Mencari tempat menarik di Mersing? Mersing merupakan salah satu daerah yang terdapat di Negeri Johor nun jauh di Selatan sana.

Perjalanan ke Mersing dari KL mengambil masa kira-kira 3-4 jam. Tetapi itu bukanlah suatu masalah. Bagi anda yang cintakan alam semula jadi dengan kehijauan hutan juga kebiruan air laut, Mersing adalah destinasi ideal buat anda.

Di Mersing bukan sahaja terdapat hutan lipur yang kaya dengan flora dan fauna tetapi juga kaya dengan pantai dan juga pulau. Jangan terkejut jika pulau-pulau di sini sangat bersih dan cantik. Malah air lautnya juga jernih seolah-olah bercuti di pantai luar negara yang popular. Tak percaya? Anda kenalah datang sendiri untuk menikmati panorama indah alam semula jadi yang terdapat di Mersing.

1) Muzium Mersing

Muzium Mersing
Imej via ywj

Bangunan ini adalah bangunan yang agak bersejarah. Bangunan Muzium Mersing ini telah dibina pada tahun 1920-an. Bangunan ini pada asalnya digunakan sebagai pejabat pentadbiran daerah Mersing. Tetapi setelah ekdatangan Jepun, ianya telah dijadikan markas operasi Jepun sewaktu jajahan mereka sehingga tahun 1945. Setelah itu, ia kembali digunakan sebagai pejabat kerajaan sebelum dijadikan muzium.

Bahan pameran yang dapat dilihat di sini adalah pameran berkaitan askar Jepun seperti pakaian tentera Jepun, peralatan perang, pedang samurai dan banyak lagi. Maklumlah ianya pernah dijadikanmarkas Jepun.

Lokasi: 243, Jalan Ibrahim, Mersing Kechil, 86800 Mersing

2) Taman Negara Endau-Rompin

Taman Negara Endau-Rompin
Imej via drimpic

Ini antara tempat menarik di Mersing boleh anda pergi. Taman Negara Endau-Rompin adalah sebuah taman negara di Johor yang bersempadan dengan negeri Pahang. Dengan berkeluasan 80,000 hektar, sudah pasti terdapat begitu banyak sekali flora dan fauna yang eksotik boleh anda temui di sini.

Dikatakan di hutan ini terdapat banyak sekali spesies orkid, herba dan pokok-pokok yang jarang ditemui di kawasan lain. Kekayaan flora dan fauna unik inilah yang menjadikan Taman Negara Endau-Rompin lokasi kegemaran ramai penyelidik dari dalam dan luar negara.

Tinggalkan segala kesesakan dan kemodenan hidup di bandar sekejap, dan datanglah ke sini untuk dekatkan diri dengan alam semula jadi yang sangat menyegarkan ini. Terasa begitu bersih udara yang dihirup. Sungguh menyamankan.

Lokasi: Taman Negara Rompin Peta, Mersing, Endau.

3) Hutan Lipur Gunung Arong

Hutan Lipur Gunung Arong
Imej via moonamoony

Ingin lakukan aktiviti lasak seperti jungle trekking dan mendaki bukit dengan anak kecil? Hutan Lipur Gunung Arong sesuai untuk anda sekeluarga. Trek pendakian di hutan lipur ini agak mudah. Bukan itu sahaja, malah pemandangan yang menanti di puncak juga sungguh cantik.

Setelah penat mendaki, anda sekeluarga boleh bersantai di kawasan pantai yang terdapat berdekatan hutan lipur ini. Jika anda datang ke pantai pada waktu air surut, anda dapat merentasi air ini untuk ke pulau yang terdekat dengannya iaitu Pulau Mawar. Memang cukup lengkap aktiviti lasak buat anda sekeluarga di sini. Redah hutan, bersantai di pantai, malah dapat merentasi air laut yang surut untuk ke pulau pula. Sempurna!

Lokasi: Hutan Lipur Gunung Arong, Mersing

4) Hutan Lipur Gunung Belumut

Hutan Lipur Gunung Belumut
Imej via jalanja

Hutan Lipur Gunung Belumut merupakan hutan dipterokarpa bukit yang bertempat di Hutan Simpan Kluang. Antara tarikan utama yang terdapat di hutan lipur ini adalah air terjun dan sungai yang mengalir dari gunung. Memang sejuk dan menyegarkan. Di samping itu, anda juga dapat melihat sendiri spesies orkid yang terkenal di sini iaitu Orkid Selipar (Paphiopedilum barbatum).

Terdapat banyak kemudahan yang terdapat di sini seperti tandas, taman permaninan, chalet, tapak perkhemahan, dewan serbaguna dan wakaf.

Lokasi: Johor Tengah Forestry Office, Jalan Pejabat Kerajaan, 86000 Kluang

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00pagi – 6.00petang)

Harga Tiket: Dewasa RM2 | Pelajar Sekolah & Kanak-kanak Bawah 12 Tahun RM1

5) Pantai Air Papan

Pantai Air Papan
Imej via najwaownherway

Pantai Air Papan adalah kawasan pantai yang berhadapan dengan Pulau Setindan. Oleh kerana lokasinya yang tidak jauh dari pusat bandar menjadikan ia destinasi pelancongan yang terkenal di Mersing dan ini membuatkan kawasan sekitarnya kaya dengan pelbagai jenis penginapan.

Antara aktiviti yang anda sekeluarga boleh lakukan di sini seperti bermain layang-layang, bermandi-manda, berkayak dan banyak lagi. Selain itu, Pantai Air Papan juga merupakan tempat yang terkenal dalam kalangan kaki pancing untuk mengadakan pertandingan memancing. Bagi anda yang kaki pancing itu, jangan lupa membawa joran anda ke sini. Sambil bercuti, bolehlah memancing sekali.

Lokasi: Kampung Air Merah, 86800 Mersing

6)  Pantai Penyabong

Pantai Penyabong
Imej via syazlitahir

Pantai Penyabong adalah tempat yang menarik di Mersing untuk anda sekeluarga lawati. Kawasan pantainya cantik dan luas. Terdapat beberapa resort yang di tepi pantai yang menawarkan penginapan yang selesa serta harga yang berpatutan buat para pengunjung di pantai ini.

Pantai Penyabong mempunyai tarikan tersendiri yang bukan sahaja terkenal dengan sejarah tetapi juga menyimpan seribu satu misteri alam. Berdasarkan kisah yang disampaikan sejak turun-temurun, Penyabong dahulunya merupakan tempat persinggahan lanun yang melalui Laut China Selatan untuk mengatur strategi serangan, dan untuk mengisi waktu pula, mereka selalu mengadakan pertandingan sabung ayam, begitulah alkisahnya bagaimana Pantai ‘Penyabong’ mendapat namanya sekarang.

Di pantai ini juga anda berpeluang melihat sendiri aktiviti mendaratkan ikan oleh nelayan kerana lokasinya yang terletak berhampiran dengan jeti nelayan Kampung Penyabong. Anda pasti tiada masalah dari segi bekalan makanan di sini, kerana terdapat gerai-gerai makan di sekitar kawasan ini yang menyediakan masakan hasil laut yang segar-segar.

Lokasi: Pantai Penyabong, Kampung Penyabong, Endau

7) Pantai Teluk Gorek

Pantai Teluk Gorek
Imej via zatybaker

Pantai Teluk Gorek terletak di antara Pantai Air Papan dan Pantai Penyabong.  Ia salah satu kawasan pantai yang sangat sesuai untuk anda bermandi-manda bersama keluarga kerana airnya yang tenang. Di sekitar kawasan pantai indah dengan pasir yang putih ini terdapat banyak tapak perkhemahan dan chalet yang menarik untuk diduduki. Sekali-sekala nak pengalaman yang rare bersama keluarga, bolehlah bermalam di khemah di tapak perkhemahan yang disediakan di sini.

Lokasi: Pantai Teluk Gorek, Kampung Tanjung Resang, 86900 Endau

8) Pantai Tanjung Resang

Pantai Tanjung Resang
Imej via mapcarta

Pantai Tanjung Resang sebuah pantai yang mendamaikan. Sama ada anda hanya sekadar ingin menikmati pemandangan ataupun ingin beraktiviti lasak seperti menyelam skuba, berkayak dan macam-macam lagi, semuanya boleh dilakukan di sini.

Tidak jauh dari Tanjung Resang ini terletaknya Gunung Arong. Trek di Gunung Arong agak mudah maka anda boleh mendaki bersama-sama anak-anak anda. Di puncak gunung, anda dapat melihat pemandangan yang memukau jiwa bukan sahaja keseluruhan Tanjung Resang malahan juga Pulau Tioman.

Lokasi: Pantai Tanjung Resang, Tanjung Resang, Mersing

9) Pantai Tanjung Leman

Pantai Tg Leman
Imej via damansaraassets

Pantai Tanjung Leman terletak agak jauh dari Pekan Mersing, kira-kira 70km dan mengambil masa sekitar 1 jam pemanduan. Walaupun perjalanan untuk menuju ke kawasan pantai ini agak sukar kerana perlu melalui jalan yang agak sempit, namun Pantai Tanjung Leman mampu menyajikan pemandangan pantai dengan laut terbentang luas yang sungguh menyejukkan pandangan terutama sekali pada waktu matahari terbenam. Segala kesukaran itu terbayar dengan panorama indah alam semula jadi yang indah dan menyamankan. Sangat berbaloi!

Lokasi: Pantai Tanjung Leman, 86800 Mersing

10) Pantai Teluk Buih

Pantai Teluk Buih
Imej via mapcarta

Sekiranya anda dalam perjalanan ke Pantai Air Papan, anda akan melalui simpang yang akan membawa anda ke Teluk Buih ataupun lebih terkenal sebagai Fishing Bay Resort. Pantai Teluk Buih ini sebenarnya agak kecil, namun kecil-kecil cili padi. Mana tidaknya, keindahan yang ditawarkannya mampu mendamaikan jiwa.

Kawasan pantai ini terjaga dengan begitu baik. Oleh kerana, ia hanyalah sebuah teluk, air di sini sangat sesuai untuk anda bermandi-manda bersama keluarga. Selain itu, bagi anda yang kaki pancing, di sini turut disediakan kawasan khas untuk anda memancing ikan.

Lokasi: Fishing Bay Resort, Lot 525, Teluk Buih, Air Papan, 86800 Mersing

11) Pulau Tengah

Pulau Tengah
Imej via johornow

Jika anda suka mengambil gambar pemandangan yang rare, Pulau Tengah merupakan destinasi wajib untuk anda lawati. Ini kerana, pulau ini mempunyai bentuk geografi yang agak unik. Pembentukan batu tajam dan halus yang terdapat di sekitarnya menjadikan pemandangan di sekitar pulau ini begitu istimewa. Selain berfotografi, aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah jungle walk dan menyelam skuba.

Lokasi: Pulau Tengah, Mersing

12) Pulau Hujung

Pulau Hujung
Imej via hasifhamsyari

Jika anda inginkan privasi, anda boleh pertimbangkan untuk bercuti di Pulau Hujung. Ini kerana, ia merupakan sebuah pulau yang terbiar dan kurang dilawati pengunjung. Namun disebabkan kurang menerima kunjungan, alam semula jadi di sini terpelihara dengan baik sekali tanpa sebarang nodaan.

Kejernihan air menjadikan ia sebuah lokasi yang menarik untuk anda bersnorkeling menikmati hidupan marin yang penuh warna-warni, malah pasirnya juga lembut membelai kaki. Namun begitu, untuk menginap, mungkin lebih sesuai anda bermalam di tempat lain kerana di sini kurang kemudahan untuk anda berkhemah di waktu malam.

Lokasi: Pulau Hujung, Mersing

13) Pulau Tinggi

Pulau Tinggi
Imej via chillout

Di Pulau ini terdapat Gunung Semudu yang merupakan gunung tertinggi jika dibezakan dengan gunung-gunung di pulau yang lain di sekitarnya dengan ketinggian sekitar 2000 kaki dari aras laut. Inilah sebabnya kenapa ia dinamakan Pulau ‘Tinggi’.

Pulau yang indah ini dikelilingi oleh lautan biru jernih yang dihiasi dengan batu-batu karang yang berwarna-warni. Selain itu, di pulau ini juga anda sekeluarga dapat melihat penyu-penyu berkeliaran di sekitar pantai. Memang best!

Lokasi: Pulau Tinggi, Mersing

14) Pulau Besar

Pulau Besar
Imej via mychirpylife

Pulau Besar antara pulau yang meriah dikunjungi orang kerana di sini terdapat banyak kemudahan. Ia terletak hanya 30 minit perjalanan menaiki bot dari Jeti Mersing. Walaupun pulau ini bernama Pulau Besar, hakikatnya ia hanya sebuah pulau yang kecil dengan kepanjangan yang hanya 4 km dan lebar 1 km sahaja.

Pulau ini cukup lengkap dengan pelbagai jenis fasiliti untuk keselesaan pengunjung. Bukan sahaja untuk menyelam skuba, malahan padang golf dengan 18 lubang juga ada di sini.

Untuk penginapan di Pulau Besar, terdapat beberapa buah resort yang kesemuanya menghadap ke arah Mersing membuatkan ia selamat daripada pukulan ombak besar Laut China Selatan.

Lokasi: Pulau Besar, Mersing

15) Pulau Aur

Pulau Aur
Imej via travelbuddee

Pulau Aur adalah pulau yang tersangat jauh dari daratan. Ia terletak jauh di tengah Laut China Selatan menyebabkan perjalanan untuk sampai ke Pulau Aur memakan masa sekitar empat setengah jam.

Walaupun mengambil masa yang lama untuk sampai, perjalanan terasa sangat berbaloi apabila anda menjejakkan kaki ke tanah syurga tropika ini di mana air di lautnya sangat jernih dan pemandangan dasar laut yang cukup indah. Antara hidupan laut yang mudah dilihat di sini adalah ikan pari dan baracuda.

Walaupun pulau ini jauh dari daratan, jangan tak percaya kerana terdapat 2 perkampungan nelayan di pulau ini iaitu Pulau Palas dan Kampung Kekabu.

Sekiranya anda ingin melawat pulau ini, waktu yang terbaik adalah antara bulan April – Oktober waktu dimana air laut lebih tenang dengan permukaan air yang jauh lebih jernih.

Lokasi: Pulau Aur, Mersing

16) Pulau Dayang

Pulau Dayang
Imej via pinterest

Ia terletak bersebelahan dan tidak jauh dengan Pulau Aur. Pulau Dayang adalah sebuahtempat meanrik di mersing yang perlu pergi jika anda baru ingin berjinak-jinak ataupun belajar mengenai teknik menyelam skuba. Memang rasa best.

Sambil menyelam di sekitar pulau ini, anda dapat menikmati panorama yang sungguh menakjubkan dari air laut yang jernih. Pada waktu malam pula, jangan lupa untuk membawa teleskop ataupun teropong untuk menikmati pemandangan bintang-bintang berkerlipan yang indah bertaburan di langit.

Kedudukan pulau yang jauh dari tanah besar, membuatkan cahaya bintang kelihatan agak jelas pada waktu malam. Di waktu pagi pula, jangan lepaskan peluang untuk melihat keindahan matahari terbit dari sekitar jeti pulau ini.

Lokasi: Pulau Dayang, Mersing

17) Pulau Rawa

Pulau Rawa
Imej via rawaislandresort

Pulau Rawa ialah sebuah pulau kecil dan terletak tidak jauh dari tanah besar iaitu sekitar 16 km dari Mersing sahaja. Pulau ini boleh dikatakan sangat istimewa kerana memiliki kawasan pantai puith pasirnya. Pulau Rawa boleh dikatakan merupakan destinasi yang wajib anda pergi untuk aktiviti snorkeling kerana kecantikkan dasar lautnya.

Jungle trekking adalah aktiviti yang anda boleh buat di sini dengan 270 anak tangga untuk ke puncak di timur pulau. Pasti anda akan menyukainya.

Lokasi: Pulau Rawa, Mersing

18) Pulau Sibu

Pulau Sibu
Imej via kakireview

Ya, Mersing memang bayank pulau. Pulau Sibu ini pula sebenarnya terdiri daripada 4 buah pulau iaitu Pulau Sibu Hujung, Pulau Sibu Tengah, Pulau Sibu Besar dan Pulau Sibu Kukus. Daripada kesemua pulau ini, Pulau Sibu Tengah adalah yang paling terkenal dalam kalangan para pelancong kerana fasilitinya yang cukup lengkap dan kewujudan pelbagai jenis penginapan yang menarik.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di pulau ini adalah banana-boating, bermain jetski, bermain bola pantai dan menyelam skuba.

Lokasi: Pulau Sibu, Mersing

19) Pulau Pemanggil

Pulau Pemanggil
Imej via travelbuddee

Antara pulau yang ada, Pulau Pemanggil terletak agak jauh dari kawasan daratan Mersing dengan perjalanan sekitar 4 ke 5 jam menaiki bot. Lokasinya berhampiran PulauAur dan Pulau Tioman, Pahang.

Suasana keindahan di sekitar pulau ini tersangatlah cantik. Hidupan laut di sini juga teramatlah banyak membuatkan ia terkenal dalam kalangan kaki pancing. Antara ikan yang mudah didapati di sini adalah ikan marlin, ikan pari dan ikan tuna.

Jadi bilakah masa untuk datang ke sini? Bagi peminat sotong goreng, anda boleh bercuti di sini pada sekitar bulan Ogos ke September untuk musim mencandat sotong. Memang puas hati dapat tangkap hasil laut yang fresh terus dari laut sambil-sambil bercuti menikmati keindahan batu karang dan hidupan laut ini.

Lokasi: Pulau Pemanggil, Mersing

20) Perusahaan Keropok HJ Puteh

Perusahaan Keropok HJ Puteh
Imej via azisweetness

Oleh kerana Mersing terletak di tepian pantai berdekatan laut, maka Mersing meriah dengan industri keropok lekornya. Bukan di Terengganu sahaja ada keropok lekor ya.

Salah satu lokasi yang boleh anda lawati untuk membeli makanan yang enak ini adalah di Perusahaan Keropok HJ Puteh yang terletak di Jalan Abdullah.

Bukan sahaja keropok lekor, malahan juga pelbagai jenis keropok dan hasil laut yang lain boleh didapati di sini.  Kilang pemprosesan keropok lekor yang dijual terletak hanya bersebelahan dengan kedai.

Antara jenis keropok lekor yang terkenal di sini adalah yang dibuat daripada ikan selayang, ikan parang dan ikan tamban. Dah alang-alang sampai ke Mersing, haruslah anda borong keropok ini untuk dibawa pulang ke rumah.

Lokasi: Jalan Abdullah, Kampung Mersing Kanan, 86800 Mersing

Itulah dia 20 tempat menarik di Mersing, Johor yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Mersing. Jemput juga baca artikel

Penulis: Husna Ismail

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.