sahaja, sudah boleh bayangkan lokasi ini mampu berikan anda suatu pengalaman yang berbeza dan unik. Sesuatu yang mencabar dalam bentuk 4D. Semestinya ia satu pengalaman yang tak boleh dapat dalam dunia realiti.

Antara keseronokan yang boleh anda rasai di sini adalah, anda berpeluang bersama dengan watak lain yang ada di dalam filem fantasi Journey 2: The Mysterious Island untuk menerokai hutan, gunung dan kawasan misteri yang lain. Selain itu, anda juga boleh merasai simulasi pergerakan roller coaster dengan aktiviti Extreme Log Ride yang membawa anda ke Himalamazon dan lain-lain lagi.

Walaupun hakikatnya apa yang anda lakukan hanya di alam fantasi, tetapi perasaannya terasa real dari segi bau, sentuhan dan pemandangan. Memang menarik!

Lokasi: 51B Imbiah Rd, Singapore 099708

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 9.00pm)

Bayaran Tiket: Dewasa S$35 | Kanak-kanak S$24.20

 

15) Crane Dance

Crane Dance

Imej via laiyewseng

Crane Dance merupakan persembahan teater yang menggunakan alat mekanikal tanpa seorang pun manusia sebagai watak dalam teater ini. Penceritaan ini disampaikan dengan efek khas audio visual yang cukup mengagumkan melalui kombinasi sistem pencahayaan dan kesan air yang begitu indah.

Nampak macam sangat hebat teknologi yang digunakan. Pasti mahal kosnya. Tapi, jangan bimbang, anda boleh nikmati kehebatan teater ini secara percuma. Menang syok habis!

Lokasi: 8 Sentosa Gateway, Singapore 099958

Waktu Operasi: Setiap Malam (8.00pm)

 

16) Chinese Garden

Chinese Garden

Imej via singapore-travel

Taman ini diinspirasikan daripada reka bentuk taman sewaktu zaman Dinasti Sung di China. Sebaik sahaja anda sampai ke pintu masuk Chinese Garden ini, anda akan disambut oleh sepasang tugu singa yang mengawal kawasan taman seperti mana ia turut digunakan pada zaman dinasti dahulu.

Taman yang berkeluasan 13.5 hektar ini dilengkapi dengan jambatan batu, rumah teh, pagoda dan taman Bonsai. Bukan itu sahaja, di sini juga terdapat Live Turtle and Tortoise Museum yang menempatkan lebih daripada 200 ekor penyu dan kura-kura yang terdiri daripada 60 spesies yang berbeza.

Jika anda inginkan sebuah destinasi yang tenang, santai dan menyegarkan buat anda sekeluarga, Chinese Garden adalah lokasi ideal untuk anda lawati.

Lokasi: 1 Chinese Garden Road, Singapore 619795

Waktu Operasi: Setiap Hari (6.00am – 11.00pm)

 

17) Palawan Pirate Ship

Palawan Pirate Ship

Imej via trip

Bagi anda yang datang ke Singapura dengan anak kecil, pasti tidak sah kalau tidak ke tempat bermandi-manda. Di Singapura, anda boleh dapatkan keseronokan bermandi-manda di Palawan Pirate Ship.

Sudah namapun pirate ship, jadi, dapatlah anak-anak berangan seperti kapten kapal Pirates of Caribbean di sini. Namun begitu, untuk bermandi-manda di kolam ini, anak-anak anda perlulah berusia antara 3 – 10 tahun.

Lokasi: Palawan Beach, Sentosa

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 6.00pm)

 

18) Singapore Botanic Garden Learning Forest

Singapore Botanic Garden Learning Forest

Imej via straitstimes

Antara destinasi yang membawa anda dekat dengan flora dan fauna di Singapura ini adalah di Singapore Botanic Garden Learning Forest. Taman botani ini menempatkan lebih daripada 500 spesies tumbuhan, lebih daripada 100 spesies burung, 20 spesies amfibia dan reptilia serta 7 spesies mamalia.

Flora dan fauna di sini terjaga dengan baik sekali dan cukup indah untuk memberikan anda sekeluarga ketenangan fikiran. Lebih best kerana masuk adalah percuma. Semestinya ia satu peluang yang perlu dimanfaatkan.

Lokasi: 753 Tyersall Ave, Singapore 257700

Waktu Operasi: Setiap Hari (5.00am – 12.00am) | The Keppel Discovery Wetland & SPH Walk of Giants Tutup Daripada 7.00am – 7.00pm

Bayaran Masuk: Percuma

 

Itulah dia 18 tempat menarik di Singapura yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Singapura. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Johor Bharu dan Tempat Menarik Di Indonesia.


Penulis: Husna Ismail

Husna Ismail

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.