Mencari tempat meanrik di Gold Coast Australia?

Australia sememangnya destinasi perlancongan yang menjadi pilihan rakyat Malaysia apabila mahu bercuti ke luar negara. Di antara Bandar yang biasa menjadi pilihan ialah Sydney, Gold Coast, Melborne, dan Adelaide. Kali ini kami nak kongsikan tempat menarik di Gold Coast yang wajib anda masukkan dalam senarai percutian idaman.

Bila sebut Cold Coast, pastinya anda terbayangkan taman tema yang banyak ada di sini. Namun tahukah anda, selain taman tema bertaraf dunia, di Gold Coast juga terdapat banyak tarikan lain seperti outlet yang menjual barang berjenama dengan harga murah, hidupan liar dan alam semulajadi, malah pantai yang cantik.

tempat menarik di gold coast

Sumber: Villageroadshow

1. Australia Sea World

Pelancong dari seluruh dunia datang ke Australia Sea World yang terletak di Gold Coast untuk melihat hidupan marin yang ada di sini, terutamanya persembahan ikan lumba-lumba atau dolphin yang ikonik, anjing laut, beruang kutub, dan penguin.

Apa yang menarik, selain melihat hidupan marin, di sini anda juga boleh bersantai di tepi pantai sambil menikmati pantai yang cantik dengan cahaya matahari, dan meluncur bersama ikan lumba-lumba.

Kalau anda bercuti bersama anak kecil, pastinya anak-anak anda akan teruja dengan persembahan istimewa dari Teenage Mutant Ninja Turtles Nickelodeon yang akan muncul dan membuat persembahan ninja. Di sini juga terdapat taman tema, dan di antara permainan yang menjadi tumpuan ramai ialah Castaway Bay dan Storm Coaster. Jangan lepaskan peluang untuk merasai keseronokan permainan tersebut.

2. Dreamworld

Tempat menarik di Gold Coast Australia yang seterusnya ialah Dreamworld iaitu taman tema terbesar di Australia. Taman Tema Dreamworld terkenal kerana roller coasternya yang tertinggi, terpantas dan paling mengagumkan di Australia. Hebat kan? Kalau anda sampai di Dreamworld, jangan lupa untuk naik roller coaster di sini. Di antara tarikan yang ada di Taman Tema Dreamland ialah:

  • Big 9 Thrill Rides
  • Tail Spin
  • Wiggles World
  • DreamWorks Experience
  • Madagascar Madness
  • Shrek’s Faire Faire Away
  • Kung Fu Panda: Land of Awesomeness
  • Gold Rush County
  • Thunder River Rapids
  • Rocky Hollow Log Ride
  • AVIS Vintage Cars

Selain permainan, di Taman Tema Tema Dreamworld juga terdapat banyak maskot dengan karakter hebat, tayangan perdana filem baru, dan binatang eksotik seperti harimau benggal, harimau sumateradi Tiger Island, dan alamai keseronokan hidup orang asli pribumi Australia di Dreamworld Corroboree. Anda sekeluarga pastinya berseronok di sini.

3. Warner Bros Movie World

Kalau anda sukakan filem-filem keluaran Warner Bros seperti superhero Superman, Batman, Avengers, Black Panther, Thor, Hulk, Wonder Woman, Bugs Bunny, Harry Potter dan sebagainya, ini adalah tempat menarik di Gold Coast Australia yang wajib anda lawati.

Anda pasti terpesona melihat perarakan superhero kegemaran anda di Main Street, dan apa yang istimewa ianya bukanlah perarakan yang biasa, Anda berpeluang melihat para superhero melakukan aksi hebat seperti di dalam filem.

Di sini anda akan tenggelam dalam dunia fantasi seolah-olah berada dalam filem bersama superhero pujaan anda. Seperti taman tema yang lain, di Warner Bros Movie World terdapat permainan yang menjadi tarikan utama di sini. Di antara yang paling popular ialah:

  • Justice League 3D – The Ride
  • Green Lantern Coaster
  • Batwing Spaceshot
  • Arkham Asylum
  • Superman Escape
  • Rio 4D Experience
  • Hollywood Stunt Driver 2
tempat menarik di gold coast

Sumber: Holidayholiday

4. Ripley’s Believe It or Not! Surfers Paradise

Ripley’s Believe It or Not! Surfers Paradise merupakan tempat menarik di Gold Coast Australi yang seterusnya. Anda pernah menonton rancangan ini atau membaca bukunya? Pasti anda boleh agak apa yang ada di sini. Di Ripley’s Believe It or Not! Surfers Paradise, anda akan melalui sebuah pengembaraan yang sangat unik di mana anda akan mengembara sambil menemui pelbagai benda menarik seperti:

  • 350 artifak tulen
  • Sejarah dunia
  • Magik
  • Misteri
  • Ilusi luar biasa
  • Permainan interaktif yang menyeronokkan,
  • Patung bersaiz hidup watak-watak filem terkenal
  • Ripley’s Impossible LaseRace iaitu  lumba lari berlaser melalui mez bercahaya laser hijau terang yang pastinya sangat menyeronokkan.

5. Harbour Town Outlet Shopping Center

Selalunya bila bercuti, shopping merupakan salah satu agenda penting selain makan sepuas-puasnya. Jika anda bercuti di Gold Coast Australia, kami cadangkan untuk anda singgah di Harbour Town Outlet Shopping Center yang merupakan rangkaian pusat membeli-belah terbesar di Australia. Di sini terdapat lebih daripada 220 butik berjenama yang menjual dengan harga yang jauh lebih murah berbanding butik biasa. Apa yang lagi menarik, sudahlah harganya lebih murah daripada biasa, malah ada lagi diskaun yang diberikan kepada anda.

Harbour Town Outlet Shopping Center lebih kurang sama seperti Johor Premium Outlet atau Genting Premium Outlet. Di antara butik berjenama antarabangsa yang ada di sini ialah:

  • Coach
  • Ralph Lauren
  • Hugo Boss
  • Nike
  • Oroton
  • R.M. Williams
  • Ugg

Di sini juga terdapat banyak restoran makanan halal, jadi anda tak perlu risau bab makanan. Untuk pengetahuan anda, Harbour Town Outlet Shopping Center terletak di tepi pantai. Oleh itu, lepas dah puas shopping, bolehlah anda bersantai ambil angin di tepi pantai.

6. Pantai Currumbin Gold Coast

Tempat menarik di Gold Coast Australia yang seterusnya ialah Pantai Currumbin yang terkenal di seluruh dunia dengan pantainya yang indah.Pasirnya yang putih dengan ombak yang besar membuatkan Pantai Currumbin terkenal dengan aktiviti surfing dan snorkeling. Kalau anda taknak basah, sekadar bersantai di pantai sambil melihat orang meluncur ombak pun dah sangat menyeronokkan. Anda juga boleh berjalan-jalan melihat rock pool iaitu kolam yang terbentuk di celahan batu yang ada di sini.

tempat menarik di gold coast

Sumber: Sunandsea

7. Currumbin Wildlife Sanctuary

Tempat menarik di Gold Coast Australia yang seterusnya ialah Currumbin Wildlife Sanctuary. Di sini anda berpeluang untuk berjumpa dengan haiwan ikonik Australia iaitu beruang koala, kangaroo, dan lorikeet. Menariknya di sini, anda berpeluang untuk melihat persembahan istimewa seperti pertunjukan burung terbang dan juga proses memotong bulu kambing biri-biri. Unik kan?

Selain haiwan eksotik Australia dan persembahan yang menakjubkan dari binatang, di Currumbin Wildlife Sanctuary anda juga dapat menonton mempersembahkan dari orang asli pribumi Australia iaiatu persembahan seperti didgeridoo dan persembahan tarian. Di Currumbin Wildlife Sanctuary juga terdapat taman permainan seperti:

  • Adventure Parc High Ropes Course
  • Wildlife Hospital

8. Glow Worm Cave Tamborine Mountain

Dah puas bermesra dan memeluk koalan di Currumbin Wildlife Sanctuary, anda boleh teruskan percutian di Gold Coast dengan melawat Glow Worm Cave Tamborine Mountain yang terletak di Ladang Cedar Creek.

Apa yang menarik di sini? Gua ini dipenuhi oleh lampu biru yang dikeluarkan oleh sejenis cacing yang unik. Dinding guanya cerah seperti dipasang lampu neon yang berwarna biru.

Glow Worm Cave Tamborine Mountain merupakan gua buatan manusia yang terdiri dari dua ruang yang besar yang dihubungkan oleh satu terowong. Dalam ruang pertama,  anda akan dihiburkan dengan paparan audio visual tentang cacing bercahaya dan seni bina gua tersebut. Dah siap mendengar penerangan, anda akan dibawa ke ruang kedua di mana anda akan melihat sendiri keunikan cacing bercahaya di sini.

tempat menarik di gold coast

Sumber: Australiangeographic

9. Tamborine Rainforest Skywalk

Tempat menarik di Gold Coast Australia yang seterusnya ialah Tamborine Rainforest Skywalk yang terletak di Gold Coast Hinterland iaitu kira-kira 45 minit daripada Surfers Paradise dan juga 60 minit perjalanan dari Brisbane International Airport. Di Tamborine Rainforest Skywalk, anda berpeluang untuk bersantai sambil menikmati keindahan alam semulajadi hutan hujan Australia yang masih terpelihara tanpa sebarang pencemaran. Di sini di antara aktiviti menarik yang boleh anda lakukan ialah:

  • Skywalk Bridge iaitu jambatan logam sepanjang satu setengah kilometer perjalanan yang merentasi hutan hujan
  • Skywalk Cantilever iaitu jambatan logam sepanjang 40 meter
  •  Cedar Creek Viewing Platform iaitu jambatan yang dibuat dari kayu cedar di mana anda akan melalui perjalanan yang berangin di sepanjang lantai kanopi hutan.

10. Infinity Attraction Gold Coast

Infinity Attraction Gold Coast merupakan tempat menarik di Gold Coast Australia yang wajib anda lawati semasa bercuti di sana. Tak lengkap percutian anda kalau tak luangkan masa di sini. Apa yang menariknya tentang Infinity Attraction Gold Coast? Di sini anda berpeluang untuk merasai permainan yang lain daripada permainan yang biasa ada di taman tema yang biasa. Di antara tarikan yang popular di sini ialah:

  • Inter-Dimensional Space yang akan membawa anda masuk ke dalam dunia yang pelik
  • The Cyclotron yang akan membawa anda merentasi masa
  • Electron Maze iaitu laluan maza yang membawa anda mengembara
  • The Mystery Zone yang membawa anda berimaginasi
  • Laser Zone di mana anda perlu mengelak dari pancaran lazer
  • The Infinite Light Canyon di mana anda akan melalui jambatan yang sangat tinggi tanpa dasar
  • Infinite Recession di mana anda perlu mencari jalan keluar dari infiniti.

11. Surfers Paradise Beach Front Market

Surfers Paradise Beach Front Market yang terletak di sepanjang Surfers Paradise Foreshore diadakan pada setiap hari Rabu, Jumaat dan malam Ahad. Oleh itu, pastikan anda bercuti di sini pada hari-hari yang berkenaan. Apa yang ada di sini? Di sini terdapat lebih daripada 100 buah gerai jualan dan hiburan di sepanjang pantai. Terdapat pelbagai barang yang dijual di sini seperti pakaian, barang kemas, aksesori, hasil seni, gambar-gambar, produk-produk kecantikan dan juga barang kegunaan rumah.

Kalau anda nak cari cenderamata buat kenangan dan sebagai buah tangan buat orang tersayang di Malaysia, di sini adalah tempat yang sesuai. Ada banyak barang dengan harga murah yang boleh anda jadikan sebagai buah tangan.

tempat menarik di gold coast

Sumber: Goldcoastbulletin

12. Infinite Maze

Tempat menarik di Gold Coast Australia yang seterusnya ialah Infinite Maze yang terletak di Surfers Paradise. Di sini anda akan merasai pengalaman sesat di dalam maze yang menawarkan pengembaraan ilusi sambil ditemani muzik dengan kesan bunyi yang sangat menarik.

Bayaran masuk ialah AUD27 atau lebih kurang RM88. Sedikit tips dari kami, kalau nak dapatkan tiket dengan harga yang lebih murah, anda boleh beli secara online di website infinitygc.com.au. Harga tiker online cuma AUD25 iaitu lebih kurang RM81.

13. O’Reilly’s Tree Top Walk canopy Walk

Tempat menarik di Gold Coast Australia yang terakhir ingin kami kongsikan kepada anda ialah O’Reilly’s Tree Top Walk canopy Walk. Apa yang menarik, laluan di atas pokok O’Reilly’s Tree Top Walk canopy Walk adalah yang pertama di Australiadengan kepanjangan sepanjang 180 meterdan terdiri daripada sembilan jambatan gantung, dengan majoriti laluan pejalan kaki adalah setinggi 15 meter dari atas tanah.

Di sini anda berpeluang untuk merasai pengalaman indah berjalan menerusi kanopi pokok berbunga dan pokok berbuah yang ditutupi oleh tumbuhan menjalar. Sambil berjalan, anda akan dapat melihat pokok orkid epifit, tumbuhan paku pakis, burung, dan haiwan yang mendiami puncak pokok seperti tupai. Di sepenjang perjalanan terdapat papan maklumat yang akan membantu anda mengenal pasti flora dan fauna yang anda nampak.

Sambil berjalan-jalan, anda boleh singgah di dua dek pemerhatian yang dibina di dalam pokok beringin atau juga dikenali sebagai pokok ara yang berketinggian 30 meter atau kira-kira 110 kaki dari atas tanah. Tapi, pastikan anda jenis yang tak takutkan ketinggian.

tempat menarik di gold coast

Sumber: Outbackfree

Itulah dia 13 tempat menarik di Gold Coast Australia yang ingin kami kongsikan kepada anda. Semoga bermanfaat buat anda. Jemput juga baca artikel tulisan kami seperti tempat menarik di Melbourne tempat menarik di Sydney dan tempat menarik di Aceh. Manalah tahu anda bercadang ke sana.


Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.