Shah Alam merupakan ibu negeri bagi Negeri Selangor. Bandaraya Shah Alam sangat maju serta moden. Namun begitu, bandarnya masih tersusun dan terjaga dengan rapi. Terdapat banyak tempat menarik yang anda boleh lawati di Shah Alam. Muzium, Masjid Negeri, Perpustakaan awam yang sangat cantik dan canggih, hampir semua kemudahan ada di Shah Alam. Seharian anda di sini, pasti tidak akan sempat untuk meneroka setiap tempat best yang terdapat di sini. Jom kita lihat tempat-tempat menarik yang terdapat di Shah Alam.

 

1) Muzium Sultan Alam Shah

Muzium Sultan Alam Shah

Imej via shahs

Muzium Sultan Alam Shah menempatkan hampir 4000 buah artifak sejarah berkenaan Negeri Selangor. Terdapat lima buah balai pameran yang berbeza iaitu Balai Islam, Balai Sukan, Balai Sejarah, Balai Kebudayaan, Balai Warisan Alam Semulajadi dan Pameran Luar.

Antara kemudahan yang terdapat muzium ini adalah dewan, bilik mesyuarat, Makmal Taksedemi dan Repositori, Pusat Sumber serta Auditorium.

 

Lokasi: Persiaran Bandaraya, Seksyen 14, 40000 Shah Alam

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (9.30pagi – 5.30petang)

 

2) Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Imej via sayadankamerasaya

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah juga dikenali sebagai Masjid Biru kerana kubahnya yang berwarna biru. Senibina masjid ini adalah hasil kombinasi senibina tradisional Islam dari Barat, India, Asia Barat dan Melayu.

Ia juga pernah memegang rekod sebagai masjid yang memiliki menara yang tertinggi di dunia sehingga dimasukkan di dalam Guinness World Records, namun pada tahun 1993, masjid yang memiliki menara tertinggi adalah Masjid Hassan II di Casablanca, Morocco.

Masjid bukan sekadar tempat untuk umat Islam melakukan ibadah solat semata-mata, tetapi peranannya adlah lebih daripada itu. Masjid seharusnya menjadi pusat aktiviti bagi Muslim. Oleh sebab itu, terdapat banyak kemudahan di masjid ini termasuklah perpustakaan.

Alang-alang dah sampai Shah Alam, singgahlah solat di Masjid Biru ini, sambil melihat sendiri kecantikan senibina masjid yang tersergam indah ini.

 

Lokasi: Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor

 

3) Kompleks Taman Seni Islam

Kompleks Taman Seni Islam

Imej via twitter

Kompleks Taman Seni Islam terletak tidak jauh dari Masjid Shah Alam. Dari kompleks ini, anda dapat menikmati panorama indah Masjid Shah Alam dan Taman Tasik Shah Alam.

Di dalam Kompleks ini anda dapat melihat beberapa galeri berbeza seperti Galeri Nur Fatimah, Galeri As Sakinah, Galeri Al Quran Mushaf Malaysia, Bahagian Penyalinan Mushaf Al Quran, Rekaan, Pewarnaan, Grafik dan Penerapan Emas.

Yang paling menarik perhatian di Kompleks ini adalah manuskrip asli Al-Quran yang dianggarkan berharga RM20 juta. Satu perasaan yang amat menakjubkan apabila dapat melihat Quran ini di depan mata. Kompleks ini juga merupakan tempat penghasilan hasil seni islamik. Yayasan Restu, merupakan organisasi yang bertanggungjawab menghasilkan Quran tulisan tangan yang pertama di Malaysia.

 

Lokasi: 2A, Persiaran Damai, Seksyen 10, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (9.30pagi – 5.30petang)

 

4) Perpustakan Raja Tun Uda

Perpustakan Raja Tun Uda

Imej via senndoh

Perpustakaan Raja Uda boleh dikategorikan sebagai perpustakaan awam yang best untuk dilawati. Jika selalunya perpustakaan hanya sinonim dengan tempat membaca dan meminjam buku, tetapi Perpustakaan Raja Tun Uda memberikan anda lebih daripada itu.

Perpustakaan ini lengkap dengan teater maya, gymnasium, temat mendengar ceramah dan belajar mengaji al-Quran, surau, cafeteria dan lebih menyeronokkan ia turut menyediakan zon kreatif iaitu ruang khas untuk kanak-kanak. Selain itu, perpustakaan yang memiliki 6 tingkat ini dapat menampung 400,000 buah buku dan 2500 orang pada satu-satu masa.

Berkonsepkan perpustakaan dalam taman, lanskap di sekitar perpustakaan ini sangat menyejukkan mata dengan tasik yang luas terbentang.

 

Lokasi: Jalan Kelab Golf 13/6, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.30pagi – 7.00malam) | Sabtu – Ahad (9.30pagi – 9.00malam)

 

5) Uptown Shah Alam Seksyen 24

Uptown Seksyen 24

Imej via jual-d-opis

Uptown adalah pasar yang berkonsepkan pasar malam, tetapi waktu operasinya bermula pada waktu malam sehingga ke awal pagi. Oleh itu, jika anda tercari-cari aktiviti yang nak dilakukan pada waktu malam, apa kata anda singgah ke Uptown Shah Alam Seksyen 24. Di sini anda dapat melihat bermacam barangan dijual seperti jam tangan, barangan bundle, topi, hijab, aksesori telefon bimbit, makanan, macam-macam ada. Anda juga tidak perlu risau jika hujan sebab Uptown ni berbeza dari yang lain, ianya berbumbung, jadi bolehlah anda bershopping tidak kira keadaan cuaca.

 

Lokasi: Komplex Muhibbah, Persiaran Sultan, Seksyen 24, 40300 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (8.30malam – 3.00pagi)

 

6) Stadium Melawati Shah Alam

Stadium Melawati Shah Alam

Imej via stadiumdb

Stadium Melawati adalah salah satu mercu tanda bagi Shah Alam. Stadium ini sering digunakan untuk pelbagai aktiviti mega seperti perlawanan bola sepak, konsert dan sebagainya. Jika anda ingin melawat ke stadium ini pada musim tiada sebarang program diadakan di sinipun tiada masalah. Ini kerana, terdapat gerai jualan makanan di kawasan parkir luar stadium untuk anda mengisi perut. Malah, berdekatan stadium ini juga terdapat pasaraya Giant dan juga Masjid Seksyen 13 untuk anda singgah dan bersantai bersama keluarga.

 

Lokasi: Stadium Shah Alam Seksyen 13, Selangor, 40100 Shah Alam

 

7) Skytrex Shah Alam

Skytrex

Imej via soek-ting

Bagi anda yang sukakan aktiviti lasak dan mencabar, apa kata anda luangkan masa ke Skytrex Shah Alam. Ia terletak di Taman Pertanian Malaysia. Di sini, anda bukan sahaja dapat melakukan aktiviti ekstrem tetapi juga dapat menghirup udara segar udara segar kerana dikelilingi pokok-pokok hijau. Antara aktiviti yang menanti anda di sini adalah flying fox, meluncur, bergayut dan macam-macam lagi dari pokok ke pokok, sebab itulah ia digelar ‘sky trekking’. Sekali-sekala lakukan aksi seperti tarzan, apa salahnya.

Untuk ke sini, anda digalakkan untuk anda membuat tempahan online. Aktiviti di sini agak mencabar, ia sesuai untuk mereka yang memiliki stamina yang tinggi. Namun, kalau tubuh tak berapa fit pun boleh mencuba aktiviti di sini memandang ada aktiviti yang disediakan untuk beginner, intermediate dan advance.

 

Lokasi: Jalan Liku 8/1, Seksyen 8, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi:  Setiap hari kecuali Isnin (8.30pagi – 5.00petang)

Bayaran Masuk (Tempahan Online): Beginner RM35 | Intermediate RM45 | Advanced RM55

 

8) Shah Alam Extreme Park

Shah Alam Extreme Park

Imej via skateboarding

Satu lagi tempat untuk anda yang sukakan aktiviti lasak adalah di Shah Alam Extreme Park. Namun aktiviti lasak yang dilakukan di sini berbeza dengan Skytrex. Di sini, aktiviti yang anda boleh lakukan adalah bermain basikal BMX, skateboard, wall climbing, futsal dan paintball. Kalau dapat ke sini dengan geng yang suka buat aktiviti lasak, memang ngam.

 

Lokasi: Jalan Lompat Pagar 13/37, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (10.00pagi – 11.00malam) | Sabtu – Ahad (9.00malam – 11.00malam)

 

9) Litar Go Kart

Go Kart

Imej via citykarting

Berimpian ingin menjadi seperti Michael Schumacher? Tak salah untuk berangan. Tapi, kalau dapat realisasikan angan-angan tu pasti syok. Apa kata, anda ke Litar Go Kart di Shah Alam ini untuk berlumba kereta. Anda boleh menyewa Go Kart dan memandu dalam litar yang memiliki 15 selekoh yang agak mencabar. Namun, bagi anda yang baru ingin mencuba, jangan risau kerana jurulatih turut disediakan.

 

Lokasi:  Level 1, Quadrant C, Shah Alam Stadium, Section 13, 40000 Shah Alam.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (10.00pagi – 7.00malam) | Sabtu – Ahad (9.00pagi – 7.00malam)

Bayaran Masuk: Harga Biasa RM43 – RM85 | Harga Membership RM38 – RM75 (Bergantung kepada jenis Kart)

 

10) Mudtrakker Paintball Park

Mudtrakker Paintball Park

Imej via mudtrekker

Suka main perang-perang? Asyik berperang dalam ‘game’ je, apa kata kalau ajak geng untuk berperang di alam nyata pula. Di Mudtrakker Paintball Park anda boleh ‘berperang’ di padang paintball yang tersedia di sini. Setelah puas bermain paintball, bolehlah menunggang atv dalam trek yang lasak di dalam hutan di sini. Tapi anda jangan risau tersesat kerana terdapat seorang jurupandu akan bersama anda.

 

Lokasi:  Jalan Hijau Serindit U9/68, Seksyen U9, Cahaya SPK, 40150 Shah Alam, Selangor

 

11) Taman Tasik Shah Alam

Taman Tasik Shah Alam

Imej via azhamshaari

Taman Tasik Shah Alam adalah tempat ideal jika anda sekeluarga ingin bersantai-santai di waktu pagi ataupun petang hari. Taman tasik ini dibuka pada tahun 1985 dan direka oleh arkitek lanskap dari Jepun, Fumiaki Takano.

Lebih menarik, di dalam taman tasik ini juga terdapatnya taman tema air, restoran terapung dan taman permainan kanak-kanak. Jadi kalau anda tiada apa-apa yang nak dibuat di hujung minggu dan mencari aktiviti percuma untuk dilakukan di Shah Alam, datanglah ke taman tasik ini kerana banyak aktiviti santai yang anda boleh lakukan bersama keluarga.

 

Lokasi: Pesiaran Tasek, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor

 

12) Taman Tema Air Wet World

Taman Tema Air Wet World

Imej via sebenarnya

Anak-anak memang suka sangat kalau dapat bermandi-manda di kolam. Jadi, kalau anda ke Shah Alam, harus bawa anak-anak ke Taman Tema Air Wet World ini. Taman tema ini tidaklah besar seperti Sunway Lagoon mahupun Legoland. Tetapi ia sudah cukup memberikan kepuasan kepada anak-anak anda yang suka bermandi-manda. Malah terdapat juga gelongsor air tinggi yang diberi nama ‘Monsoon Buster’.

Banyak kemudahan yang terdapat di sini seperti loker, alat pengering rambut, tandas dan surau.

 

Lokasi: Taman Tema Air Wet World, No. 3A, Persiaran Dato’ Menteri, Sek.14, 40000 Shah Alam, Selangor.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Rabu (10.00pagi – 6.00petang) | Tutup pada hari Rabu kecuali Cuti Sekolah dan Cuti Umum

Bayaran Masuk: Dewasa RM25 | Kanak-kanak RM20 | Pelancong Dewasa RM35 | Pelancong Kanak-kanak RM30

 

13) Taman Botani Shah Alam Bukit Cerakah

Taman Botani Shah Alam Bukit Cerakah

Imej via tbnsa

Tarikan utama yang terdapat di Taman Botani Shah Alam adalah Rumah Iklim Sederhana Empat Musim. Rumah ini dihias dan ditanam bunga-bungaan di kiri dan kanannya. Bunga-bunga ini dihias mengikut musim-musim seperti musim sejuk, musim bunga, musim panas dan musim luruh. Musim-musim ini akan sering bertukar setiap 3 bulan.

Oleh kerana Malaysia terletak di garisan khatulistiwa, makanya kita tidak mengalami perubahan musim ini. Makanya, bila ada RUmah Iklim Empat Musim ini, dapatlah kita merasai suasana di negara 4 musim. Paling teruja bila tibanya musim sejuk kerana rumah ini akan dihias dengan salji dan memang terasa sejuk di dalam rumah itu nanti.

Tarikan lain yang terdapat di sini adalah zoo mini, kawasan sawah padi, taman kaktus, taman buah-buahan tropika, taman herba, tasik dan kolam. Antara aktiviti yang sering dilakukan di sini adalah seperti berbasikal, flying fox, memancing dan paintball.

 

Lokasi: Taman Botani Negara Shah Alam, Bukit Cahaya Seri Alam, 40000 Shah Alam

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (7.30pagi – 5.00petang)

 

14) I-City Shah Alam

I-City Shah Alam

Imej via selangor.attractionsinmalaysia

I-City sinonim dengan pohon maple dan pine palsu dan bunga-bunga lampu LED yang berwarna-warni pada waktu malam. Kecantikan taman ini sangat terserlah pada waktu malam kerana limpahan cahaya lampu yang berwarna-warni mengelilingi pokok2 buatan dan juga arca haiwan-haiwan. Tetapi, tahukah anda? Terdapat banyak tarikan lain yang terdapat di I-City ini. Anda boleh terokai tempat-tempat menarik ini pada sebelah pagi, dan menikmati kecantikan taman yang dilimpahi lampu LED yang berwarna-warni ini pada sebelah malam. Pasti anak-anak anda teruja jika dapat luangkan masa sehari suntuk di I-City ini.

Antara yang menarik di I-City Shah Alam ialah Snowalk iaitu sebuah bilik yang dipenuhi dengan ais dan salji buatan. Trick Art Museum pula adalah sebuah galeri seni yang mana anda boleh bergambar sakan di sini dengan pelbagai aksi rare. Red Carpet pula adalah sebuah muzium lilin. Manakala, Space Mission pula adalah sebuah galeri angkasawan. House of Horror pula adalah rumah hantu.

Selain itu, di I-City juga terdapat taman tema air yang mana sememangnya sangat disukai oleh anak-anak. Memang sangat berbaloi untuk bawa keluarga anda ke sini. Cumanya, perlu sediakan kewangan yang cukup kerana setiap tempat itu mengenakan bayaran masuk dengan kadar tertentu.

 

Lokasi: I-City, 40000 Shah Alam, Selangor

 

15) Laman Seni 7, Shah Alam

Laman Seni 7, Shah Alam

Imej via pojiegraphy

Kini sudah banyak Lorong-lorong ataupun jalanan yang dihias dengan seni mural dan graffiti. Bukan setakat di Ipoh dan Pulau Pinang, di Selangor juga ada iaitu di Laman Seni 7, Shah Alam. Laman Seni 7 dihasilkan oleh pelukis jalanan yang telah memenangi Pertandingan Laman Seni 7 Shah Alam dari 4 kategori berbeza iaitu ‘Painting on Site’, ‘Street Furniture’, ‘3D Painting’ dan ‘3D Installation’.

Karya-karya yang memenangi pertandingan-pertandingan ini diabadikan di Laman Seni 7 ini untuk dilihat oleh orang ramai. Di sebalik setiap hasil seni ini terdapat mesej-mesej penting yang cuba disampaikan, di sini, anda dapat membaca info dari perspektif pengkarya itu sendiri tentang apa yang cuba disampaikan melalui karya mereka.

Kalau dah datang ke tempat-tempat seperti ini, memang haruslah anda sediakan kamera yang canggih-canggih untuk dapatkan hasil fotografi yang hidup. Bolehlah beraksi dengan lukisan-lukisan di dinding yang cantik-cantik itu nanti.

 

Lokasi: Jalan Plumbum R7/R, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

 

16) Jalan Plumbum, Seksyen 7

Pusat Komersial Seksyen 7

Imej via monalizah-rais

Jalan Plumbum Seksyen 7, Shah Alam diibaratkan seperti syurga membeli-belah bagi para wanita terutama pencinta fesyen Muslimah. Terdapat banyak butik berjenama terkemuka yang terdapat di sini, antaranya Ariani, Bella Amara, Fabulous Heejab, Calaqisya & Calaman, Jovian Tower, Radiusite dan banyak lagi. Malah kedai kain terkenal seperti Jakel dan Gulatis juga ada di situ. Kalau bulan puasa, musim nak raya, memang sesak sangat kawasan ini.

Dah alang-alang sampai ke Shah Alam, apa salahnya singgah sebentar di sini. Asyik shopping online sahaja, sekali-sekala singgah butik terus, lebih puas hati boleh lihat sendiri produk depan mata. Kalau berkenan, boleh beli terus.

 

Lokasi: Jalam Plumbum, Seksyen 7, Shah Alam

 

Itulah dia 16 tempat menarik di Shah Alam yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Shah Alam. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Selangor dan Tempat Menarik Di Kuala Selangor.

 

Penulis: Husna Ismail

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.