Seremban merupakan ibu negeri bagi Negeri Sembilan. Ia terletak bersempadan dengan Daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau dan Port Dickson. Di Seremban anda berpeluang melihat keindahan seni bina istana dan rumah tradisional Negeri Sembilan. Sangat cantik dan mengkagumkan. Selain itu, anda juga boleh melawat tempat-tempat rekreasi untuk anda bersantai-santai bersama keluarga.

 

1) Kompleks Muzium Negeri

Kompleks Muzium Negeri

Imej via flickr

Kompleks Muzium Negeri ini seharusnya tempat yang wajib anda lawati jika anda bercuti ke Seremban. Ini kerana, ia bukan sekadar muzium yang mempamerkan artifak serta bahan-bahan sejarah di bekas kaca mahupun penerangan-penerangan yang ditampal dinding-dinding sahaja. Tetapi lebih dari itu.

Kompleks ini terdiri daripada 3 bahagian berbeza. Di kompleks ini anda berpeluang melihat rumah tradisional Minangkabau yang pasti akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang melalui kawasan ini. Anda juga akan melihat Istana Ampang Tinggi yang telah berusia lebih daripada sedekad.

Istana Ampang Tinggi dan Rumah Contoh Negeri Sembilan telah diangkat sebagai bangunan warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Bahagian lain yang terletak di Kompleks Muzium Negeri ini adalah Teratak Perpatih yang mempamerkan banyak artifak dan info sejarah. Satu lawatan yang sangat informatif untuk anda sekeluarga.

 

Lokasi: Muzium Negeri, Jln Sungai Ujong, Seremban

Waktu Operasi: Selasa, Rabu, Sabtu & Ahad (10.00am – 6.00pm) | Khamis (8.15am – 1.00pm) | Jumaat (10.00am – 12.15pm & 2.45pm – 6.00pm)

Harga Tiket: Percuma

 

2) Masjid Negeri Sembilan

Masjid Negeri Sembilan

Imej via flickr

Masjid Negeri Sembilan ini dibina pada tahun 1966. Jika anda lihat dari jauh, seni bina masjid ini seakan-akan sebuah stadium. Sangat unik! Binaan bangunan ini juga agak simbolik dengan sembilan buah tiang, sembilan anjung tambahan, dan sembilan ruang yang mencerminkan sembilan daerah pentadbiran yang dimiliki Negeri Sembilan. Masjid yang memiliki reka bentuk Minangkabau ini memiliki 3 tingkat dengan ruangan solatnya yang menawarkan pemandangan indah Taman Tasik Seremban.

 

Lokasi: Jalan Dato’ Hamzah, Seremban

 

3) Muzium DiRaja Seri Menanti

Muzium DiRaja Seri Menanti

Imej via malaycivilization

Muzium Diraja Seri Menanti merupakan sebuah istana lama iaitu kediaman rasmi DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dari tahun 1908 hingga 1931 (Selepas tahun 1931, kediaman rasmi DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dipindahkan ke istana baharu yang tidak jauh dari istana lama).

Keistimewaan Istana Lama Seri Menanti ini adalah ia dibuat tanpa menggunakan sebarang paku. Setiap sambungan hanya menggunakan kayu pasak. Istana Lama Seri Menanti adalah bangunan kayu yang mempunyai 99 batang tiang dan juga 4 batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki (panjang tiap-tiap satu tiang seri). Melawat ke muzium ini akan membuatkan anda kagum dengan kepintaran orang terdahulu dalam seni bina rumah dan juga istana. Sebuah bakat dan hasil seni yang luar biasa hebat.

 

Lokasi:  Seri Menanti, 71550, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

 

4) Taman Tasik Seremban

Taman Tasik Seremban

Imej via flickr

Anda tercari-cari tempat yang sesuai untuk luangkan masa bersama keluarga di petang hari? Taman Tasik Seremban adalah tempat yang ideal untuk anda keluarga. Ia merupakan salah satu tasik yang tertua di Malaysia. Walaupun sudah berusia, tetapi kecantikan taman ini masih terserlah. Taman Tasik Seremban ini dihiasi dengan pohon-pohon tropika yang menghijau dan bunga-bungaan yang tumbuh mekar. Di samping itu, di sini juga terdapat dua buah tasik indah dan wakaf untuk anda bersantai bersama keluarga sambil menikmati pemandangan.

 

Lokasi: Taman Tasik Seremban, Jalan Taman Bunga, Taman Tasek Seremban

 

5) Taman Orkid Seremban

Taman Orkid Seremban

Imej via mdfaiez84

Taman Orkid Seremban ini memang tempat yang menarik untuk dilawati kerana warna-warni bunga ini sangat menceriakan. Antara orkid yang ditanam di taman ini adalah Black Orchid, Tiger Orchid, Eria Rulchella, Eria Ornata dan banyak lagi. Selain daripada orkid-orkid yang meriah dengan warnanya ini, anda juga boleh menyejukkan mata dengan menikmati pemandangan pokok yang menghijau yang terdapat di sekeliling taman dan air terjun buatannya.

 

Lokasi: Taman Orkid Seremban, 70100 Seremban, Negeri Sembilan

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 7.00pm)

Harga Tiket: Percuma

 

6) Jelita Ostrich Show Farm

Jelita Ostrich Show Farm

Imej via negerisembilan

Jelita Ostrich Farm diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) sebagai ladang burung unta pertama di Malaysia. Jelita Ostrich Show Farm bukan saja membiakkan burung unta malah menggunakan segala kelebihan yang ada pada haiwan itu. Taman ini menawarkan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan kepada pengunjung seperti menunggang burung unta serta persembahan monyet.

Taman ini bukan sahaja memperkenalkan burung unta malahan terdapat ternakan lain seperti rusa, unta, banting yang berasal dari keluarga lembu dan lain-lain.

Ladang ini juga mengeluarkan barangan serta produk yang berasaskan minyak burung unta. Antara produk-produk yang berjaya dihasilkan ialah seperti krim muka vitamin E, losyen tangan dan badan, pencuci muka, sabun dan lain-lain produk. Selain itu, anda juga berpeluang menikmati sate burung unta.

 

Lokasi: Lot 1504, Batu 6, Mukim Pantai, Jalan Jelebu, 71770 Seremban

Waktu Operasi: Setiap hari (9.00am – 5.00pm)

Bayaran Tiket: Dewasa RM8 | Kanak-kanak RM6

 

7) Lorong Seni Seremban

Lorong Seni Seremban

Imej via lamankeluargahajahlijah

Nak lihat keindahan hasil seni  yang cantik-cantik dan penuh dengan simbolik? Anda boleh dapatkannya di Lorong Seni Seremban. Di sini anda dapat mencuci mata melihat hasil-hasil lukisan yang melambangkan budaya kaum-kaum yang penuh warna-warni di Malaysia.

Suasana Bandar Seremban yang masih agak klasik ini menambahkan lagi aura hipster di Lorong Seni ini. Jika anda ke sini, jangan lupa bawa kamera atau pastikan bateri telefon pintar anda penuh pula. Rugi jika anda tak berswafoto dengan lukisan-lukisan yang ada. Lepas dah puas bergambar, bolehlah muat naik di akaun media sosial anda.

 

Lokasi: Lorong Seni Seremban, 155C, Jalan Dato Bandar Tunggal, Bandar Seremban, 70000 Seremban, Negeri Sembilan

 

8) IJM Hill Park Seremban 2 Height

IJM Hill Park Seremban 2 Height

Imej via dinohauz

Taman ini adalah sebuah taman rekreasi yang dibangunkan dan diselengara oleh pihak pemaju bandar ini. Taman ini terbahagi kepada 3 zon. Setiap zon dibahagikan ikut ketinggian. Zon 1 berwarna hjau, Zon 2 warna biru dan Zon 3 berwarna pink.

Di Zon 1 terdapat taman permainan untuk anak-anak. Zon 2 terkenal sebagai Dinosaur Zone. Di kawasan ini, anda dapat melihat pelbagai jenis dinasour. Di Zon 2 juga, pihak IJM menyediakan flying fox dan climbing cube untuk kanak-kanak. Sekiranya anak anda bermain aktiviti lasak ini, pastikan mereka dibawah pantauan orang dewasa untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Zon 3 adalah tempat untuk bersantai. Di sini disediakan tempat Picnic Pavilions iaitu tempat berkelah, dan tempat duduk untuk pengunjung. Selain berehat dan bersantai anda boleh lihat pemandangan 360 darjah daripada Zon 3 ni.

 

Lokasi: Hill Park Seremban 2 Heights

Waktu Operasi: Isnin-Ahad (6.30am – 9.00pm)

 

9) The Dusun

The Dusun

Imej via thedusun

The Dusun adalah sebuah tempat penginapan yang menawarkan udara segar, pemandangan hutan yang hijau, langit yang biru dan kicauan burung serta unggas. Pada mulanya, ia merupakan rumah percutian persendirian buat keluarga Helen dan David dan 5 orang anaknya. Namun, setelah mereka menyedari rakan-rakan mereka juga menyukai tempat itu, mereka mula membangunkan tempat itu secara perlahan-lahan. Bermula dengan satu rumah (Tembusu House), kini mereka menawarkan 4 lagi rumah percutian untuk disewa iaitu Berembun House, Perling House, Emas House dan Sora House.

Terdapat dua buah kolam renang tersedia dalam resort ini. Kemudahan lain termasuklah dapur yang dilengkapi alatan dan bahan-bahan asas memasak di setiap rumah, pit barbeku, sarapan (termasuk dalam harga bilik), katering, patio, taman sesuai untuk majlis, dan perkhidmatan fotografi. Anda boleh lihat maklumat tentang resort ini dengan lebih lanjut di laman web The Dusun.

 

Lokasi: 3437, Jalan, Mukim, Kampung Baru Pantai, 71770 Seremban, Negeri Sembilan

 

10) Awanmulan

Awanmulan

Imej via travelopy

Inginkan sebuah percutian yang jauh dari kesesakan bandar? Awanmulan sememangnya tempat yang sempurna buat anda yang gemarkan suasana sunyi, diselang seli dengan bunyi alam semulajadi. Awanmulan terdiri daripada 7 buah rumah iaitu Teratak Bonda, Kesidang, Sunrise, Sasterawan, Evensong, Durian Runtuh dan Rahsiah.

Nama ‘Awan’ diambil bersempena kabus yang meliputi kawasan ini pada pagi hari dan nama ‘Mulan’ diambil daripada nama haiwan kesayangan pemilik resort ini.

Awanmulan mempunyai dua buah kolam renang air masin, di mana salah satu daripadanya menghadap pemandangan hutan, dan lagi satu menghadap pemandangan matahari terbenam. Awanmulan juga menyediakan dapur yang dilengkapi alatan dan bahan-bahan asas di setiap rumah, sarapan (termasuk dalam harga bilik) dan katering.

Tetamu adalah dengan jemputan sahaja (walk-in tidak diterima) dan terdapat sungai dan air terjun di kawasan berhampiran. Jika anda ingin menginap di sini, pastikan anda hubungi pihak resort untuk urusan tempahan. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari Laman Facebook Awanmulan.

 

Lokasi: Awanmulan Pantai Orchard, Kampung Baru Pantai, 71770, Negeri Sembilan

 

11) The Shorea

The Shorea

Imej via tripadvisor

The Shorea adalah satu satu resort yang menawarkan penginapan yang mendamaikan di Seremban. Ia terdiri daripada gugusan 4 buah rumah yang terdiri daripada Villa Shorea, Villa Halia, Villa Bougainvillea dan Villa Kemboja. The Shorea dibina menghadap Hutan Simpan Berembun seluas 4000 ekar dengan ketinggian sebanyak 3900 kaki.

Nama Shorea diambil bersempena dengan nama genus 196 spesis pokok hutan seperti Balau, Cengal, Meranti dan Keruing. Resort ini menggunakan kayu balak bergen Shorea dan kayu-kayu kitar semula yang sebagai bahan binaan utama.

Seperti resort-resort lain, The Shorea menyediakan dapur di setiap villa yang dilengkapi alatan dan bahan-bahan asas di setiap rumah, sarapan (termasuk dalam harga bilik), pit barbeku dan katering. Mereka juga menyediakan Shorea Dining Pavilion, iaitu dapur kongsi yang menyediakan ketuhar dan tempat penyediaan makanan yang lebih besar. Resort ini juga mempunyai kolam renang, plunge pool dengan air masin dan dek santai yang luas.

Penginapan yang cukup menenangkan. Anda juga boleh melakukan aktiviti merentas hutan dan mandi air terjun yang berdekatan. Untuk ketahui lebih lanjut tentang resort ini, anda boleh layari laman Facebook The Shorea.

 

Lokasi: Village Kolam Air, Mukim Pantai, Jalan Jelebu, 71770 Seremban, Negeri Sembilan

 

12) Cabinz Ecottage

Cabinz Ecottage

Imej via cabinzecottage

Cabinz Ecottage adalah penginapan dalam kabin dari unsur binaan seperti batu-bata dan kayu. Terdapat 4 jenis bilik iaitu Diamond, Jade, Sapphire dan Ruby, dengan keluasan minima sebanyak 550 kaki persegi.

Resort ini menyediakan sebuah kolam renang. Selain itu, anda boleh membuat aktiviti seperti rentas hutan, barbeku atau mengunjungi air terjun. Resort ini juga menyediakan ruang Pavilion untuk riadah, kerana terdapat mesin latihan berat asas di sini.

Untuk maklumat lebih terperinci tentang resort ini anda boleh layari laman web Cabinz Ecottage. 

 

Lokasi: 21, Kolam Air Pantai Hill, Kampung Baru Pantai, 71770 Seremban, Negeri Sembilan

 

13) Pusat Borong Nilai 3

Pusat Borong Nilai 3

Imej via gotournegeri

Dah puas menikmati alam semula jadi yang terdapat di sekitar Seremban, apa kata luangkan masa untuk shopping pula. Tempat yang sangat sesuai untuk anda berbelanja adalah di Pusat Borong Nilai 3. Ia  merupakan Pusat Sehenti (One Stop Centre) bagi jualan borong pelbagai jenis produk daripada pakaian, barangan hantaran dan perkahwinan, langsir, dan segala keperluan rumah. Antara produk yang selalu orang cari di Nilai 3 adalah langsir. Ini kerana, mereka turut menawarkan servis menjahir langsir yang siap dalam masa 1 jam. Jika anda ke sini, apatah lagi bagi wanita, memang akan rambang mata. Terlalu banyak lot kedai untuk anda singgah. 2-3jam memang tak cukup masa untuk teroka semua kedai yang ada di sini.

 

Lokasi: Nilai 3, Nilai

Waktu Operasi: 8.00am – 7.00pm

 

14) Gunung Angsi

Gunung Angsi

Imej via flickr

Jika anda mencari temat untuk anda melakukan aktiviti lasak seperti mendaki, Gunung Angsi tempat yang sesuai untuk anda. Terdapat 2 laluan untuk trekking di Gunung Angsi. Yang pertama adalah melalui trek Hutan Lipur Ulu Bendul dan yang kedua adalah melalui trek Bukit Putus. Kalau anda nak yang lebih mencabar kerana perjalanan lebih jauh, anda boleh menggunakan trek Ulu Bendul. Trek Bukit Putus kurang 1 km – 1.5 km perjalanan kalau dibezakan dengan trek Ulu Bendul.

Piluhlah trek mana yang anda suka. Yang paling penting, anda berjaya sampai ke puncak Gunung Angsi yang menyajikan anda dengan panorama indah banjaran-banjaran gunung yang menyejukkan pandangan mata.

 

Lokasi: Gunung Angsi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

 

15) Hutan Lipur Ulu Bendul

Hutan Lipur Ulu Bendul

Imej via travelchameleon

Pusat Rekreasi Ulu Bendul terletak di kaki Gunung Angsi. Persekitaran yang penuh dengan kehijauan, memang membuatkan anda sekeluarga rasa tenang dan nyaman.

Antara aktiviti yang boleh anda lakukan di sini ialah bermandi-manda di kolam besar yang turut dialirkan oleh air sungai yang cukup menyegarkan. Sudah puas bersantai di sini, anda boleh mendaki sedikit ke atas bukit dan di sini anda akan menemui Snake Garden yang menempatkan beberapa ekor ular dan unggas. Jangan risau, kesemua haiwan berbisa ini diletakkan di dalam tempat yang selamat untuk anda lihat bersama keluarga.

 

Lokasi: Pusat Rekreasi Ulu Bendul, Tanjong Ipoh, Kuala Pilah

 

16) Jeram Toi

Jeram Toi

Imej via lenny-photography

Jeram Toi telah diterokai oleh British pada tahun 1895 dan sejak itulah ia menjadi lokasi tarikan ramai untuk berkelah dan bermandi-manda. Air jernih yang mengalir di sungai ini dan kawasan sekitarnya yang terjaga dengan baik menjadikan ia pilihan ramai orang pada hari cuti.

Terdapat dua buah kolam semula jadi, untuk anda bermandi-manda di sini. Lebih menyeronokkan, terdapat beberapa gelongsor air yang diletakkan di kolam ini. Di samping itu, kemudahan BBQ turut disediakan untuk kemudahan pengunjung.

 

Lokasi: Jeram Toi, Kampung Jelebu

 

17) Jeram Gading

Jeram Gading

Imej via skylineheritage

Dinamakan Jeram Gading kerana alkisahnya pada dahulu kala gajah banyak ditemui di sekitar kawasan ini. Jangan risau, kerana itu berlaku pada zaman dahulu, sekarang ia selamat sahaja untuk dijadikan tempat berekreasi bersama keluarga.

Yang menjadikan Jeram Gading ini sebuah lokasi yang unik adalah kerana terdapat dua buah jambatan gantung yang menyambung dua tebing sungai, tapi, hanya satu sahaja yang selamat digunakan.
Anda boleh bermandi-manda di sungai sambil menikmati keindahan alam semula jadi yang menghijau di sini. Jika anda nak menikmati keindahan Jeram Gading lebih lama lagi, anda sekeluarga boleh menginap di resort yang terdapat di sini.

 

Lokasi: Jeram Gading, Jalan Kampung Chennah, Negeri Sembilan, 71150

 

Itulah dia 17 tempat menarik di Seremban, Negeri Sembilan yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Seremban. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Port Dickson dan Tempat Menarik Di Rembau. 

Penulis: Husna Ismail

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.