Terengganu terkenal dengan hasil batiknya yang cantik. Bukan setakat hasil seni sahaja, malah, makanan trending di Terengganu juga sering menjadi buruan para pelancong seperti keropok lekor, ikan, udang dan sotong celup tepung. Terengganu juga memiliki beberapa buah pulau yang cantik memandangkan lokasinya terletak di Laut China Selatan. Banyak sangat tempat menarik yang boleh anda kunjungi di Terengganu. Selain itu, anda harus juga sediakan duit poket yang mencukupi kerana bimbang anda akan rambang mata dengan pelbagai barangan yang dijual di sini lebih-lebih lagi di Kuala Terengganu.

 

1) Muzium Negeri Terengganu

Muzium Negeri Terengganu

Imej via klezcar

Oleh kerana Terengganu sangat kaya dengan hasil keseniannya, maka tidak hairanlah bangunan Muzium Negeri Terengganu ini sangat cantik seolah-olah sebuah istana lama. Muzium ini terletak di atas tanah seluas 27 hektar di Bukit Losong dan mempamerkan pelbagai artifak dan hasil seni warisan negeri Terengganu sejak berkurun lamanya.

Di sini jugalah tersimpannya batu bersurat yang pertama dijumpai di Terengganu. Muzium ini terdiri daripada Muzium Utama, Muzium Maritim, Muzium Perikanan, 4 rumah tradisional, taman botani dan herba serta galeri-galeri yang mempamerkan sejarah, alat kebesaran diraja, seni Islam, senjata lama dan tekstil.

 

Lokasi: 20566 Bukit Losong, Terengganu

 

2) Pasar Payang

Pasar Payang

Imej via nst

Jika di Kelantan terkenal dengan Pasar Siti Khadijah sebagai tempat membeli-belah, di Terengganu pula ada Pasar Payang yang sentiasa menjadi tumpuan para pelancong. Jika anda nak membawa pulang buah tangan hasil Terengganu datanglah ke Pasar Besar Kedai Payang. Terdapat bermacam produk yang dijual di sini seperti sutera, songket, batik, periuk belanga, makanan hasil laut Terengganu seperti keropok, rempah nasi dagang ikan masin dan banyak lagi.

Malah, berdekatan Pasar Payang juga terdapat sebuah bangunan 3 tingkat iaitu Bazar Warisan. Bazar ini mengumpulkan banyak kraftangan dan seni tradisional Terengganu seperti tembaga, songket, batik dan sutera. Anda juga dapat menikmati pemandangan indah muara Sungai Terengganu dari tingkat 3 bangunan ini.

 

Lokasi: Jalan Sultan Zainal Abidin, 20000 Kuala Terengganu, Malaysia

 

3) Taman Tamadun Islam

Taman Tamadun Islam

Imej via monsooncup

Ia merupakan satu-satunya taman tema bercirikan Islam yang pertama di dunia.  Kawasan seluas 10 hektar ini menempatkan 22 replika monumen dengan seni bina Islam dari 21 negara antaranya Masjid Nabawi, Arab Saudi, Kubah As Sakhra, Palestin, Tugu Kompleks Suleyman, Turki, Menara Kalyan, Uzbekistan, Masjidil Haram dan banyak lagi. Taman tema ini berkonsepkan Edutainment Park, ia bukan sekadar untuk berhibur semata-mata tetapi memberi pengetahuan kepada pengunjung mengenai sejarah pembinaan monumen-monumen ini melalui tayangan video, gambar dan kuiz interaktif.

Untuk memudahkan pergerakan pengunjung melawat dari satu monumen ke monumen lain, pihak taman turut menyediakan trem dan sewaan basikal serta buggy.

Antara tarikan utama yang terdapat berdekatan Taman Tamadun Islam adalah Masjid Kristal. Pembinaan masjid ini memakan belanja sekitar RM23 juta kerana ia dibina menggunakan hanya besi, kristal dan kaca. Sesuai dengan bajet yang dikeluarkan, masjid ini memiliki reka bentuk yang unik yang terkenal di seluruh dunia. Waktu terbaik untuk menangkap gambar masjid ini adalah pada waktu matahari terbenam kerana cahaya matahari yang cantik pada waktu itu akan terpancar pada sekeliling masjid ini yang dibuat daripada material yang memantulkan cahaya.

 

Lokasi: Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, 21000 Kuala Terengganu

Waktu Operasi: Isnin, Rabu, Khamis (10.00am – 7.00pm) | Jumaat – Ahad (9.00am – 7.00pm) | Selasa (Tutup)

Harga Tiket:  Dewasa RM21.20 | Kanak-kanak RM15.90

 

4) Perkampungan Nelayan Seberang Takir

Perkampungan Nelayan Seberang Takir

Imej via azwansalleh

Mengikut sejarah, Seberang Takir merupakan tempat untuk membuang pesalah pada zaman dahulu. Namun kini, tempat ini telah dikomersialkan dan menjadi tarikan pelancong. Keunikan perkampungan nelayan ini adalah cara hidup penduduknya. Jika anda ingin merasa pengalaman berada dalam kampung tradisional, seawal pagi anda boleh menaiki bot penambang dari Pasar Payang menuju ke Seberang Takir.

Setiba di sini, anda dapat melihat kegigihan penduduk kampung mengusahakan hasil laut yang mereka perolehi hamper setiap hari. Setiap pagi, kaum ibu akan duduk beramai-ramai menghasilkan keropok lekor bermula daripada proses menyiang ikan hingga siap direbus sebelum dipasarkan ke Pasar Payang.

Manakala, kaum lelaki pula, selesai menangkap ikan di laut, mereka bertungkus-lumus menghasilkan belacan dan mengeringkan ikan bilis untuk jualan. Kehidupan saling bantu-membantu ini sememangnya sukar dijumpai di tempat lain.

 

Lokasi: Seberang Takir, Daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu

 

5) Pusat Sains Kreativiti Terengganu

Pusat Sains Kreativiti Terengganu

Imej via rileku

Anda bercuti ke Terengganu dengan anak-anak? Pusat Sains Kreativiti Terengganu harus menjadi destinasi wajib untuk anda sekeluarga lawati. Di sini anak-anak anda akan dapat mempelajari pelbagai informasi saintifik yang disampaikan secara kreatif dan menarik sekali. Terdapat info tentang dinasour, permainan kanak-kanak dan bermacam-macam lagi. Anda juga dapat bergambar di green screen dan gambar ini akan disunting untuk memberikan latarbelakang yang anda inginkan seperti Eiffel Tower, di dalam kapal angkasa dan lain-lain. Sangat menarik!

 

Lokasi: Jalan Kampung Laut, Taman Chendering Utama, 21080 Kuala Terengganu

Waktu Operasi: Isnin – Rabu (9.00am – 5.00pm) | Khamis (9.00am – 4.00pm) | Jumaat (Tutup) | Sabtu – Ahad (9.00am – 5.00pm)

Harga tiket: Pakej Keluarga 2 Dewasa, 3 Kanak-kanak RM40.00

 

6) Masjid Tengku Tengah Zaharah

Masjid Tengku Tengah Zaharah

Imej via tourism

Masjid Tengku Tengah Zaharah merupakan salah satu masjid yang cantik di Terengganu. Masjid ini dibina di atas air di muara Sungai Ibai yang sekaligus menjadikan masjid terapung yang terulung di Malaysia. Masjid ini memiliki ciri-ciri reka bentuk islam dan tempatan. Datanglah ke sini untuk menikmati kecantikan masjid ini sambil disapa angin bayu yang menenangkan.

 

Lokasi: Kuala Ibai, 20400, Kuala Terengganu

 

7) Pusat Pembangunan Kraf Terengganu

Pusat Budaya Kraf Terengganu

Imej via naeltrg

Pusat Pembangunan Kraf Terengganu membolehkan anda sekeluarga untuk mengenali dan melihat dengan lebih dekat hasil kraftangan Terengganu seperti ukiran kayu, produk tembaga, pembuatan songket, kain sarong, sutera dan banyak lagi. Lebih menarik, anda juga boleh membuat tempahan khas produk kraftangan mengikut citarasa anda sendiri. Eksklusif rekaan khas untuk anda. Pasti ia akan jadi satu ole-oleh istimewa dari Terengganu yang anda boleh bawa pulang nanti.

 

Lokasi: Lot 2195, Kawasan Perindustrian Chendering, 20700 Kuala Terengganu

 

8) Pantai Batu Buruk

Pantai Batu Buruk

Imej via impianterengganu

Pantai Batu Buruk sangat terkenal dengan kemeriahannya. Bukan setakat bersantai di pantai sambil ditiup bayu laut, anda juga boleh isi perut dengan makanan-makanan sedap di Terengganu seperti ikan celup tepung, keropok, sate ikan dan bermacam lagi. Malah, terdapat juga restoran-restoran makanan segera di sini. Lebih menarik, anda juga boleh menaiki kereta kuda yang dihias cantik. Memang syok luangkan masa bersama keluarga di Pantai Batu Buruk.

 

Lokasi: Pantai Batu Buruk, 20400, Terengganu

 

9)  Kampung Losong

Kampung Losong

Imej via erinasrahim

Kampung Losong terkenal dengan keropor lekornya sehingga mendapat nama julukan Keropok Losong. Kampung ini terletak hanya 10 minit perjalanan dari Bandar Kuala Terengganu. Di sini terdapat banyak pilihan gerai keropok lekor yang semuanya memang sedap-sedap belaka.  Kawasan ini turut diberi pengiktirafan oleh kerajaan negeri sebagai Pusat Perniagaan Keropok Lekor di Terengganu. Oleh kerana kampung ini sangat tersohor dengan keropok lekornya, tidak hairanlah dikatakan anggaran 500 kg keropok lekor yang berjaya dijual dalam sehari apabila tiba musim cuti sekolah. Kawasan jualan keropok lekor ini juga terletak tidak jauh dari Muzium Negeri Terengganu dan Taman Tamadun Islam.

 

Lokasi: Kg. Losong Haji Su, 21000 Kuala Terengganu

 

10) Kampung Bukit Tok Beng

Kampung Bukit Tok Beng

Imej via nazrulakram

Selain Kampung Losong, Kampung Bukit Tok Beng juga antara destinasi tumpuan untuk mendapatkan keropok lekor. Keropok lekor di sini juga digelar Keropok Lekor Nombor atau Beratur. Ini kerana terlalu ramai orang yang datang ke sini untuk membeli keropok lekor semasa musim cuti, sehinggakan para pembeli perlu mendapatkan angka giliran terlebih dahulu. Memang dahsyat! Ramai yang sanggup beratur kerana keropok lekor di sini sedap dengan isi ikannya yang banyak, berbeza dengan tempat lain.

 

Lokasi: Kampung Bukit Tok Beng, 21300 Kuala Terengganu

 

11) Tasik Kenyir

Tasik Kenyir

Imej via dygtravel

Tasik Kenyir merupakan tasik buatan terbesar di Asia Tenggara. Pulau Herba merupakan salah satu pulau yang terdapat di Tasik Kenyir. Tasik ini seluas 260 km persegi dan mengandungi 340 pulau kecil. Terdapat banyak tempat yang dibangunkan di sekitar Tasik Kenyir untuk menarik kedatangan pelancong ke sini. Antaranya ialah Pulau Herba yang mana pulau ini mempunyai kira-kira 26 ribu pokok herba. Manakala bagi penggemar fotografi, Air Terjun Lasir merupakan tempat yang menjanjikan pelbagai landskap serta flora dan fauna yang indah untuk dirakam.

Selain itu, anda juga dapat pengalaman yang rare dengan dikerumuni ribuan ikan di Sungai Petang. Sebaik sahaja berada dalam sungai, ribuan ikan kelah bagaikan menanti kedatangan anda dan terus mengerumuni anda. Memang gerun awalnya melihat sekumpulan ikan yang banyak datang menyerbu namun perasaan itu akan bertukar menjadi seronok apabila anda boleh memegang ikan-ikan yang jinak ini sambil memberi makan.

 

Lokasi: Hulu Terengganu, Terengganu

 

12) Hutan Lipur Cemerong

Hutan Lipur Cemerong

Imej via dirafum

Hutan lipur ini memang sangat terkenal dalam kalangan para pendaki. Terdapat khazanah alam yang sangat cantik di hutan lipur ini. Sungai Bangan, sungai yang sangat jernih dan cantik ini hanya dapat dijumpai sekiranya anda berjaya mendaki CBL. Apa itu CBL? CBL adalah singkatan bagi Air Terjun Chemerong, Gunung Berembun dan juga Air Terjun Langsir. Kebiasaannya trek CBL akan bermula daripada Hutan Lipur Chemerong dan seterusnya ke Puncak Chemerong, Puncak Berembun dan akhirnya akan bermalam di Puncak Air Terjun Langsir sebelum kembali semula ke lokasi permulaan.

Hutan Lipur Chemerong sangat kaya dengan pokok herba & hidupan fauna lain. Sepanjang denai ada juga pokok hutan yang dilindungi spesisnya termasuk Cengal, Merbau, Meranti, Seraya dan pelbagai lagi. Malah, Hutan Lipur Chemerong juga terdapat pokok Cengal terbesar dan tertua di dunia. Usianya dikatakan sudah 1,300 tahun.

Sekiranya anda tidak berniat untuk mendaki CBL pun tidak mengapa, kerana di Hutan Lipur Chemerong anda boleh merasai kenikmatan serta kedinginan air terjun yang merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Anda juga boleh berkelah serta bersantai-santai bersama keluarga di sini. Banyak kemudahan disediakan untuk kegunaan para pengunjung termasuk tandas, bilik persalinan baju, pondok rehat, surau, menara pandang, taman permainan kanak-kanak, dewan serba guna dan denai ke Gunung Berembun.

 

Lokasi: Hulu Dungun, Dungun, Terengganu

 

13) Pulau Perhentian

Pulau Perhentian

Imej via villaimpiana

Pulau Perhentian merupakan salah satu tempat percutian yang popular di Malaysia. Ia terdiri daripada 2 pulau iaitu Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Banyak aktiviti yang anda boleh lakukan di sini antaranya pakej snorkeling dan menyelam skuba hinggalah kepada perkhidmatan bot untuk anda menikmati pemandangan indah pulau dengan sepuas hati. Resort untuk penginaoan juga banyak tersedia di sini, dari bajet rendah sehinggalah penginapan yang eksklusif.

Antara tempat menarik yang anda boleh lawati di Pulau Perhentian adalah Lata Air Berani, Turtle Bay, Kincir Angin D’Lagoon, Teluk Dalam dan Teluk Pauh. Antara Pulau Perhentian Besar dengan Pulau Perhentian Kecil, Pulau Perhentian Kecil lebih meriah terutama sekali pada bahagian yang dipanggil Long Beach ataupun Pantai Panjang, tak kisahlah siang atau malam, ada sahaja aktiviti yang berjalan di sini.

Walaupun agak meriah, alam semula jadi di sini masih terpelihara dan kekal terjaga. Walau bagaimanapun, pulau-pulau ini ditutup ketika musim tengkujuh iaitu antara bulan Oktober ke Februari.

 

Lokasi: Pulau Perhentian, Besut, Terengganu

 

14) Pulau Redang

Pulau Redang

Imej via hartiniomar

Berbanding pulau Perhentian, Pulau Redang lebih maju dan membangun dalam sektor pelancongan. Malah di pulau ini terdapat tapak pemuliharaan penyu yang penting di Terengganu. Jika anda bernasib baik, anda akan dapat melihat penyu bertelur di pesisir pantai di sini.

Antara aktiviti yang anda boleh lakukan di Pulau Redang adalah jungle trekking, menyelam skuba, berenang dan snorkeling. Bezanya aktiviti snorkeling dan menyelam di Pulau Redang adalah, anda bukan sahaja dapat melihat dan berenang dengan ikan-ikan yang cantik seperti di pulau-pulau lain, tetapi anda juga dapat berenang bersama penyu di laut.

Untuk makluman anda juga, di sekitar perairan pulau indah ini juga terdapat 2 buah tempat karamnya kapal lama ketika Perang Dunia Kedua iaitu kapal H.M.S Prince of Wales dan H.M.S Repulse.

 

Lokasi: Pulau Redang, Kuala Nerus, Terengganu

 

15) Pulau Kapas

Pulau Kapas

Imej via thevocket

Pulsu Kapas tidaklah terlalu besar, cuma berkepanjangan 2 km dan kelebaran 1 km sahaja. Tetapi ia tetap terkenal dan menjadi pilihan pelancong untuk datang ke sini kerana kecantikan alam semula jadinya.

Pantai Pulau Kapas memiliki pasir pantai yang cantik bersih memutih. Malah ia juga memiliki Hutan Tropika yang masih belum tercemar, sesuai untuk anda melakukan aktiviti jungle trekking sambil menikmati keindahan flora dan fauna.

Antara aktiviti yang anda boleh lakukan di sini selain snorkeling dan menyelam adalah, mendaki Bukit Singa, mandi sungai di dalam Gua Bukit Singa, dan juga berkanu.

 

Lokasi: Pulau Kapas, Marang, Terengganu

 

16) Rantau Abang

Rantau Abang

Imej via tripsandactivities

Pantai ini popular bukan sahaja kerana pantainya yang cantik, tetapi yang paling penting ialah kerana ianya tempat penyu bertelur. Kebiasaannya musim penyu bertelur adalah antara bulan Mac hingga Ogos. Dan pantai ini bakal dikunjungi oleh penyu belimbing dan penyu agar pada waktu malam.

Antara tempat menarik lain di Rantau Abang adalah Bukit Penyu yang terletak di Bukit Che Hawa, Dungun.

Batu Penyu menurut mitos berasal daripada seekor penyu betina yang mendarat di Pantai Rantau Abang. Penyu tadi dikatakan merayau mencari suatu haruman yang datang dari sebatang pokok. Disebabkan terlalu leka penyu itu tersesat hingga ke Bukit Che Hawa. Penyu tadi tidak sedar hari telah menjelang subuh. Akhirnya ia bertukar menjadi batu kekal sehingga sekarang.

Jika anda ke sana, masih ada bentuk batu yang berbentuk seakan-akan penyu. Namun disebabkan tiada penjagaan rapi batu tersebut telah merekah dan pecah. Kini kemudahan seperti tangga, tempat rehat serta batu berbentuk penyu telah dibina tempat khas yang berpagar agar tempat ini terpelihara untuk tatapan generasi akan datang.

 

Lokasi: Rantau Abang, Dungun, Terengganu

 

17) Taman Rekreasi & Mini Zoo Kemaman

Taman Rekreasi & Mini Zoo Kemaman

Imej via kami-ganu

Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman ini terletak di Bukit Takal, iaitu 14 km dari dari bandar Chukai. Ia adalah zoo pertama di Terengganu dan telah dibuka pada tahun 2009, dengan haiwan-haiwan dipelihara dalam kawasan seluas 54 hektar.

Uniknya zoo ini kerana bukan sekadar ada haiwan, tetapi juga taman buah-buahan, taman herba semulajadi, taman tumbuhan tropikal, taman orkid, taman bonsai, taman rekreasi air dan mini zoo di dalam satu tempat.

Antara tarikan utama di taman ini adalah Taman Tema, Jambatan Gantung, Taman Orkid, Dusun Buah-Buahan, Menara Tinjau, Air Terjun dan Akuarium. Selain itu, anda boleh menunggang gajah, menaiki trem untuk mengelilingi zoo dan melihat pelbagai spesies burung. Bawalah anak-anak anda datang ke sini untuk melihat keindahan alam semula jadi flora dan fauna dengan lebih dekat.

 

Lokasi: Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman, Terengganu

Waktu Operasi: 9.00pagi – 5.00petang

Harga Tiket: (Zoo Dewasa RM10 | Kanak-kanak RM7) (Kolam Renang RM5) (Pakej Firefly Dewasa RM15 | Kanak-kanak RM10)

 

Itulah dia 17 tempat menarik di Terengganu yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Terengganu. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Pulau Redang dan Tempat Menarik Di Besut.


Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.