Tempat Menarik Di Tasik Kenyir

Imej via Tourism Terengganu

Jika anda masih ingat akan subjek Geografi yang anda pelajari di sekolah dahulu, pasti anda terkenangkan kata-kata guru bahawa Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara.  Ia bukanlah tasik semuladi yang kita bayangkan selama ini.

Tasik Kenyir, Terengganu yang seluas 260km persegi ini mempunyai 340 buah pulau-pulau kecil dan ia terdiri daripada pelbagai tempat menarik seperti air terjun, tasik, gunung-ganang dan lain-lain lagi reka bentuk binaan alam.  Ramai yang salah anggap bahawa Tasik Kenyir ini membosankan serta tiada apa-apa aktiviti menarik untuk anda lakukan. Namun, itu semua adalah anggapan yang salah kerana terdapat banyak tempat menarik di Tasik Kenyir yang ramai tidak tahu!

Mungkin setelah anda mengetahui tempat menarik di Tasik Kenyir ini, ia akan menjadi salah satu senarai tempat percutian yang anda ternanti-nanti kelak.  Apatah lagi, keluarga dan kawan-kawan anda juga pasti teruja dengan pemilihan destinasi percutian anda ke Tasik Kenyir. Mari kita lihat tempat menarik di Tasik Kenyir yang ramai tak tahu.

 

Tempat Menarik di Tasik Kenyir

Imej via Beautiful Terengganu

  1. Air Terjun Lasih Tasik Kenyir

Siapa sangka Air Terjun Tasik Kenyir adalah salah satu air terjun tertinggi di Malaysia? Dengan ketinggian 500 kaki, Air Terjun Lasih Tasik Kenyir mempunyai dasar batu berbentuk yang perlu anda berhati-hati memilih tempat mandi. Air terjun ini selamat untuk anda bermandi-mandi cuma jangan sesekali naik di atas batu yang curam dengan aliran air yang deras.

Anda boleh datang terus ke sini dengan kereta atau kenderaan lain tetapi lebih menyeronokkan jika anda menaiki bot di Jeti Gawi untuk terus ke sini. Perjalanan mengambil masa setengah jam sahaja.  Bukan setakat mandi, berkelah, bergambar dan bermain air sahaja, anda juga boleh menaiki jambatan gantung di Air Terjun Lasih Tasik Kenyir ini.

 

Tempat Menarik di Tasik Kenyir

Imej via Utusan

  1.  Santuari Ikan Kelah

Santuari ikan kelah sehingga lubuk ikan kelah boleh anda terajui sambil menyediakan persiapan makanan ikan kelah. Anda juga akan terjumpa jambatan gantung sebelum tiba di air terjun dimana wujudnya ikan kelah. Setibanya di air terjun, anda boleh memberi makan ikan kelah sambil mandi-manda.  

Baling sahaja makanan ikan di sekeliling anda, pasti ikan-ikan kelah anda bertempiaran datang berdekatan anda tetapi anda tidak perlu risau kerana ikan kelah tidak menggigit, malah ia jinak.  Agak terhibur bermain dengan ikan kelah disini, sekurang-kurangnya anda dapat gelak ketawa sepenuhnya melihat gelagat ikan kelah!

Tahukah anda bahawa ikan kelah adalah ikan air tawar yang terancam dan hampir pupus? Pasti ramai yang tidak sangka bahawa ikan kelah masih dijaga rapi di santuari ikan kelah, Tasik Kenyir Terengganu ini. Bukan sahaja Santuari ikan kelah, tetapi Santuari gajah juga terdapat disini.

 

Tempat Menarik di Tasik Kenyir

Imej via flickr

  1.  Air Terjun Saok

Anda akan temui Air Terjun Saok terlebih dahulu sekiranya menaiki bot dari Jeti Gawi, kemudian barulah tempat-tempat menarik lain seperti air terjun Lasih dan juga Taman Herba.  Air Terjun Saok sangat sejuk, dingin, bersih dan tenang membuatkan anda wajib singgah disini untuk beristirehat atau mandi.

Ketenangan yang boleh anda dapatkan disini tidak sama dengan mana-mana tempat kerana panorama hutan yang dipamerkan oleh alam kehijauan membuatkan anda lebih segar dan lebih nyaman disini.  Usai bermandi-manda bersama keluarga, anda boleh bergambar dengan rumah bot yang sering berhenti disini.

 

Tempat Menarik di Tasik Kenyir

Imej via Buletin Online

  1.  Gunung Gagau

Berdekatan dengan Tasik Kenyir, Gunung Gagau dikatakan sebuah tempat menarik yang boleh anda singgah. Bagi para hiking dan pendaki tegar, anda boleh mendaki Gunung Gagau yang berketinggian 4,514 kaki dari paras laut ini untuk mendapatkan kepuasan dan pengalaman.  

Gunung Gagau yang menjadi sempadan antara negeri Pahang dan Terengganu ini juga memerlukan kebenaran pihak berkuasa Taman Negara dan jurupandu khas sekiranya anda mengambil keputusan untuk mendaki disini.  

Selain itu, anda boleh bergambar di Gunung Gagau ini bersama seisi flora yang segar dan mempunyai banyak khasiat perubatan.  Walaupun kos untuk mendaki di Gunung Gagau sedikit tinggi, namun tidak dinafikan bahawa ramai yang tetap berminat dan menerokai rahsia khazanah alam di gunung yang terletak di kawasan pinggir Tasik Kenyir ini.

 

Tempat Menarik di Tasik Kenyir

Imej via Mingguan Wanita

  1.  Taman Herba Tasik Kenyir

Taman Herba Tasik Kenyir berdekatan dengan kawasan Air Terjun Saok dan berada di dalam Pulau Sah Kecil.  Taman Herba ini diusahakan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi memikat ramai pelancong tempatan dan luar negara yang sukakan alam flora yang pelbagai spesis.  Tahukah anda terdapat 26,000 pokok herba di taman yang berkeluasan 15,000 hektar ini?

Tambahan pula, anda dapat melihat semua pameran pokok herba yang sebenar serta dapat memanjakan diri dengan spa dan juga rawatan perubatan tradisional berasaskan herba seperti mandian aromaterapi, perubatan dan banyak lagi. Laluan reflexologi juga disediakan disini.

 

Tempat Menarik di Tasik Kenyir

Imej via Sini.com.my

  1.  Gua Bewah dan Gua Taat

Gua Bewah dan Gua Taat adalah gua yang bersejarah di negeri Terengganu yang termasuk dalam kawasan Tasik Kenyir.  Untuk pengetahuan anda, banyak barang-barang pra sejarah yang telah ditemui disini seperti peralatan yang digunakan untuk memasak dan lain-lain lagi.  Gua Bewah terkenal di seluruh dunia sebagai gua bersejarah setelah rangka manusia ditemui disitu suatu masa dahulu.

Gua Bewah adalah gua batu kapur yang diperbuat dalam bentuk formasi stalagmit dan stalaktik yang menunjukkan bentuk seakan-akan manusia dan burung.  Sama juga dengan Gua Taat yang berdekatan dengan Gua Bewah tetapi ia mengambil masa kurang-kurang 40 minit untuk ke sana.

 

Tempat Menarik di Tasik Kenyir

Imej via Perpustakaan

  1.  Air Terjun Sungai Buweh

Air Terjun Sungai Buweh terletak kira-kira 5.5km dari Pengkalan Gawi yang selalu anda tunggu bot untuk bersiar-siar di sekitar Tasik Kenyir dan kawasan air terjun yang lain.  Anda tidak perlu menaiki bot untuk ke Air Terjun Sungai Buweh tetapi boleh menaiki kereta, motor dan sebagainya kerana kawasannya agak kecil untuk sekadar bersantai disini.

Ia berdekatan kemudahan seperti tandas, surau dan lain-lain lagi dan bukanlah sesuai untuk anda bermandi-manda kerana ruangnya tidak begitu luas tetapi untuk kanak-kanak, terdapat 2 buah kolam kecil di air terjun ini sesuai untuk mereka mandi-manda kerana ia tidak terlalu dalam. Anda boleh bermain-main air, mengambil gambar di sini, berkelah dan juga membuat bbq bersama keluarga kecil anda.

 

Tempat Menarik di Tasik Kenyir

Imej via Visit Terengganu

  1.  Air Terjun Tembat, Tasik Kenyir

Jangan terkejut jika Air Terjun Tembat, Tasik Kenyir ini adalah salah satu air terjun daripada 14 air terjun yang terdapat di Tasik Kenyir.  Ya, memang banyak air terjun yang terdapat di kawasan ini, malah ia amat popular dalam kalangan pelancong tempatan juga pelancong luar negara.  Air Terjun Tembat mengambil masa 10 minit dari pengkalan Gawi manakala sekiranya menaiki kenderaan darat, ia memakan jarak 24 km kira-kira setengah jam untuk tiba.

Air Terjun Tambat ini menjadi pilihan para pemancing untuk memancing ikan kerana air terjun disini tidak begitu sesuai untuk mandi, namun tiada masalah untuk anda beristirehat, main air dan sebagainya.  Keadaan batu di Air Terjun Tambat amat besar dan berbeza dengan batu-batu di air terjun yang lain. Keseronokan dan kedinginan air terjun ini pasti menenangkan anda yang baru sahaja berpanas sebelum tiba di kawasan air terjun ini.

 

Tempat Menarik di Tasik Kenyir

Imej via Perlancongan Terengganu

  1.  Pulau Petang

Pulau Petang terletak berhampiran denga Air terjun Lasir, Tasik Kenyir. Ia adalah sebuah pulau yang mempunyai chalet dan homestay untuk penginapan anda sepanjang berada di sini.  Sama juga untuk ke tempat lain, pada mulanya anda boleh menaiki bot untuk kesini, tetapi anda juga boleh terus ke Air Terjun Lasih, Tasik Kenyir.

Seeloknya singgah di Pulau Petang bagi mendapatkan chalet dan berehat atau bersiap sedia untuk sukan air, mandi-manda, kayak, berenang dan semua aktiviti yang anda tidak sabar-sabar lagi pun tiada masalah.  Anda boleh mengikut itenari anda sendiri sekiranya anda tidak datang bersama pemandu pelancong seperti pelancong luar.

Anda boleh merancang sendiri bagaimana untuk meluangkan masa ke tempat-tempat menarik yang terdapat dalam kawasan Tasik Kenyir ini. Yang pasti, Pulau Petang tak boleh anda lepaskan kerana suasana disini amat selesa, sejuk, memberi kelainan pada percutian anda kali ini.  Mana tidaknya, asyik tidur di hotel sahaja, sekali sekala cuba pula untuk menginap di pulau ini.

 

Tempat Menarik di Tasik Kenyir

Imej via steemkl

  1.  Rumah Bot, Tasik Kenyir

Mungkin anda inginkan percutian yang berbeza daripada percutian anda dan keluarga sebelum ini. Tempat menarik di Tasik Kenyir ramai yang tidak tahu ini juga termasuklah servis penginapan di rumah bot.  Ya, anda boleh menginap disini kerana ia lengkap dengan semua kemudahan seperti tandas, bilik, tv satelit, tempat tidur, dapur, tempat solat dan banyak lagi kelengkapan seperti rumah.

Anda boleh merasai dan menikmati tinggal di rumah bot mengikut pakej yang anda ambil dan housebot ini juga sememangnya menawarkan penginapan disini untuk bermalam selain dari membawa anda bersiar-siar ke tempat-tempat menarik di Tasik Kenyir.  Harga bagi kadar sewa untuk menginap di rumahbot adalah RM1000 untuk 3 hari 2 malam seperti yang diberitahu oleh mereka yang telah menggunakannya.

Walaupun begitu, ia sangat berbaloi kerana anda akan dibawa berjalan-jalan ke semua tempat menarik di Tasik Kenyir sehinggalah ke destinasi Taman Negara yang bersempadan dengan Tasik Kenyir ini.  Sekiranya anda mahu ke Taman Negara, anda boleh melalui Mentong dari Tasik Kenyir ini.

Tempat Menarik di Tasik Kenyir

Imej via steemkl

Tapak Perkhemahan di Tasik Kenyir, Terengganu

Tempat menarik di Tasik Kenyir ramai yang tidak tahu, tetapi setelah mengetahui tempat-tempat disini, pasti anda teruja untuk melawat dan melakukan aktiviti yang menyeronokkan di sini, bukan? Tasik Kenyir bukan sahaja membolehkan anda bersiar-siar, berkelah dan mandi-mandi, tetapi anda boleh berkhemah di tapak perkhemahan yang terdapat disini.

Antara Tapak Perkhemahan di Tasik Kenyir adalah Gunung Lawit, Pengkalan Gai, Pulau Poh, Gunung Padang, Gunung Bongsu dan lain-lain lagi. Anda boleh berkhemah dan melakukan aktiviti disini, ia juga berdekatan tasik dan air terjun.

Tempat Menarik di Tasik Kenyir

Imej via Ketengah

Tak sangka kan banyak juga tempat menarik di Tasik Kenyir yang ramai terlepas pandang. Selepas ini bolehlah anda dan kawan-kawan bercuti di Tasik Kenyir, Terengganu. Jemput baca Tempat Menarik di Pahang dan Pantai Tercantik di Malaysia.

Penulis: Zushazrina Zulkifli

Merupakan penulis bebas sepenuh masa yang suka berkongsi tips, ilmu dan penulisan di Malaysia.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.