Kuantan merupakan ibu negeri Pahang. Memandangkan negeri ini terletak di kawasan Pantai Timur, makanya sudah pasti terdapat pantai-pantai yang cantik kerana terletak di perairan Laut China Selatan. Terdapat banyak tempat menarik yang terdapat di Kuantan untuk anda lawati. Jom kita lihat 15 destinasi yang best untuk anda sekeluarga terokai.

 

1) Masjid Sultan Ahmad Shah

Masjid Sultan Ahmad Shah

Imej via flickr

Masjid Sultan Ahmad Shah merupakan masjid negeri Pahang. Keluasan masjid Sultan Ahmad Shah ini mampu menampung kira-kira 10,000 orang jemaah dalam satu-satu masa, menjadikan ia sebagai masjid terbesar di negeri Pahang. Nama masjid ini diambil bersempena nama pemerintah Pahang yang pertama iaitu Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah. Reka bentuk dalaman dan hiasan masjid yang bercirikan seni bina zaman Uthmaniah, seterusnya menjadikannya sebuah masjid yang sangat indah. Ukiran khat di sekitar dinding masjid juga menambahkan lagi seri masjid ini.

Apa yang lebih menarik, pada bulan Ramadan, masjid ini bertambah meriah kerana Padang MPK bersebelahan dengannya akan menjadi tumpuan seluruh pengunjung untuk berbuka puasa secara beramai-ramai di situ. Selesai pengunjung berbuka puasa beramai-ramai di Padang MPK, mereka akan solat di masjid ini seterusnya menghidupkan lagi masjid ini pada Bulan Ramadan.

 

Lokasi: Jalan Mahkota, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang, 25000 Kuantan

 

2) Taman Gelora

Taman Gelora

Imej via kuantan

Taman Gelora merupakan sebuah taman rekreasi yang terletak di tepi pesisir pantai. Terdapat pelbagai kemudahan yang tersedia di sini seperti trek jalan kaki, alatan senaman, pondok rehat, gerai-gerai makanan dan banyak lagi. Antara aktiviti senaman yang boleh dilakukan di sini seperti jogging, bersenam dan aerobik.

Sambil-sambil berkelah di Taman Gelora, bolehlah cuba Rojak Ayam dan Nasi Ayam yang dijual di gerai makan yang terdapat di sini. Bukan setakat itu, malah sekiranya anda datang ke sini pada hujung minggu kerana setiap hari Ahad jam 4 petang sehingga jam 9 malam, anda berpeluang merasai kemeriah pasar malam di sini.

 

Lokasi: Jalan Dato Abdullah, Kampung Tanjung Api, 25050 Kuantan

 

3) Mini Zoo Teruntum

Mini Zoo Teruntum

Imej via kuantan

Anda tercari-cari tempat yang seronok untuk bawa anak-anak anda terokai di Kuantan? Bolehlah bawa mereka ke Mini Zoo Teruntum. Kawasan mini zoo ini mempunyai landskap yang menarik dan amat sesuai untuk aktiviti beriadah sambil melihat haiwan yang dipamerkan. Terdapat banyak haiwan yang anda dan keluarga dapat saksikan di sini seperti burung unta, kancil, burung, buaya, arnab, burung merak, landak, seladang, pelanduk, ular, orang utan dan juga kura-kura gergasi. Malah, anda juga boleh menunggang kuda padi di sini dengan bayaran yang sangat minimal iaitu RM5 untuk 1 trip.

Antara kemudahan asas yang tersedia kepada pengunjung adalah seperti tandas dan tempat letak kereta. Dah puas tengok haiwan, perut pun rasa lapar. Jangan risau kerana di bahagian bawah atau luar zoo mini ini terdapat gerai-gerai makanan untuk anda mengisi perut.

 

Lokasi: Jalan Padang Golf, 25050 Kuantan

Waktu Operasi: 9.00pagi – 6.00petang

Harga Tiket: Dewasa RM2 | Kanak-kanak RM1

 

4) Petrosains PlaySmart Kuantan

Petrosains PlaySmart Kuantan

Imej via deanaxie

Satu lagi destinasi yang seronok buat anak-anak adalah Petrosains PlaySmart Kuantan. Kanak-kanak akan terhibur dengan permainan yang tersedia di Petrosains Smart seperti trek kereta, ruang main bola, pertandingan mewarna, pertandingan menampal, dan banyak lagi.

Pusat sains mini ini merupakan sebuah taman interaktif agar kanak-kanak dapat menerokai dunia sains yang hebat melalui pembelajaran yang sangat menyeronokkan. Siapa kata, nak belajar hanya perlu baca baca buku. Teknologi kini memudahkan kita untuk mendapat ilmu dengan pelbagai cara dan kreativiti.

Petrosains PlaySmart Kuantan ini harus menjadi destinasi wajib untuk anda sekeluarga kunjungi kerana ia memberi pengalaman dan ilmu yang sangat bermanfaat buat anak-anak anda. Tambahan pula, tiada bayaran masuk yang dikenakan kepada pengunjung. Ini bermakna, anda boleh merasai keseronokan alam sains ini secara percuma sahaja.

 

Lokasi: Petrosains Playsmart Kuantan, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, 26060 Kuantan

Waktu operasi: Selasa – Ahad (9.00pagi – 5.00petang) | Isnin dan Cuti Umum: Tutup

Harga Tiket: Percuma

 

5) Natural Batik Village

Natural Batik Village

Imej via kuantan

Batik merupakan salah satu identiti bagi negeri Terengganu. Namun, industry batik bukan ada di Terengganu sahaja, di Kuantan Pahang ini juga ada. Tidak hairanlah kerana kedudukan Kuantan ini bersempadan dengan Negeri Terengganu.

Anda boleh mempelajari tentang bati dengan lebih dekat di Natural Batik Village yang terletak berdekatan dengan Pantai Balok. Di sini juga terdapat banyak kedai yang menjual cendera hati berasaskan lukisan corak batik untuk dibawa pulang sebagai buah tangan. Pusat batik ini sering menjadi lokasi tumpuan ramai pengunjung kerana suasana kedainya yang mesra pelanggan dan produk yang dihasilkan amat berkualiti.

Apa yang lebih menarik, anda berpeluang untuk mencanting batik mengikut cita rasa dan kreativiti anda sendiri. Namun perkhidmatan ini akan dikenakan sedikat bayaran. Hasil batik yang telah siap anda canting akan terus menjadi hak milik anda.

Selain itu, anda juga boleh melihat sendiri proses penghasilan batik dari mula sehingga terhasilnya sehelai batik yang cantik menawan seperti yang anda lihat kebanyakan penjawat awam memakainya pada setiap hari Khamis.

 

Lokasi: Kampung Cengal Lempung, 26100 Balok

Waktu operasi: Isnin – Ahad (10.00pagi – 7.00petang)

 

6) Bukit Panorama Sungai Lembing

Bukit Panorama Sungai Lembing

Imej via afiqhalid

Anda sukakan aktiviti pendakian? Bukit Panorama yang terletak tidak jauh dari pekan Sungai Lembing ini memberi peluang kepada anda lakukan aktiviti pendakian seterusnya melihat sendiri pemandangan indah matahari terbit dari puncak bukit ini. Dengan ketinggian 271 meter,  anda dapat melihat seluruh kawasan kampung Sungai Lembing yang terletak kira-kira 40km dari bandar Kuantan.

Jangan risau, jika anda seorang beginner pun tidak mengapa. Ini kerana laluan pendakian di sini tidaklah terlalu mencabar. Pendakian anda untuk sampai ke puncak akan melalui tangga dan denai yang telah disediakan. Malah, tangga yang tersedia juga bersimen dan terdapat tempat pemegang bagi memudahkan aktiviti pendakian. Anda juga digalakkan membawa lampu suluh kerana suasana masih gelap semasa pendakian dilakukan.

 

Lokasi: Kampung Kuala Kenau, 26200 Sungai Lembing, Pahang

 

7) Muzium Sungai Lembing

Muzium Sungai Lembing

Imej via libur

Muzium Sungai Lembing merupakan sebuah muzium yang menyimpan khazanah bernilai negara berkaitan dengan industri perlombongan bijih timah. Lokasi muzium ini merupakan bekas tapak perlombongan bijih timah yang paling dalam dan antara yang terbesar di dunia pada satu ketika dahulu.

Sememangnya negara kita sangat kaya dengan sumber alam termasuklah bijih timah. Malah, antara faktor kedatangan penjajah ke Tanah Melayu juga disebabkan kekayaan sumber alam seperti bijih timah ini.

Tempat bersejarah ini telah diuruskan oleh Jabatan Muzium dan telah dibuka untuk kunjungan para pelancong bagi memperkenalkan peralatan melombong bijih timah dan pakaian yang digunakan oleh pekerja lombong dahulu.

Di samping itu, reka bentuk muzium berserta perabot dan hiasan dalamannya dibina berilhamkan zaman kolonial atau era penjajahan Inggeris dahulu. Dengan keluasan 5.51 hektar, muzium ini turut mempunyai terowong atau lombong bawah tanah akan tetapi ia tidak dibuka kepada pengunjung biasa disebabkan faktor keselamatan. Kepada pengunjung yang berminat untuk melihat dan mengetahui lebih mendalam tentang sejarah perlombongan bijih timah negara kita bolehlah berkunjung ke Muzium Sungai Lembing ini.

 

Lokasi: Jalan Muzium, Sungai Lembing, 26200 Sungai Lembing

Waktu operasi: Jumaat – Ahad (9.00pagi – 5.00petang)

 

8) Air Terjun Sungai Pandan

Air Terjun Sungai Pandan

Imej via afiqhalid

Air terjun Sungai Pandan merupakan air terjun yang terkenal di kalangan penduduk Kuantan dan pengunjung dari luar. Air terjun ini terletak di Felda Sungai Pancing Selatan Pahang. Sambil bawa anak-anak bermandi-manda di sini, bolehlah anda sekeluarga berkelah menikmati udara segar dengan kehijauan alam semula jadi di sini.

Terdapat pelbagai kemudahan disediakan di sini seperti tempat letak kereta, surau, tandas, pondok berehat, gerai makanan, kolam mandi kanak-kanak, padang dan banyak lagi. Selain itu, anda juga boleh bersiar-siar di sekitar jungle trails untuk melihat pemandangan di sekitar air terjun yang dihiasi dengan pokok-pokok besar seperti meranti, keruing dan damar serta turut terdapat pelbagai spesies bunga.

 

Lokasi: Air Terjun Sungai Pandan, 26400 Kuantan, Pahang

 

9) Bukit Gambang Resort City

Bukit Gambang Resort City

Imej via pahangtourism

Jika anak-anak anda tidak gemar mandi sungai atau air terjun, jangan risau, kerana anda ada pilihan lain iaitu Gambang Water Park yang terletak di Bukit Gambang Resort City, Gambang. Ia merupakan taman tema yang lengkap bukan setakat dengan taman tema air sahaja, tetapi juga ada Safari Park yang menempatkan haiwan-haiwan seperti di zoo.

Taman tema air ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Coco Beach, Wave Pool dan Lagoon. Di setiap bahagian tersebut terdapat pelbagai aktiviti yang pengunjung boleh lakukan seperti Aqua Play, Giant Piranha, Tree Top Hill, Lane Racer, Canopy Slide, Family Raft Ride, ATV Ride dan banyak lagi.

Di Safari Park pula anda bakal mencipta pengalaman yang lebih menyeronokkan. Bukan sekadar melihat haiwan di dalam kandang sahaja, tetapi juga anda berpeluang melihat pertunjukan haiwan seperti pertunjukan burung dan buaya.

Selain dari Water Park dan Safari Park, banyak lagi aktiviti lain yang tersedia di sini. Cumanya, setiap aktiviti ada bayaran tertentu yang dikenakan. Antara aktiviti yang ada seperti ATV Fun Ride, ATV Explore Ride, Paintball, Obstacle Course, Night Jungle Walk, Flying Fox dan Sky Trail.

Di sini juga terdapat resort-resort sekiranya anda ingin bermalam di sini. Pastinya sehari suntuk anda di sini akan terisi dengan pelbagai aktiviti yang syok. Walaupun perbelanjaan di sini agak tinggi, tetapi pihak BGRC juga selalu berikan tiket baucer untuk ke water park dan safari park. Sekiranya anda ikuti perkembangan mereka, mungkin anda berpeluang untuk dapatkan tiket baucer dan nikmati harga diskaun untuk aktiviti-aktiviti di sini.

 

Lokasi: Bukit Gambang Resort City, 26300 Gambang

Waktu operasi:  Isnin – Khamis (10.30am-6.30pm) | Jumaat – Ahad (9.30am – 6.30pm) | Selasa: Tutup

Bayaran Masuk: Water Park Dewasa (RM38), Kanak-kanak (RM28) | Safari Park Dewasa (RM68), Kanak-kanak (RM48) | Combo Dewasa (RM78), Kanak-kanak (RM58)

 

10) Pantai Teluk Cempedak

Pantai Teluk Cempedak

Imej via mrkumai

Pantai Teluk Cempedak cukup sinonim dengan daerah Kuantan.   Bukan sekadar panorama yang cantik menyebabkan pengunjung sering memeriahkan pantai ini, tetapi juga kerana infrastruktur serta kemudahan yang terdapat di sini.

Terdapat kemudahan susur gajah yang menyusuri pesisir pantai ini untuk anda berjalan-jalan sepanjang pantai. Kedai cendarahati, gerai makanan, taman permainan, surau dan tandas disediakan untuk keselesaan para pengunjung. Malah di sekitar Pantai Teluk Cempedak juga terdapat banyak resort dan motel untukkemudahan pengunjung yang ingin menginap di sini.

Menikmati tiupan bayu laut serta panorama laut yang terbentang luas, di tambah pula dengan aktiviti santai seperti makan-makan, adalah pasti ia suatu aktiviti yang menyeronokkan buat anda sekeluarga.

 

Lokasi: Pantai Teluk Cempedak, 25050 Kuantan, Pahang

 

12) Pantai Sepat

Pantai Sepat

Imej via mypantaisepat

Pantai Sepat juga dikenali dengan nama Tanjung Sepat. Ia merupakan sebuah perkampungan Melayu nelayan yang popular di Kuantan. Antara aktiviti yang anda boleh lakukan di sini seperti bermain layang-layang, memancing dan menjala ikan.

Malah, keindahan panorama yang dihiasi pokok-pokok di sini sangat sesuai untuk melakukan aktiviti fotografi. Selain itu, anda juga berpeluang untuk menunggang kuda di sepanjang pantai kerana terdapat premis yang mengediakan sewaan kuda di sini.

 

Lokasi: Pantai Sepat, 26060 Kuantan, Pahang

 

13) Pantai Balok

Pantai Balok

Imej via kuantan

Pantai Balok antara pantai yang boleh dikunjungi di Kuantan selain dari Pantai Teluk Cempedak. Berbeza dengan Pantai Teluk Cempedak yang sangat meriah kerana banyak kemudahan di sana, Pantai Balok bukan merupakan pantai peranginan tetapi ia cukup dikenali dengan aktiviti windsurfing. Pertandingan windsurfing juga sering diadakan di Pantai Balok disebabkan faktor angin dan arus pantainya yang sangat sesuai untuk aktiviti ini.

Di samping itu, Pantai Balok juga merupakan lokasi menarik kepada pengunjung yang meminati aktiviti perkhemahan. Kemudahan tapak perkhemahan disediakan kepada pengunjung yang ingin melakukan aktiviti perkhemahan ini turut mempunyai ciri keselamatan apabila lokasinya sentiasa dikawal selia oleh pihak pengurusan pantai bagi menggelakkan sebarang bahaya.

Selain, pantai ini turut menyediakan kemudahan gerai makanan yang menyediakan pelbagai sajian berasaskan makanan laut. Malah, bagi anda yang ingin bermalam di sini, tetapi tidak berniat untuk berkhemah, jangan risau kerana terdapat resort serta hotel yang terdapat di sekitar Pantai Balok.

 

Lokasi: Pantai Balok, 26080, Pahang

 

14) Pantai Cherating

Pantai Cherating

Imej via citiestips

Antara pantai yang popular di Kuantan adalah Pantai Cherating. Pantai ini terletak di sempadan negeri Pahang dan Terengganu. Ia memang sesuai dijadikan tempat pelancongan anda sekeluarga kerana terdapat kemudahan yang terdapat di sini. Terdapat hotel dan resort yang menyediakan perkhidmatan penginapan kepada pengunjung dan pastinya memberi keselesaaan ketika percutian di Kuantan.

Antara aktiviti yang anda boleh lakukan di sini seperti sukan pantai, luncur air, banana boat, memancing, berkayak dan banyak lagi. Memandangkan Pantai Cherating bersebeahan dengan Kemaman, Terengganu, maka bolehlah anda ‘menyelam sambil minum air’ untuk singgah sebentar ke negeri Terengganu. Antara aktiviti yang anda boleh lakukan di Kemaman seperti melihat kelip-kelip, Trip Snorkeling ke Pulau Ular, ATV Ride, Cherating Mangrove River Cruise, mencanting batik di Limbong Art dan banyak lagi. Dan yang paling ikonik adalah, anda bolehlah dapatkan keropok lekor yang dijual di negeri ini. Asli dari negeri Terengganu yang sememangnya sangat sinonim dengan keropok lekor.

 

Lokasi: Pantai Cherating, 26080, Pahang

 

15) Tanjung Lumpur

Tanjung Lumpur

Imej via anasuhana

Nak cari tempat makan seafood yang sedap-sedap? Anda boleh ke Tanjung Lumpur untuk menikmati makan malam yang lazat. Anda hanya perlu pilih sahaja makanan laut mana yang ingin anda santap. Udang, sotong, ikan, semuanya segar-segar baru naik dari jeti. Antara menu yang popular seperti sotong celup tepung dan ikan bakar. Banyak kedai makanan laut yang terdapat di Tanjung Lumpur ini, namun antara kedai yang sering menjadi tumpuan adalah Ana Ikan Bakar, Mail Ikan Bakar, Super Top dan banyak lagi.

Manakala, untuk makan tengah hari pula, anda boleh lajak sedikit ke area Peramu untuk menikmati hidangan ikan celup tepung, udang celup tepung dan sotong celup tepung di Warung Pok Su & Mok Su. Jika anda ingin merasai masakan tradisional Melayu Pahang seperti pais ikan bakar dan gulai daging salai, anda boleh lajak lagi ke Restoren Mabiq yang diusahakan oleh sebuah sekolah tahfiz. Pekerja di kedai itu juga terdiri daripada anak-anak tahfiz. Perniagaan kedai makan itu menjadi salah satu usaha mereka untuk mencari dana demi pengajian anak yatim dan fakir miskin serta pembangunan Maahad Tahfiz Bahasa dan Ilmu Al-Quran (MaBIQ). Untuk ke warung-warung ini, anda boleh sahaja membuat carian kedai makan mereka menggunakan aplikasi Google Map ataupun Waze.

 

Lokasi: Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang

 

Itulah dia 15 tempat menarik di Kuantan yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Kuantan. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Cameron Highland dan Tempat Menarik Di Kuala Lipis.

 


Penulis: Anisah Husna Ismail

Anisah Husna Ismail

Nama saya Anisah Husna.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.